Bab 6

Romance Series 4504

Bab 6

MAK CIK SITI AYU menghidangkan secawan kopi panas dengan dua balang yang mengandungi kacang tepung dan kerepek ubi. Zakiah yang merupakan teman baik berbicara dengannya sering kali datang bertandang ke rumah saat anak-anak daranya sudah keluar ke pejabat. Jarak rumah antara mereka juga tidaklah berapa jauh. Hanya dengan menunggang motosikal kapcai dalam 300 meter tentu sampai ke rumah teres dua tingkat itu.

Senyum senyam Zakiah yang sering dipanggil Kiah oleh dia adalah teman di kala dia sunyi dan meluahkan keluh-kesahnya. Zakiah adalah seorang janda anak tiga dan semua anak-anaknya juga telah berumah tangga, sudah berusia 48 tahun. Kebiasaannya anak sulung Zakiah akan datang menghantar seorang cucunya sebagai jagaannya. Namun kebetulan hari itu anaknya mengambil cuti kecemasan kerana ingin menjaga cucunya yang sakit.

Mak Cik Siti Ayu menatap wajah Zakiah dengan menyuakan riak paras muram seraya menghela nafas panjang. Sudah ke sekian lagi mendesah gelisah memancing perhatian Zakiah. Mak Cik Siti Ayu menyandar lesu pada kerusi rotan itu dengan wajah sugul lalu menongkak sisi dahi dengan tangan.

“Kau ni apahal Ayu. Pagi-pagi begini dah muram semacam. Macam bini beruk tak dapat tandan pisang je. Apalagi masalah kau ni?” Zakiah meletakkan cawan kopinya. Menggeleng kepala ada saja hal yang

membuat wanita itu sugul pagi-pagi itu.

Ada saja cerita yang dikongsi bersama. Lantas Mak Cik Siti Ayu menggosok-gosok sisi kepalanya seraya menghela nafas panjang untuk ke sekian laginya.

“Alaa aku bukan apa Kiah. Anak dara tiga orang aku tu. Aku tengok-tengok tak ada cacat paras tubuhnya, tak bodoh tapi belajar tinggi-tinggi, anak dari keluarga baik-baik. Apa lagi yang kurangnya dengan anak-anak dara aku tu, Kiah.” Nada suara Mak Cik Siti Ayu melengking naik kendur turun. Mengherot-herot mulut itu berbicara, membentuk cempera wajah semakin lucu ditatap Zakiah.

Sedangkan Zakiah sudah tersenyum-senyam memandang wajah sugulnya yang kian berkerut tingkat memikirkan nasib tiga anak daranya tidak bertemu jodoh dalam usia kini. Entah apa yang kurang dengan anak-anak daranya. Kalau dipandang-pandang cukup rupanya, saling tak tumpah wajahnya sewaktu dia anak dara. Orang kata bagaikan rembulan penuh bercahaya, makin dipandang tak puas-puas merenung. Silap hari bulan pungguk pun menyerah kalah menikmati kecantikannya.

Bukannya Zakiah juga tak tahu sewaktu dia masih anak dara di kampung dulu. Dia menjadi rebutan beberapa anak muda kampung. Diva kampung sesaat dia waktu itu. Terasa diri bagai selebriti pula.

Masakan tidak anak ketua kampung selalu menjeling-jeling dengannya. Anak kepala dusun juga sering menghantar salam sayang melalui Zakiah kepadanya. Anak pengusaha kedai runcit juga sering bermain mata dengannya. Alahai tapi anak Imam surau juga yang menjadi dengannya.

“Kau ni tak habis-habis fikirkan jodoh mereka lagilah tu. Sudah-sudahlah tu Ayu, Tuhan pun ada juga firmannya kata setiap jodoh manusia itu sudah tertulis sejak azali lagi. Yang kau dok mikir hal mereka buang karen jer. Baik kau fikir hal lain.” Zakiah mencapai balang penuh berisi kacang bersalut tepung. Dikunyah dengan berselera. Bukan satu dua biji yang dirembat masuk tetapi segenggam tangan.

Mak Cik Siti Ayu hanya menjuih bibir. Menghela nafas panjang lagi. Sudah bertandan-tandan tingkat dahi membentuk satu kerutan dek memikirkan tiga anak daranya. Tengok saja Zakiah sendiri sudah bercucu walhal dia yang lebih berusia dari wanita itu. Mana lagi dengan jiran-jiran di perumahan itu, setiap bulan ada saja dari mana-mana hantar kad jemputan perkahwinan. Sudah boleh dijadikan koleksi dalam album ditatap-pandang-lihat saja, hinggakan ada waktunya dia berkhayal nama-nama anaknya tertera di situ.

“Sudahlah Ayu, kau renung-renung, fikir-fikir boleh tembus meledak dinding rumah kau ni ha. Buat apa dibingungkan hal tu sangat. Habis tu kau nak buat apa pula? Not problem god not settle. Eh! Betul tak orang putih aku ni?” Senyum-senyam Zakiah, dengan mulut penuh dengan kekacang. Balang kaca dengan penutup gerigi dipeluk serupa bantal pemeluk.

“There is no problem too big, god cannot solve. Itulah lain kali belajar tinggi-tinggi. Ini tiap kali masuk kelas kau buat alasan macam-macam. Sakit tulanglah, sakit lututlah, sakit datang bulanlah. Dalam sebulan berapa kali sakit kau sogok alasan kat cikgu sekolah dulu.” Menjuih bibir Mak Cik Siti Ayu. Mencemik wajah Zakiah mendengarnya.

“Kau ni bukan tak tahu dengan aku, kalau time Cikgu Tan saja masuk, itu yang aku tak tahan. Mata aku ni asyik berat nak tertutup macam ada gam kat tubir mata. Bila Cikgu Tan tu menjerit, Masya’Allah dia punya semburan air liur buat muka aku licin jadi berjerawat bisul besar-besar. Agak-agaknya Cikgu Tan tu masih panjang umur lagi ke Ayu?”

Zakiah yang bertubuh sederhana dan sama tinggi dengannya mengenakan kameja lengan panjang dan seluar hitam. Selendang ditata hias pada kepalanya dipin pada bahu agar kelihatan rapi. Meski usia mereka menginjak senja tetapi soal dandanan saja tidak pernah dipandang remeh.

Lalu Zakiah bercerita, mengungkit nostalgia saat mereka di sekolah berkenaan kisah lucu tentang Cikgu Tan. Terkekeh-kekeh Zakiah ketawa. Dengan mulut yang penuh dengan kekacang, Zakiah masih lagi bercerita tidak puas-puas. Tiba-tiba wanita itu tersedak, terbatuk-batuk hingga merah padam mukanya tercekik kacang.

“Tt..tolong aku Ayu.. air.. air.” Wajah Zakiah merah bagai udang bakar. Nafas bagai semput tercekik kacang bersalut tepung. Kedua tangannya memegang leher sudah tidak bisa bernafas. Sepasang mata naik ke atas tercungap-cungap bagai ikan menggelempar di daratan.

Lantas Mak Cik Siti Ayu tersedar. Bingung. Panik. Membekam riak wajah sudah tidak bisa berbuat apa.

“Aduh! Kiah.. tulah makan tu biar pelan-pelan. Kan ke dah tercekik.. aku nak buat apa ni?” Berkalih ke kiri tak jadi. Berpaling ke kanan menggaru-garu kepala tak gatal.

“Air.. air..” Suara cekik-teran-sayup Zakiah kedengaran semakin membuat perilaku Mak Cik Siti Ayu tidak menentu. Baru dihulur air kopi panas tak jadi letak balik. Mak Cik Siti Ayu dah serupa macam hendak berolaraga. Tangan ke atas, bawah, ke bahu, julur lagi ke depan.

“Aduh! Itulah kau makan kacang macam makan nasi dibuatnya. Tunggu jap aku ambil air.” Terkocoh-kocoh Mak Cik Siti Ayu ke dapur. Tercekik-teran-tahan wajah merah padam Zakiah menahannya.

Sesaat kemudian datang Mak Cik Siti Ayu lagi membawakan segelas air. Dibacanya Bismillah sebelum membantu teguk air itu ke mulut Zakiah. Berbunyi-bunyi suara teguk saat Zakiah meneguk air putih itu, seraya Mak Cik Siti Ayu menggeleng kepala sebal. Baru saja dia ingin berkeluh-kesah meluahkan kekusutan fikiran tentang anak-anak daranya. Ini datang pula kes tercekik kacang kesukaannya dalam rumahnya.

Seteguk gelas diminum, masih lagi tak hilang rasa cekiknya. Mahunya Mak Cik Siti Ayu terus menampar-nampar belakang tubuh Zakiah. Melantun dua biji kacang keluar dari mulut. Baru Zakiah menarik nafas panjang dan lega. Hilang merah wajahnya yang kian membuat dada sesak tidak bisa bernafas.

“Terima kasih Ayu.. kalau tak mahu tak ajal aku kat rumah kau.” Zakiah menggosok-gosok dada lega. Keletihan dek menahan nafas yang hampir hilang.

Kemudian balang kacang yang diletakkan di sisi tempat duduk Zakiah tadi dicapai lagi. Laju Mak Cik Siti Ayu merampasnya. Mencemik wajahnya menatap Zakiah tak serik-serik.

“Kedekutnya kau.” Zakiah menarik wajah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience