Bab 3

Romance Series 4504

Bab 3

SITI SALEHA keluar dari perut kereta Iswara biru, membawa tas tangannya sebesar saiz kusyen tempat duduk di rumahnya. Anggun bergaya tak bisa dipertikaikan, dia sentiasa mempamerkan senyum imut bak bayi merengek, meminta bubur lembutnya. Berjalan penuh yakin dengan lenggang-lenggok sudah setanding model pentas. Bibirnya membingkai senyuman lagi kepada jejaka-jejaka ganteng yang sedang menunggu lif di lobi itu. Bahkan senyumannya semakin lebar ke telinga saat berselisih dan pandang kepada CEO-Datuk-Pengerusi yang diapit oleh pemandu peribadi mereka.

‘Kalau aku dapat jadi bini nombor dua dia, tentu mak bangga dengan aku,’ detik Siti Saleha dalam hati. Semakin bibirnya melengkung lebar, semakin menjadi-jadi bahasa tubuhnya tak bisa mengawal perilaku normal. Lalu dia ingin mencuba-cuba nasib, membasah anak tekak dengan air liur, berdoa-doa di dalam hati. Fuh! Ke kanan. Fuh! Ke kiri hanya di dalam hati semoga hari ini membawa kecemerlangan nasib dalam hidupnya.

Baru selangkah dia berjalan menghampiri lelaki kepala botak dengan ketinggian badan 5 kaki itu cukup dikenali oleh penghuni bangunan pencakar langit. Siapa tidak mengenali Datuk Rahim, seorang hartawan yang banyak berjasa dalam pembangunan negara. Perempuan mana tidak terhegeh-hegeh demi berdampingan dengan lelaki penuh isi poket dengan RMnya.

Siti Saleha, senyum lagi. Datuk Rahim sudah melirik pandang kepadanya. Senyum lagi Datuk Rahim membetul-betulkan tali lehernya. Senyum lagi. Kini..

Mak Ooi! Bagaikan sekerdil semut saat ibu gajah sudah menempel-paut-pimpin lengan Datuk Rahim. Melepaslah lagi! Siapa tak kenal isteri Datuk Rahim sebesar bak anak gajah si Jumbo riang ria sudah memasang riak garang bagai singa baru lepas bersalin. Menjengil sepasang anak mata wanita itu sudah mencengkam inderanya menjadi tak bisa berlagak normal. Nasiblah kau Siti Saleha.

Lalu pintu lif terbuka, memuntahkan banyak jasad manusia bernyawa dari tingkat atas bangunan itu. Mesin bongkah itu cukup berjasa mengangkut beban manusia menuju ke tingkat masing-masing. Namun saat pintu lif dibuka bukan main lagi pemandu peribadi Datuk Rahim menyanggah pintu lif agar tidak tertutup memberi laluan hormat khusus untuk majikannya.

Masuk Datuk Rahim ke dalam bongkah mesin itu. Masih ada lagi ruang khusus untuk dirinya. Bagai pelesit laju sahaja isteri Datuk Rahim yang comel-montel-buntal itu masuk ke dalam. Masya’Allah. Sudah separuh yang dimonopolinya. Lantas selebihnya tiga empat manusia berebut-rebut masuk ke dalam.

Dia hanya menghela nafas panjang. Tidak ada sedikit ruang untuk tubuhnya mencelah merangkap berkongsi ke dalam mesin bongkah bergerak itu. Parasnya memapar riak yang jelas mengatakan, ‘minta ampun aku’ bagaikan menyanyi lagu D’Masiv dengan rentak menghibakan.

Siti Saleha hanya mampu memandang bongkah mesin yang sudah menyamai ikan sardin dalam tin yang hanya menanti detik menutup pintu lif. Dia sekadar memeluk tubuh dengan gelengan kepala kesal. Sebaik sahaja dia berkalih lagi ke arah Datuk Rahim sempat pula mengenyit mata kepadanya. Zup! Parasnya tersungkup lesi bukan kerana kesakitan tetapi tidak percaya dengan kenyataan itu. Siti Saleha menelan air liur.

Apakah benar Datuk Rahim pendek lagi comel itu memberi perhatian kepadanya. Bahkan lelaki itu sudah melontarkan senyum sembunyi kepadanya. Berdegup rentak jantung Siti Saleha. Sepantas kilat juga, si isteri menyenggol tubuh suaminya hampir saja merempuh jasad manusia dan terkeluar dari perut lif itu. Alahai Datuk Rahim. Kasihan dia. Siti Saleha tergelak sembunyi. Lucu pun ada.

Lantas pintu lif yang tertutup rapat hanya lampu kelap-kelip yang mewakili setiap tingkat dipandang dengan mata redupnya. Bunyi hingar bingar melatari suasana waktu pagi itu. Masing-masing datang dan pergi menerusi pintu gelangsar kaca lobi bangunan itu. Berpakaian sut pejabat rapi menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. Hiruk-pikuk kenderaan terpantul dari luar menerpa halwa telinganya.

Dan Siti Saleha masih lagi berdiri di depan pintu lif menanti bongkah mesin yang seterusnya membawa dirinya ke tingkat 20. Sepasang matanya mengerling jam tangan masih ada kesempatan waktu selama 15 minit sebelum waktu pejabat bermula. Mengerling lagi dia ke sebelah kiri ada tujuh hinga sepuluh orang mendongak ke atas melihat kelap-kelip lampu lif berjalan dengan lembapnya. Aduhai lif. Walhal ada lima buah lif beroperasi dengan baiknya, masih tetap tidak bisa menampung penghuni bangunan itu dengan mulus.

Dia menghela nafas panjang. Mencemik wajah sudah banyak waktunya habis menekur di depan pintu lif. Lantas sepasang mata redup itu mengerling lagi di sebelah kanan. ‘Mak Oi!’ Sepantas kilat-cahaya-air laju adrenalin mengalir di dalam aliran darahnya. Memicu senapang ke paras otak hinggakan semangatnya hilang saat wajah lelaki skema itu menempel tepat di sebelah kanannya.

Ish! Geramnya dia mengenangkan lelaki berkaca mata itu, dengan rambut belah tengah lurus, pakaian berbutang penuh dan berkelubung dengan tubuh kurus membongkok. Senyum lebar lelaki itu konon hanya untuk dirinya semata-mata. Merinding bulu roma sekujur tubuhnya saat lafaz cinta secara lisan berdepan dengannya dilakukan pada setahun yang lalu.

“Eh! Boleh tak kau jangan berdiri dekat dengan aku. Rimaslah!” Dia cuba menjarakkan diri dengan lelaki itu.

Tetapi jangan pandang sebelah mata dengan lelaki skema ini. Seorang akauntan yang cukup bijak dan menjadi kepercayaan CEO syarikat tempatnya bekerja. Meski Berperwatakan seperti lelaki terencat otak tetapi sangat pintar membait kata-kata puitis bak Khalil Gibran. Seisi pejabat cukup maklum dengan cinta terpendam Zainal yang kian lama menanti dirinya. Bahkan sepejabat tahu kalau dia juga mempunyai hubungan gelap dengan suami orang. Ah! Lantaklah!

Hurm.. suami orang. Inilah yang meresahkannya andai hubungannya dengan pengurusnya sendiri itu hanya menjadi sejarah. Bukankah dia sudah bersedia dimadukan meskipun harus menikah di Golok, Thailand. Bukankah dia sudah bersedia menadah bakul rela lalu menerima maki hamun dan pandangan masyarakat mengenai dirinya. Perampas! Penggoda! Ah! Ada dia kisah!

Tapi bukankah lebih baik dia memilih Pengurus Pemasarannya itu sebagai kekasih yang jelas sentiasa berpenampilan segak dan bijak mengambil hatinya. Daripada lelaki skema ini hanya membuat dia mual bagai wanita sedang hamil muda.

“Pagi Saleha.” Lembut-mengalun-perlahan mengalir masuk ke halwa telinganya. Mencerna ucapan itu ke hati dan mindanya, lantas hanya membuat dia ingin menahan sakit perut. Geli-gelaman.

“Jainal, boleh tak kau jangan menghadap muka tu dekat aku awal-awal pagi lagi. Buat semak mata hati aku saja. Tahu!” Siti Saleha berpeluk tubuh. Bercakap perlahan, meneran di rengkungan, tentunya menahan rasa malu saat banyak pasang mata sudah memerhatikan mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience