Bab 6

Romance Series 63286

Zayan berdiri di hadapan tingkap besar pejabat, memerhatikan pemandangan kota yang berkelipan di bawah. Bangunan-bangunan pencakar langit bersinar dengan cahaya neon, jalan raya sibuk dengan kenderaan yang tidak putus-putus mengalir. Suasana malam Kuala Lumpur seperti biasa—hidup dan bertenaga.

Tangannya secara automatik mencapai telefon dalam poket seluar. Dia berfikir sejenak sebelum akhirnya menaip mesej.

"Kau sibuk?" Zayan menekan butang hantar.

Tidak sampai satu minit, mesej dibalas.

"Apa kau nak?"

Zayan tersenyum nipis. Itu Zareen—kasar, langsung tak berbasa-basi.

"Aku ada kerja untuk kau."

Hampir lima minit tiada jawapan. Zayan tahu kakaknya sedang mempertimbangkan tawaran itu. Dia boleh membayangkan Zareen sedang berbaring di sofa dengan telefon di tangan, mungkin sambil mengunyah sesuatu.

Kemudian, mesej masuk.

"Bayarannya?"

Zayan tergelak kecil. Tak habis-habis pasal duit!

"Aku belanja kau bahulu satu balang. Deal?"

Beberapa saat kemudian, mesej masuk lagi.

"Aku nak burger daging cheese."

Zayan menghela nafas panjang. Duit, makan, duit, makan. Itu saja yang ada dalam otak Zareen.

"Bayarannya lumayan tak?" soal Zareen lagi, nadanya lebih serius kali ini.

Zayan memandang fail di tangannya. "Nanti kau tanyalah sendiri dekat HR. Aku tak pasti."

Dia menyimpan semula telefon ke dalam poket seluar. Serentak dengan itu, pintu pejabat Hadif dikuak. Hadif melangkah keluar, menjinjit briefcase di sebelah tangan dan memegang kotnya di sebelah lagi. Ivan, yang duduk di kerusi, segera bangun.

Mereka bertiga keluar dari pejabat menuju ke lif sebelum turun ke tempat parkir. Ketiga-tiga mereka masuk ke dalam Audi RS7, dengan Zayan di tempat pemandu.

Dari cermin sisi, Zayan perasan sebuah SUV hitam terparkir kemas tidak jauh dari mereka. Enjinnya masih hidup, menandakan ada seseorang di dalamnya. Nampaknya, mereka sedang diperhatikan.

Zayan melirik ke arah Ivan di sebelahnya. Mereka saling berpandangan, masing-masing membaca situasi. Kemudian, mereka memandang Hadif melalui cermin pandang belakang. Adakah lelaki itu menyedari mereka sedang diekori?

Hadif berpura-pura memejamkan mata. Namun, hakikatnya, sejak mereka keluar dari lif tadi, dia sudah menyedari kehadiran SUV hitam itu. Sengaja dia tidak memberitahu apa-apa kepada Ivan dan Zayan.

SUV hitam itu… sama seperti yang pernah mengekori Hadi sebelum ini.

Zayan menggenggam stereng dengan lebih erat, matanya sesekali mencuri pandang ke cermin sisi. SUV hitam itu masih di situ, enjinnya tetap hidup.

“Ada orang ikut kita,” Ivan bersuara perlahan, sekadar mengesahkan apa yang sudah mereka tahu.

Zayan tidak menjawab. Dia sekadar menekan pedal minyak, membawa Audi RS7 keluar dari parkir dengan kelajuan sederhana. SUV hitam itu masih di tempatnya. Tidak bergerak.

Mereka memasuki jalan utama, menyusuri lebuh raya yang diterangi lampu jalan yang suram. Hadif masih berpura-pura tidur di tempat duduk belakang, tetapi Zayan tahu dia sebenarnya berjaga dan membaca situasi.

Beberapa minit berlalu. Jalan lengang. Zayan memerhati cermin belakang. SUV hitam itu kini bergerak. Perlahan-lahan, ia memasuki laluan yang sama dengan mereka.

“Ivan, kau tengok plat nombor dia,” arah Zayan.

Ivan mengintai melalui cermin sisi, berusaha mengecam nombor kenderaan itu. “Tak jelas. Cermin depan dia tinted gelap. Aku tak nampak siapa dalam tu.”

Zayan menghela nafas panjang. “Aku nak cuba uji dia.”

Tanpa memberi amaran, dia menekan pedal minyak, Audi RS7 meluncur laju di atas lebuh raya. SUV hitam itu turut memecut.

“Confirm kita diekori.”

Hadif membuka matanya. “Sama dengan SUV yang ikut Hadi dulu.”

Zayan dan Ivan berpandangan. Jadi, bukan kebetulan. Bukan pemandu sesat yang tersilap jalan. Ini memang satu bayangan yang sedang memburu.

“Sampai bila kau nak biar mereka ikut?” tanya Ivan.

Hadif bersandar ke belakang, tenang. “Bawa kita ke tempat yang lebih terbuka. Aku nak tengok berapa jauh mereka berani pergi.”

Zayan mengangguk dan segera membelok ke simpang yang menuju ke pusat bandar. Lampu neon dari papan iklan memantulkan cahaya di atas jalan basah akibat hujan petang tadi.

SUV hitam itu masih mengekori, tetapi dengan lebih berhati-hati. Seolah-olah mereka tahu kini mereka telah dikesan.

Telefon Zayan bergetar dalam poket. Dia mengeluarkannya—mesej dari Zareen.

"Burger aku mana?"

Zayan tersenyum nipis. Dia mengambil telefon dan merakam voicemail.

"Bersiap. Ambik alat komunikasi dalam bilik aku. Bawa motor kau datang ke lokasi aku hantar sekarang. Ada burger yang kau kena COD." Ivan membulatkan mata. Apa maksud Zayan?

SUV hitam itu semakin menghampiri. Masa untuk bersemuka sudah hampir tiba.

-----------------------

Deruman enjin kedengaran dari jauh. Suzuki Gixxer memotong angin malam dengan kelajuan tinggi, meluncur lincah di antara kenderaan di jalan raya Kuala Lumpur. Zareen menundukkan badan sedikit, tangannya cekap mengawal hendal motosikal. Dia sudah terbiasa dengan kelajuan, sudah lali dengan bahaya.

Talian komunikasi di fon telinganya berbunyi.

"Aku dah dekat simpang. Lokasi?" suara Zareen lantang, tetapi stabil.

Zayan menekan butang di stereng. "Kita menuju ke jalan terbuka. Ada ekor yang tak mahu berpisah."

Zareen tersenyum sinis. "Kau nak aku buat apa?"

"Kau tahu kerja kau," balas Zayan, matanya masih fokus pada SUV hitam yang mengekorinya.

Dalam beberapa saat, Zareen sudah dapat melihat kelibat Audi RS7 yang dipandu Zayan di hadapan. SUV hitam di belakangnya cuba mengekalkan jarak, berhati-hati agar tidak terlalu menonjol.

Zareen memulakan pergerakannya.

Dia menekan klac, menurunkan gear dan menarik pendikit minyak dengan agresif. Gixxer melompat ke hadapan dengan kuasa penuh, menyalip kenderaan lain sebelum menyusup masuk ke lorong kanan dengan pantas.

Dengan satu gerakan tajam, dia membelok dan muncul secara tiba-tiba di sisi SUV hitam itu. Hanya sekejap, tetapi cukup untuk dia mengimbas cermin sisi dan menilai situasi di dalam kenderaan tersebut.

Dua lelaki di hadapan. Seorang pemandu, seorang penumpang. Kedua-duanya memakai jaket hitam.

Zareen bertindak.

Dia menarik brek depan sedikit, membiarkan SUV itu maju beberapa meter ke hadapan sebelum kembali memecut dan memintas mereka dari sisi kiri. Tindakannya sengaja—untuk mengganggu fokus pemandu dan memaksa mereka mendedahkan reaksi.

Di dalam SUV, pemandu mula gelisah. Dia cuba mengekalkan kawalan, tetapi kehadiran Zareen yang agresif memaksanya untuk memperlahankan kelajuan.

Zayan melihat peluang. Dia segera menukar lorong dan kini berada di hadapan SUV itu.

“Buat mereka panik,” arah Zayan melalui alat komunikasi.

Zareen tidak membuang masa. Dia menendang kuat bahagian tepi SUV, menghasilkan bunyi dentuman tajam. Pemandu terkejut, kenderaan itu tersengguk sedikit ke kiri.

"Oi, kau nak mampus ke?!" jerit Ivan dari tempat duduk sebelah.

Zareen ketawa kecil. "Tak, aku nak tahu siapa dalam tu."

SUV itu cuba mengelak dengan menukar haluan ke kanan, tetapi Zareen sudah bersedia. Dia menekan pendikit minyak lagi, memecut ke hadapan dan segera menghalang laluan mereka.

Tindakan itu memaksa SUV untuk berhenti secara mengejut.

Bunyi brek menderu di udara. Beberapa kenderaan di belakang turut memperlahankan kelajuan, tidak mahu terlibat dalam insiden yang tidak dijangka ini.

Zayan berhenti tidak jauh di hadapan. Ivan bersedia dengan pistol di pinggangnya, sementara Hadif masih tenang, memerhati.

Zareen memusingkan motosikalnya, berdiri dengan kaki kanan di tanah, tangan kiri bersandar di paha. Helmetnya masih terpasang, visor separuh terbuka.

“Jadi… siapa yang nak keluar dulu?” soalnya sinis, matanya tajam menusuk ke arah SUV yang kini terperangkap di tengah jalan.

Malam ini, perburuan telah bertukar tangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience