Bab 10 : Pergi

Romance Series 15515

Matahari berganti bulan. Bulan berganti dengan matahari. Bulan dan matahari saling bergilir-gilir untuk menerangi dan menggelapkan suasana muka bumi mengikut waktu-waktunya. Sedar tidak sedar, sudah setahun berlalu. Usia perkahwinan Shafik dan Sufi sudah hampir setahun. Usia anak perempuan Sufi yang bernama Syifa Ar-Raudhah pun sudah menjangkau setahun. Sekejap saya anak kecil itu membesar. Tetapi, anak kecil itu membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Walaupun ibu kandungnya masih hidup dan sentiasa ada di depan matanya. 

Shafik tidak pernah mengabaikan anak kecil itu walaupun anak itu tiada pertalian darah dengannya. Dia menjaga Syifa seperti anak sendiri. Bagaikan menatang minyak penuh. Dibelai anak itu sehingga Syifa sangat manja dengan dirinya. Setiap kali hendak keluar mencari rezeki untuk mereka, pasti Syifa akan menangis. Terpaksalah Shafik memujuk terlebih dahulu sebelum ke tempat kerjanya. Mujurlah majikannya memahami akan dirinya yang kadangkala terlewat hadir ke tempat kerja. Malah dipuji, Shafik sangat bagus dalam menjalankan tugasnya. Semuanya lancar dan teratur.

"Wanginya anak ayah ni. Lepas ni, masuk buai ya. Ayah tidurkan Syifa." Shafik menggomol-gomol wajah anak angkatnya itu. Sayang betul dia pada Syifa Ar-Raudhah.

Sufi yang sedang menggilap kukunya sambil baring dengan kakinya disilang panggung memandang ke arah Shafik dan Syifa dengan reaksi jelek. Meluat dia melihat layanan Shafik pada anak haramnya itu. Memang dia sering memanggil Syifa dengan gelaran anak haram. Sampai satu hari, Shafik terpaksa meninggikan suara kepadanya. Tapi seperti biasa. Dia langsung tidak kisah walaupun Shafik mengamuk sekalipun. Sebab dia tahu, Shafik tak akan berani sampai ke tahap itu.

"Bisinglah. Nak tidurkan, tidur sajalah. Tak payah nak manjakan sangat budak tu. Geli aku dengar. Dah besar nanti, manja sangat. Lepas tu, pijak kepala kau. Biar kau terduduk dekat tanah bila budak tu buat kat kau macam tu." 

Shafik terdiam seketika. Dia langsung tak memalingkan tubuhnya ke arah Sufi. Dia menahan diri. Memendam perasaannya. Dia cuba mengabaikan apa yang dilontarkan oleh isterinya itu. Seperti biasa, dia tak pernah jemu mendoakan Sufi berlembut hati dengannya dan juga Syifa.

"Eh, buat pekak pulak kau. Aku cakap dengan kau ni kan!" herdik Sufi kepada Shafik. Panas pula hati bila Shafik tidak melayani kata-katanya tadi. Biasanya Shafik akan respons tapi malam ini, suaminya itu hanya mendiamkan diri. 

"Ya, Mina. Saya dengar. Maafkan saya. Saya tidurkan Syifa dulu sekejap. Saya dah siap masak tu. Kalau Mina lapar, Mina pergilah makan dulu. Tak payah tunggu saya..." Shafik menoleh sedikit wajahnya ke belakang sambil tersenyum kecil.

"Tak ingin aku nak makan dengan kau. Buat selera aku mati je. Macam tak biasa yang aku ni selalu diutamakan dalam segala benda. Kau jadi yang terakhir." balas Sufi dengan nada sinis sebelum mengangkat tubuhnya lalu melangkah ke dapur dengan hentakan kaki yang disengajakan. Menunjukkan yang dirinya sedang protes.

Shafik hanya menggelengkan kepala perlahan sebelum membawa langkahnya masuk ke dalam bilik lalu meletakkan tubuh kecil Syifa ke dalam buaian. "Syifa Ar-Raudhah anak yang solehah. Anak yang baik dan manja. Lekas besar ya, sayang. Boleh teman ayah nanti kalau ayah nak ke mana-mana. Akan ayah tunaikan apa saja permintaan Syifa selagi ayah mampu. Syifa selalu doakan ayah ya, sayang." Kain buaian itu ditarik ke atas dan ke bawah. 

Syifa merenung dalam wajah Shafik. Perlahan bibirnya mengukir senyum sebelum tangannya naik menggosok-gosok wajahnya. 

"Syyh... ayah tahu Syifa mengantuk. Tidur ya, sayang. Besok ayah nak kena pergi kerja. Syifa tinggal dengan ibu ya. Jangan nakal-nakal. Ayah pergi kerja sekejap saja. Nanti balik, ayah bagi perhatian sepenuhnya dekat Syifa.

Perlahan-lahan mata anak kecil itu terkatup rapat. Lenanya semakin terbuai-buai saat telinga mendengar alunan suara lunak milik Shafik yang sedang berzikir.

"Ayah sayang Syifa. Dalam doa ayah, nama Syifa dan ibu tak pernah ayah lupa. Sentiasa ada dalam setiap doa ayah." Shafik mengusap-usap tangan anak kecilnya itu sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman yang tak akan pernah lekang dari bibirnya.

Sang Suria mengeluarkan haba yang sangat terik membuatkan tubuhnya bermandi peluh. Butang baju kemeja ditanggalkan satu per satu sehingga terbuka menampakkan singlet hitam yang tersarung pada tubuhnya. Walaupun dirinya terlalu penat bekerja seharian sebagai seorang pengawal keselamatan di hospital berdekatan dengan rumahnya, bibirnya tetap mengukirkan senyuman.

Beg plastik yang berisi dua bungkus nasi ayam diletakkan di atas meja kecil yang terletak di dapur sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Mata meliar mencari susuk tubuh si isteri. Rasa rindu sudah semakin menggunung di dalam hati. Inilah nasibnya sekiranya bekerja pada syif malam. Memang jarang nampak isteri.

"Mina... saya dah balik." panggil Shafik dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

"Mina?" panggil Shafik buat kali kedua namun tiada sebarang sahutan. Segera dia menghampiri kamar tidur yang pintunya tidak ditutup rapat.

"Mina..." Shafik terkedu melihat isterinya sedang melipat pakaian. Di sebelah Sufi, ada sebuah beg bagasi berwarna merah.

"Mina nak pergi mana?" Shafik mendekati Sufi sambil bahu si isteri disentuh lembut.

"Jangan sentuhlah. Kau memang tak faham bahasa ke? Tak serik-serik lagi ke, aku dah buat macam-macam dekat kau." marah Sufi sambil menyumbat pakaiannya di dalam bagasi secara kasar.

"Mina, apa salah saya? Sikit pun awak tak boleh terima saya dalam hidup awak. Saya sayangkan awak dan Syifa setulus ikhlas hati saya."

Sufi Ajmina menghentikan lipatannya kemudian kepalanya dibawa toleh sedikit ke kanan. Melihat susuk tubuh suaminya itu dengan ekoran mata. Begitu sinis pandangannya.

"Kau fikir aku kisah ke dengan hati kau tu? Hati aku ni dah banyak menderita disebabkan budak haram tu. Dan juga disebabkan kaulah, dia lahir ke dunia ni. Semua salah kau!"

Shafik menyentuh dadanya. Beristighfar dia saat mendengar cacian dari mulut isterinya sendiri."Allahuakhbar. Mina, kenapa awak cakap macam tu dekat Syifa? Dia tak salah apa-apa, Mina. Dia bersih dan suci daripada segala dosa. Tergamak awak sebagai seorang ibu cakap macam tu. Dia syurga awak, Mina."

Sufi menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia sudah tak mahu hidup lagi bersama Shafik dan Syifa. Tak sanggup dia mahu hidup dalam kesusahan seperti ini. Dari kecil, dia sudah diajar dengan kemewahan. Jadi semua ini bukan setaraf dia.

Dia terpaksa buat semua ini bersebab. Bukan kerana dia cintakan Shafik. Seputik cinta tak pernah ada untuk lelaki bernama Shafik Izdin. Lelaki itu hanya menjadi mangsa dia untuk menutup malu dan aib keluarganya.

"Ceraikan aku. Syifa ni kau ambil. Aku tak nak tengok muka korang berdua lagi dalam hidup aku. Jangan kau pernah kenal lagi nama Sufi Ajmina dalam hidup korang berdua. Anggap saja aku dah mati." ujar Sufi penuh angkuh. Beg bagasi dizip dengan kasar sebelum dia berdiri.Syifa Ar-Raudhah yang berusia setahun hanya mendiamkan diri di dalam buaian sambil menghisap ibu jarinya. Matanya membulat besar. Telinganya terbuka luas mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut ayah dan ibunya.

"Mina, jangan tinggalkan saya. Saya dah tak ada sesiapa lagi selain Mina dengan Syifa. Kesiankan Syifa, Mina. Dia kecil lagi. Masih bersusu badan."

Dia sanggup mengetepikan maruahnya hanya kerana cinta. Dia jatuh melutut di hadapan Sufi sebelum kaki isterinya itu dipeluk erat. Air mata mengalir deras. Sungguh dia tak mahu kehilangan cintanya yang pertama dan juga terakhir itu.

Kerana cinta, dia sanggup buat apa saja.

"Kau jangan nak buat kerja bodohlah, Shafik! Kau sedar tak yang kau tu miskin? Macam mana kau sebagai suami nak bagi kemewahan dekat aku?" tempik Sufi sambil menendang tubuh Shafik.

"Allah..." Shafik memegang perutnya yang terasa sengal ditendang oleh Sufi.

"Ceraikan aku. Kita jumpa dekat mahkamah. Syifa aku bagi hak penjagaan dekat kau 100 peratus." Bagasi ditarik sehingga ke luar rumah. Laju saja dia meninggalkan Shafik di dalam bilik bersama Syifa.

"Mina! Mina, saya merayu. Jangan tinggalkan kami. Saya tiada sesiapa lagi, Mina. Saya tiada keluarga apatah lagi saudara-mara. Tolong, Mina..."

Sufi berdecit. Dia menolak-nolak wajah Shafik sehingga lelaki itu terundur ke belakang.

"Mina..."

Baru saja Shafik mahu menyampaikan sesuatu, sebuah kereta mewah berhenti di hadapan teratak kayunya. Sufi tersungging sebuah senyuman. Gembira.

"Hi, babe." Nik membawa diri keluar dari keretanya.

Sufi menganggukkan kepala hanya sekali. Bagasi tadi ditarik sehingga ke belakang butt kereta. Shafik memerhatikan mereka dengan reaksi yang agak terkejut.

"Nik..." Shafik tak mampu menyambung ayat percakapannya. Sepertinya dia kehilangan kata-kata.

"Oh ya, Shafik. Jangan terkejut sangat, ya. Kan aku dah cakap yang Nik ini cinta pertama aku. Dan tak ada siapa yang boleh gantikan dia. Termasuk kau." Sufi tersenyum sambil melambai kecil ke arah Shafik yang statik berdiri di hadapan pintu rumah.

"Hoi, Shafik. Ceraikan awek aku. Jumpa dekat mahkamah!" jerit Nik selamba sebelum memboloskan dirinya masuk ke dalam kereta.

"Ya Allah... kenapa begitu berat sekali ujian yang Kau uji kepada aku? Sungguh aku cintakan Mina dengan penuh ikhlas hati aku. Tapi kenapa dia buat aku seperti tiada perasaan." Shafik mengesat air matanya menggunakan hujung pergelangan baju kerjanya.

"Yaahhhh...." Kedengaran suara Syifa memanggil dirinya. Laju saja dia berlari masuk ke dalam kamar tidur.

"Ya sayang. Anak ayah. Ayah ada dekat sini. Jangan takut, ya. Ayah tak tinggalkan Syifa. Ayah sentiasa ada dengan Syifa." Tubuh si kecil dipeluk erat sambil ditepuk-tepuk lembut.

"Syifa jangan tinggalkan ayah, ya. Ayah dah tak ada sesiapa. Ayah ada Syifa je. Ayah janji yang ayah akan jaga Syifa. Ayah tak akan bagi Syifa dekat sesiapa."

Syifa hanya mendiamkan diri sambil kepalanya dilentukkan pada bahu si ayah.

"Kalau itu membuatkan dia bahagia, aku reda. Kau lindungi dan berikanlah kebahagiaan yang sebaiknya tanpa aku di sisinya, Ya Allah." gumam Shafik sendiri.

Assalamualaikum dan hai semua. Akhirnya saya dapat juga sambung update cerita ni sempena pkp. Maaf buat kalian semua tertunggu tunggu. Terima kasih sebab setia dengan cerita Kerana Cinta. Boleh follow saya di Instagram @missanastasia._

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience