BAB 18

Romance Completed 8451

PINTU terkuak daripada luar. Haq menjenguk ke dalam kamar pengantin yang berhias cantik. Kelihatan isterinya sedang duduk berteleku di birai katil. Haq tersenyum dalam diam. Dia mula mengorak langkah menghampiri Saidatul Fairus.

“Assalamualaikum.”

Salam dihulurkan penuh kelembutan.

“Wa’alaikummusalam.”

Balas Saidatul Fairus sambil mendongak memandang Haq yang sudah melabuhkan punggung di sisinya.

Haq kehilangan kata. Lidahnya bagaikan terkelu untuk memulakan bicara apatah lagi gadis yang berada di hadapannya ini bukanlah orang yang dikenalinya. Namun, sejak melafazkan ijab dan kabul petang tadi, Haq sudah berjanji yang dia akan cuba menjadi suami yang terbaik untuk wanita yang bergelar isterinya itu.

“Boleh saya buka purdah awak tu?”

Soal Haq lembut.

Saidatul Fairus menggelengkan kepala. Di matanya tergambar senyuman yang mekar di sebalik purdah berwarna hitam yang dipakainya.

“Kenapa geleng kepala? Saya suami awak, saya berhak melihat wajah awak.”

Balas Haq lagi. Dia inginkan pengertian.

“Bukan saya nak menidakkan hak awak tapi saya inginkan satu kepastian daripada awak.”

“Kepastian apa?”

Soal Haq memintas percakapan Saidatul Fairus.

“Sebelum awak menikahi saya, awak pernah jatuh cinta pada sesiapa tak?”

Soal Saidatul Fairus berterus terang.

Wajah Haq berubah. Dia rasakan semua itu tidak perlu dibangkitkan lagi. Dia ingin melupakan segalanya walaupun dia sedikit terkilan kerana lelaki itu tidak hadir di hari bahagianya. Memang jauh di sudut hati perasaan kasih itu masih wujud tetapi Haq berfikir secara waras, cinta yang tersemai di dalam hatinya itu takkan pernah bersatu.

“Kenapa Datul nak tahu? Perkara yang lepas biarkanlah lepas, abang tak nak ingat apa yang berlaku sebelum ni.”

Balas Haq. Bahasanya juga sudah bertukar.

“Datul cuma nak tahu siapa yang pernah hadir dalam hidup abang sebelum Datul. Sekurang-kurangnya Datul tak fikir bukan-bukan nanti bila ada yang bercakap perihal abang.”

Balas Saidatul Fairus lembut. Dia mencapai tangan Haq dan mengenggam dengan lembut.

Haq mengeluh. Dia memandang tangannya yang kemas dalam pegangan Saidatul Fairus.

“Betul Datul nak tahu?”

Soal Haq inginkan kepastian.Saidatul Fairus hanya mengerdipkan kelopak matanya tanda mengiyakan. Dia menanti bicara daripada Haq dengan penuh kesabaran dan debaran.

“Abang memang ada cintakan seseorang, malah abang mengaku abang kahwin dengan Datul sebab abang nak buang perasaan cinta abang pada dia. Abang cuba buang dia daripada fikiran abang, daripada hidup abang dan daripada hati abang tapi abang tak boleh. Abang tak macam mana cinta ini mengikat abang sampai macam ni sekali sedangkan abang dah berjanji dengan diri abang untuk mencintai wanita yang menjadi isteri abang.”

Terang Haq. Dia menundukkan wajah. Tidak sanggup untuk melihat penerimaan Saidatul Fairus bila mengetahui perkara yang sebenar.

“Datul dapat rasakan yang sampai sekarang pun abang masih mencintai dia, kan? Bertuahnya perempuan tu sebab dapat menduduki hati abang.”

“Dia bukan perempuan Datul. Dia lela..ki..”

Pintas Haq dengan suara yang tersekat.

Spontan genggaman di tangannya dilepaskan oleh Saidatul Fairus. Gadis itu menjarakkan diri. Haq nampak jelas yang gadis itu terkejut dengan pengakuannya.

“Lelaki?”

Soalnya dengan suara yang tertahan-tahan.

“Ya orang yang abang cintai itu adalah seorang lelaki. Mesti Datul jijik dengan abang kan sebab jatuh cinta dengan kaum sejenis tapi percayalah Datul abang masih waras dan abang masih berpegang teguh pada ajaran Islam. Abang sanggup putuskan persahabatan abang dengan dia semata-mata kerana ALLAH. Abang tak nak ALLAH melaknat abang kerana mempunyai perasaan yang songsang ni.”

Jelas Haq.

Dia mematah-matahkan jarinya. Rambutnya diraupkan ke belakang. Sukarnya mengungkapkan rasa hati yang lama terpendam. Terasa seksa untuk mengakui bahawa cinta yang pernah menghuni hati adalah cinta yang terlarang.

“Perasaan yang abang rasakan itu tak songsang…”

Ujar Saidatul Fairus tiba-tiba.

Haq terkejut. Dia memandang Saidatul Fairus yang kelihatan tenang.

“Apa maksud Datul? Abang jatuh cinta pada lelaki, itu satu kesalahan dan itu satu kesilapan yang telah abang lakukan tapi kenapa Datul cakap itu bukan satu rasa yang songsang? Abang sendiri jijik dengan diri abang tapi Datul macam tak ada apa-apa pula.”

Balas Haq. Dia sendiri pelik dengan penerimaan Saidatul Fairus yang kelihatan selamba.

“Rasa itu tak songsang bang sebab rasa cinta itu ALLAH yang telah ciptakan. Bagaimana cinta itu boleh kotor sedangkan ALLAH itu Maha Cinta. Dia hadirkan perasaan cinta dalam diri abang itu disebabkan perasaan itu suci dan bukannya kotor seperti yang abang cakapkan. Percayalah bang, cinta yang mengalir dalam hati abang itu cinta yang tulus setulus cinta Feroz kepada abang.”

Ucap Saidatul Fairus tiba-tiba.

Haq terkesima seketika. Feroz? Bagaimana Saidatul Fairus boleh mengenali nama Feroz sedangkan gadis itu belum pernah berjumpa dengan Feroz. Haq semakin pelik.

“Mesti abang tertanya-tanyakan macam mana Datul kenal lelaki yang bernama Feroz tu kan?”

Soalan Saidatul Fairus memecah kebuntuan Haq.

Haq mengangguk laju. Terkebil-kebil dia memandang mata isterinya yang canti menawan.

“Abang buka purdah Datul ni dan abang akan dapat jawapannya.”

Sambung Saidatul Fairus lagi.

Haq makin tercengang. Dalam hatinya mula berdetak sesuatu. Laju sahaja jantungnya berdengup apabila Saidatul Fairus memintanya untuk membukakan purdah yang dipakai. Haq menelan air liur. Rasa resah mula menyelubungi dirinya. Apa kaitan Saidatul Fairus dan Feroz. Mungkin nama kedengaran sama tapi jantina mereka berbeza. Detik hati Haq.

Namun, dia mengikut apa yang dipinta oleh Saidatul Fairus. Dengan tangan yang terketar-ketar dia membuka pin tudung yang dipakai oleh isterinya lalu meletakkan tudung itu di atas tilam.

Haq bagaikan terpaku melihat wajah yang terzahir di hadapannya. Dengan rambut yang panjang melepasi bahu dipadankan dengan wajahnya yang bujur sirih ditambah dengan kulitnya yang putih kemerahan, Haq bagaikan terpukau melihat keindahan ciptaan ALLAH di hadapan matanya.

Tetapi bukan itu yang membuatkan Haq terpesona, namun wujud sebenar Saidatul Fairus merupakan satu kejutan buat Haq. Dia kenal wajah itu. Dia kenal pemilik mata itu. Malah, dia cukup kenal dengan senyuman berserta suara serak-serak basah itu. Tapi tak mungkin dia!

Dengan pantas Haq bingkas berdiri. Dadanya mula berombak. Permainan apakah yang ingin diciptakan oleh isterinya itu.

“Ini tak mungkin…macam mana Datul boleh bertukar dengan…”

“Feroz?”

Soal Saidatul Fairus.

Haq mengangguk. Dia meraup wajahnya untuk kesekian kali. Otaknya berserabut memikirkan kemungkinan yang menjengah fikirannya.

“Sebenarnya dari awal perkenalan kita, Datul dah buat kesalahan. Datul nak berterus terang pada abang yang Datul bukanlah lelaki seperti sangkaan abang. Datul terpaksa sembunyikan identiti sebenar Datul semata-mata untuk cari menampung keluarga Datul yang susah. Datul lebih selesa dengan berperwatakan lelaki kerana dengan gaya itu lebih mudah untuk orang terima Datul bekerja. Dalam sehari Datul lakukan banyak kerja sampailah jadi driver opah.”

Terang Saidatul Fairus sambil menundukkan wajahnya. Mutiara jernih mula bertakung di kelopak mata.

Haq melepaskan keluhan berat.

“Jadi betullah Saidatul Fairus Ibtisam binti Azlan adalah Feroz, kawan baik dan juga orang yang abang cintakan itu?”

Soal Haq meminta kepastian.

Saidatul Fairus mengangguk lemah. Dia pasti Haq akan memarahinya dan mungkin akan melepaskannya.

“Ya, Datul dan Feroz adalah orang yang sama. Cinta yang abang rasakan itu bukan cinta yang songsang jauh sekali cinta yang terlarang. Cinta abang pada Feroz berlandaskan fitrah yang sebenar bukan kerana nafsu. Cinta abang pada Feroz disebabkan hati abang lebih mengenali naluri wanita Feroz berbanding sikap lelaki yang cuba Feroz tampilkan. Cinta abang bukan satu kesalahan dan kesilapan malah cinta abang membuka mata Feroz untuk kembali kepada fitrah.”

Ucap Saidatul Fairus panjang lebar.

Haq meraup wajahnya beberapa kali. Lalu tanpa amaran dia memeluk tubuh Saidatul Fairus a.k.a Feroz dengan kejap. Air matanya mengalir tanda kesyukuran kerana selama ini dia masih lagi normal.

“Ya ALLAH, syukur pada-Mu ya ALLAH kerana mengembalikan cinta aku dengan cara yang paling indah. Abang selalu terfikir yang abang akan kehilangan Feroz tetapi ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Abang tak sangka cinta abang pada Feroz diredhai ALLAH sehinggakan Dia menyatukan Feroz dan abang dalam ikatan yang suci. Benar kata Feroz dulu, cinta kita bukan cinta kotor tetapi cinta kita cinta yang suci kerana cinta itu tak pernah kotor melainkan hati dan nafsu kita yang mengotorkan cinta itu. Ya ALLAH, abang cintakan Feroz, dulu kini dan insya-ALLAH mungkin sampai abang mati.”

Ucap Haq dengan penuh rasa kesyukuran.

Dia mengeratkan pelukannya. Dahi Feroz di kucup lembut.

“Alhamdulillah, aturan ALLAH itu tak pernah silap bang. Waktu opah datang melamar Feroz, dengan lapang dada Feroz terima pinangan abang. Sejak daripada tu, Feroz dah ubah penampilan Feroz menjadi seperti yang abang nampak sekarang ni. Feroz dah tak nak hidup dalam kepura-puraan lagi. Feroz nak jadi perempuan yang dapat mengisi hidup abang,”ucap Feroz lembut.

Haq menolak sedikit tubuh Feroz dan merenung ke dalam anak mata yang hitam pekat itu. Dia tersenyum manis.

“Tapi kenapa Feroz nak orang panggil Feroz dengan panggilan ‘Feroz’ dan bukannya Fairus?”

Soal Haq penuh tanda tanya.

“Sebab nama ‘Feroz’ tu senang sikit nak sebut berbanding Fairus dan nampak lebih lelaki.”

Balas Feroz dengan senyuman yang ceria.

Haq ketawa kecil sambil menarik lembut hidung Feroz yang mancung.

“Pandai ya Feroz kenakan abang. Maknanya opah dah tahu yang Feroz ni perempuan bukannya lelaki?”

“Yelah abang, sayang. Feroz kan kerja dengan opah mestilah opah ada butir-butir peribadi Feroz. Abang je yang tak pernah nak ambil tahu pasal jantina Feroz…”

Balas Feroz sambil tergelak kecil.

Haq turut tergelak. Dia kembali memeluk Feroz. Kali ini dia benar-benar merasakan ketenangan menyapa hatinya.

Terima kasih ALLAH kerana menciptakan rasa yang cukup indah ini. Cinta yang kau titipkan dalam hati aku ini tak pernah silap kerana setiap cinta yang hadir itu adalah pemberian dan anugerah daripada-Mu. Aku cuba meninggalkan cinta yang terlarang tetapi Kau telah menggantikan cinta yang terlarang itu menjadi cinta yang cukup indah. Maha Suci Engkau Ya ALLAH.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience