BAB 13

Romance Completed 8451

“SENGETLAH gambar yang kau gantung tu Feroz, cuba ke kiri sikit.”

Arah Kak Lina yang sedang menolong Feroz menggantungkan gambar di sudut dinding.

“Saya nampak macam okey je. Senget lagi ke?”

Balas Feroz.

Dia menggerakkan badannya ke kiri lalu membetulkan kedudukan bingkai gambar tersebut.

“Cuba kau angkat sikit. Lagi tinggi lagi cantik akak rasa.”

Tambah Kak Lina. Dia memerhati Feroz yang cuba menjinjit untuk meninggikan lagi gambar tersebut.

“Akak ni, nak tinggilah pulak. Saya ni bukannya tinggi sangat pun.”

Bebel Feroz. Namun, dia tetap mengikut apa yang diarahkan oleh Kak Lin. Saat dia menjinjit sambil memegang bingkai gambar yang berat, tiba-tiba Feroz tidak dapat mengimbangi badannya yang kecil. Kerusi tempat dia berdiri bergoyang-goyang.

“Argghhh!!”

Feroz menjerit. Dia memejamkan mata. Hampir saja dia terjatuh tetapi mujur ada tangan yang menangkap dan dengan pantas mencempung tubuhnya.

Perlahan-lahan, Feroz membuka mata. Zappp! Jantungnya bagaikan direntap apabila melihat wajah itu berada dekat dengannya. Dia sendiri tidak menyangka lelaki itu yang akan menyambutnya daripada terjatuh. Mata mereka bertentangan memainkan irama yang membuai kalbu.

Namun, rasa itu tidak dibiarkan lama, dengan pantas, Haq melepaskan tubuh Feroz menyebabkan Feroz jatuh terduduk di atas lantai. Dia menggosok punggungnya yang terasa sakit. Kurang asam betul, sakit belakang aku. Rungut hati Feroz. Perlahan-lahan dia bangun dengan memegang pinggangnya yang terasa sakit.

Haq cuba mengusir perasaan debar yang menyerang dadanya. Dia membelakangkan Feroz yang terkial-kial untuk bangun.

Kak Lina yang berada di tempat itu, tidak dipedulikan. Dia perlu menyelesaikan masalahnya dengan Feroz hari ini juga. Dia tidak mahu perasaannya terus terseksa dengan rasa yang kian mekar dalam hatinya untuk Feroz.

“Jumpa aku dalam ofis sekarang!”

Arah Haq tegas. Tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Kemudian, dia berlalu meninggalkan Feroz yang tercengang. Feroz memandang Kak Lina yang masih tercegat berdiri tidak jauh daripadanya. Kelihatan wanita itu hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Lebih kau pergi sekarang, tak pasal-pasal gunung berapi meletus. Belum pernah Kak Lina tengok dia garang macam tu. Selama ni muka dia tu asyik senyum je apatah lagi bila ada awak. Tapi sejak dia cuti tiga hari ni, muka dia tu asyik monyok je. Nak cakap period, dia tu lelaki. Kak Lina tak tahulah nak cakap apa,”ucap Kak Lina.

Feroz hanya tersenyum hambar. Apa yang Kak Lina cakap ada benarnya. Sejak lelaki itu bercuti, perangainya berubah 360 darjah. Nak cakap melepak memang taklah. Jika Feroz ajak, ada saja alasan yang diberikan malah panggilannya juga tidak dijawab. Dia betul-betul terasa hati dengan sikap Haq yang tidak mengendahkannya. Dia benar-benar rindu saat manis mereka dulu.

Dengan langkah yang longlai, Feroz menuju ke bilik Haq. Bermacam perkara bermain di fikirannya memikirkan Haq yang sudah berubah. Apa salah aku Haq? Salahkah aku cakap aku sayangkan kau, sedangkan memang itu yang aku rasakan sekarang ini. Aku sayangkan persahabatan kita tapi sampai hati kau buat aku macam tak wujud. Rintih hati Feroz. Dia menyeka air mata yang ingin menitis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience