BAB 16

Romance Completed 12087

“Hah? Dua puluh ribu ringgit?” suara Adwan yang sedikit kuat menyedarkan aku dari lena. Aku membuka mata sedikit. Dari celah mata, aku dapat melihat dia sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya.

Di dalam hati, aku dapat mengagak yang Adwan sedang bercakap tentang ganti rugi kereta yang aku langgar dalam kemalangan tempoh hari. Kereta Viva yang aku pandu telah berpusing dan melanggar sebuah kereta Vios yang berada di hadapan aku. Aku tidak pasti sejauh mana kerosakan kereta Vios itu, tetapi kalau tuntutan sehingga 20K pasti teruk impak pelanggaran. Mujurlah nyawa aku masih dipinjamkan untuk terus bernafas di bumi.

Tetapi, mana aku hendak cari duit sebanyak itu? Memanglah insurans kereta aku akan bayar ganti rugi tetapi tidak mungkin jumlah yang dibayar pasti rendah daripada 20K. Dahlah aku tidak bekerja. Duit simpanan pun tak banyak. Hendak harapkan Adwan? Sudi ke dia keluarkan duit sebanyak itu untuk aku? Hati aku ragu.

“Hmmm…” Serius wajah Adwan mungkin sedang mendengar bicara pemanggil di hujung talian. Lelaki itu kalau melibatkan duit, mana dia tak pernah serius.

“Tapi kenapa banyak sangat? Memang betul-betul melampau” balas Adwan sambil merengus kasar. Rambutnya yang sudah dipotong pendek diusap ke belakang.

Aku terus memasang telinga. “Dia ini memang tak habis-habis nak menyusahkan aku” Rungut Adwan. Sempat aku menangkap anak mata Adwan yang menjeling tajam ke arah aku. Entah kenapa kata-kata itu betul-betul menggoreskan perasaan aku. Baru aku tahu rupanya selama ini aku telah banyak menyusahkan nya. Tanpa sedar ada air mata yang mula bertakung di tubir mata. Sakit-sakit macam ini, hati jadi terlebih sensitif.

“Kau nak suruh aku sabar lagi? Aku ini dah lama bersabar dengan perangai dia tu. Tapi kali ini dia dah melampau. Bila melibatkan duit, aku tak boleh tahan”

Gumam Adwan semakin membuatkan hati aku menjadi rawan. Pedihnya kata-kata itu bagaikan belati tajam yang menikam perasaan. Kecuaian aku sehingga menyebabkan kemalangan merupakan kemuncak kesabaran yang tidak mampu lagi digalas oleh Adwan. Ternyata apabila melibatkan duit, diri aku ini tidak akan pernah menjadi pilihannya.

“Aku dah bosanlah. Payah-payah sangat, aku selesai dekat mahkamah sajalah. Lagi mudah kerja aku.” Aku terus terpempan tatkala mendengarkan perkataan mahkamah yang terlucut di bibir lelaki itu. Apa maksud Adwan? Selesaikan di mahkamah? Dia hendak berpisah dengan aku?

Ya ALLAH! Sampai hati Adwan buat aku begini. Tidak cukup kah pengorbanan yang aku lakukan selama ini? Tanpa rungutan aku tinggalkan kerjaya aku. Semuanya aku lakukan kerana rasa cinta aku terhadapnya. Cinta aku ini rupanya tiada langsung harga di mata Adwan.

“Tengoklah, bila keadaan dah mengizinkan nanti. Kau tahulah sekarang ini aku sibuk ulang-alik ke hospital.” Kata-kata Adwan itu seakan memberikan aku dateline. Untuk tempoh itu, aku perlu bersedia. Bersedia untuk menghadapi hari di mana aku bakal di buang jauh dari hidup suami aku sendiri.

Saat itu, air mata aku sudah hampir menitik. Tabahkanlah hati ini. Aku tidak boleh menangis. Aku tidak boleh lemah di hadapannya. Jika dia tidak mampu menghargai aku, tidak perlu aku terus berharap.

Aku kembali merapatkan mata aku apabila menyedari Adwan menghampiri aku yang sedang terlantar di atas katil hospital. Dia sudah selesai bercakap di telefon. Sengaja aku berpura-pura tidur, tidak mahu dia mengesyaki yang aku telah mendengar segala perbualannya.

“Sayang..” lembut suara garau itu memanggil aku. Langsung hilang suara tegang nya ketika bercakap di telefon tadi. Aku membuka kelopak mata aku perlahan-lahan. Adwan sedang memandang aku dengan sebuah senyuman manis terukir di bibir. Bijak dia berpura-pura di depan aku.

“Tie dekat mana ni?” aku menyoal dengan suara yang sengaja diserakkan. Jika Adwan bijak menyembunyikan rasa sebal terhadap aku, aku juga mampu mementaskan sebuah lakonan yang mantap. Kerana hati aku ini telah tersayat pedih. Sakitnya lebih hebat daripada denyut-denyut yang menjalar di seluruh tubuh aku.

“Sayang dekat hospital” tenang Adwan memberitahu aku sambil mengelus-elus jari-jemari aku. Dia mengucup tangan aku dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang? Tidak mungkin aku akan tertipu lagi dengan perlakuan mesranya. Pantas aku segera melarikan tangan aku.

“Sayang lapar? Nak makan?” suaranya yang lembut dan penuh dengan perhatian itu meruntun tangkai hati aku. Kenapa harus jadi begini? Kenapa perlu berpura-pura mengambil berat?

“Tie nak tidur. Tie penat. Abang baliklah berehat” ujar aku. Lantas, aku segera memejamkan mata aku. Dalam ketabahan yang aku ciptakan, dalam rasa kecewa yang menjengah jiwa, ternyata aku masih tidak mampu memandang lama seraut wajah tampan di depan aku ini.

“Sayang berehatlah” balas Adwan perlahan. Aku cuba memujuk diri untuk menyambung lena. Mengharapkan semua masalah berlalu pergi. Mengimpikan ketenangan menjengah diri. Walaupun sukar, dalam kepayahan akhirnya aku tenggelam di bawa arus mimpi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience