13: Inginkan Dia

Others Series 3177

Angin malam masih terasa di kulitnya saat Queen menanggalkan helmet dan menyerahkannya kepada Elias. Dia memandang sekeliling, matanya memerhati bangunan kondo sederhana yang berdiri teguh di hadapannya. Tidak terlalu mewah, tidak juga terlalu daif—cukup selesa untuk seseorang yang tidak suka menonjol.

Elias berjalan mendahuluinya, menekan kod pintu sebelum membukanya luas. Queen melangkah masuk, matanya terus meneliti ruang itu.

Ringkas. Bersih. Sunyi.

Dinding bercat kelabu pudar, perabot minimalis dengan warna neutral yang hampir membosankan. Sofa kulit hitam diletakkan menghadap televisyen yang terpasang dalam mod standby. Sebuah meja makan kecil dengan dua kerusi tersusun rapi di sudut. Tiada sebarang perhiasan berlebihan, hanya satu rak buku sederhana di tepi dinding.

Tiada gambar. Tiada barang peribadi yang benar-benar menceritakan siapa Elias.

“Tak sangka tempat kau… normal,” Queen bersuara, matanya masih menjelajah setiap sudut.

Elias hanya mengangkat kening. “Kau harap apa? Singgahsana raja?”

Queen tersenyum tipis. Dia menanggalkan jaket dan melangkah lebih dalam ke ruang itu. Sepatu tumit tingginya berdetik halus di lantai kayu. Sekilas, dia memerhatikan Elias yang sedang meletakkan kunci dan dompetnya di atas meja konsol.

Sementara lelaki itu sibuk, tangan gatalnya mula bertindak.

Queen menolak satu pintu yang terbuka sedikit. Bilik kecil dengan rak penuh fail dan beberapa komputer. Cahaya skrin monitor yang masih menyala memberitahu dia baru sahaja meninggalkan ruang itu.

Ofis mini. Tak ada yang mencurigakan.

Dia bergerak ke pintu seterusnya. Kali ini bilik tidur. Katil king-size tersusun kemas dengan cadar putih polos, seolah-olah tiada sesiapa tidur di situ. Sehelai jaket kulit tergantung di belakang pintu, dan sebuah jam tangan tersadai di atas meja sisi.

Matanya sempat menangkap satu beg pakaian yang tidak berzip sepenuhnya di atas lantai. Beberapa helai baju kelihatan di dalamnya, seakan Elias sentiasa bersedia untuk pergi bila-bila masa.

Queen mengerut dahi.

Satu perasaan aneh mula merayap ke dalam dirinya.

Tapi sebelum dia sempat menyentuh apa-apa, suara Elias bergema dari belakang.

“Kau nak cari apa sebenarnya?”

Queen tersentak. Dia menoleh, mendapati Elias sedang bersandar di pintu dengan tangan bersilang di dada.

Senyumannya tidak pernah lekang. “Mana tahu kau simpan seorang dua reporter dalam bilik.”

Elias menghela nafas panjang, seakan sudah menjangka jawapan itu. “Aku boleh jamin, kalau ada orang bersembunyi dalam rumah ni, dia takkan hidup lama.”

Queen tergelak kecil, tapi jauh di sudut hatinya, dia tahu lelaki itu mungkin tidak bergurau.

Elias berjalan ke dapur, langsung membuka peti sejuk tanpa ragu. Cahaya putih dari dalam peti menerangi wajahnya yang tenang.

“Kau nak makan apa?” soalnya sambil merenung isi peti.

Queen bersandar pada kaunter dapur, tangannya disilangkan di dada. “Tak nak.”

Elias menjungkit kening. “Kau yakin?”

Queen mengangguk, tetap mengekalkan ekspresi acuh tak acuh.

Tapi saat kata ‘makan’ bergema di udara tadi, perutnya—yang sudah lama menahan lapar—tanpa belas kasihan mengeluarkan bunyi halus.

Sial.

Dia segera berdehem kecil, berharap Elias tidak mendengar. Tapi malangnya, lelaki itu sudah menoleh dengan senyum separuh mengejek.

“Dah lapar, cakap je.” Elias menutup peti sejuk dan berjalan ke kabinet. “Aku tak bunuh orang yang kelaparan.”

Queen mendengus perlahan. “Aku tak lapar.”

Elias hanya menggeleng perlahan, seakan tak percaya. “Duduk.”

Queen mengetap bibir. Dia bukan jenis yang mudah mengikut arahan orang lain, tapi ada sesuatu dalam nada suara Elias yang membuatkan dia tidak mahu melawan kali ini.

Dia menarik salah satu kerusi di meja makan dan duduk tanpa banyak bicara, tapi tetap dengan wajah selamba, pura-pura tak kisah.

Sementara itu, Elias mula mengeluarkan bahan dari peti sejuk dan dapur. Matanya fokus, tangannya lincah menyusun beberapa barang di kaunter.

Queen menatapnya dari jauh.

Lelaki ini… tahu masak? Interesting.

Satu skeptisisme menari di benaknya. Dia selalu membayangkan lelaki seperti Elias—yang hidup dengan motosikal dan tak suka terikat—makan apa saja yang cepat dan mudah. Makanan instant. Bungkusan takeaway. Atau paling tidak, roti dengan peanut butter.

Tapi kini, dia sedang melihat seorang lelaki yang membuka telur dengan satu tangan dan mula menghiris bawang dengan begitu cekap.

Queen menyandarkan dagu di telapak tangannya.

Menarik.

Elias memotong sayur dengan cara yang terlalu natural untuk seseorang yang tak pernah masuk dapur. Tidak ada pergerakan canggung atau teragak-agak. Segalanya lancar, seperti sesuatu yang sudah biasa dia lakukan.

Tak sampai beberapa minit, aroma tumisan mula mengisi udara.

Queen mengerutkan dahi sedikit.

…Baunya sedap.

Tapi dia tetap diam. Ego masih menebal.

Elias menoleh sekilas, seakan tahu dia sedang diperhatikan. “Kalau kau nak tanya, tanya je.”

Queen menjungkit bahu. “Aku tak nak tanya apa-apa.”

Elias ketawa kecil. “Tak payah pura-pura. Aku dengar perut kau tadi.”

Queen tersentak sedikit, lalu menundukkan wajah.

Sial betul.

Untuk pertama kalinya, dia benar-benar rasa malu.

Empat puluh minit kemudian, makanan dihidangkan di atas meja.

Ringkas—nasi putih, semangkuk sup ayam dengan taburan daun bawang, dan telur dadar yang digoreng sempurna keemasan.

Aroma hangat memenuhi ruang makan kecil itu, menusuk deria Queen tanpa belas kasihan.

Dia menelan air liur perlahan.

Sial.

Tak boleh. Tak boleh tunjuk yang dia terliur dengan makanan ni.

Elias duduk di hadapannya, tenang seperti biasa. Tanpa berkata apa-apa, dia menyenduk sup ke dalam mangkuk kecil, kemudian mencubit secebis telur dadar dengan sudu.

Dan sebelum Queen sempat mengelak, sudu itu sudah diangkat ke hadapan bibirnya.

“Buka mulut,” arahnya.

Queen mengerutkan dahi. “Tak nak.”

Elias tidak berganjak. “Buka.”

Queen mengetap bibir, menjeling tajam. “Aku cakap aku tak lapar.”

Elias bersandar santai di kerusi, tapi sudu itu tetap di tangannya. “Kalau tak lapar, kenapa kau telan air liur tadi?”

Queen tersentak sedikit. “Aku—”

“Tengok, buat lagi,” Elias mencelah, senyum separuh mengejek.

Queen merengus kecil. “Benda biasa. Reflex.”

Elias mendekat sedikit, mencondongkan badannya ke arah Queen. “Reflex atau tak, aku takkan turunkan sudu ni sampai kau makan.”

Queen masih diam. Ego dan lapar bertarung dalam dirinya.

Lama mereka bertatapan, mata Elias tenang tapi tegas.

Akhirnya, Queen mengeluh perlahan, menyerah. Dia membuka mulut dengan malas, membiarkan Elias menyuapnya.

Sudu itu menyentuh lidahnya.

Suapan pertama.

Queen mengunyah perlahan.

Dan tiba-tiba—

Satu perasaan aneh menghentam jiwanya.

Rasa ini…

Rasa yang sudah terlalu lama hilang.

Dia terdiam seketika, membiarkan rasa sup ayam itu meresap ke dalam memorinya. Lembut, hangat, sedikit masin, tapi cukup untuk memberi ketenangan.

Di suatu tempat dalam fikirannya, memori yang sudah berhabuk berputar kembali.

Seorang wanita dengan apron lusuh. Wajah lembut dengan senyuman yang selalu menenangkan. Tangan yang mengacau sup di dalam periuk sambil bersenandung perlahan.

“Queen, mari makan.”

Suara yang sudah lama tidak didengarnya.

Belasan tahun yang lalu, sebelum ibunya meninggal.

Queen menggenggam hujung bajunya sendiri. Hatinya tiba-tiba terasa berat, matanya mula terasa panas.

Sial.

Dia tunduk sedikit, cuba menahan perasaan yang tiba-tiba membuak.

Tapi Elias perasan.

Dari seberang meja, lelaki itu melihat perubahan kecil pada wajah Queen—rahang yang menegang, kelopak mata yang sedikit berkedip lebih lama dari biasa.

Elias tidak berkata apa-apa.

Dia hanya diam, menunggu.

Makan malam selesai dalam diam.

Queen tidak banyak bercakap. Elias juga tidak bertanya.

Selepas mengangkat pinggan ke sinki, Queen terus melangkah ke koridor ruang tamu. Balkoni kecil di tingkat sederhana ini menghadap jalan utama, lampu-lampu kota berkelipan di kejauhan. Angin malam menyentuh pipinya, menenangkan sedikit perasaan yang masih berkecamuk.

Dia mengeluarkan sekotak rokok dari dalam beg tangan, menarik sebatang dan menyalakan api dengan gerakan yang sudah biasa.

Sedut.

Asap putih berkepul keluar perlahan dari bibirnya.

Tapi belum sempat dia habiskan separuh batang, rokok itu tiba-tiba dirampas dari tangannya.

Queen tersentak. “Hey—!”

Elias, yang entah sejak bila sudah berdiri di sebelahnya, memutar rokok itu di antara jarinya sebelum mematikannya dengan satu tekanan perlahan ke dinding balkoni.

Matanya jatuh kepada Queen, pandangan tenang tapi jelas mengandungi maksud. “Jangan merokok.”

Queen mendengus, bersandar ke dinding dengan tangan bersilang. “Jangan merokok?” Dia ketawa sinis. “Sejak bila kau jadi macam ni? Polis moral?”

Elias tidak menjawab. Hanya memandangnya dengan pandangan yang sukar dibaca.

Beberapa saat berlalu, sebelum lelaki itu akhirnya bersuara.

“Queen.”

Nada Elias kali ini lebih serius, sedikit dalam.

Queen memandangnya dari ekor mata.

“Aku nak tanya sesuatu,” kata Elias.

Queen tidak menyahut, tapi diam menunggu.

“Adakah kau…” Elias menghela nafas perlahan. “Pernah ada perasaan pada aku?”

Queen langsung tidak bergerak.

Soalan itu tidak dijangka.

Untuk seketika, hanya bunyi angin yang berhembus di antara mereka.

Queen kemudian mengalih pandangan, merenung jauh ke jalanan di bawah.

Senyap.

Tapi Elias masih menunggu jawapan.

Akhirnya, Queen menghela nafas perlahan sebelum mengangkat dagunya sedikit, mata separuh mencabar.

“Kenapa nak tahu?”

Elias tidak segera menjawab.

Queen menyambung, suaranya masih datar, tapi ada nada tajam di hujungnya.

“Kau tahu kan… aku ni digelar perempuan tanpa nafsu?”

Elias diam.

Queen tersenyum nipis, tapi senyuman itu lebih kepada sarkastik.

“Aku tak rasa sensasi dari seorang lelaki.” Dia mengangkat satu kening. “Jadi kau rasa… aku boleh suka kau, Elias?”

Dia memandang lelaki itu dengan mata yang sukar dibaca.

Sebuah cabaran tersembunyi dalam soalan itu.

Dan Elias hanya berdiri di situ, memandangnya lama.

“Berhenti main-main, Queen.”

Suaranya lebih perlahan, tapi tegang. Matanya tajam, seolah-olah cuba mencari sesuatu dalam diri Queen yang dia sendiri tak pasti.

“Adakah kau pernah, walaupun sekejap, rasa sesuatu pada aku?”

Dia menelan. “Atau aku ni cuma hiburan untuk kau?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience