BAB 10

Romance Completed 18455

DAYANA mencelikkan matanya perlahan. Keadaan disekelilingnya kelihatan asing. Dimanakah dia? Bukankah tadi, dia berada di tempat kerja? Kenapa pula dia berada di sini pula?

“Alhamdulillah, puan dah sedar,” Dayana memandang seorang wanita yang sedang tersenyum kepadanya.

“Sa… saya kat mana?”

“Puan jangan risau. Puan berada di klinik saya,” Doktor Junaidah membantu Dayana bangun dari katil di biliknya.

“Klinik?” Doktor Junaidah mengangguk. Dipimpin Dayana ke mejanya dan didudukkan Dayana ke kerusi.

“Kawan sepejabat puan yang menghantar puan ke sini. Katanya, puan pengsan di tandas,” Dayana mengerutkan dahinya.

Dia cuba mengingati kembali apa yang berlaku kepadanya. Ya, dia ke tandas kerana tekaknya terasa loya dan mahu memuntahkan segala isi perutnya. Entah macam mana, dia boleh pengsan. Syukur sahaja ada yang perasan.

“Kenapa dengan saya, doktor?” tanya Dayana, inginkan kepastian. Doktor Junaidah senyum manis.

“Alhamdulillah, puan mengandung. Tiga bulan,” Pernyataan itu mengejutkan Dayana. Mengandung?

“Be… betul ke, doktor?” Doktor Junaidah mengangguk lagi. Dia sudah lali dengan respons yang diberi setiap ibu yang datang ke kliniknya. Mereka bagaikan berada diawangan.

“Maafkan pihak kami ya, puan. Kami dah cuba hubungi suami puan. Tapi, suami puan tidak dapat hadir,” Dayana senyum nipis.

Mustahil Emir memberitahu, dia tidak dapat hadir melainkan lelaki itu belum mengetahui keadaannya. Sah suaminya cuma jawab dan memutuskan talian. Selalu sangat begitu. Dia sudah dimaklumkan tentang kesibukan suaminya yang sedang mengejar date line. Itu pun diberitahu secara bertulis. Nota itu elok sahaja ditampal di pintu bilik. Senget punya suami.

“Tak apa, doktor. Saya dah okey pun. Tapi, macam mana dengan keadaan saya? Maksud saya, orang mengandung kan ada morning sickness,” Ini pengalaman pertamanya. Sudah tentu, banyak benda yang ingin dia ketahui.

“Oh, itu puan jangan risau. Bukan semua wanita mengandung yang mengalami morning sickness. Kandungan puan sudah di penghujung trimester. Insha Allah, tak ada apa-apa. Cuma, puan kena jaga pemakanan. Diet itu penting. Bulan depan, puan bawa suami puan sekali untuk check up,” jelas Doktor Junaidah.

Dayana senyum. Jika dia tidak dimaklumkan oleh doktor pun, dia tahu dia mengandung. Sudah tiga bulan, dia tidak bulan. Cuma, perkara itu tidak diberitahu kepada Emir. Tengah berperang kan? Atau, mereka dingin kerana dia sedang mengandung? Macam ada kaitan saja.

“Terima kasih. Insha Allah, nanti saya datang dengan suami saya. Saya minta diri dulu, doktor,” Doktor Junaidah senyum lebar.

Dayana melangkah meninggalkan klinik setelah mengambil vitamin yang diberikan oleh jururawat di kaunter. Untung sahaja teman pejabatnya, Husna masih menunggunya. Tidak perlulah dia susah-susah menahan teksi. Kakinya juga lemah untuk memandu, jadi dia meminta Husna menghantarnya ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience