Bab 14

Romance Series 4508

Bab 14

MAK CIK SITI AYU menggeleng kepalanya, saat dilihat baju kurung yang dibelikan untuk Siti Nurbaya tidak dibawa masuk ke dalam kamar. Bukankah tadi dia meminta kedua anak daranya itu memcuba pakaian itu untuk dilihatnya. Sibuk dia berbual-bual dengan jiran baru berpindah di sebelah rumahnya sampai terlupa dengan permintaannya itu.

Dicapainya baju kurung merah jambu itu lalu berjalan menghala ke kamar Siti Nurbaya yang terletak di tingkat bawah itu. Diketuk perlahan-lahan sambil menyeru nama anak daranya itu. Tidak ada jawapan.

‘Takkan dah tidur pula.’

Dipulas tombol pintu itu tidak berkunci lalu dikuak perlahan daun pintu.

‘Masya’Allah! Patutlah haram tak dengar.’ Dilihatnya Siti Nurbaya duduk di atas lantai menghadap persis skrin televisyen sambil diteleng-teleng kepala mengenakan headphone. Begitu keras lagu rock apa yang sedang didengar anaknya dengan badan yang digoyang-goyang ikut rentak musik.

Dia menghela nafas panjang. Sudah terduduk di birai katil. Sedikit kemas berbanding malam tadi masuk ke kamar itu. Tetapi perangai tetap saja sama sudah naik berbuih mulutnya menasihati Siti Nurbaya.

“Tiya.. Tiya!”

Anak daranya terus saja menggoyang-goyangkan badan bagai sudah kerasukan dengan rentak musik yang didengar.

“Tiya!!” Semboyannya sudah bertempik hebat.

Siti Nurbaya pula laju menanggalkan dan mencampakkan headphone itu jauh-jauh ke sudut kamar. Digosok telinga berulangkali.

“Berdesing telinga Tiya sekali mak menjerit begitu,” adu Siti Nurbaya.

“Amboi aku menjerit berdesing pula. Musik memekak yang kau dengar pula tak pula berdesing pula. Dunia memang dah terbaliklah kau ni Tiya. Ni mak masuk bilik kau ni pasal baju kurung kau ni. Apasal tinggalkan kat luar. Mak beli bukan pakai air liur. Dengan harga RM199.00 hanya kerana sayangnya mak dengan kau begitu sanggup belikan. Biar orang kat kenduri tak mengata kau macam jantan pula.”

“Alaa mak, relaxlah. Bukan Tiya tak suka pakai tapi macam alergic saja kalau pakai baju kurung ni. Gatal badan Tiya. Mak sajalah pakai baju tu,” balas Siti Nurbaya lalu merebahkan diri atas katil.

Dia sekadar memerhati saja merangkap gelengan kepala sebal menanggapi sikap Siti Nurbaya. Kalau masih kecil senang kerjanya mencuci otak anak dara yang satu ini. Entah badi siapalah yang diikutnya sampai bersikap demikian.

Seingatnya tidak ada ahli keluarganya yang suka berpenampilan demikian. Setahunya mana ada dia mendidik Siti Nurbaya menjadi gaya lelaki pula. Meski hanya luaran saja kelihatan demikian tetapi dia cukup yakin masih ada naluri wanita mengalir pada tubuh anak daranya itu.

Dipandangnya dinding kamar anaknya pula poster-poster artis seberang bernama Mitha The Virgin menjadi idola anaknya. Idola pun dua kali lima sama saja penampilannya. Macam kembar pula dilihatnya.

“Dengar cakap mak kali ni, Tiya. Kat majlis kenduri tu kamu bertiga mesti tampil ayu. Mak tak nak Makcik Hawa jongang engkau tu mengata anak-anak mak lagi. Kau tu perempuan Tiya. Tuhan dah kata dosa besar sikap macam tu. Kau nak kena laknat Tuhan.”

Kali ini kena pula caranya berpsikologi dengan anak daranya. ‘Bukan main kelas lagi statement aku ni. Ambik kau.’ Hakikatnya memang benar.

“Alaa mak ni, gaya Tiya jer macam ni. Tapi hati dan tubuh Tiya masih perempuanlah. Mak ni janganlah macam ustazah pula. Buat meremang pula bulu badan Tiya naik. Macam dengar bunyi talkin je Tiya dengar.” Wajah Siti Nurbaya sudah hambar. Sekadar berbaring di atas katil.

“Tau pula takut. Ingat Tuhan tak suka hamba-Nya tu menyerupai bertentangan daripada yang Ia telah tentukan. Besok lusa kalau rambut tu dah panjang sikit simpan jangan nak dipangkas-pangkas lagi dah macam tentera pula rupanya.”

“Okey mom.”

Tersenyum-senyam dia mendengar jawapan anak daranya. Lalu dihulurkan baju kurung itu untuk dicuba pula. Dengan malas-lambat-perlahan disambut oleh Siti Nurbaya. Dia malah keluar dari kamar itu meminta anaknya keluar ke ruang tetamu itu nanti.

“Mak tunggu luar. Tiya cuba baju tu mak nak lihat,” arahnya.

Malam semakin merangkak meski masih lagi kedengaran riuh rendah pekerja di rumah sebelah sedang memindahkan barang-barang. Dinyalakan skrin televisyen yang memaparkan drama swasta sekadar ditonton sementara menunggu Siti Nurbaya menunjukkan pakaian itu.

Hanya dalam hitungan lima minit saja datang Siti Nurbaya sudah mengenakan baju kurung. fesyen merah jambu itu. Baru saja dia ingin memuji kecantikan pakaian terletak indah pada tubuh anaknya tetapi hambar kembali saat menyedari cara jalan hip hop tak kena caranya. Dengan badan dibongkokkan dan kepala yang terus bergoyang-goyang macam burung unta pun ada. Menggertap bibirnya menahan hati.

“Baju ni bukan main cantik lagi mak tengok. Tapi cara jalan kau ni Tiya, Ya Allah. Boleh tak kau jalan sikit punya ayu, santun, gemalai sikit. Kenapa macam penyanyi kulit hitam dengan kepala goyang-goyang begitu. Lagipun orang perempuan ni berjalan biarlah melangkah kecil, gemalai, lembut. Bukan dengan langkah besar begitu.” Pening kepalanya dengan sikap anaknya ini.

Bahkan kini Siti Nurbaya sudah tergaru leher, lengan dan kaki bagai menyarungkan kepompong ulat beluncas pula gayanya. Riak paras pula ketara memang tak ikhlas menyarungkan pakaian itu.

“Mak cukup punya baik Tiya sarungkan baju ni. Ni tengok badan Tiya macam tau-tau saja dah allergic. Semua badan dah naik gatal ni. Tak sangguplah Tiya mak terus menerus begini.” Semakin menjadi-jadi dia menggaru badan mengalahkan orang utan di Sepilok pula.

“Masya’Allah Tiya, kau jangan mengada. Hukum medis mana kau ikut, pakai baju kurung sampai allergic dan gatal-gatal seluruh badan. Kau tu yang lebih sangat. Cakap mak tak nak dengar. Ikutkan nafsu sendiri jer. Ingat Tuhan murka kalau perempuan berpakaian macam jantan. Kau nak kena laknat Tuhan ke Tiya.” Memanjang nada suaranya sudah terkuras tenaganya kalau melayan satu anak dara ini saja.

“Yalah..yalah..” Siti Nurbaya mencemik wajah. Lalu berjalan ke sudut ruang tetamu dan berjalan selamba pula tetapi badan pula terbongkok-bongkok macam si nenek bongkok tiga pula rupanya.

Menggeleng kepala Mak Cik Siti Ayu. Menarik nafas sudah lelah dia mengajar anak dara satu ni. Lalu derapan kaki menuruni tangga kedengaran dan dilihat Siti Saleha terkekeh-kekeh melihat panorama itu.

“Apa ketawa-ketiwi. Nak kena penumbuk aku ni.” Siti Nurbaya mengepal-ngepal tangannya dengan bahasa tubuh yang persis ketua penjahat jalanan pula. Lucu pula melihat gaya rambut dan bahasa tubuh anaknya itu tidak sepadan dengan pakaian yang dikenakan.

“Ha! Ni lagi sorang. Cuba bawa serius sikit Tiya.. Tiha.” Dia sudah terduduk di sofa dan meminta Siti Saleha mengajar cara berjalan yang betul dengan menggunakan kasut bertumit rendah. Laju Siti Saleha mendapatkan kasut bertumit rendah kepunyaan adik mereka lalu berjalan dari sudut ruang tetamu itu.

Lenggok Siti Saleha bukan main lagi dengan senyum-senyam serta flying kiss ke kiri dan kanan kononnya sedang berjalan di atas red carpet. Lalu berkalih lagi melakukan hal yang serupa dengan gemalai tubuh serupa catwalk model pula di atas pentas.

“Begitu baru jalan macam perempuan. Cuba Tiya mak tengok kamu berjalan dengan baju kurung dan kasut adik kamu tu.”

Seperti biasa Siti Nurbaya lambat-perlahan-malas mengenakan kasut tumit rendah itu. Dengan riak wajah yang cukup meluat dipamerkan. Di sudut itu baru saja melangkah satu dua bahkan terkedek-kedek macam mengejar sesuatu pula. Mirip dalam cerita filem Seniman Bujang Lapuk yang diperankan oleh S Shamsudin pula.

Meledak ketawa Siti Saleha sudah merah padam melihat aksi Siti Nurbaya bagaikan takut terjatuh dari kasut bertumit cukup rendah. Sedangkan dia hanya menggeleng kepala sudah menjadi produser filem tidak terkata apa-apa lagi. Layan sajalah kau Tiya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience