Bab 11

Romance Series 4504

Bab 11

MAK CIK SITI AYU berjalan berdua dengan Zakiah, bersesak dengan pengunjung di Jalan Masjid India hanya Tuhan saja yang tahu. Sinar suria menyucuk-nyucuk ke sekujur tubuhnya. Berkeringat lagi tak usah dikata. Sudah berjalan berdua menongkah arus pengunjung di hari biasa pun bagai di bulan Ramadan pula. Dia sudah nekad untuk mencarikan dua pasang baju kurung yang siap dijahit untuk anak daranya sempena menghadiri majlis pernikahan Haliza.

Mujur teman baik sekampungnya Zakiah ingin menemaninya, kalau dia pergi sendiri bukankah bosan dan buntu juga jadinya untuk memilih pakaian yang sesuai untuk dua anak daranya. Hanya anak dara sulungnya itu saja yang bisa diandalkan kalau bab memilih pakaian yang sesuai. Bijak bergaya tidak jemu mata memandang dengan penampilan Siti Saleha. Hanya Siti Nurbaya dan Siti Raihana yang mati kutu dibuatnya. Terlebih lagi dengan Siti Nurbaya. Entah bilalah anak itu ingin berubah penampilan.

Pengunjung-pengunjung pula berdatangan tidak mengira waktu untuk mencari keperluan diri. Bila sudah bersesak-sesakan begitu timbullah bermacam-macam bau kurang enak menerpa deria baunya. Paling lagi pantang kalau terbau hamba Tuhan tidak mengerti menggunakan deodorant. Terherot-herotlah hidungnya dengan menahan nafas sampai biru mukanya sebelum beredar bau menyenakkan deria baunya.

“Aku peliklah orang-orang kat jalan ni, hari biasa macam ini pun sibuk. Mana lagi dengan kenderaan yang keluar masuk kat sini semakin sesak jalan dibuatnya. Kalau waktu bulan puasa lagi, janganlah cakap. Boleh pitam dibuatnya.” Membebel Mak Cik Siti Ayu memegang erat tas tangan kulitnya. Ngeri dia juga andai ada peragut yang sedang mengintai-intai mangsanya. Selalunya orang tua sepertinya yang selalu menjadi mangsa ragut.

Lantas Zakiah yang sudah mendemah-demah wajahnya dengan tisu hinggakan ada cebisan yang sudah melekat di sela wajah itu. Melihat dandanan teman baiknya saja, membuat mata yang melihat sudah terpaku dengan solekan berlebihannya. Dengan bedak muka putih tidak serata menjadi belang di sana sini. Mana lagi dengan warna gincu yang merah menyala. Begitu juga dengan pemerah pipi membuat wajah wanita itu menjadi garang.

“Ada tisu kat dahi kau tu.” Dia menegur. Dilihatnya Zakiah tersengih-sengih bagai kerang busuk meraba-raba tangannya di muka mencari tisu yang melekat. Senyum lebar si teman baiknya tatkala melihat secebis tisu melekat pada dahi.

“Panas macam bulan puasa pula. Aku hauslah Ayu. Kita cari minum dulu lepas itu baru cari baju-baju anak kau.” Zakiah yang mengepit tas tangannya begitu berhati-hati saat melintas jalan yang sibuk. Kenderaan tidak bergerak di lorong itu, membuat kedua wanita itu mudah mencelah lalu berjalan menghala ke sebuah restoran India terdapat di sekitar tempat itu.

Sampai di restoran itu, dia dan teman baiknya mencari meja kosong yang lengang dengan pengunjung pula. Lagu-lagu India nyaring bergema di dalam restoran itu ditambah lagi dengan pekerja-pekerjanya berteriak nyaring sesama mereka. Aduhai thambi, kalau suara lagu Tamil sudah dibingitkan lagi tak perlulah menjerit-jerit seolah-olah pengunjung di situ sudah pekak.

Datang seorang pekerja India yang berusia dalam 40-an bertanyakan pesanan apa yang diinginkan mereka. Kameja pelayan itu berwarna putih dengan motif jalur-jalur hitam. Mana lagi kain putih diangkat separas lutut.

“Bagi saya teh ais satu.” Laju saja Zakiah membuat pesanan. Lalu lelaki India itu pula berkalih kepadanya.

“Saya nak minuman botol kacang soya saja.”

“Makan?” Lelaki itu bertanya lagi.

“Minum jer.” Zakiah pula menjawab. Tersengih cukup punya simpul.

“Roti canai ada, briyani kambing, mutabak ayam, daging, tosai masala, laddo, nasi goreng, mee goreng semua ada,” beritahu pelayan yang cukup punya efisien.

Amboi bukan main lagi pelayan itu membariskan menu-menu yang membuat dia sudah mengecur-kecur-cucur air liurnya.

“Minum saja thambi. Lain tak mau.” Dia pula membalas kali ini. Sudah duduk mengipas-ngipas mukanya dengan kipas kayu yang sering dibawa kemana saja.

“Banyak sedap kita punya makanan. Ada lauk-pauk kalau mau makan nasi campur, semua baru masak fresh angkat dari kuali.” Bukan main lebar senyuman pelayan itu menayangkan gigi putihnya sudah cukup manis merayu mereka makan pula.

“Ayoo.. Thambi berapa kali mau cakaplah. Kita mau minum saja.” Geram dia menekankan niatnya. Semakin kasar kipas kayu dihayun ke mukanya.

“Okey.. okey.. teh ais, susu kacang soya.” Lalu pelayan itu menjerit kepada lelaki di kaunter itu dalam bahasa Tamil.

Tidak sampai lima minit saja pesanan mereka berdua dihantar. Sekali hirup saja dia melihat Zakiah bukan main kehausan benar-benar dehidrasi nampaknya.

“Amboi haus sangat ke? Sudah macam tenggiling pula aku tengok. Dah jelas habis dihirup lagi sampai bersih. Kalau iya pun pesanlah lagi satu bukannya mahal teh ais tu.” Penyedut di dalam botol susu kacang soya dihirupnya perlahan-lahan.

Sedangkan Zakiah tersenyum-senyam memandangnya. Sengaja pula wanita itu mengangkat kedua tangan yang bergelang emas cukup besar. Sudah macam Sridevi pula lagak Zakiah. Padahal dia sudah jelaskan kepada Zakiah supaya jangan bergaya dengan barang-barang kemas di tengah-tengah kota yang sesak. Buruk akibatnya. Kes ragut di sana sini, malah membawa kepada ajal kalau tidak bernasib baik.

“Naikkan gelang kau yang besar-besar tu sampai atas sikit. Tutup dengan baju lengan kau tu. Aku dah katakan, jangan berani-berani pakai barang kemas. Bahayalah. Kalau kau pakai time ke kenduri orang, takpe. Ini gelanggang berani mati pula.” Menggeleng geram dia melihat sikap Zakiah. Suka sangat menunjuk kepada orang awam tapi tidak bertempat langsung.

“Alaa Ayu.. sekali-sekala. Lagipun aku lama tak ke kenduri mana-mana. Teringin nak pakai barang-barang kesayangan aku ni.” Zakiah langsung tidak terkesan dengan kata-katanya. Meski baju kameja lengan panjang sudah ditarik-tarik ke hujung pergelangan tangan.

Orang ramai mulai berdatangan dan keluar dari restoran itu. Memesan makanan dan minuman sesuka hati. Sedangkan dia rimas melihat kesesakan di mana-mana. Mana dengan hawa panasnya lagi. Kipas di atas siling pula berputar ligat tapi anginnya entah keluar ke mana.

Selesai membayar mereka pun berjalan masuk ke dalam Semua House. Pengunjung-pengunjung di sini juga boleh tahan. Mahu tak mahu dia gagahi menongkah orang ramai yang rupanya sibuk mencari makan tengah hari. Mungkin sekali bercampur dengan pekerja-pekerja yang keluar mengisi perut atau waktu rehat.

Sampai di sebuah butik yang menjual banyak baju-baju kurung fesyen terkini, Mak Cik Siti Ayu mulai mencari-cari pakaian paling sesuai untuk dua anak daranya. Dia inginkan Siti Nurbaya dan Siti Raihana tampil berbeza dan memukau tetamu yang hadir hari itu. Biar Hawa Jongang tidak menyindir dia dan anak-anaknya lagi. Sakit hatinya mengenangkan dua pupunya itu gemar sangat memperlekehkan dia dan anak-anak daranya.

“Kau ni Ayu nanti beli punya beli mereka pula tak berkenan macam mana?” Zakiah juga turut membelek-belek pakaian yang sudah siap dijahit. Datang seorang pelayan menghampiri mereka. Memberikan khidmat penuh mesra dengan senyuman meleret.

“Aku rasa kalau baju kurung ini sesuai untuk Tiya. Biar nampak macam perempuan sikit. Ini aku tengok bilalah anak tu nak berubah gaya. Pening kepala aku memikirkan.” Sepasang baju kurung fesyen dengan taburan manik-manik di lengan dan hujung baju kain berwarna merah jambu itu sudah dibayangkan tersarung di badan Siti Nurbaya. Kalau kena dengan dandanan lagi tentu makin ayu anak daranya. Kalau bernasib baik ada juga teruna-teruna yang layak melirik-lirik anaknya.

“Kalau kau tanya aku, memang semuanya sesuai sangat. Tapi yang empunya diri tu yang aku tak tahu. Susah benar anak kau si Tiya tu. Dah serasi sangat jadi jantan.”

Menjeling tajam Mak Cik Siti Ayu kepada Zakiah.

“Sedapnya mulut kau kata anak aku jantan-jantan pula.”

Zakiah mendongak memandangnya, sengih tak laku disuakan pula. Sambil dipadankan baju kurung fesyen itu di badannya.

“Bukankah kau yang asyik kata anak kau jantan. Aku kan

belajar dari kau.” Tersimpul sengih Zakiah kembali.

Mak Cik Siti Ayu sudah mencemik wajah merangkap jelingan maut kepada Zakiah. Dilihatnya wanita itu ada hati pula membelek-belek sepasang baju kurung moden ketat pada tubuh di hadapan bingkai cermin. ‘Amboi besar pula citarasa kau.’ Gumamnya di dalam hati.

“Aku ajak kau ni nak cari baju-baju anak aku. Bukannya kau yang merambu tak tentu pasal. Mana sesuai dengan baju tu dengan kau. Buat malu saja. Baju tu untuk anak-anak remaja yang bertubuh langsing. Kau tu sudahlah macam nangka bungkus.”

Zakiah menjuih bibir. Nampak hodoh benar bila bibir merah menyala dijuih demikian. Lantas dua pasang baju kurung fesyen dirembat oleh Mak Cik Siti Ayu lalu dihulurkan kepada penjual tersebut. Selesai satu misi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience