BAB 6

Romance Completed 18455

SEDANG elok Emir membongkok mengambil surat khabar di pintu pagar, matanya menangkap sebuah kereta yang amat diketahui pemiliknya. Remote di poket dia keluarkan dan pintu pagar automatik itu terbuka perlahan. Mimpi apalah abah dan mamanya datang pepagi ni. Mentang-mentang hari cuti, laju saja abah tekan pedal ke sini. Sudahlah hubungannya dengan Dayana masih dingin.

Dayana keluar menyambut ibu bapa mertuanya. Dia mendapatkan Emir yang berdiri tegak di sisi BMW 5 seriesnya. Senyuman diukirkan agar Haji Malik dan Hajah Citra tidak menghidu pergaduhan mereka. Mahu tiga hari tiga malam, kedua-duanya berleter. Mengalahkan burung belatuk.

“Mama call saya tadi. Sorry, tak bagitahu,” Emir mendengus perlahan. Abah dan mama sudah di hadapan mata pun. Nak kata apa lagi?

Saat itu, Dayana terperasan kereta Emir tercalar. Bukan sikit, tapi hampir seluruh sisi pintu depan dan belakang di sebelah pemandu, rosak teruk. Macam terkena sesuatu yang tajam dan benda itu menoreh kulit kereta mahal Emir. Pandangan ditala pula pada tuan punya kereta. Elok sahaja lelaki itu. Tiada kecederaan pun. Cedera otak kot. Hah?

“Amboi, untung kita, abang. Siap ada orang escort lagi. Kalau macam ni, tiap-tiap pagilah kita terjah rumah budak-budak ni,” seloroh Hajah Citra.

“Ha’ah. Hari-hari boleh makan masakan Yana,” Dayana tersenyum. Suka benar Haji Malik akan masakannya itu.

“Saya masak, abang tak nak makanlah. Mana aci,” cebik Hajah Citra. Haji Malik cepat-cepat memujuk isterinya dengan mencuit pipi Hajah Citra.

“Masuklah, abah, mama. Tahun bila nak breakfast kalau dok buat adegan pujuk memujuk kat sini,” celah Emir senada.

Haji Malik dan Hajah Citra gelak kecil. Sensitif pula Emir pagi ni. Selalunya, dia yang menambah garam. Pantang tengok mereka suami isteri bergaduh, pasti ada sahaja yang dia bahankan.

“Jomlah. Perut abah pun dah lapar sangat ni. Bergurindam sakan dah, hah,” Mereka berempat beriringan masuk ke dalam rumah.

Dayana pantas ke dapur dan mengeluarkan pinggan yang sudah dia siapkan tadi. Ringan sahaja tulang Emir membantu isterinya. Haji Malik dan Hajah Citra hanya sediakan perut mereka. Setelah semuanya siap dan berada di meja makan, Haji Malik mengaminkan doa makan. Lebih berkat.

“Yana, abah dengar Yana nak resign. Betul ke?”

Dayana mengangguk.

“Ha’ah. Dah hantar notis pun. Sebulan,” jawab Dayana. Emir di sebelahnya kaget namun disembunyikan rasa terkejutnya.

“Eloklah Yana resign. At least, boleh tumpukan perhatian pada rumah tangga. Emir pun lebih dari mampu nak tanggung kamu. Kamu minta ferris wheel satu, letak dekat belakang rumah pun boleh dapat,” Amboi, sakan Hajah Citra menambah perasa.

“Awak bagi hint kat abang ke, Citra? Abang takut tinggilah nak pasang ferris wheel kat rumah kita,” Hajah Citra mencubit lengan suaminya.

Depan anak-anak pun, menjadi perangai terlebih gula dia tu. Umur dah senja pun, mengada lagi.

“Emir, kenapa diam aje? Kamu tak sihat ke?” soal Hajah Citra pelik.

Emir hanya akan diam apabila dia kusyuk melayan video A Pink dia saja. Ini, bayang A Pink pun tiada. Jangankan A Pink, Emir pun dah hilang.

“Tak adalah. Penat sikit aje,” balas Emir. Terbit rasa bersalah di hati Dayana. Tidak patut dia memberontak sakan pada Emir. Tapi, Emir juga penyebabnya. Haish, kusut!

“Alang-alang dah sama-sama cuti ni, bermanjalah sikit. Kalau kamu berdua nak tahu, abah dengan mama dulu pantang ada cuti, mesti nak pergi melancong. Tak kisahlah kat mana pun. Masa cutilah nak bermanja. Hari lain, masing-masing sibuk,” ujar Haji Malik ceria.

Jika diingatkan kisah lalu, hatinya senang sekali. Dia rindukan setiap saat itu di mana dia dan Hajah Citra sering sahaja berkepit ke sana sini. Kini? Kalau boleh, dua puluh empat jam nak berkepit. Masing-masing pula sudah pencen. Setiap masa adalah masa mereka. Jadi, setiap masa dihabiskan bersama.

“Sekarang pun still honeymoon, kan? Abah selalu bawa mama pergi mana?” tanya Dayana, sekadar ingin tahu.

“Emmm, pantai. Sebab mama suka pantai. Dengar bunyi ombak pun, mama dah menjerit macam budak-budak dapat coklat,” Dayana tergelak kecil. Ceria sahaja pasangan itu apabila cerita lama diungkit.

“Yana bukan suka pantai jugak ke?”

“Suka. Tapi, Yana lebih suka duduk rumah. Dulu, arwah Nek Yong dah selalu bawa Yana pergi pantai. It quite hard to be there since I might remember the old time I’m with her,” kata Dayana dalam nada bersahaja.

Dia tidak mahu bersedih. Dia perlu kuat. Sudah tiga tahun, nenek angkatnya meninggal dunia kerana penyakit kencing manis. Namun, kehadiran arwah Nek Yong masih terasa di hatinya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan melupakan budi baik arwah Nek Yong yang sanggup mengambilnya dari rumah anak yatim dan membelanya. Jasa itu takkan pernah terbalas.

“Sebab tulah, kita kena hargai apa yang ada di depan kita ni. Jangan sampai dah terlambat, baru nak hargai. Masa tu, nak buat apa pun dah tak guna. Semua dah jadi memori,” hujah Hajah Citra.

Dayana terkesan akan kata-kata itu. Ya, dia perlu menghargai segala yang berada di depannya. Salah satunya ialah suaminya, Zakif Emir bin Haji Malik. Hajah Citra melemparkan senyuman penuh makna kepada menantu kesayangannya itu. Dia terlebih dahulu mengenali Emir.

Jika wajah anak lelakinya itu keruh semacam, pasti ada yang tidak kena. Dua puluh lapan tahun, Emir berada di bawah pengawasannya. Dia sudah masak benar dengan kerenah Emir. Hajah Citra dan suaminya sudah mengagak hal seperti ini akan berlaku sejak Emir terjebak dengan para gadis dari Korea itu.

Usai bersarapan, Haji Malik dan Hajah Citra meminta diri. Mereka ada perjumpaan dengan ahli-ahli persatuan veteran di mana mereka akan berkumpul untuk berkongsi cerita. Di situlah Haji Malik dan Hajah Citra menghabiskan masa mereka setiap hujung minggu. Disamping dapat mengeratkan silaturahim, mereka juga saling bertukar pandangan tentang didikan anak-anak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience