BAB 7

Romance Completed 8451

BERMULA hari itu, Haq dan Feroz bersama-sama berusaha membaik pulih Resort Seri Bayu. Berbekalkan duit lima puluh ribu yang diberikan oleh Datuk Hasnah, Haq menggunakannya sebaik mungkin. Selepas resort itu dibaik pulih, dia terpaksa bertungkus lumus untuk mencari pekerja dan membuat iklan untuk kenalkan Resort Seri Bayu kepada orang ramai.

Ia bukan kerja yang senang untuk menarik minat orang ramai untuk datang ke resort yang dahulunya telah ditutup untuk jangka masa yang lama. Namun, dengan usaha dan dorongan daripada Feroz, Haq meneruskan permintaan opahnya sehinggalah mereka berjaya membuka Resort Seri Bayu dengan nafas yang baharu.

“Kita solat Zohor dululah baru kita siapkan apa yang patut dengan resort kita ni.”

Ucap Haq pada Feroz yang tenang memandu.

Sejak mereka berjaya mengubah resort tersebut, hubungan persahabatan mereka bertambah akrab malah bagi Haq, Feroz adalah kawan yang sangat baik. Lelaki itu selalu ada saat dia perlukan untuk mencurahkan segala perasaan dan Feroz tidak jemu-jemu memberi kata nasihat pada Haq. Kadang-kadang Haq merasakan yang Haq adalah sahabat sejatinya.

Mungkin juga selama ini dia tidak pernah mempunyai sahabat yang baik. Tetapi selama mereka berkawan, belum pernah dia Feroz membawa Haq ke rumahnya. Identiti Feroz yang sebenar juga tidak diketahui oleh Haq. Siapa Feroz sebenarnya? Persoalan itu kerap bermain di minda Haq namun masih tiada jawapan yang pasti.

Feroz hanya mengangguk dan membelok kereta ke perkarangan Masjid al-Hidayah.

“Jomlah kita solat dulu.”

Ajak Haq sambil menanggalkan tali pinggang keledar. Dia berpaling melihat wajah Feroz yang mula berpeluh. Aik, aku ajak solat dah berpeluh.

“Kau pergi dulu, nanti aku ikut.”

Balas Feroz. Dia mengesat peluh yang mula terbit di dahi.

“Laaa…kita datang sekali jadi kita pergi solat sekalilah. Selama ini, kau tak pernah solat berjemaah dengan aku. Bila aku ajak kau solat, ada je alasan kau. Kenapa ni? Kau tak solat ke?”

Soal Haq kedengaran sedikit tegang.

Memang dia berkawan baik dengan Feroz tapi itu bukan tiket untuk dia melihat saja Feroz hanyut dengan dunianya dengan meninggalkan solat. Bukankah, sahabat yang baik itu membawa sahabatnya ke jalan Allah?

“Aku solatlah Haq tapi…”

Kata-kata Feroz mati di situ. Sukar untuk dia jelaskan kenapa begitu sukar untuk dia mengikut Feroz mengerjakan solat di surau. Sekarang ini dia berbelah bahagi.

“Tapi kenapa? Kau bukannya perempuan. Kalau perempuan tu aku fahamlah, tiap-tiap bulan uzur yang kau ni takkan uzur juga kut.” Perli Haq.

Berdesing telinga Feroz mendengarnya. Suka hati dia je sama kan aku dengan perempuan. Aku ni lelaki tau. Lelaki tu…tulen lagi…kut….

“Kau cakap elok-eloklah sikit, kang ada yang makan siku aku ni.”

Marah Feroz sambil menunjukkan sikunya pada Haq yang sudah tersengih.

“Alah, siku kau tu kecik je, sekali aku pulas, patah siku kau tu.”

Jawab Haq sambil tergelak kecil.

“Banyaklah cakap kau, dah kau pergi solat dulu. Aku nak pergi tandas.”

Dalih Feroz.

“Hah, cantik jugak tu aku pun nak pergi tandas juga. Kita pergi sekalilah kemudian kita pergi solat sama-sama.”

Balas Haq kemudian membuka pintu kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience