BAB 13

Romance Completed 12087

Langkah kaki aku pegun di muka pintu Restoran Belanga. Pandangan mata aku tajam menyoroti kelibat seorang lelaki yang sedang tersenyum ceria pada wanita yang duduk berhadapan dengannya. Sesak nafas aku menahan debar di dada. Keadaan restoran yang berhawa dingin seakan tidak mampu menyejukkan hati aku yang mula menggelegak kepanasan ini. Hangat!

“Kak Long, kenapa ini?” tanya Fikah setelah dia menyedari aku yang tiba-tiba berhenti dan tercegat kaku. Dia turut menghalakan pandangan ke tempat yang sama setelah menyedari aku hanya mendiamkan diri.

“Eh, Abang Long!” suara Fikah yang agak lantang bernada ceria mengundang beberapa pasang mata yang turut memandang ke arah kami termasuklah Adwan. Adik aku ini tidak ada perasaan ke? Dia tak sedar ke hati kakak dia sekarang ini tengah hangat membara.

“Jom, Kak Long” dia mengheret tangan aku menghampiri meja yang sedang diduduki Adwan dan wanita itu. Hendak tak hendak terpaksa aku menurut. Dengan penuh keceriaan dia melambaikan tangan ke arah Adwan. Suami aku turut membalas dengan melemparkan senyuman manis. Tetapi kenapa senyuman itu bertukar hambar sebaik dia menghalakan pandangannya pada aku? Mulalah kepala otak aku ini dipenuhi dengan rasa curiga dan tanda tanya.

“Sayang dan Fikah buat apa dekat sini?” soal Adwan berbasa-basi mungkin. Kalau dah namanya menapak masuk ke dalam restoran, takkanlah hendak mandi pula kot. Itu mesti nak sorok rasa serba-salah lah tu. Cakap tadi ada kerja di pejabat. Tiba-tiba tersesat di Mid Valley ni apa kes pula? Tengah makan dengan perempuan cantik dan seksi pula tu! Aku melemparkan jelingan tajam. Geram!

“Fikah nak belanja Kak Long makan mi bandung dekat sini. Ramai kata best!” balas Fikah setelah menyedari tiada jawapan yang keluar dari mulut aku. Langsung tidak menyedari suasana yang tegang di antara aku dan Adwan.

“Siapa ni, Ad?” soal wanita itu mesra. Sempat aku mengerling ke arah perempuan cantik yang sedang tersenyum manja ke arah Adwan. Kenapa mata aku ini berbulu betul tengok aksi lentok perempuan ini.

“Oh..kenalkan ini isteri I, Indah Umniyati dan adik ipar I, Indah Shafikah. Ini…”

“Really? What a big surprise. I tak tahu pun you dah kahwin, Ad. Pandai you sorok, ya. By the way, I’m Laura” pintas wanita cantik bernama Laura ini sambil menghulurkan tangannya yang lembut itu pada aku dan Fikah. Lambat-lambat aku menyambut salamnya. Senyuman di bibir aku entah bagaimana rupa pun aku sudah tidak peduli.

“Jom lah join sekali. Kita orang pun baru nak order ni.” Ajak Adwan. Entah kenapa aku rasakan ajakan Adwan itu seperti tidak ikhlas. Macam ajak-ajak ayam. Mungkin kehadiran kami hanya mengganggu mereka. Mulalah otak aku ini ligat berputar mencari alasan. Dalam otak aku mereka-reka alasan yang dirasakan agak munasabah, telefon bimbit aku berbunyi. Panggilan daripada ibu mertua ku. Bingo!

“Sekejap, ya” aku meminta diri untuk keluar dari Restoran Belanga. Aku perasan mata Adwan yang sedari tadi memandang aku tajam. Sorotan matanya jelas inginkan penjelasan siapakah gerangan pemanggil. Sengaja aku membiarkan dia tertanya-tanya. Rasakan! Ingat dia seorang saja boleh buat aku sakit hati?

“Err…abang. Tie rasa tak dapat nak join abang dan Cik Laura makan sekali. Tie ada hal sikit dengan ibu tengah ari ini.” beritahu aku selepas selesai berbual di telefon dengan ibu mertua aku. Sebenarnya, tiada hal yang penting pun. Ibu cuma mengajak aku makan tengah hari bersama di rumahnya. Daripada aku sakit hati menyaksikan kemesraan suami aku dan Laura, lebih baik aku mengadap muka ibu mertua aku. Sekurang-kurangnya wajah lembut dan keibuan ibu mertua aku dapat menyejukkan hati aku ini.

“Ibu ke yang call sayang tadi?” tanya Adwan tanpa reaksi. Aku hanya membalas pertanyaannya dengan anggukan.

“Err..sorry ya, dik. Fikah belanja Kak Long lain kali ya? Kalau Fikah nak join Abang Long, Kak Long tak kisah. Tapi, Fikah kena balik sendiri lah” beritahu aku sedikit serba salah. Kesian adik aku yang sedang kelaparan ini. Terpaksa dijadikan mangsa keadaan akibat rasa cemburu yang bersarang di hati aku ini. Kak Long minta maaf, Fikah. Kak Long tak mampu nak berlama-lama di sini berlakon pura-pura tidak kisah menyaksikan kemesraan abang ipar Fikah ni. Ujar aku di dalam hati.

“Err..tak apalah. Fikah ikut Kak Long” jawab Fikah akhirnya. Mungkin dia sudah mula perasan dengan ketidakselesaan aku ketika itu.

“Saya minta maaf, ya Cik Laura. Enjoy your lunch” ucap aku sambil menghulurkan tangan menyalami nya. Laura hanya memandang aku dengan senyum mesra. Tidak dapat aku pastikan sama ada senyumannya itu benar-benar ikhlas untuk aku atau sebenarnya menggambarkan perasaan suka hati kerana dapat makan tengah hari berdua bersama suami aku. Bebas tanpa gangguan parasit luar.

“Abang, Tie minta diri dulu. Tie minta izin ke rumah ibu sekejap, ya” tangan Adwan aku salam dan kucup sopan. Marah-marah juga tetapi maruah suami di depan mata ramai perlu aku jaga.

“Bawa kereta hati-hati, sayang. Jangan balik lambat sangat” Pesan Adwan. Aku hanya melemparkan senyuman tawar sebelum berlalu keluar dari restoran itu. Laju langkah kaki ku ayun sehingga meninggalkan Fikah sedikit terkebelakang.

Fikah hanya mendiamkan diri. Memberi ruang kepada aku untuk melayani perasaan. Tanpa sedar setitik air mata aku gugur di pipi. Terkilannya hati ini. Selama ini, berbuih mulut aku memujuk Adwan untuk membawa aku bersiar-siar. Tidak pernah walau sekalipun lelaki itu menunaikan permintaan aku. Kononnya, sibuk dengan kerja. Tetapi, hari ini segala-galanya sudah terbukti. Dengan perempuan lain tak sibuk pula!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience