Bab 6 : Buli

Romance Series 15515

Shafik menghelakan nafas lega sebaik saja dia selesai mencuci kereta di garaj. Kaki mengorak langkah keluar dari garaj. Sinaran matahari betul-betul memancarkan cahaya teriknya membuatkan Shafik berasa haus.

Dia masuk ke dapur menggunakan pintu belakang. Sunyi sepi saja suasana rumah hari ini. Tuan dan puan majikannya tiada di rumah sejak semalam. Mereka berada di luar daerah. Mungkin menguruskan hal pekerjaan masing-masing.

"Shafik..." Sufi yang sedang menuruni anak tangga menyeru nama Shafik dengan nada suara menggoda. Sudah beberapa hari ini hubungan mereka menjadi akrab. Ya, secara tiba-tiba Sufi berubah. Tidak lagi dingin dengan dirinya.

"Ya, Mina?" Shafik menyahut dengan senyuman terukir luas di bibirnya.

"Bawa Mina pergi makan luar. Mina terasa nak makan ikan bakarlah." Bahu Shafik dikuis-kuis dengan badannya yang terlentuk-lentuk.

Shafik menolak lembut tangan Sufi. Dia bangkit berdiri lalu menganggukkan kepalanya. Senyuman tetap terukir pada bibirnya.

"Boleh, Mina. Mina siap-siaplah. Saya tunggu dekat dalam kereta."

Sufi menganggukkan kepalanya. Pantas dia mengorak langkah masuk ke dalam biliknya. Shafik melepaskan keluhan kecil. Semakin lama semakin melarat perangai Sufi yang suka menguji keimanannya. Apa sebenarnya niat Sufi?

"Shafik belanja boleh, kan?" Sufi menayangkan dua baris gigi putihnya. Kad menu yang berada di atas meja dicapai.

"Boleh. Mina pesanlah apa yang Mina mahu."

Sufi tersenyum lebar. Senang saja mahu membodek lelaki di hadapannya ini. Seorang pelayan menghampiri mereka untuk mengambil pesanan. Sufi menopang dagunya sambil merenung ke arah Shafik yang sedang memberi pesanan pada pelayan tersebut. Memang dia tak dapat nafikan Shafik mempunyai rupa paras yang sempurna. Bentuk wajahnya yang bujur. Kulitnya yang putih. Tidak sekacak Nik jika nak buat perbandingan.

"Mina?"

Sufi mengawal air mukanya yang sedikit terkejut saat namanya diseru. Boleh pula dia khayal melihat rupa paras Shafik. Tak mungkin dia angau. Jauh-jauhkanlah.

"Ya?" Sufi membetulkan posisinya. Konon-konon nak menutup perasaan malunya.

"Saya dah pesan. Lepas makan kita nak pergi mana?"

Tangan disilang ke dada. Bibir dikemam. Otak bekerja untuk memikirkan destinasi seterusnya. Dia fikir mahu membuli Shafik hari ini. Bosan sekiranya duduk di rumah seharian.

"Saya nak awak bawa saya pergi butik baju. Tapi saya tak cukup duit lagilah. Awak belanja boleh?" Sufi tersenyum. Senyuman penuh harapan supaya Shafik bersetuju mahu membelanja dirinya hari ini.

Shafik menelan air liurnya begitu payah sekali. Sepertinya tersekat di kerongkong. Cukupkah duit untuk berbelanja? Gaji dia pun belum masuk. Wang simpanan pun ada berapa saja.

"Hmm... tengok muka pun dah tahu. Tak apalah. Lepas makan, kita balik saja." Sufi merajuk. Bibirnya sudah muncung sejengkal.

Shafik serba-salah. Kalau tak diikuti arahan anak majikannya pasti dia dimarahi. Takut-takut Sufi mengadu pada bapanya. Mati dia dikerjakannya nanti. Nak tak nak, dia kena turuti.

"Boleh, Mina. Tapi saya ada Rm2000 saja. Tak banyak. Tu duit simpanan saya."

Sufi menahan senyuman yang tidak sabar mahu terukir di bibir. RM2000. Macam-macam dia boleh dapat dengan RM2000 itu. Memang bodoh sungguh Shafik ini. Sanggup habiskan duit untuknya. Rasa bangga sekejap berjaya menarik perhatian lelaki ini.

"Eh, betul ke? RM2000 banyak sangat tu. Mina beli bukannya banyak. Sehelai dua baju saja."

Shafik tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Tak sampai hati dia mahu menolak permintaan Sufi. Lagipun bukannya selalu dia membelanja orang. Inilah kali pertama.

"Lepas makan, kita pergi. Tak sabarnya!" Sufi menepuk-nepuk tangannya. Seronok. Tak sabar mahu mengikis duit Shafik. Agaknya kalau diminta-minta pun pasti Shafik akan tunaikan. Shafik semestinya takut sekiranya dia mengadu pada bapanya. Macamlah tak tahu.

Shafik pandang beg kertas yang dijinjitnya. Sudah empat butik mereka berdua masuk. Satu butik saja, Sufi menyambar empat ke lima helai baju yang berharga RM69. 90 ke atas. Tertelan air liur dibuatnya. Tadi bukan ke Sufi kata mahu ambil sehelai dua saja. Tapi lain pula yang jadinya. Semuanya pakaian dia. Pakaian bayi sedikit pun tak dibeli.

"Mina, pakaian bayi tak beli sikit ke?"

Langkah Sufi terhenti di sisi Shafik. Dia mengherotkan bibirnya. Menyampah kala Shafik terlalu sibuk dengan anak di dalam kandungannya. Ikutkan hati mahu saja dia gugurkan kandungannya itu. Tapi bila fikirkan semula, dia akan menanggung risiko tinggi. Tubuh badannya mahu dipakai lama. Rosaklah tubuhnya nanti sekiranya anak ini digugurkan. Akan memakan dalamannya. Baik dia biarkan saja kandungannya dan teruskan rancangannya itu. Tunggu masa saja.

"Apalah awak ni. Perut saya pun tak nampak bump lagi. Dah sibuk nak beli baju baby. Kemaruk sangat nak anak, eh?"

Senyuman Shafik mati. Hatinya terguris dengan kata-kata Sufi. Salahkah dia mengambil perhatian tentang kandungan Sufi? Bayi itu tidak bersalah. Dia berasa kasihan dengan nasib bayi itu bila dilahirkan. Dia sendiri sudah berniat mahu menjaga anak itu sekiranya Sufi sudi.

"Bukan. Saya cuma tanya. Maaf."

Sufi menggelengkan kepala. Dia menarik tangan Shafik masuk ke dalam sebuah kedai kasut berjenama. Berderau darah Shafik melihat harga setiap sepasang kasut yang dijual di situ. Semuanya RM200 ke atas. Duit simpanannya hanya tinggal berapa saja.

"Shafik, saya ambil dua pasang tau!" jerit Sufi penuh keterujaan.

Shafik hanya mampu mengangguk. Di tangannya kini, ada duit berjumlah RM500 saja. Habis RM2000 dibelanja oleh Sufi. Ya Allah, kenapa hatinya berasa sedih? Fikirnya dengan duit simpanan itu. Dia mahu membeli sehelai jubah dan Al-Quran yang baru untuk dirinya. Tapi tidak kesampaian. Mungkin bukan rezekinya kali ini. Tunggulah gaji bulan hadapan. Insya-Allah dia akan beli kehendaknya itu.

Sabar itu separuh daripada iman.

Tepat jam sembilan malam, akhirnya mereka tiba di rumah. Shafik lantas masuk ke dalam bilik ingin menunaikan solat fardu Isya'. Sufi menghenyakkan punggungnya di atas sofa berangkai tiga. Perutnya yang masih kempis ditepuk-tepuk beberapa kali. Ikutkan hati mahu saja dia menepuk kuat-kuat. Biar mati budak itu dalam perutnya.

"Hei... aku tak tahulah kenapa kau boleh hidup dalam perut aku? Aku tak pernah pun undang kau masuk dalam perut aku. Apa masalah lah kau, kan? Bapak kau sendiri pun tak mengaku kau. Apatah lagi aku. Shafik sajalah yang sibuk pasal kau. Kau tahu tak yang kau ni menyusahkan aku!" Sufi membebel sendirian. Beberapa kali dia melepaskan keluhan panjang. Mujur sekarang alahannya sudah berkurangan. Kalau tidak, terpaksalah dia menghadap alahan itu sehingga tidak bermaya.

Shafik yang baru saja selesai menunaikan solat fardu Isya', mengesat air matanya saat mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut Sufi. Dia yang berdiri di sebalik pintu biliknya, dengar semua apa yang Sufi bicarakan sendiri. Sungguh dia tak sangka Sufi mengungkap kata-kata tak baik kepada bayi itu.

Sungguhlah hatinya mengatakan yang Sufi sebenarnya mahu mempermainkannya. Tapi dia tak tahu apa motif Sufi mahu membuatnya seperti ini. Dia sedar Sufi tak akan pernah mahu menerimanya yang ikhlas bersamanya susah dan senang. Adakah Sufi masih mengharap Nik yang langsung tidak bertanggungjawab itu?

Terima kasih kerana support saya. Mr Alpha

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience