Bab 12

Romance Series 4504

Bab 12

DI mesyuarat itu lelaki bertubuh tinggi lampai dengan wajah ‘Pan Asian’ memberikan penerangan mengenai satu projek iklan yang baru diterima agensi mereka. Encik Reduan adalah Director Casting di agensi itu bertanggungjawab dalam menyeleksi model-model terpilih antara yang terbaik bahkan konsep tema iklan juga sedang dibincangkan sesuai dengan karakter tokoh jalan cerita pada iklan tersebut.

Bahkan usai proses casting selesai, Encik Reduan juga akan bertindak sebagai Talent Director yang bertanggung jawab untuk membuat koordinasi dengan model-model yang akan melakukan pengambilan gambar. Cukup padat dan serius saat Encik Reduan memberikan penerangan kepada eksekutif dan pegawai bawahannya yang terlibat.

Siti Nurbaya yang duduk bersebelah dengan Marlia hanya diam membisu cukup memberikan perhatian sepenuhnya. Dikerlingnya Marlia menadahkan wajah cukup punya manis dengan senyuman sampai ke telinga.

‘Biar betul Minah Austin ni, dari tadi tersengih-sengih cukup punya gula, takkanlah tak penat-penat. Boleh jam otot muka terus senyum macam ni.’ Getusnya di dalam hati.

Dijeling Marlia sudah menyuakan senyuman itu kepadanya. Sudah itu terkerdip-kerdap kelopak mata Marlia membuat kuduknya merinding semacam pula.

“Heh! Boleh tak kau berehat daripada tersenyum macam tu, Seram aku tengok. Kalau muka kau macam Monalisa aku tak kisah,” tegurnya dengan suara berbisik meski sepasang matanya tetap terhala kepada perbincangan di hadapan mata.

Marlia tetap tersenyum, malah makin lebar dilihatnya.

“Aku tak boleh nak berhenti senyum bila tengok Encik Reduan. Bila pandang dia jer macam tahu-tahu otot muka aku tertarik jadi begini. Otomatik.” Marlia bertubuh gempal genit juga berbisik kepadanya.

“Baik, ada pertanyaan yang ingin diajukan kepada saya sebelum saya menamatkan mesyuarat pagi ini.” Encik Reduan kembali duduk di kerusi baldu tinggi dan bergaya menjadi pengerusi mesyuarat pagi itu.

Seramai 15 para pegawai dan eksekutif mengikuti mesyuarat pagi itu. Masing-masing mulai berbahasa tubuh seolah-olah semuanya sudah faham dengan hela nafas yang ingin beredar dengan segera. Selama dua jam mesyuarat berjalan sambil menikmati sarapan bersama.

Siti Nurbaya mengangkat tangan. Sejurus semua mata teralih menatapnya. Dengan penuh yakin dan gayanya tersendiri dia ingin bertanya sesuatu hal.

“Siapa modelnya kali ini?” Entah mengapa soalan itu yang diajukan. Bukankah harus diadakan ujibakat dan proses pemilihannya juga cukup teliti.

Dagu lekuk Encik Reduan itu yang menarik perhatiannya. Apatah lagi melihat senyuman lelaki itu. Kalau dalam keheningan dan sunyi sepi boleh dengar debaran jantungnya mengepam. Tapi dia tidak pernah berharap untuk memiliki lelaki seperti Encik Reduan. Bukankah lelaki itu sudah mempunyai seorang teman wanita. Model terkenal lagi.

“Belum dipastikan lagi, Siti.” Encik Reduan memberikan jawapannya dan mengakhiri mesyuarat pagi itu.

Semua pekerja mulai bangkit dari tempat duduk sambil membawa fail dan diari harian bersama. Masing-masing menuju ke tempat duduk masing-masing. Hanya Encik Reduan saja yang sibuk meneliti satu fail membiarkan setiap pekerja beransur dan beredar dari ruangan itu.

Siti Nurbaya dan Marlia adalah pekerja yang terakhir bangkit dari kerusi diduduki. Dikerlingnya Marlia tak terlepas pandang dari wajah Encik Reduan. Disikunya Marlia. Ampun tidak berkalih kepadanya. ‘Ya Rabbi, Marlia! Apa kena dengan kau ni.’ Gumam Siti Nurbaya dalam hati.

Dilunjur kaki kanannya di hadapan Marlia. ‘Bedebuk!’ Mendadak gadis itu tersandung dan terjatuh ke atas lantai beralaskan carpet.

Encik Reduan tersedar. Mendongak ke arah mereka dengan tatapan kehairanan.

Mendadak Marlia bangkit dari lantai merangkap senyuman yang tak lekang ditadahkan.

“Eh! Marlia awak tak apa-apa ke?” Encik Reduan bertanya.

Siti Nurbaya berjalan beriringan dengan Marlia. Pura-pura dia membantu temannya itu sekadar yang patut. Kalau ikutkan hati brutalnya mahu saja dia berdiri di atas badan Marlia yang sudah tersungkur macam ikan buntal. Biar selayak bintang WWE Smackdown berjaya menjatuhkan pihak lawannya.

“Tak.. tak.. tak.” Sengih panjang lagi Marlia dipandangnya.

‘Menjawab pun dah serupa Upin Ipin pulak. Memang masalah Marlia ni.’

Encik Reduan pula sekadar mengangguk kepala lalu kembali mengamati fail di tangan. Memang kacak gila lelaki ini. Maklumlah kalau sudah ayah Encik Reduan berasal daripada Britain. Muka pun sebiji macam caucasion. Bahkan Bahasa Melayu lelaki itu memang boleh tahan gred 1.

Dipaut rakus lengan gadis itu. Sampai terheret-heret langkah Marlia mendadak laju keluar dari ruangan itu.

“Kau ni kenapa?” Marlia sudah menarik lengannya. Mencemik marah riak wajah gadis itu tatakala dia memperlakukan demikian.

Siti Nurbaya malah berjalan laju. Dengan gayanya. Dengan penuh keyakinan menuju ke ruang mejanya. Berlari-lari anak Marlia yang berkasut tumit tinggi mengejarnya sampai ke ruangan itu. Siti Nurbaya merebahkan punggung di kerusi baldunya.

“Kalau aku tak tarik kau tadi dari ruangan itu, macam mode slow dalam DVD yang disiarkan mahunya melangkah pun seminit dua baru mencecah lantai. Lembap mengalahkan siput babi. Kalau iya pun kau terpikat dengan Encik Reduan tu janganlah lebih sangat dah kemaruk nak bercinta pula. Gedik benar.. tau tak.” Geramnya jangan cakap.

“Kau ni tak memahami langsung perasaan aku. Aku taulah kau mana pernah suka dengan lelaki. Tak pernah juga menikmati kekacakan seorang lelaki seperti Encik Reduan tu.” Selamba saja ungkapan Marlia.

Siti Nurbaya menjeling. Sepasang mata sudah mengerjip geram mendengar ayat berani mati teman baiknya.

“Apa kau ingat aku ni jenis pingki ke? Selamba saja mulut takde insuran kau tu cakap aku tak suka lelaki.” Mendengus dia. Tergeleng-geleng kepalanya serupa saat Padayappa berbicara dengan mereka tempoh hari.

Tersengih Marlia sambil menggaru-garu kepala.

“Pingki tu apa benda?” Sengih buruk Marlia tersua.

“Kau ada nombor telefon rumah aku tak?”

“Ada.” Bingung Marlia.

“Kau telefon sekarang dan tanya mak aku.”

“Kenapa pula?”

“Sebab mak aku menjadi pencipta bahasa rojak tak bertauliah.”

Semakin berkerut dahi Marlia menanggapi kenyataannya. Malas dia hendak melayan gadis itu lebih-lebih. Menyambung pekerjaannya lebih berfaedah daripada melayan karenah Marlia buat kepalanya semakin berserabut.

Lalu telefon bimbit di tangan Marlia berdering asyik. Segera Marlia menjawapnya. Dipandangnya riak wajah gadis itu hambar seketika. Entah siapa pula pemanggil itu. Dikerling lagi riak gadis itu berubah cukup manis. Tentu seseorang atau saudara mara. Dia meneruskan kerjanya.

Tatkala telinganya mendengar perbualan Marlia dengan ucapan mirip lagu ‘Rindu Serindu Rindunya’ oleh band Spoon. Sudah itu bermaaf-maafan macam di pagi Aidilfitri pula lagaknya. Dia berkalih.

‘Amboi!’ Bukan main lebar senyum Marlia kali ni. Terlebih manis lolipop pada lengkung bibir gadis itu berbanding saat menatap Encik Reduan pula tadi. Sah! Kalau muka sudah macam itu, memang tak lain tak bukan siapa lagi pemanggilnya.

‘Mamat Austin Power itu memang power mencairkan hati Marlia. Layan saja Marlia. Tak kuasa aku nak layan kau pula.’

***

USAI mengajar dari kelas darjah 6, Siti Raihana menekup sebukit buku latihan pelajarnya ke dada dengan langkah cukup santun. Baju kurung berwarna rona biru cair hari itu dipadankan dengan tudung Qaysara Hijab putih benar-benar mempamerkan kesantunan pada dirinya. Dia lebih gemar mengenakan kasut bertumit rendah jenama Clark.

Bunyi hiruk pikuk kedengaran dari setiap kelas yang begitu bersemangat menjalani rutin sebagai pelajar membuatnya tersenyum sendiri. Apatah lagi dilihatnya di sebelah kiri, padang sekolah pula kelihatan ada acara lumba lari berkumpulan. Bersorak-sorak pelajar memberikan semangat.

Hanya sesekali suara mesin kenderaan menerpa telinganya dari jalan hadapan sekolah itu. Kadang-kadang bunyi hon kenderaan tersesat menyimpang masuk ke perkarangan sekolah itu. Bahkan sebatang pohon tua tumbuh merendang menjadi payung gergasi di halaman sekolah itu.

Dari jauh dia melihat dua pelajar perempuan terkocoh-kocoh menghala kepadanya. Dua pelajar yang juga adalah anak muridnya itu menyeru namanya dengan riak mencengkam.

“Cikgu.. Cikgu..” Salah seorang pelajar Cina berkaca mata sepertinya bernama Alice menyerunya.

“Ada apa Alice?” Riaknya mengalur hairan.

“Muhammad Shahir cikgu..” sampuk Azlin membuatnya semakin dirusuh gelisah.

“Dengan Ezam juga..” tambah Alice lagi.

Semakin bertingkat tandan dahinya mendengar ucapan kedua murid itu tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

“Iya cikgu cepatlah ke sana..” Alice sudah menarik-narik lengannya.

“Tunggu dulu. Ini apa ni, seorang kata Muhammad Shahir. Yang Azlin pula cakap Ezam. Apa dia? Ceritalah terus-terang.” Bingung dia. Bahkan anak-anak murid di kelas 4 juga asyik berpandangan dengan mereka.

“Cikgu kena lihat dulu barulah kami cakap. Nanti cikgu tak percaya pula,” ujar Alice resah.

Hatinya berdenyut tidak enak. Fikirannya pula berlegar sesuatu yang tidak baik berlaku. Jangan-jangan ada hal buruk berlaku kepada kedua muridnya itu.

“Di mana?” Dia bertanya meski langkah mereka bertiga sudah beriringan laju.

“Cikgu ke sebelah makmal sains sana,” beritahu Azlin yang berseragam baju kurung dan tudung putihnya.

“Baik kalau begitu tolong hantar buku-buku dan fail cikgu di atas meja bilik guru. Cikgu pergi lihat mereka sekarang,” ujarnya lalu menyerahkan sebukit buku latihan dan failnya kepada kedua murid itu.

Kedua murid itu sudah berjalan laju menghala ke bilik guru. Sedangkan dia terus sahaja berjalan ke makmal sains untuk melihat kedua murid yang dikatakan Alice dan Azlin pula. Perlahan dan berhati-hati langkahnya saat berjalan di tanah bercak dek semalaman hujan tanpa berhenti membuat sepanjang jalan tanah itu licin.

Hanya dalam 10 meter saja sebelum sampai di tepi tembok makmal sains itu, sepasang matanya menjengil terkejut. Masakan tidak, dengan mata kepalanya sendiri dia melihat Muhammad Shahir dan Ezam sedang menconteng tembok yang berlukisan mural.

“Shahir! Ezam!” Dia menjerit marah menjadi saksi kerosakan vandalisme yang dilakukan oleh kedua anak muridnya.

Tersentak Muhammad Shahir dan Ezam menyedari perbuatan mereka diketahui oleh Siti Raihana. Jelas dilihatnya wajah keduanya beralur cemas dan panik sudah tertangkap olehnya yang terus saja berjalan menghala ke arah mereka.

“Apa nak jadi dengan kamu berdua ni?” Langkahnya semakin laju. Hatinya meruap panas.

“Cikgu.. kami.. bukan.. cikgu.. kami..” Menggelabah Muhammad Shahir menepis tuduhan itu.

Dilihatnya kedua pelajar lelaki itu saling berpandangan dan menggelabah dengan kesaksiannya atas perbuatan yang melanggar disiplin sekolah. Saat mengelak tanah bercak hanya 10 langkah saja dia mencekup keduanya untuk dibawa kepada guru disiplin.

Tiba-tiba. Bedebuk! Punggungnya tersembam ke tanah bercak. Sudah tersalah tepis dan elak alamatnya dia betul-betul tersembam jatuh di atas tanah licik lagi bercak di hadapan kedua pelajar lelaki itu.

Dia tergamam. Terkedu. Kalau orang putih kata speechless. Tepat di hadapannya dengan perasaan sebal dan marah teramat sangat telinganya dijentik dengan tanggapan kedua pelajar lelaki itu. Perlahan-lahan dia berkalih. Satu panorama cukup menyebalkan ditahan-tahannya.

Muhammad Shahir dan Ezam menahan perut ketawa terbahak-bahak sambil menekan perut. Bahkan Anak kepada Encik Shazwan itu pula mengekek hingga menumbuk-numbuk pada tembok tidak terkeluar sudah bunyi tawanya.

‘Amboi! Amboi! Ingat kita buat persembahan teater ke? Bukannya nak dibantu kita malah diketawakan. Ingat aku buat lawak antarabangsa ke?’ Mengomelnya di dalam hati.

Baru saja dia ingin bangkit, terpeleset lagi tubuhnya sudah bermain dengan tanah bercak. Habis pakaiannya sudah macam kerbau dalam bermain lumpur.

“Astagfirullahalazim cikgu.” Satu suara parau menerpa telinganya.

Tidak perlu berkalih. Tidak perlu berfikir dua kali lagi. Dia cukup mengenali suara parau itu kepunyaan Cikgu Idris. Guru disiplin dan duda yang baru kematian isteri. Suara ketawa anak-anak murid itu pula mendadak mati. Dia kembali melihat kecemasan pada wajah keduanya.

Lantas kedengaran suara derap-derap langkah Cikgu Idris menghala kepadanya.

“Awak tak apa-apakah cikgu?” Perhatian sungguh Cikgu Idris dan kini sudah menghulur tangan kepadanya.

“Kamu berdua buat apa di situ?” tegur Cikgu Idris serius dan berwajah garang.

Tergagap-gugup-gamam kedua pelajar itu saling berpandangan satu sama lain mati akal dibuatnya. Bahkan Ezam pula tergaru-garu kepala bagai berkutu satu generasi di sebalik rambut keriting itu.

Siti Raihana teragak dan segan terpaksa menghulurkan tangannya. Melihat wajah Cikgu Idris dengan kacamata berbingkai tebal dan rambut separuh botak. Apatah lagi melihat kameja yang dikenakan agak sendat di perut boroi itu membuatnya payah menelan air liur.

Sedar tidak sedar tangan yang tidak ikhlas dihulurnya sudah dicapai ketat oleh Cikgu Idris. Kini keduanya saling tarik menarik. Saat sudah tubuhnya mulai bangkit tiba-tiba Cikgu Idris pula hilang kawalan hinggakan di sekitar tempat mereka berpijak memang bercak dan licin tidak ada tempat berpaut pula.

Bedebuk!

Meledak ketawa Muhammad Shahir dan Ezam kembali kedengaran. Hinggakan Ezam pula macam semput didengarnya macam kurang nafas dek gelihati melihat dia dengan Cikgu Idris sudah macam pasangan kerbau di dalam lumpur. Masakan tidak pecah terburai ketawa kedua pelajar lelaki itu, bila dilihat Cikgu Idris sudah ikut mendapat habuan di tanah licin dan bercak itu.

‘Sabar sajalah cikgu. Tarik punya tarik mujur tak rebah atas badan aku. Maunya kes gosip satu tahun tak habis-habis lagi di sekolah ini.’ Gerutunya di dalam hati.

Tersengih Cikgu Idris sudah macam hantu lumpur dipandangnya. Mengensot pula dia jauh-jauh dari lelaki itu. Lalu ketawa Muhammad Shahir mendadak mati lagi. Meski sama sekali tidak mengail perhatiannya sudah.

Namun tiba-tiba saja dia menyedari ada satu tangan sudah dihulurkan kepadanya. Dia berkalih melihat empunya tangan itu. Dengan riak disulut malu. Batin mendesah sudah bersimpang siur. Ditatap wajah Encik Shazwan berpenampilan cukup punya kemas ingin membantunya bangkit dari situ.

“Eh! Nanti pakaian Encik Shazwan kotor. Tak mengapalah.” Padahal sudah cukup malu dengan insiden itu.

“Saya tidak kisah sebab saya tahu puncanya.” Sesaat lelaki itu berkalih dan menjeling kepada anak lelaki yang sudah diam tertunduk.

Begitu bertenaga Encik Shazwan menariknya daripada situ meski Cikgu Idris juga perlahan-lahan bangkit sendiri tetapi dua kali terpeleset di atas tanah licin itu.

“Terima kasih Encik Shazwan. Sebenarnya memang salah saya tak hati-hati. Mujur dah nak habis waktu sekolah. Kalau tidak masakan saya harus masuk mengajar dalam keadaan begini.”

Geli-geleman pula dia melihat dirinya bagai tepung tanah bercak bersalut pada pakaiannya. Terasa malu teramat sangat melihat dirinya berlumuran dengan tanah-tanah kotor di sekujur tubuhnya. Bahkan Cikgu Idris pula kini dibantu oleh seorang dua guru lelaki saling bertarikan satu sama lain. Pelajar-pelajar sekolah pula asyik berkerumun melihat panorama melucukan.

“Satu dua tiga..” Hitung Cikgu Nayan usai bersedia menarik Cikgu Idris. Mujur juga tidak bergabung sekali lagi dengan guru disiplin itu.

Tergedik-gedik Cikgu Idris mendapatkannya. Bertanyakan berkenaan dirinya. Bahkan meminta maaf sudah menambahkan susah kepadanya. Sedikit sebanyak meluat pula dia dengan sikap lebih Cikgu Idris. Hidung tak mancung, perut boroi tersorong-sorong.

Sengihnya tidak sempurna. Sekadar menahan hati dengan sikap Cikgu Idris bagai mereka berdua pinang dibelah dua. Sama-sama kena bercak tanah. Sama-sama mendapat sakit.

Sementelah dilihatnya Encik Shazwan sudah memiat telinga anak lelakinya itu dengan leteran yang tak seharusnya dilakukan di depan umum. Muhammad Shahir tertunduk bisu. Tidak melawan tetapi menerima kemarahan dari sang ayah. Terdetik rasa simpati dengan anak muridnya. Bahkan Cikgu Idris sudah membebel saat menangkap ulah kedua pelajar itu telah merosakkan lukisan sekolah.

Dilihat Encik Shazwan sekadar mengangguk kepala dengan permohonan maaf mewakili anaknya. Bahkan Muhammad Shahir dipaksa meminta maaf kepada mereka berdua. Dengan teragak-agak anak murid itu menyembahkan maaf kepadanya. Sejurus kemudian sudah berlari mendapatkan tas sekolah yang masih berada di kelas.

“Cikgu saya sama sekali tak tahu hendak kata apa lagi tentang anak saya ni. Di rumah pun sikapnya sangat nakal. Di sekolah pula sering membuat hal. Saya berharap sangat sikap dia tak selamanya begini. Mungkin juga ekoran daripada kurangnya kasih sayang dari seorang ibu,” tutur Encik Shazwan berparas wajah sebal dengan kenyataan itu.

Diteliti dan susuri wajah lelaki itu jelas mempamerkan riak seorang ayah yang begitu resah memikirkan sikap seorang anak. Betapa saratnya batin lelaki menerusi dengus dan hela nafas yang kian bergelut dengan desakan hati seorang ayah.

Cikgu Idris pula asyik menegaskan untuk memberi surat tindakan disiplin ke atas Muhammad Shahir sebagai amaran pertama. Antara simpati dengan situasi Encik Shazwan menghadapi anaknya dan geli gelaman dengan dirinya sudah menjadi bahan tumpuan satu sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience