Bab 10

Romance Series 4504

Bab 10

KELAM semakin menyerkup dada langit yang kian beranjak, berusaha membawa penghuni ke lembah nikmat. Semakin jauh dia melewati angannya menatap wajah di hadapan cermin di meja rias. Siti Raihana menyapu bedak sejuk putih ke wajahnya kemudian merata-ratakannya. Dilihat wajah itu putih melepak dek bedak sejuk putih yang sudah membuat dia seperti hantu berdarah dingin.

Dia mengerling jam di atas meja riasnya yang sudah memasuki angka 9.00 pm. Seharusnya kakaknya sudah pulang saat begini. Malas benar dia menyuakan alasan kepada ibunya setiap kali bertanyakan tentang kekasih kakaknya. Hanya dia seorang yang tahu mengenai Abang Azmie yang menjadi kekasih kakaknya sebenarnya sudah beristeri dengan anak tiga. Kadang-kadang geram hatinya dengan jalan fikiran kakaknya tidak memikirkan risiko berkasihkan dengan suami orang.

Bukan dia tidak pernah menasihati kakaknya agar memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Bukankah lebih ramai lelaki lain yang masih bujang dan layak mendampingi kakaknya. Bukankah kakaknya cukup manis dan bergaya orangnya dan mudah bergaul atau mendapat teman dengan mana-mana lelaki. Pelik dan sebal dia memikirkan jalan fikiran kakaknya.

Sudahlah Abang Azmie tu pendek daripada kakaknya. Mana lagi dengan kumis tipisnya membuat dia geli-gelaman saat melihat lelaki itu tersengih. Bukannya dia tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Kakaknya pernah memperkenalkannya dengan Abang Azmie kira-kira empat bulan yang lalu. Eh! Ini yang nak dibuat laki oleh kakaknya. Mana pergilah citarasa kakaknya yang konon selalu mementingkan selera tinggi dan taraf. Kalau diamatinya Abang Azmie itu menurutnya hanya biasa-biasa saja orangnya.

Entahlah, mungkin ini yang dikatakan orang cinta itu buta. Memang kakaknya buta. Ibarat pantun yang disuakan oleh kakaknya Siti Nurbaya.

Hatimu teguh seperti KLCC

Jiwamu tinggi seperti Menara Burj Dubai

Fikiranmu panjang seperti Tembok Cina

tetapi sayang sekali otakmu sudah miring seperti Menara Pissa

dan matamu buta sudah menjadi Kassim Selamat.

Siti Raihana tersenyum-senyam, memikirkan pantun yang pernah didendangkan kakaknya Siti Nurbaya. Entah atas sebab apa pantun itu sengaja dihulurkan kepada Siti Saleha pada waktu itu, macam tahu-tahu saja maknanya.

Lantas dia bangkit dari meja riasnya sudah bersiap sedia untuk tidur. Lampu kamar dimatikan, hanya gelap-gelita yang kelihatan. Meskipun demikian dia bukannya takut tidur dalam keadaan itu. Kaca matanya sudah diletakkan di tepi meja sisi katilnya. Menarik selimut tebal hingga ke paras dada, cuba melelapkan matanya yang terasa sudah kantuknya.

Hanya dalam seminit dua kemudian pintu kamarnya diketuk dari luar. Suara ibunya memanggil-manggil lembut. Malas pula hendak menyahut hanya membiarkan saja ibu masuk ke dalam kamar tanpa menyalakan lampu.

“Tina dah tidur ke?” Ibu bersuara dan perlahan duduk di birai katil.

Dia sekadar mengiyakan ucapan ibu yang seperti ingin bercakap sesuatu kepadanya. Pintu kamar tertutup dengan sendirinya. Keadaan dalam kamarnya gelap gelita kembali. Lantas ibu menyalakan lampu kecil di atas meja sisi katilnya. Saat lampu terpasang, mata mereka berdua berlaga.

“Opocot kau!”

“Mak pocong!” Jeritan masing-masing menguasai di kamar tidur Siti Raihana. Panjang dan melengking.

‘Bedebuk!’

Ibu mengeriut kesakitan sudah terjatuh ke lantai dari birai katilnya. Laju dia menurun selimut yang sempat dinaikkan ke atas kepala.

Masakan dia tidak ikut menjerit sama, wajah ibunya juga putih dilapah bagai hantu Cina yang melompat-lompat menjadi igauan. Mana lagi dengan kepala rambut ibu dibungkus dengan plastik kepala.

“Mak ni buat Tina terkejut jer. Mak pun pakai bedak putih ni sejak bila? Mujur Tina tak ada sakit jantung.” Dia mengomel kecil lalu membantu ibu yang masih terduduk di atas lantai.

“Boleh patah pinggang mak ni, Tina. Kuat benar tenaga kau sampai dorong mak begitu sekali. Sampai hati kau, Tina.. aduhhh.” Ibu mengaduh kesakitan.

“Alaa.. mak, Tina tak sengajalah. Mana Tina sedar mak sedang duduk kat birai katil ni. Tina tadi dah terlelap pun. Ingat memang ada hantu kat tepi katil tadi. Nasib baik Tina tak pasang silat harimau.” Dia menarik ibunya kembali duduk di birai katil.

“Silat harimau? Kau pun pandai bersilat ke?” Mulut ibu terherot-herot ke sana sini. Masih menggosok punggung yang kesakitan.

“Eh tahulah mak. Waktu sekolah rendah dulu pernah masuk kelab silat. Tapi Tina ingat-ingat lupa juga. Tak pernah guna pun. Maaflah mak. Tina tak sengaja pun.” Tersengih-sengih dia memandang ibunya sudah mulai memasang wajah selamba kembali.

Lantas dia duduk bersama dengan ibunya di atas katil itu. Sekadar menunjukkan perhatiannya terhadap ibunya. Dia menunggu butir bicara ibu yang membawa maksud ke dalam kamarnya. Tentu ibu ingin berkata sesuatu kepadanya.

“Bukan apa-apa pun. Ibu ni nak bertanya dengan kamu, kat sekolah kamu mengajar tu takkan tak ada lelaki yang sesuai kamu boleh jadikan laki. Kamu tu tak ada kurangnya, mak lihat tapi sampai sekarang tak juga ada calon.. jodoh jauh sekali.” Wajah ibu kelihatan serius membicarakan lagi soal jodoh.

Alaa.. ibu ini hal itu pula yang ingin dibicarakan. Kenapa tidak biarkan waktu yang menentukannya. Menguap panjang lagi dia di depan ibu. Ingin melandaskan tubuh yang jelas sudah keletihan dan harus bangun awal pagi esok.

“Ish! Mak ni, mana ada lelaki yang sesuai dengan Tina kat sekolah itu. Kalau masih bujang pun dah bertunang. Kalau ada pun seorang guru duda baru kematian isteri sebulan lepas. Tapi eh! Tak naklah dengan cikgu tu. Mak ni besok-besok sajalah kita cerita pasal ni. Tina mengantuk ni mak.” Dia ingin menarik selimut hingga ke paras dada namun ditepis oleh ibunya masih tidak berpuas hati.

Melihat wajah ibunya saja, dia disulut rasa lucu dengan bedak putih melepak sudah lebih putih dari bedak sejuk yang dikenakannya. Dengan kepala yang dibungkus dengan plastik ada pula bunjut kecil di atasnya. Masakan dia tak menjerit mak pocong. Alahai ibu.

“Cikgu yang duda tu umur berapa? Dah lama ke kerjanya kat sana?” Beria-ia ibu bertanya. Berminat sungguh riak wajah putih dilapah bedak sejuk itu mengailkan rasa lucu di hatinya. Namun tidak selucu dengan pertanyaan ibu mengenai Cikgu Idris.

Lelaki yang berperut boroi, kepala separuh botak, mengajar subjek Geografi dan merupakan guru disiplin di sekolahnya. Lebih parah lagi Cikgu Idris begitu meminati dirinya. Sebelum isteri guru itu meninggal lagi sampai sekarang tak habis-habis menggedik dengannya. Ampun ibu, jangan ditanya tentang guru itu. Geli-gelaman badannya.

“Alaa mak.. Tak naklah dengan Cikgu Idris itu, kalau mak yang nak boleh Tina rekomenkan. Memang sesuai jadi bapa tiri, Tina. Jadi laki Tina no way. Tak bernafsu, Tina.” Dia menarik selimutnya lalu baring di atas katil itu.

“Ewah! Ke situ pula dia. Kita cakap tentang dia. Ini dah dibalikkan nak carikan bapa tiri.”

Lalu ibunya terus saja menarik-narik selimutnya bagaikan sedang bermain tarik-tarik selimut. Sudah menjadi. Now You See. Cha! Now You Dont. Cha! Alahai ibu sudah-sudahlah tu.

“Ihhh! Geramnya aku budak bertuah ni, kalau cakap pasal calon atau jodoh saja dia mengelak. Kita ajak bicara baik-baik dia pula tidur mengorok. Sampai bilalah salah satu dari korang ni nak tamatkan zaman bujang. Pening kepala mak dok mikirkan. Tak memahami isi hati mak langsung.” Gerutu ibu, menghempas-hempas kain selimutnya.

Dia sekadar mengendahkan saja ucapan ibu, buat tak tahu. Kalau dilayan topik ibu mahu sampai ke pagi tak juga tidur-tidur. Bukan dia tak faham dengan ibu. Topik paling sensasi bagi ibu adalah tentang jodoh. Mengalahkan gosip selebriti kawin anak raja. Nasiblah ibu, nak buat macam mana. Jodoh tak datang-datang lagi.

**

BUNYI deruman enjin motosikal membingitkan keheningan di dalam kamar. Begitu kuat memecahkan kesepian malam. Sekejap badannya didorong ke kiri kemudian ke kanan mengikut rentak permainan berbasis program komputer yang menampilkan banyak jenis pilihan.

Siti Nurbaya bermain Play Station bersifat automatik yang mempunyai tombol-tombol tertentu dipegang erat sebagai alat kawalan. Bingit bunyi suara deruman motosikal yang dijadikan sebagai balapan dengan komputer sebagai lawannya. Terherot-herot bibirnya mengikut haluan tubuh yang digerakkan ke kiri dan kanan.

Leka benar dia bermain alat permainan berteknologi itu, menjadi kesukaannya semua lapisan masyarakat masa kini. Tanpa dia menyedari ibunya sudah menjengah masuk ke dalam kamarnya.

Mak Cik Siti Ayu berwajah bedak putih sejuk dengan kepala yang masih dibungkus dengan plastik. Rambutnya diinai merah untuk menutup uban-uban yang kian memutih lebat.

“Masya’Allah anak dara aku sorang ni.” Ibunya menggeleng kepala seraya menampar bahu Siti Nurbaya yang begitu asyik dibuai dengan permainan itu. Sudah menjadi tongkang pecah dia melihat kamar itu disepah dengan banyak cakera padat di atas lantai.

“Mak kau!” Tersasul-kejut-sedar bahasa Siti Nurbaya tatkala bahunya ditampar ibunya.

“Amboi-amboi main melatah pula dia sekarang. Eh! Tiya bilalah kau ni nak berubah. Kalau kau ni masih anak kecil mak. Sudah mak piat-piat telinga kau biar tahu rasa.” Mak Cik Siti Ayu menunjal baju anaknya.

Permainan Play Station sudah diperlahankan saat ibunya berbicara dengannya. Siapa yang tidak ketagihan bermain alat masa kini itu, bukankah orang dewasa pun tidak kurang memiliki permainan itu, apatah lagi dengan anak-anak kecil.

“Alaa mak relaxlah. Tiya main benda ni pun mak bising. Daripada mak duk pikir yang bukan-bukan, bagus juga mak belajar main play station Tiya. Bila Tiya pegi kerja mak bolehlah pakai main sekali, cukup hilangkan boring dalam rumah. Best mak main benda ni.” Siti Nurbaya tetap saja menumpukan perhatiannya di depan layar komputer itu. Bermain hinggakan badan ikut disenget ke kiri kanan.

“Apa? Kau nak ajar mak main benda ni. Amboi-amboi Tiya, kau ingat mak duk kat rumah selalu sorang-sorang takde keja. Ni mak pening kepala tengok hal korang bertiga ni. Terutamanya kau ni Tiya. Ni.. pakai dahlah macam jantan. Gaya jalan hangguk-hangguk mengalahkan jantan benar. Sudah tu bila lagi kau nak cari calon laki ni. Mana lelaki nak dekat dengan kau Tiya kalau gaya kau macam pingki.” Membebel Mak Cik Siti Ayu. Mengalur dalam riak wajah wanita itu bagai hantu Cina yang sedang berdendam.

“Pingki? Apa tu mak?” Siti Nurbaya menggaru-garu kepala. Wajahnya tampak sedikit kesal mendengar bebelan ibu tentu ingin mengungkit soal jodoh. Sudah cukup masak mukadimah ibunya. Sudah cukup faham jalan fikiran ibunya.

“Pingkilah.. yang budak perempuan buat hubungan tak betul tu sesama jenis. Bukan ke tak namanya pingki.”

“Pengkidlah mak. Alaa mak ni kecohlah. Sedap mulut saja mak kata Tiya pengkid. Buruk-buruk gaya Tiya ni mak, tapi tak pernah buat hubungan terlarang tau. Ih! Apa mak ni. Sampai hati tuduh Tiya macam tu.” Mencemik wajah Siti Nurbaya sudah meletakkan alat kawalan permainan play stationnya.

“Bukan maksud mak kata kau tu pingki.”

“Pengkidlah mak.”

“Whateverlah.”

“Amboi speaking pula mak.”

“Tau tak per.”

Siti Nurbaya menjeling senyum. Ibunya membalas pandang ke arahnya. Jeling lagi dia, ibu pula sudah mencemik marah.

“Menjeling menjeling kubertentang, mata kita sama memandang, bercakap bertanya dan bermesra, jangan sampai mata mak juling.” nyanyi Siti Nurbaya menggunakan lagu Siti Nurhaliza dan Dato SM Salim. Diubah hujung lirik tu sekadar mengusik ibunya yang kelihatan kesal.

Ibunya menghela nafas panjang seraya mengendurkan ketegangan pada riak wajahnya. Dia berjalan ke birai katil anak daranya itu sambil mengerling jam di meja sisi anaknya sudah menunjukkan waktu 10.30 pm. Sebetulnya dia masih menunggu anaknya Siti Saleha yang masih belum pulang-pulang lagi.

Lalu Mak Cik Siti Ayu berbaring di atas katilnya. Baru saja dia berbuat begitu.

“Opocot!” Dia mengerang kesakitan, laju kembali duduk di birai katil. Ditariknya selimut yang bergumpal di atas katil itu, rupanya di bawahnya ada alat pengecas telefon bimbit membuat badannya sakit terkena bucu alat itu.

“Kenapa mak?” Siti Nurbaya bangkit dari atas lantai lalu mencapai alat pengecasnya sedari tadi dicari belum ditemui.

“Kau ni Tiya, tak boleh nak berkemas sikit bilik sendiri. Cubalah ikut contoh adik dan kakak kau, kemas saja. Ini dah macam bilik anak teruna pula. Aduh Tiya, kamu duduk sini dekat mak. Ada hal mak nak cakap ni.” Dia menarik-narik lengan Siti Nubaya.

Sedangkan Siti Nurbaya bagaikan malas sekali melayan bicara ibunya yang tentu bukan asing lagi menjadi topik hangat. Malas-malas Siti Nurbaya untuk duduk di sisi ibunya. Meski ibunya mulai berbicara lembut penuh makna. Ditatapnya saja wajah mak yang putih melepak dengan bedak sejuk itu. Terasa lucu dihati melihatnya.

“Tiya.. mak ni bukan apa. Tiya dah berumur 28 tahun. Kakak kau 29 tahun. Adik kau pula dah 27 tahun,” tutur ibunya dengan lembut.

“Mak pula dah 55 tahun.. waktu dalam menopause ya mak,” balas Siti Nurbaya. Tersengih-sengih dia mencelah pula.

“Eh! Budak ni kalau mak bercakap jangan pandai nak celah-celah. Tunggu mak habis cakap dulu. Barulah nak corner ke, merempit ke, potong jalan ke, straight to the point ke?”

Siti Nurbaya tertawa kecil, geli hatinya mendengar ibunya sudah seperti bini trafik polis pula. Dia mengangguk kepala hanya memberikan tumpuan kepada bicara ibunya. Bukankah dia yang sering membuat ibunya tak kering gusi kalau sudah berbicara dengannya.

“Kamu ubahlah penampilan kamu Tiya. Mak sedih tengok kamu begini. Kalau kamu terus saja bersikap macam jantan ni sampai bila kamu tak dapat jodoh. Mak ni makin hari makin tua, entah besok lusa dah sampai waktu mak. Kamu tak teringin ke lihat impian terakhir mak. Melihat kamu adik-beradik menikah, dapat anak, berkeluarga. Mak teringin sekali tengok kamu berubah Tiya. Mak sedih bila tengok gaya kamu ni.” Sedih mencengkam pada nada suara dan riak wajah ibunya. Garis dahi berkerut hampa sudah menguasai suasana. Sayu saja hati yang mendengar ucapan ibunya kalau tidak tahan iman boleh menangis tersedu-sedan jadinya.

“Mak ni, Tiya biasa dengan cara beginilah. Stylo mak, gaya rap terkini.. yoyoyo.” Tangannya terhayun-hayun buat cara hip hop.

“Yoyoyo.. kepala otak kau, Tiya. Mak ni sedihlah, sedih…” Mengeruh wajah ibunya. Sambil, tangan mak memintal-mintal hujung selimutnya bahana rasa tidak puas yang dipamerkan oleh dia.

“Drama Queen pula mak ni. Mak sedih pula kenapa? Tiya bukan anak di Gaza kesempitan hidup dek kena perang Israel. Atau anak Somalia yang kebuluran. Cool mak.. cool.”

“Ihhh! Geram mak nak cakap dengan kau. Buang tenaga. Buang waktu mak saja bercakap dengan kau.” Mengerjip-ngerjip sepasang mata ibunya. Menjuih-juih bibir wanita kesayangannya. Lantas bangkit dari katilnya lalu keluar dari kamar itu. Mengomel-ngomel entah apa-apa dengan bahasa sanskrit mana pula mak belajar.

Siti Nurbaya menggaru-garu kepalanya, lalu berjalan ke meja rias. Ditoleh tubuhnya ke kiri dan kanan. Bahkan mengusap-ngusap dagu macam berjanggut pula dibuatnya.

“Stylo apa.. apalah mak ni. Adakah patut kata aku pingki. Walau gaya macam pingki tapi hati tetap wanita tulen.” Dibelek lagi ke kiri kanan. Lalu ditarik-tarik rambut depannya. Tersenyum

megah dengan mahkota kebanggaannya itu.

Lalu dia berjalan dengan gaya hip hopnya dengan niat untuk menyambung permainan play stationnya. Tanpa menyedari pula dia terpijak plastik CD. Tergelincir dan terjatuh dia di atas lantai kamar itu. Terherot-herot mulutnya kesakitan sambil menggosok punggungnya. Padan dengan muka aku. Siapa suruh tak kemas bilik lagi. Buang merata sana sini. Inilah dia natijah tak dengar cakap mak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience