BAB 6

Romance Completed 12087

Kemalangan yang telah meragut nyawa kedua orang tua aku. Dan sekali gus merubah kehidupan aku dan adik aku Fikah. Ya, pada usia lima tahun aku dan Fikah menjadi anak yatim piatu. Selepas kejadian itu, kami terus dibawa pulang ke kampung halaman ibu ku di Alor Star, Kedah. Di sana kami berdua diletakkan di bawah penjagaan nenek. Walaupun hidup kami serba kekurangan, namun kasih sayang nenek tidak pernah berkurang.

“Saya dan adik tinggal dengan nenek di Kedah” beritahu aku perlahan. Walaupun kejadian itu telah lama berlalu tetapi kepedihannya masih terasa.

“Ibu, kenapa ungkit cerita sedih tu. Lebih baik ibu straight to the point” tingkah Adwan membuatkan Makcik Lara serba salah.

“Maafkan makcik, Umni kalau kamu tak..”

“Tak apa, makcik. Perkara dah lama. Saya dah biasa” pintas aku cepat-cepat mengukirkan senyum. Sempat aku menjeling sekilas kepada Adwan. Apa punya anak lah sound mak dia begitu.

“Abang tengoklah anak abang tu. Bukan main lagi dia membela Umni. Tak boleh nak usik langsung orang kesayangan dia. Pula tu, tak menyempat-nyempat. Tak sabar langsung” adu Makcik Lara kepada suaminya. Pakcik Habib hanya ketawa lepas.

“Biasalah, bila hati dah sayang. Kita pun pernah muda juga dulu kan” sambut Pakcik Habib mengundang gelak tawa seisi tamu. Aku yang mendengar semakin gelisah. Tidak senang duduk dah aku rasakan. Terasa seperti kena roll call pun ada. Aku diletakkan di tengah-tengah dan di sekeliling aku bersusun kakak-kakak senior yang tengah menunggu peluang nak membuli aku.

“Macam ni, Umni. Biar makcik berterus terang sajalah” Makcik Lara berdeham beberapa kali sebelum memulakan bicara yang lebih serius. Aku yang mendengar pun sudah mula kecut perut. Mulalah angin kus-kus bersimpang siur dalam perut ni. Agak-agak kalau aku minta izin nak ke tandas waktu ini aci tak?

“Umni ni dah berpunya ke belum?” soalan maut Makcik Lara membuatkan aku seperti tak cukup oksigen. Soalan jenis apakah ini?

“Err…” aku kematian kata. Sesekali aku tala mata ke arah dapur. Lama pula Wafiah dan Ihsan bertapa di sana. Tak sanggup dah rasanya aku berlama-lama di situ bersama dengan wajah-wajah yang cukup asing ini. Dan dihambat dengan soalan-soalan aneh.

“Umni janganlah salah faham. Niat kami cuma nak tahu sama ada bunga yang sedang diintai kumbang kami ini dah disunting oleh kumbang lain ke belum.” Ujar Pakcik Habib dengan kata-kata yang penuh tersirat maknanya. Bunga ayat itu dah rupa ayat peminangan saja bunyinya.

“Err..belum” balas aku perlahan malu-malu.

“Alhamdulillah” serentak ucapan syukur meletus keluar dari mulut Pakcik Habib dan Makcik Lara. Arham pula aku perhatikan sedang menyiku abangnya yang sudah tersengih bagaikan kerang busuk. Eii.. aku betul-betul tak faham dengan aksi pelik sekeluarga ini di depan aku.

“Kalau begitu, Umni setuju tak kalau kami hendak menyunting Umni sebagai isteri Adwan?” Aku tercengang mendengarkan pertanyaan Makcik Lara yang langsung tidak berkias.

“Errr…” kali ini memang aku tiada jawapan. Tidak pernah terlintas langsung di fikiran aku bentuk soalan begini yang akan ditanya. Kalau diberi pilihan, aku lebih rela menjawab soalan matematik tambahan!

“Orang tua kata, kalau diam tandanya setuju. Macam mana, Umni?” kata-kata Pakcik Habib membuatkan hati aku semakin tidak keruan. Rasanya kurang ajar tak kalau aku jawab tidak setuju? Tetapi kalau benar Adwan ini adalah jodoh yang telah dipilih oleh Ilahi, takkan aku nak menolak?

“Macam mana, Umni? Kamu setuju?” kali ini giliran Makcik Lara pula bertanya.

“Err.. soal jodoh saya serahkan pada nenek” akhirnya aku memilih jalan selamat. Jawapan klise aku berikan.

“Kalau begitu, minggu depan pakcik dan makcik akan datang meminang Umni untuk Adwan. Nanti Umni beritahu pada nenek ya” bicara Pakcik Habib seterusnya membuatkan aku terlopong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience