Bab 11 : Kembali

Romance Series 15515

Tiga tahun kemudian,

"Ayah... ayahh..." Si kecil yang sudah pandai berlari segera mendapatkan ayahnya yang baru saja pulang dari tempat kerja. Kaki si ayah dipeluk erat. Mata dipejam erat dengan senyuman lebar terbit pada bibirnya. Sesungguhnya dia sangat merindui ayahnya.

"Sayang ayah..." Shafik mengangkat tubuh kecil itu ke dukungannya. Pipi sebelah kanan dan kiri Syifa dikucupnya penuh kasih dan sayang. Anak perempuan ini banyak memberikan dia kebahagiaan selama mereka bersama. Walaupun kini dia memegang status duda. Duda anak satu. 

"Shafik..." sapa seorang wanita dalam lingkungan 50an. Dia merupakan pengurus dan juga penjaga Pusat Asuhan Indah Sayang. Sudah tiga tahun, dia menjaga Syifa sementara Shafik bekerja di sebuah syarikat sebagai penyambut tetamu. Shafik Izdin juga sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Mendengarkan kisah sedih Shafik membuatkan hatinya berasa simpati pada pemuda ini. Muda-muda lagi sudah digelar duda. Syifa pula sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu.

"Ya, mak." sahut Shafik lalu mengucup tangan Puan Serimah.

"Syifa macam mana mak seharian ni? Nakal tak?" 

"Ifa baiklah, ayah. Mana ada nakal..." petah Syifa menjawab. Dia memuncungkan bibirnya.

"Baguslah anak ayah ni. Macam nilah anak ayah. Anak yang baik dan solehah." Shafik mengusap kepala Syifa sebelum melabuhkan kucupan pada dahi si anak.

"Syifa ni memang budak yang baik, Shafik. Semua arahan mak dia ikutnya. Macam-macam yang dia belajar hari ni." 

Shafik tersenyum senang. Gembira dia melihat perkembangan Syifa yang semakin hari semakin luas pengetahuannya. Syifa membesar menjadi seorang anak yang bijak dan baik hatinya. Kecil-kecil lagi sudah pandai membantu orang yang dalam kesusahan. Pandai mengambil hati Shafik tatkala Shafik dalam kesedihan atau kesusahan. Tanpa Syifa, susah untuk Shafik bangkit semula. Anak kecil inilah yang banyak mengajarnya berusaha tanpa kenal erti lelah.

"Mak dah makan ke?" soal Shafik.

"Tengah hari saja dah makan. Kenapa?"

"Kalau macam tu, Shafik pergi beli makananlah dengan Syifa. Mak ada rasa nak makan apa-apa?" 

Puan Serimah menggelengkan kepalanya. "Shafik beli sajalah apa-apa. Nanti bungkus saja. Kita makan sama-sama dekat rumah. Jam tujuh malam nanti, ayah balik. Bolehlah kita menjamu sama-sama." 

Shafik akur. Kepala dijatuhkan sebanyak dua kali lalu meminta diri untuk pergi. Tubuh kecil Syifa dimasukkan ke dalam kereta. Tali pinggang keledar ditarik lalu dipasangkan pada kekuncinya.

"Terima kasih, ayah. Ifa sayang ayah." Syifa menekup mulutnya lalu ditiup lembut telapak tangannya. 

Shafik tertawa kecil lalu menganggukkan kepalanya. "Ayah sayang anak ayah lebih lagi. Syifa adalah segala-galanya bagi ayah."

Syifa tersenyum lebar. Kepala dibawa angguk. Dia tidak pernah menyoal pada Shafik, siapakah ibu kandungnya? Kerana kasih sayang yang Shafik berikan bagaikan menerima kasih sayang daripada seorang ayah dan juga seorang ibu. Tidak ternilai.

"You ni berapa kali nak tanya? Makan jelah mana-mana. Bisinglah. Asyik tanya je." marah Sufi lalu menarik tangannya bersilang ke dada. Sebal hatinya mendengarkan soalan yang diajukan oleh Nik Hadif dari tadi. Boleh dikatakan 10 kali tanya soalan yang sama.

"Alahai, bergurau pun tak boleh. You ni nak angin aje kenapa? Moody?" Nik menghelakan nafas panjang. Sudah tiga tahun, mereka mendirikan rumah tangga bersama namun perangai Sufi Ajmina tak pernah berubah. Kehidupannya disaluti dengan ego dan baran. Nak kena mengikut saja kehendaknya. Kalau tidak ditunaikan, memang bertekak sajalah kerjanya. Dia pun dah mula merendahkan diri setiap kali bergaduh dengan isterinya itu. Sudah penat mahu melayani ego Sufi.

"Bergurau you tu buat hati I meluat kut. Tanya benda yang sama. Cubalah bergurau benda lain. Hish!" bebel Sufi. Mulutnya terus-menerus terkumat-kamit tidak berhenti. Pandangannya dibuang ke luar tingkap. Lebih rela memerhatikan suasana jalan raya daripada memandang wajah suaminya itu.

"Okey, sayang. I'm sorry." Mengalah sajalah Nik Hadif sebagai seorang suami. Dirinya sendiri yang mahu menjadikan Sufi Ajmina sebagai pasangan sehidup semati. Kenalah terima baik dan buruk isterinya itu. Kalau nak menyesal sekalipun, tiada gunanya.

"Lepas makan, kita singgah surau ya?" ucap Nik dengan penuh kelembutan. Harap-harap bolehlah menyejukkan sedikit hati isterinya itu. Diajak bergurau pun, macam ajak bergaduh. 

"I tak boleh." 

Nik menggaru kepalanya yang tiba-tiba terasa gatal. Asal ajak solat saja mesti tak boleh. Sekiranya diajak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, elok saja. Tak ada pula cakap tak boleh. Ini yang membuatkan kepalanya semakin runsing. Macam manalah dia nak ajak Sufi berubah? 

"Erm..." Nik kehilangan kata-kata. Bukan tidak mahu menegur isterinya itu, kalau ditegur memang puting beliung datang membadai dirinya. Tak sanggup rasanya. Paling teruk dia pernah kena, sebulan dia tidur di atas sofa. Begitu keras hati Sufi. Kesalahannya kerana lupa hendak memberitahu yang mereka tidak jadi bercuti bersama di Australia kerana ada projek di syarikatnya yang tiba-tiba saja mempunyai masalah yang tak boleh dielakkan. Pasrah sajalah dia ketika itu. Sakit belakangnya tidur di atas sofa sepanjang tiga bulan. Kalau tidur di luar, apa pula kata ibu dan ayah mentuannya itu. Banyak soal, lagi memeningkan dirinya.

Gear ditarik ke huruf P setelah memastikan keretanya masuk ke dalam kotak parkir yang disediakan. Sufi menanggalkan tali pinggang keledarnya lalu mencapai tas tangan sebelum membawa dirinya keluar dari kereta. Nik menekan butang pada kunci keretanya lalu menggenggam tangan si isteri. 

"You nak makan apa?" soal Nik sebaik saja mereka serentak melabuhkan punggung di atas kerusi secara bertentangan. Sekarang mereka berada di dalam sebuah restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Masakan Melayu, Thai dan juga barat. 

"Nasi putih dengan paprik daging. Air nak sirap bandung ais." Awal-awal lagi, Sufi sudah bersiap sedia memikirkan menu yang hendak dijamu selera sebentar lagi. 

Nik menganggukkan kepalanya lalu mengangkat punggung untuk ke kaunter pesanan. Sufi meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas meja. Dia menopang dagu sambil anak matanya membelingas suasana sekeliling. 

"Ayah! Ayah, nak air kotak Milo tu ayah!" Ceria suara seorang kanak-kanak perempuan yang berdiri di hadapan peti sejuk minuman, tidak jauh dari tempat yang Sufi duduk.

"Ya, sayang. Boleh. Ayah ambil, ya. Tu je? Nak apa-apa lagi?" soal si ayah lalu meninggung di hadapan si kecil itu. Kepala anaknya diusap perlahan.

"Nak mainan baru boleh tak ayah?" Si kecil mengelip-ngelipkan matanya. Membuat mimik muka yang comel mampu mencairkan hati si ayah.

"Mainan lagi? Hmmm..." 

"Bolehlah. Bolehlah..." Si anak tak berhenti memujuk si ayah.

Tanpa sedar, terbit sebuah senyuman pada bibir Sufi. Hatinya terpaut melihat layanan si ayah pada anaknya itu. Muncul satu perasaan aneh secara tiba-tiba di dalam hatinya. Membuatkan dadanya terasa sesak. Dia mengusap dadanya perlahan. Anak mata masih lagi merenung ke arah si anak dan ayah tadi.

"Terima kasih, ayah. Syifa sayang ayah sangat-sangat!" Syifa mengucup pipi Shafik dengan kadar tempoh yang agak lama sebaik saja ayahnya mendukung tubuhnya lalu berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Zupp! Jantung Sufi sepertinya dipanah kilat. Tersentak dia mendengar sebaris nama pendek itu. Terlalu jelas di pendengarannya. Nama itu membuatkan dia teringat pada si kecil yang sudah dia tinggal tiga tahun yang lalu.

"Sama-sama anak ayah. Jom kita balik. Nenek mesti dah tunggu." Shafik menjinjit plastik bungkusan makanan menggunakan sebelah tangan manakala sebelah tangannya mengemaskan dukungan tubuh Syifa. 

Semakin sesak dada Sufi saat melihat wajah Shafik dan Syifa dengan lebih jelas tatkala mereka berjalan keluar dari restoran tersebut. 

"Sha.. Shafik... Syi... Syifa..." Terketar-ketar bibirnya mahu menyebut dua baris nama pendek itu. Sudah tiga tahun dia melupakan nama itu. Entah kenapa hari ini, mereka kembali berjumpa. Lihat daripada penampilan Shafik. Sepertinya dia tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan. Gayanya dengan mengenakan kemeja dan seluar slack sepertinya Shafik bekerja di sebuah syarikat.

"Sayang... makanan lagi 10 minit sampai. I pergi tandas sekejap tadi. Sorry lama." Nik melabuhkan punggungnya di hadapan Sufi.

"Huh..." Suara Nik membuatkan Sufi menjejakkan dirinya ke alam realiti semula. Apakah dia bermimpi sebentar tadi? Mungkin perasaan dia saja tadi. Tak mungkin Shafik dan Syifa tinggal di sekitar sini. Sini bandar. Mereka tinggal di kampung sana. 

"Are you okay? Muka you pucat. You tak sihat?"

Laju Sufi menggelengkan kepalanya. "Tak adalah. I lapar. Haus. Lambat lagi ke?" 

"Kata pelayan tadi lagi 10 minit saja. Boleh tunggukan?" 

Sufi sekadar menganggukkan kepalanya. Dia sedaya-upaya mengawal reaksi wajahnya. Tidak mahu Nik perasan akan reaksinya yang sepertinya cacing kepanasan. Tubuhnya juga sudah mengeluarkan peluh dingin. 

Perasaan aku saja. Banyak sangat fikir pasal kerja. Kau penat je ni, Sufi. Gumam Sufi pada dirinya sendiri.

Hai semua. Sorry dah lama tak update. Ana sibuk dengan projek dan esok mula PDPR semula. Doakan Ana ya. Insya-Allah Ana cuba update lagi. Terima kasih sebab sudi baca karya Ana. Untuk pengetahuan semua, Miss Alpha dah tukar nama pena kepada Anastasia ya. Nama Miss Alpha tak digunakan lagi. Sekian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience