BAB 13

Romance Completed 18455

DAYANA menilik jam di dinding. Sudah pukul dua petang, bayang Emir masih tidak muncul. Ini yang dia sebal. Perutnya sudah berkeroncong. Habis semua lagu A Pink berdendang. Setelah penat mundar mandir, dilabuhkan punggung ke sofa. Sinetron yang bermain di layar televisyen dipandang sekilas.

Tika itu, senyuman dilirik. Encik suami sudah pulang. Harap-harap, dapatlah apa yang dihajati. Buatnya Emir tidak membeli makanan itu, tak ke naya. Penuh kesabaran, dia menanti Emir masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja Emir melangkah masuk, Dayana terus menerpa.

“Assalamualaikum,” sapa Dayana terlebih dahulu.

“Waalaikumsalam,” jawab Emir teragak-agak. Dayana bersalam dengan suaminya dahulu sebelum ke agenda seterusnya.

“Abang beli tak?” Emir menghulurkan plastik yang berisi nasi berlauk yang dibeli di restoran mamak kegemarannya.

Melebar senyum Dayana melihat bungkusan itu. Laju dia merangkul leher Emir yang sudah membulatkan matanya itu. Mana tidaknya, kerenah isterinya sangat pelik hari ini. Ketika sedang bermesyuarat tadi, dia menerima pesanan sms daripada Dayana yang memintanya membeli nasi kandar. Kalau tak dibelinya, Dayana akan pulang ke rumah Haji Malik. Haru sungguh!

“Pergilah makan. Sejuk pulak lauk tu,” kata Emir yang masih dirangkul isterinya.

“Abang suapkanlah. Tak nak makan sendiri,” Lagilah Emir pelik. Nak makan bersuap pula.

“Tangan ada kan? Makanlah sendiri. Dah, lepaslah,” Dayana mencebik. Rangkulannya dilepaskan. Emir merungkaikan tali lehernya. Mahu tercekik dipeluk erat begitu.

“Tak nak makanlah,” rajuk Dayana.

Emir mendengus. Aduh, perangai apa ni?

“Jangan banyak songeh boleh tak? Penat kerja pun tak hilang lagi,” Emir bersuara dingin.

Dayana memeluk lengan Emir selamba. Langsung tidak terkesan dengan amarah Emir. Janji makan tengah harinya hari ini perlu disuapkan oleh Emir. Dia nekad. Baby’s request, okay. Mana boleh tolak.

“Alah, please. Tolonglah suapkan. Cepatlah, Yana dah lapar ni,” rengek Dayana.

Sabar sajalah Emir dengan kerenah Dayana hari ini. Malas mahu mendengar rengekan si isteri, digagahkan juga dirinya yang sudah kepenatan melayan kehendak Dayana. Siapa tak sayangkan isteri? Bukan setakat sayang lagi dah, tapi tahap cinta melampau. Jika tidak, buat apalah dia mengahwini Dayana.

Dayana menanti di meja makan. Nasi kandar di hadapannya kelihatan sedap sekali. Mahu meleleh air liur dia ni pandang lama-lama. Lambat pula Emir membasuh tangan. Emir duduk di sebelah Dayana sambil mencapai sudu dan garfu di dalam bekas di atas meja makan. Dayana merenung suaminya.

“Kenapa?” tanya Emir yang perasan akan renungan itu.

“Tak mau pakai sudu. Abang guna tangan,” Sudu dan garfu di tangan Emir, diletakkan kembali ke tempatnya.

“Tangan?” Dayana mengangguk laju.

Tanpa kata, diturutkan sahaja kemahuan Dayana. Berselera sekali Dayana menjamu selera.

“Abang, malam ni Yana nak makan sate kajang,” Emir terbatuk kecil. Sate kajang? Malam ni?

“Esoklah. Tempat tu bukannya dekat, jauh. Sate kat hujung taman tu pun sedap jugak. Kalah sate kajang,” balas Emir sambil menyuap nasi ke mulut isterinya.

“Tak nak,” rengek Dayana lagi dengan mulut penuh.

“Okey, okey. Makan bagi habis dulu, baru cakap,” Tercekik karang, siapa yang susah? Dia juga.

Tak faham sungguh dengan permintaan Dayana yang semakin merepek. Jarang Dayana merengek macam kanak-kanak. Tambahan pula, makanan yang diminta Dayana bukanlah kesukaannya. Tiba-tiba, minta sate kajang. Pelik tahap tujuh petala ni. Lebih baik dia bertanya pada mamanya. Mana tahu, mamanya tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience