BAB 19

Romance Completed 12087

Terbuntang luas mata aku saat melihatkan hiasan dalaman di ruang tamu banglo itu. Berlatarbelakangkan dinding berwarna putih dan feature wall berwarna hitam jelas menunjukkan gaya ringkas dan moden. Perabot dengan kombinasi warna merah, hitam dan putih semakin menambahkan keserian ruang tamu tersebut. Tidak ubah seperti dekorasi yang sering aku lihat di dalam majalah dan televisyen. Malah lebih cantik!

“Cantik!” Hanya itu yang mampu aku luahkan.

“I told you, Ad. She will like it!” Semakin melebar senyuman di wajah Laura.

“And I am glad she like it” ujar Adwan sambil memeluk bahu aku.

“Sekarang, I nak tunjuk kejutan I untuk you all berdua.” Laura bergerak ke ruang istirahat yang menempatkan sebuah televisyen skrin rata dan sofa tiga tempat duduk berwarna putih. Di sebelah sofa itu, terdapat sebuah buai bulat yang digantung terus dari syiling.

“Surprise!” Laura mendepakan tangannya ke arah dinding di belakang sofa yang tergantung pelbagai potret. Aku amati potret itu satu persatu. Bulat mata aku apabila mendapati wajah-wajah di dalam potret itu adalah aku! Pelbagai aksi yang pasti diambil secara candid! Ia disusun seperti sebuah cerita. Bermula dari gambar aku sewaktu berusia belasan tahun sehinggalah gambar aku yang paling terkini.

“This is good, Laura! You are the best!” puji Adwan teruja.

“Do you like it, Umni?” tanya Laura kepada aku. Gila kentang kalau aku tak suka.

“Suka, suka sangat-sangat. Terima kasih, Laura” beritahu aku ikhlas.

“Alhamdulillah. Lega hati I bila you all berdua suka. Ini kira hadiah perkahwinan korang dari I walaupun dah terlambat. Okay lah, I tak boleh lama ni. I nak kena kejar flight lagi ni. So, Ad. You bawak isteri you round by yourself, ya.”

“Thanks, Laura. Have a safe journey” ucap Adwan.

“I pergi dulu, Umni. Enjoy yourself. Ad loves you so much. You are such a lucky girl. I envy you tau.” Bisik Laura sambil menghulurkan tangannya pada aku dan aku menyalami nya.

“Thanks, Laura.” Balas aku terharu. Dia menghadiahkan aku dengan senyuman manis sebelum berlalu pergi.

“So, sayang dah faham kan siapa Laura itu sebenarnya?” Tingkah Adwan apabila hanya tinggal aku dan dia sahaja di ruang istirahat itu. Aku hanya menekurkan wajah aku ke lantai. Ya ALLAH, selama ini terlalu banyak prasangka buruk yang telah aku lemparkan pada suami aku sendiri. Drama air mata dah mula dah.

“Maafkan, Tie” ucap aku dalam nada menyesal. Adwan mengadap tubuh aku. Dia menyentuh dagu dan mengangkat wajah aku memandangnya.

“Tie seorang isteri yang berdosa. Maafkan Tie” ulang aku sekali lagi. Adwan menyapu air mata yang menitik di pipi aku dengan belakang tapak tangannya.

“Never say sorry to me because I always forgive you” Adwan menarik aku ke dalam pelukannya. Dia mengusap-usap belakang badan aku dengan perlahan.

“Laura adalah kenalan abang semasa abang belajar di German dulu. Perjumpaan abang dengan dia semasa di Mid Valley tempoh hari kerana abang hendak bincangkan tentang konsep dekorasi rumah kita ini.” jelas Adwan menyambung kata.

“Kenapa hari ini baru abang jelaskan semuanya?”

“Rumah ini adalah kejutan abang untuk sayang. Kalau abang beritahu awal-awal mestilah kejutan abang akan terbongkar. Dan abang takkan sekali-kali mencipta alasan untuk menipu sayang. So, lebih baik abang diam” jawab Adwan sambil menyentuh dagu aku. Dia mengangkat wajah aku untuk menentang matanya.

“Tie tunggu abang pujuk Tie tau. Tie tunggu abang untuk menafikan hubungan abang dengan Laura. Tapi abang buat tak tahu. Abang biarkan fikiran Tie ini fikir macam-macam. Dah lah layan Tie hendak tak hendak saja” omel aku sambil memuncungkan mulut aku. Aku memukul dadanya manja.

“Siapa yang dingin? Abang ke sayang? Sampaikan dekat bilik tidur pun hendak dingin dengan abang” tanya Adwan membuatkan aku jadi termalu sendiri. Terbit rasa bersalah yang teramat sangat apabila mengenangkan perbuatan aku yang sering mengelak untuk menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri. Berdosanya aku!

“Habis, abang tak pujuk Tie. Perempuan ini fitrah dia memang suka dipujuk” sengaja aku mengungkapkan kata-kata begitu untuk menutup rasa malu aku. Tak nak kalah lagi tu. Masih hendak menegakkan benang yang basah.

“Okay, kalau macam itu abang pujuk sayang dengan hadiahkan rumah ini. So, lepas ini jangan abaikan abang lagi. Abang rindu sangat sayang” pujuk Adwan tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas.

“Maafkan Tie, abang” sesal aku sambil mengemaskan tangan aku di pinggang Adwan. Tidak tertanggung rasanya dosa yang telah aku kumpul sepanjang bergelar seorang isteri.

“Abang maafkan. Always, sayang” Adwan membalas rangkulan aku.

“Rumah ini terlalu mewah buat Tie, abang. Mesti banyak pinjaman yang abang buat untuk membeli rumah ini” ujar aku serba salah sambil meleraikan pelukan. Aku tidak pernah mengharapkan untuk tinggal di dalam mahligai indah ini. Cukuplah dengan kasih sayang dan cinta daripada suami aku.

“Tak adalah banyak sangat. Hasil jimat cermat abang selama ini, abang mampu bayar rumah ini tunai” kata-kata Adwan membuatkan aku terlopong. Gila banyak duit dia ini! Kerja sebagai senior akauntan boleh beli rumah banglo mewah. Tunai pula tu. Agak-agak BPR tak kejar ke laki aku nanti?

“Kenapa? Tak percaya? Ingat abang makan rasuah ke?”

“Abang tak makan rasuah, kan?” soal aku meminta kepastian, walaupun aku tahu Adwan bukan jenis manusia begitu. Tetapi manusia, jika disogokkan dengan wang ringgit kadang-kadang boleh tersasar juga.

“Sayang ni. Abang ini tahu lagi halal haram. Tak ingin abang bagi makan anak bini abang dengan duit haram. Sebenarnya, ini semua hasil titik peluh abang bekerja sejak sekolah menengah lagi” Adwan hanya ketawa lepas. Kata-kata ibu mertua aku kembali terlintas dalam ingatan.

“Kumpul duit sejak SPM?”

“Haah. Selepas SPM abang ambil peluang untuk lakukan semua kerja selagi termampu. Abang hendak kumpul sebanyak mungkin duit. Semua penat lelah, pahit jerih yang abang lalui adalah demi kebahagiaan sayang. Semuanya demi sayang” pengakuan Adwan membuatkan aku melongo.

“Untuk Tie? Tie tak faham” tanya aku memandangnya pelik. Adwan menarik dan menghembuskan nafas panjang.

“Selepas kematian mak dan ayah sayang, kita terpisah. Tetapi abang tidak pernah lupakan sayang. Semasa abang di tingkatan 5, abang dapat jejak sayang melalui Ihsan. Ihsan kawan sekampung sayang di Kedah kan? Sejak itu, setiap perkembangan sayang Ihsan yang maklumkan pada abang. Abang tahu, sayang, Fikah dan nenek hidup susah di sana. Sejak itu abang berazam untuk memberikan kesenangan dan kebahagiaan untuk sayang. Sebab itulah selepas sahaja SPM, abang sanggup lakukan apa saja kerja. Sayang adalah semangat abang untuk bekerja kuat” penjelasan Adwan benar-benar membuatkan aku terkesima. Aku tidak pernah menyangka selama ini, ada seorang lelaki yang sanggup berkorban untuk aku. Melakukan apa saja untuk kebahagiaan aku.

“Abang bukan datang daripada keluarga kaya. Jadi, abang perlu berusaha atas kaki abang sendiri untuk mencari kekayaan. Sebab abang tahu, dengan sedikit usaha kita mampu mengubah hidup. Abang tahu sayang budak pintar dan bercita-cita tinggi. Tetapi kerana kemiskinan, sayang tidak dapat meneruskan pengajian ke sekolah berasrama penuh dan terpaksa bersekolah di kampung. Sebab itu, abang akan cuba mencari duit untuk memastikan sayang tidak gagal mendaftar di universiti” sambung Adwan tenang. Saat itu pandangan mata aku menjadi kabur. Air mata aku gugur lagi.

“Jadi, abang lah orang misteri yang sering masukkan duit ke akaun bank Tie semasa Tie belajar di universiti?”

Anggukan Adwan membuatkan aku ditimpa rasa terharu yang tidak berbelah bahagi. Tidak akan aku lupa jasa seorang hamba ALLAH yang telah memasukkan duit ke akaun bank milik aku di kala aku sudah berputus asa untuk mendaftarkan diri ke universiti. Kerana duit itulah aku telah berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Mujur selepas itu sayang dapat biasiswa kan? Kalau tidak, terpaksalah abang berhempas pulas bekerja sambil belajar untuk menyara sayang abang ini” usik Adwan sambil ketawa halus. Usikan yang langsung tidak mampu menghentikan tangisan aku.

“Janganlah menangis macam ini, sayang. Setiap kali air mata sayang mengalir, hati abang sayu. Abang buat semua ini untuk sayang rasa gembira.” Untuk sekian kali, Adwan mengesat air mata yang jatuh di pipi aku.

“Tie menangis bukan sebab sedih. Ini air mata terharu, air mata gembira yang teramat sangat” beritahu aku dalam sendu.

“Perempuan ini memang kaya dengan air mata kan? Sedih menangis, terharu menangis, marah menangis, gembira pun menangis. Dah, tak nak menangis lagi. Macam mana abang nak bawa sayang tengok ruang dalam rumah ini kalau sayang asyik menangis saja ni” pujuk Adwan sambil mengusap-usap bahu aku.

“Jom, abang bawa sayang ke satu tempat. Abang jamin air mata sayang ini akan berhenti keluar bila tengok tempat ini.” Ajak Adwan sambil memapah tangan aku. Dalam tangisan yang masih tersisa, aku hanya mengikut langkahnya menuju ke satu bilik di sebelah ruang makan.

Mujur juga rumah banglo ini hanya setingkat. Jika tidak, jenuh jugalah aku hendak melangkah terutamanya dalam keadaan kaki aku yang masih belum sembuh sepenuhnya ini.

Apabila tiba di depan pintu bilik itu, Adwan memulas tombol. Rupa-rupanya bilik itu adalah perpustakaan mini, sama seperti yang aku selalu bayangkan selama ini! Aku melangkah masuk dengan perlahan-lahan. Rak-rak buku yang disusun kemas aku perhatikan satu persatu. Semua novel yang pernah menjadi koleksi aku turut berada di situ. Aku juga perasan terdapat novel-novel baru terbaru yang belum pernah aku baca dan miliki. Membuatkan hati aku semakin teruja.

“Dulu abang pernah larang sayang beli novel kan? Bukannya abang tak suka. Sebenarnya kebanyakan novel yang baru keluar di pasaran, abang dah belikan untuk sayang. Tapi abang terpaksalah rahsiakan sebab nak jadikan ia kejutan. Abang tak nak sayang terbeli novel yang sama. Abang tahu sayang terlalu minat membaca novel kan. Takkanlah abang tak nak sokong minat isteri abang ni.”

Lembut suara Adwan menerangkan tindakannya sebelum ini. Kejamnya aku pada waktu itu menuduhnya terlalu berkira dengan aku. Sedangkan apa yang terjadi sebenarnya, suami aku sanggup membeli pelbagai koleksi novel semata-mata untuk memenuhi ruang di perpustakaan mini impian aku ini.

“Tie minta maaf kerana selalu menganggap abang terlalu obsesif pada duit dan terlalu berkira dengan Tie. Maafkan Tie kerana berprasangka buruk pada abang. Tie ingatkan abang lebih sayangkan duit daripada Tie” Mohon aku penuh kesal.

“Duit walau nilainya sekecil-kecil titik perpuluhan tetap penting bagi seorang akauntan seperti abang. Sama jugalah dengan kehadiran sayang dalam hidup abang. Sekecil-kecil perkara tentang sayang begitu besar maknanya buat abang. Percayalah, segala-gala yang abang lakukan adalah demi sayang. Dan jangan sekali-kali samakan sayang dengan duit, kerana sayang tidak ternilai harganya bagi abang” bicara Adwan dengan penuh perasaan.

“Kenapa abang buat semua ini?” tanya aku dalam sendu. Air mata yang mula hendak kering menerobos lagi. Cengeng! Ya, aku memang perempuan cengeng. Harus aku akui itu.

“Sebab abang cintakan Indah Umniyati yang telah ditakdirkan ALLAH sebagai jodoh abang di dunia ini. Dan abang berdoa semoga kita akan dipertemukan juga di akhirat nanti” ungkap Adwan dengan penuh makna.

Bertuahnya diri ini kerana disayangi dan dicintai setulus hati oleh seorang lelaki bernama Muhammad Adwan. Betapa hebatnya anugerah yang ALLAH berikan buat aku, seorang insan kerdil di muka bumi ini. Rupanya, setiap nilai titik perpuluhan yang diambil kira oleh suami aku selama ini adalah semata-mata untuk memberikan kesenangan dan kebahagian kepada diri aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience