BAB 15

Romance Completed 12087

Sejak peristiwa di Mid Valley tempoh hari, hubungan aku dan Adwan semakin dingin. Dingin seperti salju di musim sejuk. Tiada lagi kemesraan yang mengiringi hari-hari kami. Aku merajuk dan Adwan tidak pernah cuba untuk memujuk. Malah, tiada lagi layanan lembut daripada lelaki itu pada aku. Bersama dengan aku, hanya wajah kelam nya yang terpamer. Tidak ubah seperti dipaksa berbuat sesuatu yang dia tidak suka.

“Kenapa dia buat aku macam ni?” tempik aku sambil menghentakkan tangan ke stereng kereta. Tanpa sedar aku menekan pedal. Kelajuan kereta menginjak ke 100 km/j.

Sekurang-kurangnya cubalah yakinkan aku yang dia tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Laura. Aku cuma mahu mendengar penafian daripada mulut Adwan sendiri. Sesungguhnya, penafian itu pasti akan menghilangkan keraguan aku. Tinggi sangat kah permintaan aku ini?

Tetapi, sikap berdiam diri Adwan semakin membunuh kepercayaan aku padanya. Semakin menambahkan curiga di hati aku. Membenarkan segala anggapan buruk yang tersemat di fikiran aku. Dan semua rasa ini membuat hati aku semakin terseksa dan parah terluka.

“Siapakah aku sebenarnya di mata dia?” soal aku lagi kepada diri sendiri. Benarkah cinta Adwan selama ini untuk aku? Jika benar Adwan mencintai dan menyayangi aku, kenapa dia tegar menduakan aku?

Mungkin Laura adalah cinta pertamanya? Dan kehadiran aku ini adalah penghalang dalam hubungan mereka. Terbayang-bayang di ruang mata aku senyuman mesra Adwan pada Laura. Kemudian, muncul pula wajah Adwan yang suram ketika bersama dengan aku. Dua riak wajah itu dilayarkan di depan mata aku silih berganti.

Aku meninggikan kelajuan kereta sehingga mencecah bacaan 120 km/j. Seolah-olah kelajuan itu dapat membantu aku melepaskan rasa kecewa yang terbuku di jiwa.

“Kenapa abang layan Tie macam ni?” saat itu aku sudah tidak mampu mengawal rasa kecewa. Titik demi titik air mata membasahi pipi aku dan mengaburkan pandangan mata aku.

Di kala itu, aku benar-benar hanyut dalam perasaan aku sendiri. Geram, sedih, kecewa bercampur aduk membuatkan jiwa aku semakin tidak menentu.

“Poooonnggggggg!!!”

Bunyi hon yang kuat menyedarkan aku dari amukkan perasan lara yang tidak bertepi. Dalam pandangan yang kabur, aku dapat melihat bayangan treler yang sedang menuju ke arah aku. Tanpa sedar aku telah masuk ke laluan jalan bertentangan. Pantas aku memulas kasar stereng ke kiri. Serentak itu, aku menekan brek secara mengejut. Impak itu membuatkan kereta aku berpusing beberapa kali. Saat itu tiada apa yang terlintas di fikiran aku melainkan mati. Dentuman kuat membuatkan tubuh aku terhentak pada stereng kereta bertubi-tubi. Selepas itu aku tidak sedar apa yang berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience