Bab 5

Romance Series 4504

Bab 5

SEKOLAH rendah St John itu sibuk dengan sesi pembelajaran dengan anak-anak murid seperti biasa. Bunyi hingar-bingar dari luar lingkungan sekolah itu terbias-pantul-serap bunyinya ke dalam perkarangan sekolah. Sebuah sekolah yang menempatkan lebih seribu pelajar murid-murid dari tahun satu hingga enam.

Dan kini Siti Raihana hanya duduk di bilik guru sedang meneliti tugasan dari anak-anak muridnya. Buku latihan Bahasa Melayu diperiksanya satu persatu. Sepasang matanya mencerun pandang melihat karangan yang dibuat oleh salah seorang anak muridnya tahun enam. Dibacanya dalam hati meski bibirnya bergerak-gerak membaca setiap patah perkataan yang membuat hatinya mulai dicemar dengan lucu yang luar biasa.

Hari itu hari minggu. Badan saya menggigil kesejukan macam mahu demam tetapi tidak juga demam. Kemudian saya pun mandi dengan air panas hingga badan saya menggelempar kesakitan sebab air terlalu panas. Tetapi saya mandi juga dengan air panas sebab saya suka.

Pagi-pagi lagi ayah saya memasak sarapan sebab ibu saya sudah mati. Dulu ibu saya masih hidup dia yang selalu memasak untuk kami. Tetapi sekarang ibu saya sudah dikebumikan, ayah pun tidak boleh memanggil ibu untuk memasak. Ayah saya memasak roti bakar kesukaan saya. Tetapi roti bakar saya berwarna hitam legam macam kayu arang. Bila saya makan roti hitam itu sudah macam batu sampai gigi saya patah terpelanting masuk ke dalam cawan ayah. Ayah pun minum air kopi hitam bersama-sama dengan gigi saya yang patah. Sehinggalah ayah saya tersedak-sedak hampir mati tercekik sebab termakan gigi saya yang patah.

Kami pun bersama-sama berlari ke hospital meminta doktor keluarkan gigi saya yang patah dari leher ayah saya. Saya pun cakap dengan doktor itu adalah gigi saya yang patah sebab saya makan roti bakar hitam ayah masak macam batu. Doktor pun belah leher ayah saya sehingga keluar darah merah banyak sekali. Saya pun menutup mata macam tengok wayang hantu. Akhirnya gigi saya yang patah dikeluarkan dari leher ayah dan dijahit kembali. Akhirnya leher ayah selamat dari tercekik gigi saya yang patah. Saya pun bercakap dengan doktor itu untuk membawa kembali gigi saya itu untuk kenang-kenangan. Maka doktor pun senyum dan memberi gigi saya yang patah itu.

Kami pun kembalilah ke rumah seperti biasa dan kembali sarapan lagi. Barulah ayah saya menghantar saya ke sekolah. Saya lihat ayah suka pandang cikgu saya yang cantik. Cikgu yang cantik pun suka senyum dengan ayah saya. Saya berharap semoga ayah saya dan cikgu saya cepat-cepat dikahwinkan. Biar saya senang minta cikgu ajar saya Bahasa Melayu dan dapat nombor satu dalam kelas. Begitulah pengalaman saya dengan ayah saya. Tamat.

Siti Raihana menyandar di kerusinya seraya menarik nafas dalam-dalam. Lantas dia membelek buku latihan Bahasa Melayu itu melihat nama empunya buku tersebut. ‘Muhammad Shahir Bin Muhammad Shazwan. Dia menggeleng kepala melihat tatabahasa dan isi cerita yang dikarang membuat dia tidak habis fikir. Apakah imaginasi seorang murid begitu jauh sekali bagai seni dalam pendidikan menerusi gambar yang dilukis. Menggambarkan pernyataan emosi, idea dan manifestasi pemikiran.

Ah! Kalau yang dilihatnya itu satu lukisan mengenai satu keluarga atau sebagainya memang masuk akal. Bukankah imaginasi itu membawa maksud daya khayal, kemampuan menggambarkan sesuatu dalam angan-angan atau mencipta sesuatu secara khayalan.

Atau mungkin Muhammad Shahir ini sedang berkhayal saat mengarang sebuah cerita yang dia sendiri meminta mereka membuat satu tajuk yang berkaitan dengan ahli keluarga sendiri. Lantas dia membelek buku latihan itu sekali lagi dan banyak ayat digariskan dengan pen merah.

‘Shahir.. Shahir.. ada masalah ke dengan budak ini. Gigi patah boleh tercekik masuk dalam leher ayah. Boleh pula doktor belah begitu saja dan kembali ke rumah bersarapan lagi.’ Gumamnya di dalam hati. Bibirnya sudah melengkung senyum lucu. Badan sudah terhenjut-henjut menahan ketawa bisu. Buku-buku latihan di atas meja masih membukit tidak periksa. Buku Muhammad Shahir juga dibaca berulang kali. Ketawa lagi. Ketawa lagi.

“Hai cikgu ketawa seorang-seorang, apa yang melucukan tu?” tegur Cikgu Rosita sudah berada di sisi mejanya.

Laju dia menutup buku latihan itu, tersengih-sengih dia mendongak kepada guru muda yang sebaya dengannya. Sekilas dia memandang baju kurung hijau pucuk muda yang dikenakan, rambut paras bahu begitu menawan sekali.

“Tak ada apa-apa cikgu saja baca karangan murid-murid ni. Nasib baik kat ruang guru, mahunya kat rumah boleh gelak bergolek saya baca karangan Shahir ni.” Merah padam mukanya menahan tawa meski tidak terburai pecah. Senyum-senyam Cikgu Rosita melihat dia yang begitu seronok melayan hati.

“Amboi.. bukan main suka cikgu. Cerita pasal Muhammad Shahir ni, ha.. itu ayah dia dah datang nak berjumpa dengan cikgu. Katanya ada hal yang dia ingin sampaikan.”

Otot wajah tertarik dek tawanya mengendur datar, membentuk cempera dahi menyimpan maksud. Hatinya digeletek lucu kembali didemah suam-suam situasi. Mengenangkan wajah lelaki duda anak satu itu, membuat dia tidak menentu. Ditutup buku latihan. Dibuka lagi. Dikemas tata atas meja kerjanya, hinggakan tergolek jatuh sebukit buku-buku latihannya.

Sekejap dia tersenyum berkalih kepada Cikgu Rosita. Sekejap pula dia gelisah tidak bisa mengawal perilaku. Laju dia bangkit dari kerusinya, mencapai sebukit buku-buku latihan jatuh di bawah meja. Satu dua buku ditindih lagi. Tiga empat buku disusunnaik lagi. Dua pasang tangan kini berlaga tatkala Siti Raihana menyentuh buku latihan yang lain. Laju dia mendongak. Pantas dadanya bergetar tidak keruan.

Seorang lelaki cukup tinggi lampai, berwajah biasa-biasa saja meski karismanya itu yang menyerlah membuat hati gadisnya tidak berdetak sekata. Senyuman lelaki bergelar duda itu tersenyum memandangnya. Makin deg-degan jantungnya sudah tidak bisa mengawal perilakunya. Habis buku-buku latihan di tangannya kembali jatuh berterabur dicapai oleh Shazwan.

Riak parasnya pula sudah beralur resah. Dibetulkan kaca mata di atas hidungnya. Sekejap lagi dia menarik hujung tudungnya. Sedangkan Shazwan yang membantu dia menyusun buku-buku latihan itu. Kini lelaki itu sudah menghulurkan kepadanya sebukit buku-buku latihan sekolah. Sama-sama bangkit dari lantai itu. Sama-sama senyum berlaga pandang. Saat mereka berdua sudah berdiri tegak. Cikgu Rosita, Cikgu Jalita dan Cikgu Nayan sedang memerhati lagak mereka berdua.

“Ehem.. ehem..” Dehem Cikgu Rosita mengusik.

Cikgu Jalita mengenyit mata kepadanya pula. Berkalih kepada Cikgu Nayan tersengih-sengih berbaur usikan menatap saling berganti kepada mereka berdua. Sedangkan dia menelan air liur sengih pun tidak, senyum pun tak cukup syarat. Tidak keruan lagaknya.

“Dah.. dah bersurai drama berakhir.” Selamba Cikgu Nayan menuturkannya, beredarlah ketiga-tiga guru itu dari meja kerjanya. Lalu dia menghulurkan senyuman bersama ucapan terima kasih kerana membantunya kepada lelaki duda anak satu itu.

“Tak ada masalah cikgu,” tutur Shazwan yang kelihatan lengkap berpakaian pejabat.

“Duduklah Encik Shazwan.. hurm.. ada hal apa hendak berjumpa dengan saya?” Siti Raihana bertanya duduk sopan meski di dalam hati gegabahnya hanya Tuhan yang tahu.

“Begini cikgu, saya ingin tahu apakah pihak pengurusan sekolah dan cikgu sendiri tidak tahu kalau minggu lalu anak saya Muhammad Shahir ada ponteng kelas selama tiga hari. Malah dia dan dua teman kelasnya datang ke sekolah tetapi menukar pakaian sebelum sampai di sekolah. Saya juga baru ketahuan dan dapati anak saya terlibat sama dalam hal ini.

Kenapa cikgu tidak maklumkan hal ini kepada saya atau menelefon saya terus kalau anak saya tidak hadir selama tiga hari itu? Bukankah kalau seorang murid tidak masuk kelas tanpa pemberitahuan atau alasan tertentu, pihak sekolah akan menghubungi orang tua atau penjaga murid?”

Wajah Encik Shazwan berubah kerut sebal. Tutur bicara lelaki itu sudah menjadi jengkel. Aduh! Bukankah dia sudah menghubungi lelaki itu malah dia sendiri bercakap dengan lelaki itu.

“Tetapi encik saya sendiri juga ada menghubungi encik pada minggu lalu hari jumaat. Bukankah encik sendiri berkata akan memberikan surat pemberitahuan cuti kecemasan pada minggu ini? Masakan encik sudah lupa?” Dia menggaru-garu kepala mengenakan tudung dengan perasaan pelik. Memikir-mikir dalam hati mengenai masalah itu.

“Bila cikgu telefon?” Encik Shazwan memasang wajah kerut bertanya.

“Minggu lalu hari jumaat.. kalau tak silap jam 2.00 pm, waktu itu encik kata sedang sakit tekak dan batuk-batuk sebab tu suara lain macam. Saya pun ingatkan memang encik yang benar-benar jawap telefon itu.”

Aduh! Apa yang sedang berlaku? Sebetulnya sewaktu dia menghubungi Encik Shazwan ke rumahnya itu dia juga berasa pelik, suara lelaki itu parau ala robot. Bila dia tegur, Encik Shazwan marah-marah konon dia ingin mengambil tahu hal lelaki itu. Bila dia bertanya katanya dia sengaja menghubungi lelaki itu sebab ingin menggoda duda beranak satu. Aduhai! Sebab itu dia menjadi tidak selesa saat lelaki itu ingin bertemu dengannya.

Kini riak parasnya berkerut resah. Wajah membentuk garis penuh persoalan. Dadanya ditampar ingin tahu. Lalu kalau bukan Encik Shazwan yang menelefon, siapa yang menjawab saat itu. Dia menduga-duga. Berteka-teki tak kunjung jawapan. Ah! Bingung dia. Pening kepala.

“Hari jumaat? Eh! Jam 2.00pm waktu itu saya berada di pejabat sedang bersiap sedia menghadiri mesyuarat dengan bahagian saya. Siapa pula yang menyamar?” Jelas riak wajah Encik Shazwan tampak semakin membingkai kusut. Nyata nada suara lelaki itu bertambah getar kesal mendengar hal itu.

“Maksudnya bukan encik yang menjawab panggilan itu? Lalu siapa?” Siti Raihana bingung sudah hilang perasaan cemasnya tadi.

“Shahir… mesti kerja Shahir. Mesti dia gunakan alat penggarau suara untuk menyamar. Tentu kerja budak bertuah tu. Shahir.. Shahir.” Lelaki itu mendesah panjang. Merengus tak puas. Kini meraup wajah penuh kesal.

“Nanti dulu encik, kita kena pastikan betul-betul. Biar saya panggil Shahir ke sini?” Lantas Siti Raihana segera bangkit dan memanggil seorang murid tahun enam yang baru lalu di depan guru kelas itu. Dia ingin pastikan dari mulut anak muridnya itu sendiri. Tidak mungkin Shahir begitu berani hingga menyamar dan menggunakan alat penggarau segalanya.

Datang Muhammad Shahir, terjengul-jengul kepala anak muridnya yang cukup nakal dan sedikit pemalas di dalam kelas. Malah sebagai guru kelas kepada murid itu rekod disiplinnya semakin membimbangkan. Teragak-agak langkah Muhammad Shahir berjalan menghala ke meja kerjanya. Apatah lagi jelas riak wajah Muhammad Shahir mendadak berubah saat melihat ayah kandungnya berada di situ.

“Shahir, cikgu nak pastikan sekali lagi dan jawab dengan jujur di depan ayah kamu. Betul atau tidak minggu lalu hari jumaat kamu yang menyamar sebagai ayah kamu dengan alat penggarau suara sedang bercakap dengan cikgu?” Dia memasang riak ingin tahu. Sedangkan ayah murid itu memasang wajah bengis bagai bom jangka ingin meledak.

Tergagap-agak-resah wajah murid itu mengerling ayahnya sambil tertunduk-tunduk. Membentuk cempera resah bertandan kerut bahana ketidaknyamanan dari anak murid berseragam sekolah cukup rapi.

Dia juga menanti resah jawapan dari mulut Muhammad Shahir. Lantas..

“Shahirr…!” Menjerit tempik Encik Shazwan membuat dia yang menelan air liur payah.

“Be..be..betul ayah.. cikgu.. sa.. sa.. saya yang menyamar jadi ayah minggu lalu sewaktu cikgu telefon.” Tergagap-gugup Muhammad Shahir menjawab.

Terbata-gamam-paku Siti Raihana mengetahui hakikat itu. Bukan saja karangannya yang melebihi daya imaginasi luar biasa itu. Lakonannya itu sudah menyamai gaya box office masa kini, boleh pula menggunakan alat penggarau suara samar. Apakah kerana jaringan saraf terkompleks masa kini yang membuat pelbagai ragam kemampuan luar biasa yang menyebabkan anak muridnya demikian rupa.

Siti Raihana menggaru-garu lengan sudah tidak nyaman dengan pengakuan anak muridnya itu. Apakah kerana imaginasi anak masa kini bukan saja menjana kreativiti baru tetapi mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukannya. Aduhai Shahir, kalau iyapun kenapa harus berbohong seperti begini. Hinggakan dia juga menjadi mangsa kreativiti anak muridnya. Nasiblah bertuah punya anak murid.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience