BAB 14

Romance Completed 8451

Dia sampai di hadapan pintu bilik Haq. Pintu tersebut diketuk. Apabila mendengar arahan yang meminta dia masuk, Feroz memulas tombol pintu. Dia melangkah masuk dengar hati yang bergetar. Sejak pertengkaran tempoh hari, hubungan Feroz dan Haq semakin renggang malah Feroz tidak lagi menjadi pemandu buat Haq kerana itu yang lelaki itu mahukan.

“Assalamualaikum.”

Feroz memberi salam dengan penuh hormat. Dia cuba mengintai wajah Haq yang menunduk.

Haq mengangkat wajah. Mata mereka bertentangan. Haq kehilangan kata saat melihat mata yang redup itu. Sangat menenangkan hatinya yang keresahan. Dia meneliti penampilan Feroz yang kelihatan agak berlainan hari ini. Lelaki itu memakai kemeja lengan panjang yang sengaja disinsingkan sehingga ke siku. Manakala, baju t-shirt berkolar bulat dipakai di bahagian dalam. Seluar slack yang dipadankan agak besar berbanding dengan saiz tubuh lelaki itu yang kecil.

Haq mengalihkan pandangan ke laman wajah Feroz yang tenang. Dia melihat wajah itu kelihatan agak berlainan mungkin kerana rambutnya yang sudah mula panjang hingga mencecah kolar baju menyebabkan wajah itu nampak comel dan nampak seperti perempuan. Haq menggelengkan kepala. Sejak dia mula menyimpan perasaan pada Feroz, dia selalu membayangkan yang Feroz ini bertukar menjadi perempuan, tetapi khayalannya tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana Feroz lelaki dan mana mungkin akan bertukar jantina.

“Kenapa kau nak jumpa aku?”

Soal Feroz memecahkan lamunan Haq.

Haq kembali mengangkat muka menentang wajah Feroz walaupun dia akui agak sukar untuk berhadapan dengan Feroz saat ini. Tetapi dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalahnya.

“Aku ada hal nak cakapkan dengan kau. Aku harap kau boleh terima.”

Balas Haq dingin.

“Apa dia? Aku harap ia bukan soal peribadi.”

Ucap Feroz. Haq tidak membalas sebaliknya dia menyerahkan sepucuk surat pada Feroz. Dia melihat dahi lelaki itu berkerut.

Surat bertukar tangan.

Dengan dada yang berdebar, Feroz membuka surat tersebut. Bagaikan ingin terjojol biji matanya membaca surat yang berada di dalam genggamannya.

“Apa salah aku sampaikan kau buang aku daripada kerja? Aku tak pernah lakukan apa-apa salah laku malah rekod kedatangan aku pun baik. Kenapa kau dengan senang-senangnya nak pecat aku Haq?”

Tekan Feroz dengan soalan yang bertubi-tubi. Air mata yang bergenang di seka dengan jarinya yang runcing.

Dia tidak boleh kehilangan kerja ini kerana hanya kerja inilah yang mampu dia lakukan untuk menyara keluarganya. Sebagai anak sulung dalam keluarga, tanggungjawab mencari sesuap nasi ini amat berat untuk dia pikul selepas kematian ayahnya beberapa tahun dahulu. Ibunya yang semakin tua membuatkan Feroz terpaksa melakukan apa sahaja untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Ini keputusan aku. Aku nak kau pergi daripada resort ni sekarang juga dan jangan pernah tunjukkan muka kau depan aku. Aku tak mahu ada apa-apa kaitan dengan kau lagi selepas ini.”

Ucap Haq tanpa rasa bersalah. Padahal dalam hati hanya Allah yang tahu betapa dia tidak sanggup berpisah dengan Feroz. Terasa seperti menores luka di tangan, betapa sakit dan pedih.

“Tapi kenapa Haq? Aku takkan pergi sebelum kau jelaskan kenapa kau pecat aku dengan tiba-tiba. Selama ini aku tak pernah main-main masa bekerja, aku tak pernah lupa yang kau bos aku walaupun hubungan kita rapat.”

Luah Feroz.

“Hubungan kita rapat? Itu yang aku nak elakkan. Aku tak nak rapat dengan kau. Aku tak nak kau wujud depan aku lagi. Aku tak nak berkawan dengan kau lagi. Aku tak nak ambil tahu apa-apa pun pasal kau. Kau faham tak?”

Tengking Haq tidak semena-mena. Wajahnya bertukar merah.

Haq bingkas berdiri. Melotot wajahnya menentang panahan mata Feroz yang berkaca. Inilah kali pertama dia melihat lelaki itu menangis. Selama ini dia hanya melihat lelaki itu ketawa dan tersenyum namun sekarang dia sendiri yang telah menyebabkan mata bundar itu menitiskan air mata. Ya, memang itu yang dia inginkan. Dia ingin melihat lelaki itu terseksa seperti mana dia rasakan saat ini kerana jatuh cinta pada seorang lelaki!

“Kau kejam Haq! Kau kejam! Kau tak boleh jadikan itu sebagai alasan untuk buang aku daripada kerja. Kau tak profesional. Kau campur adukkan masalah peribadi kau dengan kerja, itu tak adil pada aku!”

Balas Feroz turut menjerit. Dia sudah tidak peduli apa kedudukan Haq sekarang. Dia cukup sakit hati dengan alasan yang diberikan oleh lelaki itu.

“Siapa kau nak mengajar aku tentang etika kerja. Ingat sikit kau tu cuma driver opah aku je. Kau tak payah berangan nak dapat lebih daripada tu. Aku tak nak kau kerja dengan aku, apa yang boleh kau buat?”

Cabar Haq.

“Aku perlu alasan yang kukuh Haq kenapa kau buang aku. Kau mengaku aku kawan kau, tapi kenapa kau buat aku macam ni?”

Suara Feroz kembali mengendur.

“Aku tak boleh terangkan pada kau perkara yang sebenarnya…”

“Tapi aku berhak untuk tahu!”

Tekan Feroz memintas percakapan Haq.

Telinga Haq berdesing mendengar bentakan daripada Feroz. Dia tidak dapat menahan perasaan dengan sikap Feroz yang suka menekan.

“Kau pernah rasa jatuh cinta tak?”

Soal Haq. Feroz menggelengkan kepala.

“Itu yang masalahnya. Aku dah jatuh cinta tapi cinta aku ni kotor, kau tahu tak?”

Balas Haq.

“Apa maksud kau Haq?”

“Kau tak tahu macam mana rasanya bila jatuh cinta pada lelaki. Lelaki yang sama jenis dengan kau dan seharusnya rasa itu tak perlu hadir sebab aku rasa sangat jijik dengan diri aku sendiri!”

Luah Haq. Tanpa disedari di menempik kuat.

Turun naik dadanya menahan rasa amarah yang terbit dalam diri. Wajah Feroz kelihatan berbalam-balam.

Feroz terpana seketika. Haq jatuh cinta pada lelaki? Biar betul. Siapa lelaki itu? Soalnya dalam hati. Perlahan-lahan dia cuba mendekati Haq. Cuba menenangkan perasaan sahabatnya itu. Mungkin lelaki itu telah mengalami saat yang sukar.

“Kau jangan dekat dengan aku! Aku tak suka. Sekarang aku nak kau pergi. Pergi!”

Jerit Haq lagi.

“Haq, aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada kau cuma aku nak kau tahu walau apa pun yang terjadi kau tetap kawan aku. Aku sayangkan kau.”

“Jangan, jangan sesekali kau cakap aku sayang pada aku sebab itu akan menghiris perasaan aku. Kau tak faham perasaan aku Feroz. Aku benci dengan apa yang aku rasakan ini. Aku benci bila aku jatuh cinta pada kau!”

Luah Haq tanpa segan silu.

Feroz terdiam. Dia tergamam. Dia membisu seribu bahasa. Fikirannya seolah memutarkan kembali apa yang telah diucapkan oleh Haq.

“Kau jatuh cinta pada aku?”

Soalnya tergagap-gagap sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah mukanya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience