BAB 15

Romance Completed 8451

Giliran Haq terdiam. Dia meraup wajahnya yang berserabut. Dia sudah tersasul. Sepatutnya dia tidak perlu mengatakan semua itu pada Feroz. Lelaki itu tak perlu tahu apa yang dirasakan olehnya.

“Ya. Mesti kau jijik dengan aku kan? Aku pun tak tahu bagaimana perasaan ini boleh muncul dalam hati aku tetapi setiap hari aku jumpa dengan kau, perasaan itu makin mekar malah aku mengaku aku cemburu bila Jimmy cuba dekat dengan kau sebab selama ini aku rasakan kau adalah milik aku. Aku tak nak kongsi kau dengan orang lain. Kau dah buat aku hampir gila, Feroz. Tolonglah demi aku, tolong pergi daripada hidup aku.”

Ucap Haq seakan merayu.

Tanpa disedari air matanya sudah mengalir. Dia terduduk di atas kerusi sambil menekup wajahnya ke atas meja. Rasa yang menikam dadanya dirasakan tersangat perit.

Feroz benar-benar terpana dengan apa yang dilihat. Haq menangis kerana aku? Serentak air mata Feroz lebat menuruni lekuk pipinya. Dia merapati Haq. Bahu lelaki itu disentuh lembut.

Haq mengangkat wajahnya yang sudah lencun dibasahi dengan air mata. Dia tidak malu untuk mengalirkan air mata di hadapan Feroz kerana dia ingin Feroz tahu betapa terseksa jiwanya kerana mencintai seseorang yang tak wajar dicintai.

Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk jatuh cinta pada kaum sejenis tetapi kali ini dia telah terperangkap dalam sangkar cinta ciptaan Feroz. Hati dan fikirannya hanya menyebut nama lelaki itu sehinggakan Haq merasa jijik pada diri sendiri.

Feroz memegang pipi Haq. Dia merenung ke dalam anak mata itu yang berkaca. Dia melihat sinar cinta yang penuh kedukaan di sebalik anak mata itu. Bukan salah Haq kerana jatuh cinta malah Feroz juga mengaku yang dia turut mencintai Haq sebagaimana Haq mencintainya namun rasa itu terbatas.

“Rasa itu bukan menyeksa kau malah ia turut menyeksa aku, Haq. Aku sayang dan cintakan kau tapi aku tahu kita mungkin takkan bersatu. Baiklah kalau itu yang kau inginkan, Feroz akan pergi daripada hidup kau dan kalau cinta itu perlukan pengorbanan, aku bersedia berkorban untuk kau. Tapi satu saja aku minta daripada kau, jangan pernah rasa jijik dengan cinta yang telah tumbuh dalam hati kau sebab cinta itu suci. Cuma hati kita saja yang kotor kerana tak dapat menilai kesucian cinta itu.”

Ujar Feroz panjang lebar.

Air matanya sudah tidak dapat ditahan. Dia juga merasakan sakit kerana cintanya yang tidak dapat bersatu. Dia tidak boleh menentang kehendak takdir, dia tidak boleh melawan arus walaupun dia benar-benar mencintai lelaki yang berada di hadapannya ini.

Tersentuh hati Haq mendengar apa yang dikatakan oleh Feroz. Dia bersalah kerana jatuh cinta pada lelaki. Dia juga yang bersalah kerana membiarkan rasa itu terus merebak ke sanubarinya. Tetapi apa yang dia dapat lakukan, dia hanya insan yang lemah. Dia tidak mahu cinta berlandaskan nafsu semata-mata, dia tidak mahu menodai kesucian cinta itu kerna dia tahu mencintai seseorang yang sejenis merupakan satu dosa besar.

Dia tidak mahu menjadi kaum yang dimurkai oleh ALLAH. Biarlah, dia akan cuba membunuh rasa yang pernah wujud ini demi keredhaan hidup sebagai hamba-ALLAH.

“Tak ada apa yang perlu aku katakan lagi Feroz. Cinta kita bukan cinta yang suci. Cinta yang tersemai ini cinta yang kotor. Sepatutnya ia tak wujud tapi aku biarkan ia terus bernaung di hati aku sehinggakan aku sendiri terseksa. Sekarang, demi Tuhan kita Yang Satu, aku mintak kau pergi daripada hidup aku. Pergi..pergi…”

Ucap Haq sayu. Dia menundukkan wajah.

Tangan Feroz yang masih memegang pipinya dirungkaikan. Dia menolak tangan Feroz supaya menjauh. Dia tidak mahu memandang wajah itu lagi kerana itu akan menambah rasa sakit di hati.

Feroz terkaku. Namun, dengan perlahan-lahan dia berdiri. Dia menyapu sisa-sisa air mata yang masih berbekas. Ya, demi Tuhan, demi kau Haq, aku akan pergi…bisik hati Feroz.

“Kalau itu yang kau mahukan Haq, aku akan ikut. Tapi aku nak kau tahu yang aku tak pernah menyesal sebab mencintai lelaki bernama Haq Firdaus. Selamat tinggal, Haq.”

Ucap Feroz.

Dia berpaling sebelum melangkah dengan perlahan-lahan. Dia memejamkan mata. Setitis demi setitis air matanya gugur mengikuti langkahnya yang longlai.

Haq tidak memandang. Tidak sanggup untuk memandang orang yang disayanginya pergi meninggalkannya di saat hatinya begitu menyayangi lelaki itu. Haq terasa ingin menjerit. Ya Allah, kuatkanlah iman aku terhadap-Mu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience