BAB 10

Romance Completed 12087

Hari minggu begini seperti biasa aku ditinggalkan seorang diri di rumah dan Adwan berada di pejabat menyiapkan kerja. Sudahlah, hari-hari biasa aku hanya terperap di rumah dengan rutin harian yang sama. Pada awal perkahwinan, aku cuba menyesuaikan diri. Daripada seorang yang berkerjaya hidup aku berubah 360 darjah menjadi suri rumah sepenuh masa. Tetapi, apabila tempoh perkahwinan kami menginjak enam bulan, aku sudah tidak betah menjalani kehidupan yang tidak ubah seperti seekor burung yang terkurung di dalam sangkar emas.

Setelah meminta izin Adwan, aku mengajak Fikah untuk menemani aku bersiar-siar di Suria KLCC. Mujurlah adik aku itu sentiasa ada waktu untuk kakaknya ini. Walaupun aku tahu jadual Fikah padat dengan aktiviti kuliah dan persatuan. Tugas sebagai ahli jawatankuasa tertinggi badan perwakilan pelajar universiti bukanlah mudah. Jika diikutkan hati, aku tidak mahu mengganggu hari minggu Fikah tetapi kali ini hati aku kalah. Jiwa aku benar-benar sunyi. Aku benar-benar memerlukan teman untuk merawat kesepian di hati.

“Terima kasih, Fikah. Sudi teman Kak Long. Mujur ada Fikah, kalau tak jangan harap Abang Long hendak benarkan Kak Long keluar” Beritahu aku ketika kami melabuhkan duduk di atas bangku kayu, berehat melepaskan lelah setelah penat berjalan.

Mahunya tak penat. Awal-awal pagi lagi kami sudah tawaf sekeliling KLCC. Sekarang ini, kami menjelajah Mid Valley pula. Semuanya gara-gara hendak mencari buku rujukan Fikah. Tadi, singgah di Konokuniya, buku itu kehabisan stok.

“No problem lah, Kak Long. Kebetulan hari ini Fikah pun free. Daripada duduk di bilik buat tahi mata, lebih baik Fikah keluar cuci mata.” Balas Fikah tersengih menampakkan gigi taring nya yang berlapis. Gigi itu walaupun susunannya tidak teratur, tetapi itulah sebenarnya tarikan Fikah. Senyumannya tidak pernah jemu dipandang.

“Kan seronok kalau Fikah boleh selalu teman Kak Long macam ni.” Luahan aku membuatkan Fikah memandang aku curiga.

“Pelik betullah Kak Long ni. Orang kalau dah kahwin lebih suka berkepit dengan suami.” Bicara Fikah membuatkan aku tersenyum hambar.

“Memanglah sepatutnya begitu. Tapi, Fikah bukan tak tahu Abang Long tu macam mana. Sibuk memanjang dengan kerja 24 jam. Kak Long bukannya apa, kadang-kadang timbul juga rasa bosan asyik terperap di rumah saja. Di rumah bukannya banyak sangat kerja yang Kak Long boleh buat.” Tanpa sedar sebuah keluhan terlepas dari mulut aku.

“Kalau Kak Long bosan, apa kata Kak Long kerja.” Cadangan Fikah membuatkan aku menggelengkan kepala perlahan.

“Kamu dah lupa ke Fikah? Abang Long kamu tu mana benarkan Kak Long kerja. Dia nak Kak Long jadi suri rumah sepenuh masa” Bukannya aku tidak pernah bekerja sebelum ini. Kelulusan aku dalam bidang kejuruteraan awam melayakkan aku menyandang jawatan sebagai Jurutera Projek sebelum ini. Namun kerana akur dengan kemahuan Adwan, aku akhirnya bersetuju melepaskan kerjaya aku yang baru hendak naik itu setelah bergelar isterinya. Alasan Adwan, dia masih mampu menanggung aku, nenek dan Fikah.

“Agaknya Abang Long hendak Kak Long standby untuk beranak ramai-ramai kot. Yalah, nanti kalau Kak Long dah ada anak tak perlulah serabut kepala fikir nak hantar anak ke mana.” Petah Fikah berbicara. Gadis itu memang agak matang berfikir, tidak padan dengan usia. Mungkin pengalaman hidup kami banyak mengajarnya menjadi seorang yang tabah dan matang dalam mengharungi kehidupan.

“Cepat-cepatlah beranak Kak Long. Tak sabar rasanya nak ada anak saudara sendiri” sambung Fikah ceria.

“Amboi, Fikah ingat beranak ini macam beli barang dekat pasar? Sedap-sedap hati saja boleh order” sela aku sambil menjeling ke arah Fikah yang sedang tersengih.

“Logik lah tu. Fikah order dengan kakak Fikah yang dah kahwin. Tapi kan Kak Long, Fikah rasa lah tak lama lagi dah ni. Usaha kuat sikit lagi Kak Long” usik Fikah sambil menjongketkan sebelah keningnya nakal.

“Huh, kamu ini Fikah bercakap macam orang dah kahwin. Nak Kak Long beritahu nenek suruh cepat-cepat kahwinkan Fikah ke? Dengan siapa tu..haa..Syafiq” pertanyaan aku membuatkan wajah Fikah berubah. Laju dia menggelengkan kepala. Sebut sahaja nama Syafiq yang merupakan teman sekuliah Fikah, pasti reaksi adik aku ini akan bertukar kalut.

“Tahu takut!” ejek aku sambil menghamburkan ketawa halus.

“Err..Kak Long, jom kita singgah MPH sekejap. Fikah nak cari buku Mathematic Discrete ni. Harap-harap jumpalah” Ajak Fikah mengalih topik. Pandai adik aku ini mengelak.

“Fikah pergilah. Kak Long tunggu Fikah dekat sini saja.”

“Kak Long tak nak masuk ke? Selalunya Kak Long pantang tak masuk kedai buku ni” komen Fikah membuatkan otak aku ligat mencari alasan.

“Tak apalah. Kak Long penat. Nak rehatkan kaki sekejap.” Dalih aku membuatkan Fikah melemparkan pandangan pelik kepada aku. Mahunya dia tidak pelik. Sejak di KLCC lagi aku mengelak daripada masuk ke kedai buku. Satu perbuatan yang berada di luar tabii aku sebenarnya.

“Okay” balas adik aku sepatah sambil melangkah masuk ke dalam kedai buku tersebut. Aku tahu apa yang ada di dalam fikiran Fikah walaupun dia tidak meluahkan.

Selama ini, jika singgah di kompleks membeli belah, destinasi utama yang menjadi pilihan aku pastinya kedai buku. Hanya berada di situ mampu membuatkan aku hilang dalam dunia aku sendiri. Aku sanggup menghabiskan masa berjam-jam melepak di kedai buku. Kalau boleh tidur, dah lama aku bawak sekali bantal dan selimut ke situ.

Sebenarnya, aku mempunyai impian untuk membina sebuah perpustakaan mini di dalam rumah aku sendiri. Sebab itulah, sejak di bangku sekolah lagi aku telah mula mengumpul pelbagai koleksi novel. Pasti memberikan kepuasan apabila melihat susunan buku yang teratur di atas rak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience