Bab 2

Romance Series 4504

Bab 2

“Aduh!” Dia mengerang kesakitan saat tersedar tubuh sudah terkulai jatuh di atas lantai. Sudah ke sekian kalinya dia bermimpi indah bersama pelakon pujaan di waktu yang tidak sesuai. Jatuh dari katil lagi.

Jam loceng terletak di sisi meja katilnya diraba-raba. Dapat. Lantas mahu saja digustinya jam itu sudah banyak kali mengganggu waktu mimpi bertandang menyulam teramat indahnya. Melepaslah lagi. Sepasang matanya dipisat-pisat lalu menggeliat di atas lantai begitu tidak puas menikmati tidurnya.

“Apasal malang nasib aku ni selalu jer jatuh dari katil bila bermimpikan Saif Ali Khan aku,” bebelnya sendiri.

Lantas dia bangkit dari atas lantai, sekali lagi menggeliat hingga terjongket baju pijamanya ke atas menampakkan pinggang rampingnya. Lalu dia berjalan ke rak penyidai dicapai tuala mandi disangkut ke leher jinjangnya. Perlahan, sepasang kakinya menuruni anak-anak tangga. Sisa kantuk masih menghuni di sekujur tubuh. Bilik air di tingkat atas pula masih rosak belum diperbaiki.

Saat sudah melangkah ke ruang dapur menghala ke bilik air, sepasang telinganya sudah menangkap angah sedang bertafakur di depan pintu bilik air. Nampaknya kena beratur lagilah sambil mendengar radio pagi memekak pagi itu.

“Hah! Ini lagi sorang. Kakak dengan adik sama saja. Perangai korang bertiga ni dari kecil sampai anak dara, sudah bekerja begini asyik bangun lewat jer. Sekarang dah pukul berapa masih lagi Tina dalam bilik air tu. Hisy! Apalah nak jadi dengan anak-anak dara aku ni,” rungut Mak Cik Siti Ayu hanya menggeleng kepala setiap pagi melihat panorama yang sama, tak kurang dan tak lebih dengan sikap ketiga-tiga anak daranya.

Siti Saleha atau gemar dipanggil sebagai Tiha hanya duduk santai di atas kerusi meja makan itu. Sedang menanti giliran adiknya Siti Nurbaya aka Tiya masuk ke dalam. Kalau adik bungsu mereka yang sudah masuk ke dalam tak sah kalau tidak melebihi setengah jam. Bergendang-ribut-pekiklah semahunya mereka berdua di hadapan pintu bilik air itu. Buang tenaga. Buang waktu. Selamba haram, Siti Raihana tak mungkin keluar kalau belum sampai waktunya lagi.

“Kenapa kau jer yang tak masuk lebih awal dulu daripada si Tina. Aku peliklah apa yang dia nak bersihkan diri begitu lama sangat kat dalam. Macamlah dia tu Dayang Senandung yang hitam legam nak jadi macam gadis Fair and Lovely pula,” tukas Siti Saleha dengan rambut kusut masai masih ada sisa kantuknya lagi. Sesekali menguap luas dengan sepasang mata sembap lagi muka berminyak

“Entahlah, tanyalah adik kesayangan awak tu. Tengok macam aku ni sekali masuk satu pakej siap termenung hanya lima minit jer tau.” Siti Nurbaya menggeliat puas dengan tuala mandi masih melilit di leher.

“Huh! Lima minit?” Matanya terbuntang mengendur hidungnya mencemik geli.

Mengangguk lagi Siti Nurbaya menegaskan kenyataan itu. Hidung digosok sekali berlagak macam Bruce Lee pulak.

“Patutlah harum pun bukan. Wangi pun tidak. Hanyir semacam.”

“Cakap jangan sebarang cakap. Karang kena pengepal tangan Tiya cukup mantap bukan main padat ni tak perlu akak pakai eyeshadow sebulan.”

Tersengih-sengih Siti Saleha mendengarnya.

Terhirup-hembus-dengus nafas rakus Siti Nurbaya sembari menatapnya.

Lalu datang emak mereka membawa hidangan sarapan pagi untuk anak- beranak. Satu teko air kopi dengan kuih-muih dibeli dari kedai hujung perumahan itu. Sepasang mata kedua anak dara itu sudah terpukau, mengecur air liur busuk pagi melihat sarapan pagi atas meja.

Baru saja tangan Siti Nurbaya merayap perlahan-lahan ingin mencuri kuih yang disusun rapi di atas pinggan bulat itu, emak datang menampar lengannya laju saja dia tersengih menyembunyikan tangan kembali.

“Hish! Anak dara sorang ni, mandi dulu baru makan. Tak senonoh langsung.” Emak mengomel lagi. Siti Saleha menjelir lidah suka melihat adik yang berambut pendek gaya Mitha dari band seberang The Virgin hanya menjeling pandang kepada kakaknya.

Lantas pintu kamar mandi terbuka saja, menjengah keluar Siti Raihana. Berdesup laju Siti Nurbaya bangkit hinggakan tak sempat-sempat adiknya melangkah ingin keluar terseret masuk ke dalam kembali.

“Eh! Tina kau nak join dengan aku sekali mandi ke? Tak puas-puas lagi kau berkelah dalam bilik air ni selama 40 minit 30 saat.” Siti Nurbaya terjepit pada muka pintu bersama-sama dengan adiknya. Hendak keluar tidak bisa, hendak masuk balik pun terasak sesak di muka pintu.

“Amboi.. Kak Tiya macam Timekeeper pulak.” Siti Raihana berusaha untuk keluar dari muka pintu itu.

“Contohilah kakak kau ni. Lengkap satu pakej sekali masuk dalam bilik air 5 minit jer. Yang kau terhegeh-hegeh macam kura-kura mengejar arnab sampai 40 minit 30 saat itu, apahal?” balas Siti Nurbaya.

Siti Raihana mencemik geli mendengarnya. “Patutlah bau badan akak macam ikan salmon.”

Siti Saleha yang mendengarnya sudah ketawa terkekeh-kekeh, selamba duduk di kerusi meja makan itu.

Menjengil sepasang mata Siti Nurbaya mendengarnya. “Parfume akak mahal beratus-ratus kata badan macam ikan salmon. Sedap mulut mengata.”

Tersipu-sipu senyum Siti Raihana menanggapinya.

“Tepilah! Atau kau nak join aku mandi sekali.” Mahu saja dia menjentik mulut adiknya itu kalau masih kecil belia lagi.

“Cakap kita pula Kak Tiya, ni. Belum pun sempat Tina nak keluar akak dah masuk macam pelesit tak bagi chance Tina nak langkah bendul dulu. Eh! Langkah bendul pula macam nak menikah pula.” Panjang sengih simpul Siti Raihana.

Emak yang mengenakan sepasang blaus bunga-bunga dengan seluar kain hitam hanya duduk menggeleng kepala. Kalau sehari tidak bertekak pagi tidak sah jadinya. Sudah cukup biasa dia dengan panorama pagi setiap kali ketiga-tiga anak dara berebut bilik air. Hanya cawannya disiapkan sudah menuang air kopi panas sambil menanti ketiga-tiga anak dara itu rapi menyiapkan diri.

**

SITI SALEHA berdandan di hadapan cermin bingkai mengenakan blazer dan skirt pendek sendat tidak pernah mengambil remeh dengan dandanan dan penampilannya. Tentu penampilan itu dikenakan dengan kasut bertumit 5 inci melengkapkan persiapan pagi ke tempat kerja. Sesaat sepasang mata dilirik kepada poster dinding kamar biliknya begitu menggoda senyuman pelakon Bollywood Saif Ali Khan tersenyum menatap dirinya setiap detik.

Sebelum keluar dari kamar itu, dia memeriksa sekali lagi isi tas tangannya. Pastikan semua barang-barang penting ada dibawa. Sudah itu, dia kembali merenung dirinya di hadapan bingkai cermin meja riasnya. Tidak sah kalau tidak membelek diri demi memastikan dandanannya mantap-kelas-anggun.

Entah mengapa dia berasa dirinya seperti ada saja yang tidak kena pada penampilannya. Semakin didekatnya kepada bingkai cermin rias itu. Semakin berubah riak parasnya menanggapi kenyataan itu.

“Hah!” Tangannya laju menyibak rambut di sisi dahi kirinya. Sebutir jerawat tumbuh dengan ranumnya. Pantang benar andai ada satu jerawat yang mencemarkan kulit wajahnya yang polos. Bukan dia tidak menjaga kesihatan kulit wajah dan tubuhnya. Dari hujung rambut sampai hujung kaki. Semuanya diperhatikan dengan cukup teliti.

Jerawat Oh! jerawat

Engkau muncul tidak pernahku undang

Kejelekanmu membuat wajahku tercemar

Andai saja kupicit langsung

Bagai lubang bak muka bulan berlopak

Jerawat Ah! Jerawat

Bermulalah detikku menjalani rutinku dengan berat

Teganya kau bagai wajahku tak terawat

Kini aku pasti terlewat gara-garamu jerawat

Jerawat Eh! Jerawat

Kini tampangku semakin berkarat

Kupicit satu besok tumbuh empat

Kurawatmu sekarang pasti timbul di mana-mana

Lantas di tingkat bawah pula Siti Nurbaya sudah bersiap sedia untuk keluar dari kamar. Sepasang matanya masih lagi melekat pada cermin bingkai itu tidak berpuas hati dengan rambut ala Mithanya disikat ke belakang. Hanya mengenakan kameja lengan panjang dipadankan dengan vest cokelat klasik tentu saja seluar panjang yang padan dengan gaya penampilan boyishnya pagi itu. Tentu emak mengomel bising lagi melihat gaya tomboynya semakin menjadi-jadi. Di depan cermin bingkai itu dia malah berposing ala pusingan Michael Jackson. Dengan aksi tarian penyanyi kesukaannya itu dia membuat lagi aksi tarian breakdance hinggakan sepasang kaki terbelit-jatuh- sungkur di atas lantai.

“Aduh mak! Patah punggung aku kalau begini,” keluhnya mengherot-herot kesakitan.

Perlahan Siti Nurbaya bangkit dari atas lantai itu. Lantas kembali ke meja riasnya memeriksa gaya rambutnya terlerai dari ikatan jel rambut atau tidak.

“Selamat kau rambut.” Tersengih-sengih dia menatap gaya rambut ala Mitha itu yang paling dikaguminya. Sembari memeriksa dirinya tertampil rapi, tas kulit kerjanya disambar dari bawah sudut meja riasnya. Sambil mulutnya melantun-lantun lagu menceriakan harinya.

Matanya.. Memancarkan cinta

Senyumnya.. Manja nan menggoda

Gayanya.. Wajar mempesona

Siapa dia.. Hey.. Hey..

Geregetan.. Jadinya geregetan

Apa yang harus ku lakukan

Geregetan.. Duh aku geregetan

Mungkinkah aku jatuh cinta

“Amboi! Amboi! Mak pun geregetan sama kamu ni Tiya. Dari tadi tak pandai keluar-keluar bilik. Sudahlah bangun lambat. Keluar bilik pun lambat. Ini yang mak geregetan dengan kamu bertiga ni. Menunggu korang di meja makan macam mak ni pungguk dibuatnya,” sampuk emaknya tiba-tiba sudah berada di muka pintu.

“Eh! Mak pun geregetan jangan mak kurang ayu pagi-pagi kalau geregetan.” Lebar Siti Nurbaya menyeringai.

Menggeleng Mak Cik Siti Ayu bercekak pinggang menatapnya.

Di sebelah kamar kakaknya adalah ditempati Siti Raihana yang sedang membetulkan pin kepala tudung biar kemas dan rapi dipandang. Ditilik kiri, dipandang kanan. Dalam hati bermonolog tak sudah-sudah.

‘Aku ni dah macam Datin Norjuma. Ayu.. cantik gitu.’ Tersenyum-senyam mendengar kata hati. Tersipu-sipu perasan tak bertempat.

Baju kurung merah jambu begitu indah menyerlah terletak kemas pada tubuhnya. Masih lagi berdiri di depan bingkai cermin. Toleh ke kiri. Belek ke kanan.

‘Apa lagi yang tak kena ni.’ Dahinya berkerut seribu menyerlah lip gloss merah jambu pada ulas bibir.

Lalu di berjalan ke sudut kamar bagai sedang membuat uji bakat drama Plih Kasih. Berjalan dengan cukup teratur-kemas-lembut. Dengan tangan bertaut satu macam pelantun nasyid pula sembari tersengih-sengih kepada tiap sudut kamarnya.

‘Apasal tangan aku macam ni dah macam nak menyanyi nasyid pula.’ Dilepaskan tautan tangannya lalu diluruskan ke sisi tubuh. Entah apa lagi yang tak kena.

“Macam gadis skema pula kalau berjalan begini.”

Baru saja ingin mengatur langkah sekali lagi, semboyan emak tercinta sudah berteriak dari tingkat bawah. Bedebuk! Terherot-herot mulut Siti Raihana menahan sakit dek terkejut mendengar jeritan emak mengalahkan semboyan kementerian pertahanan.

**

ANEKA kuih-muih terhidang di atas meja. Mengecur air liur lagi, menyentap selera pagi anak-anak dara Mak Cik Siti Ayu. Melihat anak-anak dara sudah duduk menikmati sarapan yang dihidangnya, dia malah menghela nafas panjang mengenangkan nasib anak-anak yang sudah lebih dua puluh tahun dipelihara seorang diri.

Suaminya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya saat pulang dari kerja oleh sebuah lori membawa najis. Ih! Malang sungguh arwah suaminya, sudah ditimpa kemalangan, maut di jalan raya. Bermandikan najis. Mana tak meninggal serta merta. Meskipun demikian biar badan berlumur najis, namun doanya agar arwah suami dikalangan orang-orang beriman

Berdehem-dehem. Terbatuk-batuk. Reaksi yang cukup stereotaip sebelum memulakan mukadimah pagi itu. Baru saja Mak Cik Siti Ayu ingin membuka mulut lantas ketiga-tiga anak daranya serentak menjawab kata.

“Faham!”

“Aik!” Mak Cik Siti Ayu menarik muka penuh dengan kerut-alur-serat, rupanya anak-anak daranya cukup masak dengan mukadimah pagi itu. Tangan Mak Cik Siti Ayu menyambar sepotong kuih serimuka di pinggan beraneka jenih kuih yang dibelinya.

“Faham pun anak-anak mak. Habis bila lagi mak nak tengok korang semua bawa calon ni. Mana bakal-bakal menantu mak. Mak ni bukan makin muda remaja. Teringin juga mak menepung tawar korang atas pelamin. Teringin juga sambut menantu. Teringin pula bercucu-cicit. Teringin pula mak menikah sekali lagi. Aik! Salah! Bukan mak yang nak menikah lagi. Habis tu bilanya masa itu tiba.”

Siti Saleha tersenyum lucu mendengar baris ucapannya. Siti Nurbaya tersengih panjang dengan sepasang mata hendak ketawa. Siti Raihana pula menekup mulut menyembunyikan senyuman. Anak-anak dara ini meskipun menyebalkan hatinya tetapi sejuk mata memandang-tatap-lihat, penat jerihnya membesarkan mereka. Hai! Emak mana tak sayang anak.

Ceramah Mak Cik Siti Ayu tanpa mengenakan anak tudung kepala sudah mengomel menantikan sang menantu tak kunjung tiba. Pelik betul mengenangkan akal fikiran anak-anak daranya. Hendak kata tak ada rupa. Kalau ditilik-belek-lirik bukan main cukup manis lagi moleknya. Kalau dilihat taraf pendidikan anak-anak daranya. Semuanya sampai menjejak kaki ke manara gading. Cukup pintar-bijak-cerdik tiga daranya. Kalau bercakap mengenai kerjaya, masing-masing cukup pendapatannya. Lalu apa lagi yang kurang dengan tiga anak daranya.

“Alaa mak ni. Tiap pagi jer cakap pasal jodoh. Time makan jer suruh cari jodoh. Sampai nak masuk keluar toilet juga tanya bakal calon. Apahal ni mak. Relaxlah.. jodoh kan di tangan Tuhan. Sampai waktunya kawin. Honeymoon hujung dunia pun ble. Mak nak ikut pun ble.. no hal punya.” Siti Nurbaya menghirup kopi panasnya.

Sesaat saja Mak Cik Siti Ayu laju tanpa meleset memberikan cubitan berbisa ke telinga Siti Nurbaya. Terherot-herot mulut anak daranya yang tidak pernah berubah penampilan menahan sakit.

“Duuuu.. duhh! Mak lepaslah mak. Sakitlah. Kang cacat telinga Tiya ni tak ada lelaki nak masuk minang tau.” Siti Nurbaya menggosok-gosok cuping telinganya menarik wajah rajuk. Sedangkan Siti Saleha tersenyum-senyam memasang wajah ‘padan muka’ terus menghirup air kopi buatan emaknya.

Hanya Siti Raihana saja diam menyaksikan kakaknya itu sudah menarik muka rajuk.”

“Lain kali jawap lagi. Ingat mak ni penglipur lara kat meja makan ni. Hah! Tulah dia kalau tak hendak serius sangat.” Mak Cik Siti Ayu menjuih mulut sudah mengambil sepotong kuih wajik lagi untuk ke sekian kalinya.

“Alaa.. mak patutnya tegur penampilan Tiya tu. Dah macam anak jantan pula. Bukannya anak dara mak lagi,” celah Siti Saleha menjeling senyum memandang adiknya yang memang gemar berpenampilan demikian.

“Kau nampak penumbuk tangan aku ni. Cakap hal lain boleh. Baju-baju sensitif .. ada faham.” Siti Nurbaya menunjukkan kepal tangan dijadikan penumbuk. Bukan sekali dua dia sudah menggunakan penumbuk itu. Sejak di sekolah menengah hingga anak dara begini penumbuk itu banyak berjasa dalam mempertahankan dirinya daripada dibuli.

“Dah-dah.. mak ni peninglah tengok kamu berdua ni asyik bertengkar je tak habis-habis. Kamu Tiha.. tahun depan umur kamu dah masuk 30 tahun. Bila lagi kamu nak mencari calon suami. Tengok sepupu-sepupu kamu yanag sebaya dah beranak-pinak. Dah beranak lagi bertambah. Mak ni risaulah tengok kamu semua asyik makan tidur kerja. Itu jer rutinnya.” Omelan Mak Cik Siti Ayu tak bertepi. Ada saja yang topik soal jodoh dikaitkan dengan hal-hal lain.

“Alaa.. mak sikit waktu lagi. Lagipun boyfriend Tiha kata dia nak ajak jumpa keluarga dia dulu barulah nak jumpa mak. Bukan apa mak, soal kawin ni mana boleh buat main.” Siti Saleha agak tersinggung saat emaknya menyentuh soal usianya hampir menjangkau angka 30.

“Ha! Itu jerlah jawabnya. Bukan boleh bawa main. Bukan boleh bawa main. Jangan-jangan boyfriend Tiha tu yang main-mainkan kamu. Entah-entah laki orang.”

Tersedak air kopi diminum Siti Saleha. Mujur air kopi tertumpah di atas meja makan bukan pada pakaiannya. Berdehem-dehem membetulkan anak tekak merangkap menarik muka masam tidak suka mendengar kata-kata emaknya.

Sedangkan kedua adiknya tersenyum-senyam cukup faham membaca air muka yang banyak maknanya. Mana tak tersedak kalau tekaan emaknya benar-benar belaka dan terkena kepada batang hidung sendiri. Apalah nasib badan kekasih hati suami orang. Sedih-sayu-merana badannya kerana cintanya tak bisa dilerai dari lelaki itu lagi.

“Apalah mak ni.”

“Eh! Betulkan apa mak kata. Jangan esok lusa bawa suami orang datang jumpa mak. Kalau nak bawa calon duda, datuk, atuk kerepot, bujang lagi tersangat bagus tapi. Hah! Ni yang bersyaratnya poket dia biar tebal harum bau RM.” Tersenyum-senyam Mak Cik Siti Ayu. Terbayang-bayang melihat anak-anak dara berlakikan orang kaya. Anak-anak dara senang. Mak janda apatah lagi. Sambil berceramah, tangan Mak Cik Siti Ayu sempat pula menyambar sepotong karipap lagi.

Siti Saleha sudah berpandangan dengan kedua adiknya, sedari tadi satu potong kuih tidak disambar oleh mereka semua dek mendengar leteran sang emak inginkan jodoh mereka tampil.

“Mak ni tak ada fikir hal lain. Jodoh mesti orang kaya. Kalau tak sembang pasal jodoh mesti cakap pasal intan berlian. Banglo mewah. Entah apa-apa lagi yang mak merepek,” sampuk Siti Nurbaya lagi.

“Ewah! Ewah anak bertuah mak sorang ni. Kau tu dah elok-elok jantina perempuan yang pakai fesyen macam jantan ni, bilalah kau nak sedar ni, Tiya. Tuhan dah jadikan kau anak perempuan cukup rupa akalnya. Kenapalah suka gaya tomboy pula ni. Entah apalah mak ngidam waktu hamilkan kau Tiya. Cubalah tukar gaya tu sikit, simpan rambut panjang macam kakak kau ni ha. Lembutkan sikit sikap tu macam adik kau ni, si Tina.” Mengomel Mak Cik Siti Ayu, mujur sarapan pagi dah nak selesai.

“Kamu pula Tina, bila mak pandang kamu jer sejuk mata mak. Lembut, ayu memang sesuai sangat dengan kerjaya kamu tu sebagai guru.”

Tersenyum-senyam Siti Raihana membalas tatapan ibunya. Dijeling kedua kakaknya memapar riak meluat. Meski dia cukup faham meluat bukan bermaksud sakit hati dengan dirinya.

“Terima kasihlah mak puji Tina macam tu.” Tersipu-sipu Siti Raihana mendengar ucapan emaknya. Sekilas kedua kakaknya membuat wajah malas menanggapi pujian melambung putih.

“Tapi ada juga yang kurangnya.” Huh! Tak habis lagi ke emak hendak menceceh pagi-pagi begini.

“Aik dah cukup puji last-last ada tapi pula..” celah Siti Nurbaya.

“Mestilah ada tapinya. Kamu tu Tina cubalah ada keyakinan sikit. Beri peluang diri kau tu untuk bersosial. Kalau mak cakap pasal sosial bukan maksud buat benda tak elok. Ni mak tengok rumah sekolah. Sekolah rumah. Macam tak ada tempat lain dalam hidup kau. Macam mana nak dapat jodoh kalau ke situ je arahnya.”

Masing-masing diam membisu. Melayan apa yang patut di meja makan tu. Sepotong kuih wajik dirembat Mak Cik Siti Ayu lagi. Sepasang mata Siti Saleha menangkap nafsu makan emaknya sudah melebih batas. Dilihat dalam pinggan kini sudah licin tak bersisa lagi.

Padahal niat di hati selesai emaknya berkhutbah ingin juga mencicipinnya. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Hai mak. Kang masuk hospital terlebih makan karbo dan minyak-minyak ni pasal kolestrol atau kegemukan, nanti tak dapat pula mak nak menepung tawar kami bertiga,” sindir Siti Saleha menjongket tawa kedua adiknya rupanya menyedari hal itu.

Mak Cik Siti Ayu sudah terjuih-juih mulutya terkena juga pada diri sendiri. Lantas merapikan diri konon kawal kewanitaannya bahkan dalam hati ‘terkena aku’.

“Halaa.. sikit jer mak makan bukan tiap hari pun begini.” Emak malah bangkit dari kerusi seraya berkata ‘bersurai’.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience