Bab 9

Romance Series 4504

Bab 9

DERIA matanya menghadap keluar restoran dengan perasaan bersimpang-siur dek bebelan ibunya malam tadi. Deru angin dari penghawa dingin menyapu ke sekujur tubuhnya. Namun tidak sedingin hatinya saat dia menyua kembali pertanyaan perihal hubungan mereka yang sudah bersulam hampir dua tahun.

Abang Azmie di depan mata sedang menikmati nasi ayam penyet yang dipesan. Meratah ayam penyet begitu berselera sekali dia melihat kekasih hatinya tidak menunjukkan reaksi. Bernafsu pula dengan hidangan menu Indonesia itu.

Entah mengapa dia begitu kasihkan suami orang itu. Diamat-amatinya wajah lelaki yang sudah mempunyai tiga orang anak. Berkulit hitam manis, hidung sederhana dengan rambut dipangkas pendek. Hanya berketinggian 5’5? rendah sedikit pendek dari tubuhnya seinci. Hanya kumis tipis itu kelihatan manis menjadi pemikat hati.

Ah! Kenapa lelaki berkumis tipis ini yang dijadikan kekasih. Sudah itu, suami orang lagi. Aduh! Kalau ibu tahu matilah dia dikejar hingga ke hujung perumahan. Mahunya dia bertawaf berkeliling perumahan nanti.

“Bang..” Siti Saleha menyeru lembut. Mempamer wajah manja, mampu membuat bulu tengkuk meremang seram.

Terlebih lagi dia yang mengenakan pakaian dengan skirt separas lutut. Rasanya abang-abang di luar sana kalau memandang dia ingin berkali-kali hinggakan kembang kecup dibuat. Biasalah kalau orang cantik ibarat lagu ‘Risiko Orang Cantik’ dari band Blackout.

Kau memang cantik

Risiko orang cantik disukai banyak lelaki

Bukan salahku

Sebelum janur melengkung ku masih bebas untuk memilih

Andai saja dirimu mengerti

Isi hatiku padamu

Sejak dulu sampai saat ini

Hanya kau dihatiku

Kau memang cantik

Risiko orang cantik disukai banyak lelaki

Lagu itu terus terngiang-ngiang di telinganya. Terbayang-bayang di matanya. Konon-konon model dalam video klip itu adalah dirinya yang cantik. Ah! Memang dia cantikkan. Kalau tidak, tak mungkin Abang Azmie kekasihnya, ingin mencari wanita lain.

Hurm, tapi adiknya Siti Raihana kata kalau dah tahu cantik patutnya carilah lelaki lain yang bujang trang tang-tang. Bukannya laki orang kena penggal gal gal oleh bini dia. Aduh kalau sudah jatuh cinta itulah bahananya. Adiknya apa tahu, tak pernah bercinta pun. Cari calon jauh sekali.

“Bang..” Siti Saleha menyeru lagi. Lagi lembut hinggakan membuat Azmie mengangkat wajah, menyua senyuman membariskan gigi yang terselit dengan kulit cili merah.

“Sayang nak apa?” balas lelaki berkumis tipis itu.

Alahai Abang Azmie, senyumannya saja sudah cukup menggoda hati gadisnya.

“Bang.. bila abang nak masuk meminang Tiha ni.” Dia menyuakan pertanyaan yang sudah ke sekian kalinya kepada lelaki itu.

Setiap minggu dia bertanyakan arah hubungan mereka. Setiap bulan dia inginkan kepastian ketulusan lelaki itu terhadapnya. Bahkan sudah banyak kali mereka putus hubungan sambung lagi. Hari ini putus kasih. Besok Abang Azmie datang memujuknya sambung hubungan lagi. Ibarat main tarik-tarik tali. Entah apa kesudahannya.

Suasana di dalam restoran itu lengang dengan pengunjungnya. Restoran yang terletak di hujung dunia Ampang itulah yang dijadikan stesen makan. Kononnya takut tertangkap si isteri atau kaum kerabat sedang berkencan dengannya. Payah betul. Dia pula ikut saja, bahananya berkasih dengan suami orang sudah menjadi cerita hindustan. Chori chori, chupke chupke.

Aduh! Bilalah dia harus pasang aksi di depan umum yang dia juga mempunyai kekasih. Kadang-kadang menggunung rasa bersalah dengan isteri Abang Azmie itu. Tidakkah dia sudah melukakan hati isteri lelaki itu, apatah lagi dengan anak-anak yang kian membesar.

Kata Abang Azmie, hubungan suami isteri lelaki itu sangat dingin. Malah mereka dijodohkan atas aturan keluarga yang lama bersahabat baik. Lalu bertemu dengan dirinya, dan merupakan satu-satunya wanita yang berjaya menambat hati Abang Azmie buat pertama kalinya.

“Tunggulah dulu sayang. Abang pasti akan masuk meminang. Janganlah sayang risau. Makanlah dulu sayang. Habiskan, lepas ni abang kena hantar sayang pulang.” Abang Azmie meneruskan sisa makanan di pinggannya.

Sedangkan dia hanya mencemik wajah manja, sudah membentuk cepu hampa untuk ke sekian kalinya. Lagi-lagi jawapan stereotaip yang disuakan. Sampai bila dia terus berkasih dengan suami orang tanpa haluannya. Kalau hendak katalah iya, kalau tidak dia cari lainlah. Huh!

“Alaa bang ni.. sampai bila kita begini. Mak pun dah asyik tanya Tiha, bila nak masuk meminang. Sepupu Tiha kat kampung pun lebih muda dari Tina dah menikah hujung bulan ini. Tiha ni tahun depan dah masuk umur 30 tahun. Abang ni serius ke tak? Atau saja bagi alasan. Jangan-jangan abang memang masih sayangkan bini tu kan. Lelaki ni bukan boleh percaya sangat.” Dia menjuih bibir. Mencebir bibir depan membuat wajahnya nampak garang meski suaranya sudah mendayu-rayu-pujuk lembut memohon pengertian darinya.

“Saaayanngg.. sumpah abang memang cintakan Tiha. Hanya Tiha yang abang dambakan menjadi isteri abang yang sebenar-benarnya. Tiada perempuan lain lagi hanya Tiha tau tak. Nantilah dulu. Abang sedang cari akal juga untuk dapatkan keizinan menikah dengan Tiha. Slow-slowlah sayang. Takkan lari gunung dikejar.” Selamba ucapan Abang Azmie yang sudah menolak pinggan ke tepi dicapai minuman jus lagi.

“Amboi.. cakap memang senang. Lidah tak bertulang memanglah mudahlan bermadah apa saja. Tiada perempuan lain konon. Tiada isteri yang didamba konon. Habis tu sampai beranak 3 orang anak itu.. apa! Anak lembuke? Anak abang dengan isteri abang jugakan. Bila buat anak dengan isteri abang menjadi pula. Bercinta bagai rak dengan Tiha pula. Bang.. gunung tu tak mungkin lari. Abang tu yang Tiha takut lari. Huh!” Wajahnya sudah membentuk cempera sebal. Cuak dia dengan bicara kata kekasihnya tidak juga berinisiatif membina hubungan lebih halal.

Lantas Siti Saleha menarik wajah masam. Berpeluk tubuh, sudah mati seleranya setiap kali kata bicara tidak mendapat kata sepakat. Ah! Bilalah dia harus menempuh jalan yang lebih mudah di dalam hubungan yang dipilihnya. Bagaikan di dalam penjara jiwa. Padan muka sendiri, risiko berkasih dengan suami orang. Aduhai mak. Kalau ibunya tahu tentu bebel siang malam, tidak henti-henti sampai pecah gegendang telinganya.

Lalu Abang Azmie menghulur jari-jemari kepadanya, ingin memujuk hatinya sudah merajuk. Membentuk riak wajah kasih penuh tulus bahawa konon dialah satu-satunya pujaan hati menjadi mahakarya cinta berdua. Abang Azmie mengangguk kepala sekali dengan sepasang mata merayu dengannya. Membina kata-kata indah sekadar mendemah hati yang sudah jauh rajuk terhadapnya.

‘Ini yang aku lemas ni.’ Lembik kepala lututnya saat kata-kata cinta sungguh puitis dibait pada bibir lelaki itu. Longlai indera tubuhnya tatkala Abang Azmie berjanji akan membina hubungan halal sampai mati hanya kerana cinta nan satu untuk dirinya. Ah! Abang Azmie memang pintar berkata-kata. Sudah mengalahkan Khalil Gibran pula. Dengan renungan menggoda, mengancam kenyamanan hatinya, membuat dirinya paling disayangi oleh lelaki itu. Aduhai Abang Azmie. Sebab itulah dia menyintai lelaki itu.

Siti Saleha menarik otot pada wajah, membentuk senyuman sudah terpancing dengan rayuan gombal lelaki itu. Kini bahasa tubuhnya sudah bagai magnet terpana sang buah hati. Ah! Baru saja ingin memasang rajuk, diumpan dengan ayat-ayat cinta menepis buram. Jari-jemari runcingnya sudah bersiap-sedia menyambut tangan kekasih hati. Wajah sudah dimaniskan tatkala luahan kata sayang diadun menjadi resepi hati paling enak.

“Kringg! Kringg!” Telefon bimbit Abang Azmie berdering nyaring minta disambut.

Sesaat tangan lelaki itu juga ditarik kembali tidak jadi menyambut jari-jemari runcingnya yang sudah bersiap dipaut mesra. Ah! Siapa pula yang kacau daun malam kencan kian romantik mereka.

“Hello.” Suara sapaan Abang Azmie kedengaran mendatar biasa.

“Oh sayang.. yaa.. aaa.. urmm.. hurmm.. ermm.. ooo..urmm.. ok.. ok.” Lalu suara Abang Azmie berubah nada cukup lembut mengalun di halwa telinganya. Manis benar wajah Abang Azmie bagai sedang menikmati marshmallow lagaknya.

‘Huh! Bini dialah tu. Inilah dia, mati semut kerana gula.’ Gerutunya di dalam hati. Kembali menarik muka, muak dengan sikap kekasihnya.

“Okey sayang.. iya sayang.. baik-baik.”

‘Amboi bersayang-sayang pula. Di sini sayang, di sana sayang. Sekalinya semua melayang pinggan atas meja ni kalau tak kuat hati aku. Tadi bukan main lagi ayat-ayat cinta dia, sudah mengalahkan lagenda Romeo and Juliet. Sekarang boleh pula dia berasmaradana di depan mata. Ini yang aku marah ni.’ Gumamnya tak habis-habis. Bibirnya sudah bergerak-gerak dek bahana hatinya kian panas. Kening mata sebelah sudah terangkat tinggi mengalahkan artis Ziana Zain pula.

‘Huh! Itulah kau Tiha, risiko berkasih laki orang. Padan dengan muka sendiri. Belum menikah lagi tu, baru berkasih dah makan hati ulam jantung. Karang dengan jantung dan hati Abang Azmie ni aku buat pecal biar tahu rasa sakit hatinya macam mana.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience