BAB 14

Romance Completed 12087

Ibu mertua aku sudah berada di ambang pintu apabila aku memarkir kereta di perkarangan rumah banglo setingkat itu. Melihat wajah ceria ibu menghambat keresahan dan kegusaran yang beraja di hati.

“Assalamualaikum. Ibu sihat” sebaik turun dari kereta, aku menghampiri tubuh kecil ibu dan menyalami tangannya.

“Alhamdulillah, ibu baik” kepala aku yang bertudung diusapnya dengan penuh kasih. Terasa kehangatan sentuhan seorang ibu yang sering aku rindu dan dambakan selama ini.

“Hari ini abah kamu tu teringin sangat hendak makan laksa Penang. Tengah ibu masak tadi, teringat pada menantu ibu ini. Ibu tahu itu makanan kegemaran Umni kan?” ceria ibu menyambut kedatangan aku dengan ceritanya. Terharu betul aku dengan layanan ibu mertua aku ini.

“Terima kasih ibu. Ingat juga ibu pada makanan kegemaran Umni ya” aku memeluk bahu ibu erat. Layanan ibu mertua aku ini memang tip top.

“Sayang, Ad tak dapat ikut sekali. Anak lelaki ibu tu memang gila kerja betul. Hari-hari minggu macam ini pun sibuk juga. Ingatkan dah kahwin tu berubah lah perangai tapi rupanya sama juga” aku tersenyum kelat mendengar omelan ibu. Semasa di dalam talian lagi aku telah memaklumkan ibu yang Adwan tidak dapat turut serta. Kalau ibu tahu yang sebenarnya anak lelaki dia sedang bercengkerama dengan perempuan lain, mahunya pengsan ibu mertua aku ini.

“Mana abah, ibu?” soal aku mengubah topik.

“Abah ke surau. Sekejap lagi balik lah tu. Kita tunggu abah lah. Makan sekali” beritahu ibu.

“Okay” Aku hanya menganggukkan kepala bersetuju.

“Sementara itu, jom kita duduk borak-borak dulu” aku hanya menurut. Ibu mertua aku ini memang suka benar berceloteh. Tetapi aku seronok. Seronok menjadi pendengar. Banyak petua yang aku dapat kumpul untuk diamalkan.

“Umni macam mana dengan Ad? Ad layan Umni baik tak?” soalan cepumas ibu mertua aku memang tepat mengenai sasaran. Macam-macam tahu sahaja aku tengah bermasalah dengan Adwan.

“Err..okay. Aa..abang layan Umni dengan baik” gugup aku menjawab. Kalau bab-bab hendak menyembunyikan perasaan ini, memang aku sering gagal. Tetapi tidak mungkin akan memanjangkan kisah rumah tangga aku pada pengetahuan orang lain. Jadi, biarlah aku pendam ia menjadi kisah rahsia di hati.

“Betul ke ni?” tanya ibu ragu-ragu. Nampak sangat aku ini tidak pandai berbohong.

“Betul, ibu. Walaupun hujung-hujung minggu abang selalu sibuk dengan kerja part time tapi dia tak pernah mengabaikan keperluan Umni” balas aku. Memang betul. Selain sikap obsesif Adwan terhadap kerja dan perangai kedekutnya, Adwan tidak pernah gagal menghulurkan nafkah kepada aku. Walaupun tidaklah bermewah, tetapi ia sudah memadai. Cuma, kadang-kadang aku tidak tahan dengan sikap cermat nya. Terlalu sangat teliti sehingga setiap perbelanjaan aliran tunai aku dia hendak tahu.

“Ibu tahu, Ad selalu tiada masa untuk Umni. Kadang-kadang ibu pun tak faham apa sebenarnya yang dikejar oleh si Ad tu. Hari-hari minggu macam ini pun masih lagi hendak buat kerja lebih masa. Hendak kata gaji tak cukup, ibu rasa dah berlebih.” Komen ibu turut mengiakan kata-kata aku.

“Tapi, Umni janganlah ambil hati dengan kesibukan Ad. Anak ibu itu memang dari dulu lagi suka bekerja. Dulu, masa menunggu keputusan SPM, merata-rata Ad bekerja. Nak tengok batang hidung dia di rumah jangan haraplah. Pagi sampai petang dia kerja kedai percetakan. Malam pula ajar tuisyen. Tengah-tengah malam dia join kawan dia jual burger. Masa dia sambung belajar di luar negara, setiap kali cuti semester dia kerja di restoran segera. Kawan-kawan yang sebaya semuanya ambil peluang mengembara atau balik bercuti ke Malaysia.”

Cerita ibu panjang lebar tentang kisah silam Adwan. Dalam hati terselit juga rasa kagum dengan sikap berdikari suami aku. Dengan berlatarbelakangkan keluarganya yang sederhana, sepatutnya Adwan tidak perlu bersusah payah.

“Mungkin abang tak suka menyusahkan ibu dan abah” tutur aku, ringkas memberi kesimpulan.

“Ad memang anak yang baik. Jarang dia menyusahkan kami. Hendak jaga dia pun tak susah. Kalau bab duit, sejak dari zaman sekolah lagi Ad jarang meminta. Kadang-kadang dia langsung tak ambil duit belanja yang kami berikan. Tapi, kalau duit dia. Memang payahlah nak merasa. Cermat sangat. Jauh berbeza dengan si Am. Yang itu pula boros tak ingat kalau berbelanja. Pernah lah juga beberapa kali Am minta duit dengan Ad” kata-kata ibu mertua aku terhenti. Dia sudah tersenyum simpul. Mungkin sedang mengingati saat-saat manis ketika dia membesarkan anak lelaki sulungnya itu.

“Habis tu abang tak kasi ke?” soal aku agak tidak sabar. Di dalam hati sudah mula mahu pesimis. Kalau tengok Adwan yang sekarang, memang sah dia takkan kasi punya.

“Ad kasi tapi jangan harap dia nak beri percuma. Kalau pinjam dia tak kisah sangat. Tapi, selepas tu kena tadah telinga lah kalau lambat bayar. Ibu pun tak tahulah genetik mana yang menurun pada Ad tu. Cermat sangat-sangat” tawa ibu meletus. Aku cuma mampu melemparkan senyuman kelat. Sudah nasib badan, dapat suami berkira macam tu. Nak buat macam mana.

“Tapi, dalam cermat-cermat dia pun, dia tak pernah lupa hulurkan duit belanja setiap bulan pada kami.” Sambung ibu. Kalau bab itu memang aku percaya. Walaupun suami aku itu penjimat orangnya, tetapi dia tidak pernah lokek dalam menunaikan tanggungjawabnya pada keluarga. Termasuklah memberi belanja bulanan kepada nenek dan Fikah.

“Alhamdulillah, itu yang paling penting, ibu. Umni bangga sebab abang tak pernah lupakan ibu dan abah yang melahirkan dan membesarkan dia” tutur aku perlahan. Tetapi sikapnya yang sangat obsesif mengejar duit kadang-kadang membuatkan aku rasa terpinggir. Seolah-olah diri aku ini tiada harga di matanya.

Tiba-tiba ibu menggenggam tangan aku erat. Ibu seakan dapat membaca gelora yang bersarang di hati aku ini.

“Dalam rumah tangga ini, tolak ansur paling penting. Baik buruk pasangan kita kena terima dengan hati yang reda. Gaduh-gaduh manja itu adalah terutamanya tahun pertama perkahwinan. Baru-baru nak cari titik keserasian orang kata.”

Ujar ibu mertua aku sudah memulakan hikayat 1001 rahsia kebahagiaan rumah tangga. Sudahnya aku hanya menadah telinga mendengar setiap kata nasihat dari ibu mertua aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience