BAB 17

Romance Completed 8451

SUASANA Masjid Negeri Pahang meriah dengan kehadiran orang ramai bagi meraikan majlis pernikahan cucu tunggal Datuk Hasnah. Bunyi bising di perkarangan masjid langsung tidak menganggu tumpuan Haq yang masih setia menanti pengantin perempuannya yang tidak kunjung datang.

Hadirin yang hadir sudah berpeluh menanti pengantin perempuan, namun Haq masih lagi tenang duduk bersila di hadapan Tok Kadi. Dia memandang ke sekeliling mencari kelibat Datuk Hasnah namun batang hidung opahnya tidak kelihatan. Mana pula opah ni pergi? Soal hatinya.

Tiba-tiba matanya tertancap pada sebatang tubuh yang sedang berdiri sambil diiringi oleh opahnya dan di bawa ke ruang tengah. Haq tersenyum sebaik sahaja melihat wajah lembut yang mendamaikan jiwa walaupun gadis itu mengenakan purdah yang menutup separuh daripada wajahnya. Itulah dia, wanita pilihan Datuk Hasnah. Cantik dengan pakaian pengantin yang tersarung di tubuh genitnya.

“Baiklah, pengantin perempuan dah pun sampai, jadi bolehlah kita teruskan majlis ini.”

Ucap Tok Kadi dan disambut dengan anggukan oleh para hadirin.

Selepas memberikan beberapa tazkirah ringkas, Tok Kadi kemudiannya menghulurkan tangan pada Haq untuk berjabat. Haq menyambut. Debaran di dada semakin kuat. Hilang segala ingatannya pada Feroz, tumpuannya hanya pada lafaz yang akan di akadnya sebentar nanti.

“Haq Firdaus, aku nikah akan dikau dengan Saidatul Fairus Ibtisam binti Azlan dengan mas kahwinnya RM500, tunai.”

Tok Kadi melafazkan ijab.

Haq mengulang kembali lafaz tersebut dengan tenang. Hanya sekali lafaz dia dengan rasminya menjadi suami kepada wanita pemilik nama Saidatul Fairus Ibtisam binti Azlan. Haq cukup bersyukur kerana akhirnya dia dapat menjadi seorang suami kepada seorang wanita.

Walaupuan dia tidak begitu mengenali wanita pilihan opahnya ini tetapi dia tetap menerima apa adanya. Melihat kepada penampilan wanita pilihan Datuk Hasnah yang berpurdah ini, mungkin Saidatul Fairus ini bukan calang-calang orang.

Haq akui dia cukup senang dengan peribadi Saidatul Fairus yang sangat menjaga tingkah laku dan pergaulannya walaupun waktu itu mereka telah pun mengikat tali pertunangan.

Haq tersedar daripada lamunan apabila Datuk Hasnah menepuk lembut bahunya. Dia tersenyum manis walaupun hatinya tidaklah semanis senyumannya. Buat seketika dia menjenguk ke pintu menanti kehadiran seseorang yang begitu diharapkan.

“Haq, sekarang masa untuk sarung cincin cu…”

Bisik Datuk Hasnah di telinga Haq.

Haq mengangguk. Dia bangun dan menuju ke arah isterinya yang duduk bersimpuh sambil ditemani oleh beberapa orang pengapit.

“Assalamualaikum.”

Ucap Haq. Suaranya sedikit bergetar. Dia cuba mengintai wajah isterinya yang sedang menunduk.

“Wa’alaikummusalam.”

Suara yang serak- serak basah itu menjawab sambil mengangkat kepala. Mata mereka bertentangan.

Walau dia tidak dapat melihat keseluruhan wajah Saidatul Fairus tetapi dia tahu gadis itu sedang tersenyum. Mata gadis itu yang bundar turut mengalirkan air mata kegembiraan.

Haq mencapai tangan Saidatul Fairus dan menyarungkan cincin bertatahkan berlian ke jari gadis itu. Sebagai balasan, Saidatul Fairus turut menyarungkan cincin perak ke jari manisnya. Kemudian, gadis itu mencium lembut tangannya.

Saat tangannya dikucup lembut, Haq merasakan hatinya begitu sayu. Indahnya perhubungan yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Dia bersyukur kerana memilih jalan yang diredhai berbanding jalan nafsu yang hanya sementara.

“Saya cintakan awak.”

Terdengar bisikan itu saat kucupan itu bertandang di tangannya. Dahi Haq berkerut. Begitu mudah wanita ini mengungkapkan kata cinta tetapi apa salahnya, memang dia wajib mencintai suaminya sendiri. Tetapi dia dapat rasakan satu perasaan aneh sewaktu menatap mata gadis itu. Redup dan tenang mengingatkannya pada seseorang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience