BAB 9

Romance Completed 10513

“Haninah, boleh tak awak tolong saya? Saya nak minta awak tolong hantar dan ambil anak saya, Busran tuisyen. Dia tak nak ke tuisyen kalau awak tak temankan. Anak saya tu lemah sikit kalau dia tak tuisyen saya risau dia lagi ketinggalan.” Tuan Bukhari bertanya.

“Abis tu, macam mana dengan kerja-kerja saya ni?” Haninah kehairanan.

“Pasal kerja wak jangan risau. Awak tetap bekerja seperti biasa cuma lepas makan tengah hari, pukul dua tu awak tak perlu masuk office dan terus gi sekolah anak saya ambil dia dan balik semula office selepas tu. Pukul lima petang awak keluar ambil dia semula kemudian Pak Mud akan hantar awak pulang. Pak Mud pemandu Datuk Daud, ayah kawan anak saya, Khairi. Mereka pergi tuisyen bersama-sama. Awak tak perlu risau, saya akan tambahkan gaji awak untuk itu.” Tuan Bukhari masih menerangkan dengan terperinci. Tergamam seketika Haninah dengan ketelitian perancangan Tuan Bukhari.

“Bukan gaji yang menjadi persoalannya sekarang Tuan. Saya boleh sahaja lakukan kerja ni tanpa tambahan gaji saya sebab waktu kerja saya masih sama Cuma lokasinya sahaja berbeza. Malah kalau difikirkan semasa atas kereta saya tidak buat apa-apa kerja pun hanya sekadar duduk sahaja. Tapi saya rasa tanggung jawab tu agak berat untuk saya pikul. Saya risau saya tidak dapat melakukan tugas saya sebaiknya, Tuan.” Haninah lemah bersuara.

“Apa maksud Haninah? Kenapa tugas yang mudah tu Haninah kata berat pula?” Tuan Bukhari kehairanan dengan cara berfikir Haninah.

“Memang pada zahirnya ringan tetapi sebenarnya ia satu tugas yang berat. Saya risau kalaupun saya hantar dan ambil anak Tuan ke pusat Tuisyen, dia masih tidak mahu menghadirkan diri sebaliknya merayau ke tempat lain sebaik saya meninggalkannya di pintu pusat tuisyen.” Haninah memandang wajah Tuan Bukhari minta pengertian. Tuan Bukhari merenung lama wajah Haninah sehingga membuatkan Haninah tidak selesa. Melihat keadaan Haninah itu, Tuan Bukhari segera membalas.

“Kalau awak dah cakap macam tu, saya tak boleh nak buat apa lagi. Saya rasa awak tahu serba-sedikit masalah anak saya bila mendengar awak cakap macam tu. Mungkin saya tak cukup tegas dengan anak saya sehingga dia jadi seperti itu. Terima kasih, Haninah. Awak boleh sambung kerja awak.” Tuan Bukhari tersenyum hambar kepadanya.

“Terima kasih, Tuan. Saya keluar dulu.” Haninah berlalu pergi setelah dibenarkan oleh Tuan Bukhari. Dia mula meneruskan kerja-kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Sehingga petang menjelma, Haninah dikejutkan dengan kedatangan Puan Yasmin dan Busran dan sekali lagi dia dipanggil masuk ke dalam bilik Tuan Bukhari.

“Maaf, Haninah. Saya ganggu waktu kerja awak. Saya minta tolong sangat dengan awak, tolonglah bantu anak saya. Dia berkeras tidak mahu pergi ke pusat tuisyen kalau bukan awak yang temankan. Saya rayu sangat dengan awak.” Puan Yasmin bersuara lembut sambil menggenggam erat tangan Haninah. Haninah serba salah lalu dia memandang Tuan Bukhari yang memandangnya dari meja kerjanya. Duduknya di sofa mula terasa tidak selesa.

“Seperti yang saya bincangkan dengan Tuan Bukhari tadi, saya bukannya tidak sudi tetapi tugas ini amat berat bagi saya. Saya pasti Tuan ada sampaikan kepada Puan sendiri perkara yang saya maksudkan, kan?” Haninah tidak mahu mengulangi kata-katanya kerana dia pasti perkara itu sudah sampai kepada pengetahuan Puan Yasmin. Kalau tidak masakan Puan Yasmin datang berjumpa dan merayu sebegitu dengannya.

“Pasal hal itu Haninah jangan risau, Busran sudah berjanji yang dia akan turut dan akan terus berada di pusat tuisyen itu sehingga tiba waktu pulang. Busran, cakap apa yang kamu janjikan dengan ibu tadi pada Haninah.” Puan Yasmin meninggikan sedikit suaranya apabila meminta anaknya bersuara.

“Saya janji saya akan pergi ke pusat tuisyen dan tidak akan melencong ke mana-mana sampai balik.” Sinis sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut Busran. Haninah ragu-ragu.

“Macam tu ker cara kamu bercakap dengan orang yang lebih tua dari kamu?” Tuan Bukhari yang sedari tadi mendiamkan diri memberi laluan kepada isterinya berkata-kata menegur anaknya.

“Maaf, Busran tak sengaja.” Nada yang lebih lembut Busran berikan.

“Bukan setakat pergi sahaja ye, belajar dengan tekun sama. Boleh?” Haninah inginkan kepastian.

“Baiklah tambah pergi belajar dan bukannya sekadar hadirkan diri. Boleh akak tolong temankan?” Busran pula inginkan kepastian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience