Bab 12 : Hati Kembali Bisa

Romance Series 15515

Rembulan yang bersinar terang dipandang dengan hati yang penuh tanda tanya. Fikirannya masih melayang memikirkan dua orang insan yang sudah tiga tahun ditinggalkannya. Nik sudah melabuhkan tirai lenanya sejak jam sepuluh tadi. Suaminya itu pasti akan tidur selepas menunaikan solat isya’.

“Kenapa aku nak kena fikir dua ekor tu? Dia orang tak ada makna dalam hidup aku pun lagi. Dah tiga tahun berlalu, kenapa tiba-tiba aje aku sibuk nak kenangkan mereka?” omel Sufi pada dirinya sendiri. Belikat disandarkan selesa pada kerusi malas yang terletak di hujung biliknya, berhampiran dengan pintu gelangsar. Perlahan-lahan dia memejamkan mata sambil tangan memeluk kusyen kecil rapat ke dadanya.

“Ibu….”

“Ibu….”

Bagaikan kilat memancar, Sufi mencelikkan semula matanya. Gegendang telinganya dapat menangkap suara halus seorang kanak-kanak. Kepalanya dibawa toleh ke kanan dan ke kiri beberapa kali. Jantungnya berdetak laju.

“Perasan aku aje kut.” Sufi cuba menyedapkan hatinya sendiri. Dia membetulkan posisi duduknya sebelum kepalanya berpaling ke arah hujung bilik berhadapan dengannya.

“Argh!” Tangan automatik naik menutup wajahnya saat pandangannya bertembung dengan susuk tubuh kecil yang sedang berdiri di hujung bilik itu.

“Ibu… ibu…” Berkali-kali si kecil itu menyeru dirinya. Semakin lama suara kecil itu semakin hampir dan kuat kedengaran.

“Jangan kacau aku.”

Sepi.

Perlahan-lahan Sufi menjatuhkan tangannya daripada terus menekup wajahnya. Matanya meliar mencari kanak-kanak itu tadi. Suara si kecil itu tadi persis dengan suara kanak-kanak yang bernama Syifa yang dijumpainya ketika di restoran tempoh hari.

“Bah! Ibu!”

“Arghhh!”

Berdesing bilik dengan jeritan Sufi sendiri. Bergema-gema. Namun, langsung tidak menganggu lena Nik.

“Jangan dekat dengan aku. Jauh, jauh!” marah Sufi sambil tangan menepis-nepis angin agar budak kecil itu tidak mendekatinya. Kepalanya ditunduk. Tidak mahu melihat kanak-kanak itu.

“Ibu, ibu tak sayang Syifa ke?”

Sufi tersentak. Kepalanya digeleng beberapa kali.

“Tak! Kau siapa? Aku tak kenal kau. Jangan kacau akulah!” tempik Sufi bagaikan orang hilang kewarasan akal.

“Ibu….” Kanak-kanak yang menggelarkan dirinya dengan nama Syifa itu mula menangis. Teresak-esak bunyi tangisannya.

Hati terasa pedih mendengar tangisan anak kecil itu. Perlahan dia mendongakkan wajahnya.

“Ibu jahat! Ibu tinggalkan Syifa!” suara Syifa sudah berubah garau. Wajahnya turut berubah. Pipi sebelah kirinya terkoyak besar sehingga menampakkan isi. Mukanya habis dimamah ulat. Banyak luka yang sudah bernanah sehingga mengeluarkan bau yang sangat busuk. Dia melompat ke atas tubuh Sufi lalu wajah ibunya itu disentuh dengan menggunakan tangannya yang berdarah.

“Arghhhh! Jangan!” Sufi terpekik-terlolong sambil tubuhnya dipusing ke kanan dan ke kiri. Tangan naik menekup rapat ke wajahnya.

“Astaghfirullah. Sayang, kenapa ni? Open your eyes, please. You make me scared, Sufi Ajmina.” Nik Hadif menepuk-nepuk lembut kedua-dua belah isterinya. Seriau dirinya melihat Sufi terpekik begitu dalam keadaan matanya terpejam. Mimpi apalah isterinya itu sampai basah lencun dibuatnya.

“Jangan!” Sufi menjerit kuat sekali gus matanya terbuka secara mengejut. Diperhatikan sekeliling biliknya dengan nafas yang laju. Mukanya basah dek bermandi peluh.

“Biy, I takut. I takut… ada budak datang ganggu I…” Ditarik-tariknya hujung baju Nik dengan tubuhnya menggeletar hebat.

“Sayang, you cuma mimpi. Maybe you penat sangat sampai mimpi yang bukan-bukan. Tak ada budak dekat sini. Jangan macam ni. Cuak I tengok you macam ni.”

Sufi terdiam. Tiada lagi tarikan pada hujung baju Nik. Seolah-olah dirinya baru tersedar. Sudah berpijak ke dunia nyata. Sekali lagi dia mengamati suasana sekeliling. Jam petak yang tergantung pada dinding menunjukkan sudah jam enam pagi. Entah bila masa dia tertidur di kerusi ini pun dia sendiri tidak dapat ingat.

“I’m sorry, biy. I make you worried.” Ucap Sufi sambil memeluk lengan Nik.

“It’s okay. Jangan kenangkan lagi mimpi tu. Jom, kita jemaah sama-sama.” Ajak Nik dengan penuh nada lemah-lembut.

Sufi sekadar menganggukkan kepala. Tubuhnya ditolak untuk berdiri dengan perlahan. Terasa longlai tubuhnya dek mimpi ngerinya itu tadi. Masih terngiang-ngiang wajah kanak-kanak yang buruk itu.

“Sayang?”

“Ya.” Lemah saja suara Sufi.
“Hari ini I cuti. You nak pergi mana-mana?”

Sufi tersenyum. Kepala dibawa angguk sebanyak dua kali.

“Kita sarapan dekat luar nak tak? I terasa nak sarapan masakan kampung pagi-pagi ni.” Tiba-tiba saja tekaknya teringin mahukan masakan kampung. Walhal, dia seorang yang tak suka mengambil makanan berat pada waktu pagi. Ini satu kelainan yang baru. Dia sendiri pun tak tahu kenapa.

“Terasa? Jarang I nampak you nak makan berat-berat macam ni.” Tegur Nik. Dalam hatinya sedikit berbunga. Mana tahu dalam perutnya itu ada isi. Zuriat mereka berdua. Tiga tahun dia bersabar untuk memiliki zuriat yang sah dari hasil perkahwinan dia dan Sufi.

“Entahlah. I terasa. Boleh tak?”

Nik angguk kepalanya sekali.

“Anything for you, sayang. Jomlah.”

“Mumy, dady… Nik dengan Sufi nak keluar sarapan dekat luar. Kita orang gerak dulu, ya.” Nik bersalaman dengan kedua-dua orang tuanya sebelum menggenggam tangan Sufi yang berada di sisinya.

“Hai, sarapan dekat luar? Penat mumy buat sarapan pagi-pagi ni. Nak merasa air tangan menantu entah bilalah lagi. Tahu makan luar saja.” Perli Datin Masdira.

Dato’ Nik Fazrif hanya mendiamkan diri. Sesekali mengerling ke arah anak dan menantunya itu. Telinganya sudah lali mendengar perlian dan bebelan isterinya itu. Kalau dia masuk campur, makin membaralah bebelan Datin Masdira. Ada baiknya dia mendiamkan diri.

“Sorry, mumy. Sufi terasa nak sarapan dekat luar. Bukannya selalu. Hari ini, Nik cuti. Sebab itulah….”
“Hmmm… manjakanlah sangat isteri tu. Sebab tu naik lemak. Kerja rumah satu apa pun tak boleh. Cuci pinggan pun mumy tak pernah nampak apatah lagi tolong mumy dekat dapur ni. Senang-lenang betul isteri kamu tu ya, Nik.” Laju saja dia mencantas percakapan anaknya itu. Semakin pedas sindiran yang dilontarkan oleh Datin Masdira. Lama-lama boleh bengkak hati mendengarnya.

Sufi menayangkan wajah masam. Tangan dibawa bersilang ke dada. Sejak sebelum mereka berkahwin lagi, dia memang tidak boleh sekepala dengan ibu mentuannya itu. Bapa mentuanya pula sudah seperti orang bisu. Jarang sangat nak dengar dia bercakap.

“Mumy… Nik tak nak gaduh. Janganlah macam ni. Bukan selalu Nik nak bawa isteri Nik keluar. Selalu kami sibuk dengan pekerjaan masing-masing.”

Datin Masdira mencebik. Malas dia mahu melayan anak dan menantunya itu. Hatinya sudah tawar. Rajuk di hati tiada siapa yang boleh dipujuk. Dari dulu lagi, dia tidak berminat anak tunggalnya itu berhubungan dengan Sufi Ajmina. Dia sendiri dapat merasakan negative vibes daripada menantunya itu. Ikutkan hati, mahu saja dia mengahwini Nik dengan anak angkatnya, Rose Amia yang mungkin sebaya dengan Sufi.

Nik melepaskan keluhan kecil melihatkan Datin Masdira yang sudah berlalu ke dapur meninggalkan mereka dengan wajah masamnya. Genggaman tangannya diperkemaskan sebelum menyusun langkah keluar dari rumah.

“You jangan ambil hati dengan mumy, ya. Macam tak tahu mumy tu macam mana.” Pujuk Nik.

Sufi tidak menjawab sebaliknya memboloskan tubuhnya masuk ke dalam kereta dengan hati yang penuh sebal. Terherot-herot bibirnya menyumpah-serana ibu mentuanya itu.

Macamlah kau tu bagus sangat nak perli-perli aku macam tu. Anak kau elok aje. Tak ada nak marah aku. Kau pula yang panas. Dasar orang tua tak sedar diri.

Sepasang kasut yang boleh menghasilkan cahaya berwarna-warni diambil dari dalam rak kasut sebelum diletakkan di atas lantai halaman rumahnya. Hari ini, Shafik sudah berjanji akan membawanya ke Taman Tasik Titiwangsa bersama dengan kawan baiknya, Qafel Aswad yang seusia dengannya.

“Ifa, mana ayah Ifa? Tak shampai-shampai pun ayah awak tu.” Petah Qafel mengajukan soalan kepada Syifa. Dia turut memakai sepasang kasut berwarna putih pada kedua-dua belah kakinya.

“Shekejap lagi ayah shampailah tu. Cuba awak bawa bershabar sikit. Shabar tu kan separuh daripada iman.” Syifa menggelengkan kepalanya. Gelagatnya yang comel tu mengundang tawa kecil dari Qafel. Mereka sememangnya seperti belangkas sejak dua tahun yang lalu. Qafel seorang yang ramah mesra dan suka mengusiknya. Kerana itu semakin lama mereka semakin rapat.

Di mana ada Syifa, di situ ada Qafel.

“Anak ayah yang cantik dan kacak ini. Bersemangat betul. Ayah baru aje sampai, dia dah siap berkasut.” Shafik ketawa. Tubuh kecil Syifa dan Qafel dibawa ke dukungannya. Pipi labuh anak-anak kecil itu diciumnya dengan penuh sayang dan mesra.

“Kita owang tak tak shabar nak pergi taman tasik, ayah.” Ujar Syifa sambil melabuhkan punggungnya di atas bahu Shafik. Qafel pula menepuk-nepuk tangannya.

“Nenek mana?”

“Nenek tengah mengaji. Nenek dah tahu yang kita nak keluar, ayah. Nenek kata, malam nanti makan shama-shama.”

Shafik sekadar angguk saja lalu dia melangkah ke keretanya yang diparkir di bahu jalan. Kedua-dua tubuh anak kecil itu dimasukkan di tempat duduk belakang. Sempat lagi dia berpesan kepada dua orang cilik agar memakai tali pinggang keledar untuk menjaga keselamatan mereka.

“Wah, cantiknya taman tasik ni ayah!” sorak Syifa sambil berlari-lari anak. Sesekali dia melompat penuh keterujaan sambil memegang tangan Qafel.

Shafik tertawa kecil. Kepala dibawa angguk sekali.

“Cantik, kan? Dah lama ayah teringin nak bawa anak ayah ke sini. Alhamdullilah dapat juga memandangkan ayah cuti dua hari.”

“Bolehlah ayah main dengan Ifa dan Afel.”

“Boleh, sayang.” Kepala Syifa dan Qafel diusapnya dengan senyuman lebar. Gembira hatinya melihat senyuman yang terpancar pada dua ulas bibir anak-anaknya itu.

“Ayah, Ifa nak main buaian dengan Afel dekat sana tu.”

Shafik tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Punggung didudukkan di atas sebuah bangku yang berhadapan dengan buaian itu.

“Baik-baik main. Jangan lari-lari nanti jatuh.” Pesan Shafik.

“Baik, ayah! Jom, Afel!” Tangan Qafel ditariknya sehingga ke buaian itu sambil bergelak-tawa bersama.

Shafik hanya kekal tersenyum memandang dua cilik itu bermain buaian.

“Assalamualaikum, kau… Shafik, kan?”

Shafik tersentak. Suara itu seperti dia kenal walaupun sudah tiga tahun berlalu. Kepala didongakkan bagi dapat melihat wajah si empunya suara yang menegurnya itu.

“Waalaikumussalam. Oh, Nik. Ya, aku Shafik. Ada apa?” soal Shafik dengan nada tidak senang. Takut-takut lelaki itu mahu mengambil Syifa daripadanya. Sama sekali dia akan melarang. Sekali pun dia tak akan biarkan Syifa terlepas pada tangan orang yang telah membuang anak itu.

“Alhamdullilah. Doa aku termakbul. Aku tak sangka dapat jumpa dengan kau lagi, Shafik. Aku dah lama cari kau. Aku minta ampun dan maaf dekat kau. Aku sedar yang aku banyak dosa dengan kau.”

Shafik terdiam. Sangkaannya meleset. Mati-mati dia fikirkan Nik mahu merampas Syifa daripadanya.

“Kau nak jumpa dengan aku semata-mata nak minta maaf?” soal Shafik sedikit ragu-ragu.

Nik senyum tawar. Dia sedar bukan senang memohon kemaafan daripada orang yang telah dia sakiti tiga tahun yang lalu. Dia sedar yang dirinya dulu seorang yang jahil. Tak sepatutnya dia menyakiti orang yang telah sanggup menggadaikan maruah demi dosa dia dan Sufi.

“Ya, Shafik. Aku tahu bukan senang nak maafkan orang yang telah buat kita. Cuma, aku nak kau tahu. Aku selalu doa supaya dapat berjumpa dengan kau lagi. Tak sangka hari ini kita berjumpa.”

Shafik senyum.

“Aku dah lama maafkan korang. Alhamdullilah, semua tu ada hikmah. Allah dah bagi aku kebahagiaan bersama anak syurga.”

Nik tersentak. Dahinya sedikit berkerut. Mungkin kurang faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Shafik sebentar tadi.

“Apa maksud kau?”

“Aku bahagia dengan Syifa. Dia yang telah menyembuhkan hati aku daripada menderita. Sama seperti namanya.”

Nik terdiam. Baru dia teringat akan anak kandungnya yang ditinggalkan tanpa belas kasihan. Ditinggalkan waktu usianya baru saja mencecah setahun. Tergamak dia dan Sufi meninggalkan anak yang datang dari hasil buatan mereka sendiri.

“Ayah, Ifa dengan Afel haush. Nak air boleh tak?”

“Dengan aiskrim boleh tak, ayah?” Qafel mencelah.

Nik dan Shafik serentak menoleh.

“Kesian anak-anak ayah ni. Puas dah main sampai haus, ya? Jomlah.” Shafik tidak betah mahu berlama-lama di situ dengan kehadiran Nik. Entah kenapa dia rasa tidak sedap hati. Takut-takut apa yang difikirnya menjadi realiti.

“Ini Syifa?” soal Nik sambil cuba mengelus wajah anak perempuannya itu. Namun sayang, Syifa terus menyorok di belakang tubuh Shafik. Dia tidak berani mahu mendekati orang yang dia sendiri tidak kenal. Dari kecil dia sudah ajar oleh Shafik dan Puan Serimah.

“Biy, mana you pergi ni? Penat I cari you. I suruh you tunggu depan tandas awam tu. You boleh pula tinggalkan I macam tu je?” marah Sufi.

Sepi.

Sufi berkerut. Anak matanya berkalih ke arah hadapan. Dirinya tercengang melihat Shafik dan juga Syifa.

“Sha… Shafik?”

Shafik hanya senyum. Walaupun hatinya ketika itu berasa sakit melihat Sufi Ajmina yang berada di hadapannya. Susah untuk dia melupakan gadis itu walaupun dicuba saban hari. Selama tiga tahun, dia berkerja keras mahu menutup segala tentang gadis itu namun dia gagal pada hari ini. Kerana cintanya pada Sufi Ajmina tetap teguh sehingga ke hari ini. Dia sudah menyayangi Sufi sejak mereka diijabkabulkan.

“Ni siapa ayah?” soal Syifa setelah sekian lama mendiamkan diri. Dari tadi dia hanya memerhati begitu juga dengan Qafel yang berdiri di sebelahnya.

Shafik memejamkan matanya sesaat sebelum dicelikkan semula. Tubuh Syifa didukung manakala tangan Qafel dipimpin.

“Saya minta maaf. Saya kena gerak dulu. Ada rezeki kita berjumpa lagi. Assalamualaikum.” Shafik melajukan langkahnya supaya cepat-cepat dapat menjauhkan diri daripada mereka. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan Sufi. Terlalu bisa hatinya.

“Biy… itu…” Tersekat-sekat Sufi mahu menyoal. Susuk tubuh Shafik sudah semakin menjauh daripada mereka.

“Ya. Itu Shafik. Dan itu anak kita.” Lirih nada suara Nik menjawab. Dia dapat merasakan yang Shafik tidak selesa berjumpa dengan mereka. Mungkin kerana itu, Shafik mahu bergegas pergi meninggalkan mereka.

“Anak kita…” Perlahan saja suara Sufi mengulangi ayat terakhir Nik. Entah kenapa, hatinya berasa sayu apabila tidak dapat menyentuh anak gadisnya itu. Sedangkan sudah tiga tahun dia meninggalkan Syifa bersama Shafik.

Kenapa baru sekarang hatinya terasa sakit?

Apa kaba ba semua? Saya harap semuanya dalam keadaan baik baik saja. Stay safe semuanya. Maafkan saya lama menghilang disebabkan kerja yang tak pernah habis. Harap readers semua tak marahkan saya. Terima kasih sebab sudi tunggu saya update. Insya-Allah doakan saya dapat update hari hari seterusnya. Assalamualaikum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience