BAB 17

Romance Completed 12087

Setelah pulang dari hospital, aku melangkah terhincut-hincut menggunakan tongkat lengan ke dalam bilik tidur. Hampir dua minggu aku ditahan di wad. Mujurlah kecederaan yang aku alami tidak serius. Cuma retak kecil di pergelangan kaki. Luka-luka di badan juga sudah beransur pulih. Namun, luka di hati semakin berdarah dan bernanah pedih.

Sebaik pintu bilik ditolak mata aku bulat memerhatikan beberapa biji beg besar dan kotak-kotak yang disusun bertindan tersadai di atas lantai. Aku membuka salah satu beg besar yang berwarna coklat. Beg yang diletakkan paling atas. Buntang mata aku melihat pakaian aku yang sudah tersusun kemas di dalamnya. Nampaknya Adwan memang sudah tidak sabar untuk membuang aku dari hidupnya. Aku menekurkan wajah ke lantai.

Tidak tahan berdiri agak lama, aku melabuhkan punggung di birai katil. Lalu, aku mengengsot dan meletakkan kepala aku di atas bantal. Perlahan-lahan aku mengiringkan tubuh membelakangi pintu. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Buat kali yang terakhir, ingin aku rasai kehangatan kamar yang pernah menjadi saksi penyatuan di antara aku dan Adwan. Sesungguhnya bilik ini terlalu banyak menyimpan kenangan indah di antara aku dan dia.

Air mata yang aku tahan sejak berada di hospital akhirnya gugur jua. Segala-gala kesedihan dan kepedihan yang aku pendamkan aku alirkan melalui titisan air mata yang merembes keluar. Menangis lah wahai hati. Menangis lah sepuasnya andai ia dapat meringankan beban yang sarat tertanggung di hati ini. Terenjat-enjut bahu aku mengikut rentak tangis yang semakin lama semakin mendayu-dayu.

“Sini rupanya sayang. Abang kan dah pesan, kalau sayang nak ke mana-mana panggil abang. Kaki tu tak baik betul lagi kan” suara membebel Adwan aku biarkan berlalu disapa sepi. Sedaya upaya aku cuba menghentikan tangis yang menggila. Air mata yang menitis ku sapu laju dengan belakang tapak tangan.

“Sayang..” panggil Adwan. Kali ini dapat aku rasakan kehangatan badannya di belakang tubuh aku. Bahu aku disentuhnya lembut dan aku cuma membiarkan. Sentuhan yang mampu menggetarkan perasaan dan menggoncang hebat dada aku. Aku menarik nafas panjang sebelum memulakan kata.

“Izinkan Tie tidur sekejap” ujar aku dengan suara yang sedikit sengau.

“Sayang, kenapa ni?” Mungkin menyedari kelainan suara aku, Adwan cuba menarik tubuh aku menghadapnya. Namun tidak berjaya kerana aku terlebih dahulu mengeraskan badan aku. Aku tidak rela dia menyaksikan ketewasan aku. Tewas dalam memujuk sekeping hati yang telah retak, hanya menunggu masa untuk hancur berkeping-keping.

“Abang, Tie penat. Izinkan Tie berteduh di sini buat seketika lagi” Aku memejamkan mata aku kembali dan cuba mengosongkan fikiran. Hadir lah ketenangan, hadir lah ketabahan.

“Sayang, kenapa pelik sangat ni?” Soal Adwan masih tidak berpuas hati. Kali ini dia sudah berkalih posisi, duduk mengadap wajah aku. Tindakan pantasnya memerangkap aku.

“Sayang menangis?” Soal Adwan lagi. Kesan air mata yang masih tersisa di wajah aku pasti mengundang tanda tanya Adwan. Jari-jemari kasarnya mengelus lembut kulit pipi aku. Tanpa sebab, air mata aku menitis lagi. Lebat dan semakin melebat.

“Hey..kenapa ni?” Adwan menarik aku ke dalam pelukannya. Aku menyembamkan wajah ke dada bidangnya. Di situ aku hambur segala kepedihan dan kekecewaan. Dia hanya diam membisu, membiarkan aku melepaskan tangis sehingga tiada lagi air mata yang mampu aku titiskan. Aku segera meleraikan pelukan tatkala menyedari keterlanjuran aku. Aku tidak sepatutnya menumpang tangis di situ. Bahu itu bukan lagi tempat untuk aku sandarkan kedukaan.

“Kenapa sedih sangat ni?” Tanya Adwan setelah tangis aku reda. Aku mengetap bibir, cuba mengumpul kekuatan. Perlu kah dia ajukan soalan itu kepada aku? Bukankah dia sendiri lebih mengetahui kenapa aku begini.

“Sayang sakit ke?” telah Adwan. Tunak matanya merenung aku dengan segaris kebimbangan di wajahnya. Aku hanya membalas pertanyaannya dengan gelengan.

“Habis tu, sayang risau fasal kereta sayang ke?” tebak Adwan lagi apabila aku hanya bungkam.

“Kalau fasal kereta sayang, abang memang tak dapat buat apa-apa. Dah selamat jadi besi buruk.” Kata-kata Adwan itu menyebabkan aku pantas menggelengkan kepala menidakkan.

“Habis tu, kenapa menangis ni?”

“Mana dokumen yang Tie kena tandatangan?” aku membalas soalan Adwan dengan pertanyaan membuatkan lelaki itu terpinga-pinga.

“Dokumen apa?” Adwan memandang aku pelik. Aku menarik nafas panjang.

“Dokumen penceraian kita” aku menelan liur pahit. Sukarnya untuk menuturkan perkataan itu. Sukar lagi hati ini untuk menerima hakikat perpisahan ini. Setitis air mata aku jatuh membasahi pipi.

“Apa yang sayang merepek ni?” suara Adwan berubah tegang. Wajah itu seperti sedang menahan amarah. Kali ini giliran aku pula memandangnya pelik. Kenapa perlu marah? Bukankah sepatutnya ini perkara yang dinanti-nantikan olehnya?

“Bukankah abang ingin berpisah dengan Tie?”

“Nonsense! That is the most ridiculous thing I’ve ever heard.”

Sukar untuk aku mempercayai jawapan balas yang keluar dari mulut Adwan. Tidak perlu terus berpura-pura untuk menjaga hati ini. Berterus-terang sajalah kerana setiap penafian akan lebih melukakan hati dan perasaan aku.

“Abang tak perlu sembunyikan daripada Tie lagi. Tie dah tahu semuanya” bentak aku perit.

“Abang tak faham. Sekarang, beritahu abang apa yang sayang tahu? Sebab sejujur nya abang sendiri pun tidak tahu” tukas Adwan memandang aku tajam. Jelas wajah itu membahang.

“Abang nak bawa kes kita ke mahkamah kan? Don’t deny it, abang. I’ve heard everything. Semua yang abang cakap dalam telefon dengan kawan abang masa di hospital tempoh hari.” beritahu aku membuatkan suami aku terlopong. Dia bungkam seketika. Namun, tidak lama wajah mendung itu bertukar cerah.

“Oh” hanya sepatah perkataan yang meniti di bibir Adwan semakin membuatkan hatiku menjerut rasa.

“Apa lagi yang sayang dengar?” Soal Adwan kemudiannya.

“Fasal duit 20,000 ringgit yang terpaksa abang dahulukan untuk membayar pampasan ganti rugi kemalangan tu. Tie janji, Tie akan ganti balik duit abang itu secara ansuran” lancar bibir aku memberitahu.

“Lagi?”

“Tie minta maaf kerana telah banyak menyusahkan hidup abang selama ini. Disebabkan Tie, abang terpaksa berhabis beribu-ribu ringgit. Terima kasih kerana sanggup bersabar melayan kerenah Tie yang menjengkelkan ini” talar aku dalam sendu. Hati aku semakin dipagut sedih tatkala mengenangkan yang aku tidak pernah menjadi pilihan hatinya yang paling utama.

“Sayang ini memang kuat berangan dan berkhayal.” Ujar Adwan merenung aku dengan segaris senyuman nipis di bibir. Aku mengerutkan dahi tidak mengerti.

“Inilah sebabnya kenapa sayang berubah dingin terhadap abang semasa di hospital? Abang ingatkan sayang masih marahkan abang fasal Laura” sambung Adwan sambil menggelengkan kepala.

“Sayang… sayang…” senyumannya semakin melebar dan bertukar menjadi ketawa kecil. Entah kenapa hati aku semakin sakit mendengar gelak nya itu. Terasa seperti diri ini yang ditertawakan. Bodoh kah aku kerana telah mencintai lelaki ini dengan setulusnya?

“Abang jangan risau. Saya tidak akan menjadi penghalang lagi di antara abang dan Laura. She deserves to be with you” Aduh! Pedihnya hati ini seperti disimbah asid.

“Abang rasa dah tiba masanya abang betulkan semuanya. Things are getting worst.” Ujar Adwan tenang, namun di dalam hati aku ini sudah seperti tsunami.

“Sayang pakai tudung” arah Adwan sambil menghulurkan tudung bawal kepada aku.

“Buat apa?” Aku memandangnya pelik.

“Abang nak bawa sayang ke suatu tempat. I’ll explain to you everything in the car” beritahu Adwan membuatkan aku semakin tertanya-tanya.

“Kenapa tak…”

“Cepat, sayang. We don’t have much time” pintas Adwan. Akhirnya aku hanya menurut walaupun di dalam benak sarat dengan persoalan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience