BAB 18

Romance Completed 12087

Setelah menyarungkan tudung di kepala, Adwan pantas mencempung tubuh aku ke dalam kereta. Beberapa minit kemudian, keretanya meluncur laju menuju ke destinasi yang aku sendiri tidak tahu.

“Ya, kita jumpa di sana. Bye” Adwan membuat panggilan telefon pada seseorang dan hanya pesanan ringkas itu yang meniti di bibirnya sebelum mematikan talian. Dia hendak bawa aku jumpa seseorang kah? Laura? Tebakan hati membuatkan aku menjadi tidak keruan. Aku melemparkan pandangan ke luar tingkap. Ingin aku lontarkan lara di hati ini jauh-jauh.

“Sayang..” panggilan Adwan membuatkan aku menjelingnya sekilas.

“Sebenarnya apa yang sayang dengar semasa di hospital tempoh hari hanyalah salah faham.” Bicara Adwan setelah sepi seketika. Aku hanya menyandar tegak pada kusyen penumpang di sebelah pemandu, tidak memberikan sebarang reaksi.

“Abang bukan bercakap tentang kita. It is about Rahim” penjelasan Adwan membuatkan aku memusingkan tubuh 90 darjah ke arahnya. Rahim? Rakan sepejabat dan merangkap kawan satu universiti Adwan. Seingat aku lelaki hitam manis itu pernah beberapa kali datang berziarah ke rumah kami.

“Rahim ada masalah kewangan kerana tabiatnya yang suka berjudi. Pernah beberapa kali dia cuba pecah amanah kerana masalah hutangnya yang sekeliling pinggang. Mujurlah, setiap kali dia cuba seleweng, abang sempat menghalang. Atas dasar kawan lama, abang beri dia peluang kedua dan pada masa yang sama abang pinjamkan dia duit” cerita Adwan tenang. Aku hanya diam memasang telinga.

“Kemuncaknya apabila Rahim mula berhutang dengan along sebanyak 20,000 ringgit. Kerana tidak tahan diugut, akhirnya Rahim bertekad untuk menyeleweng duit syarikat. Yang paling menyedihkan abang, dia sanggup jadikan abang sebagai kambing hitam.” Keluh Adwan. Suaranya bernada kecewa.

“Tapi, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Alhamdulillah, abang berjaya dapatkan bukti yang abang tidak bersalah. Abang beri dia pilihan. Sama ada dia berhenti kerja secara bermaruah dan abang pinjamkan duit 20K itu atau abang heret dia ke mahkamah.”

Sambung Adwan panjang lebar menjelaskan segala-galanya. Aku memandangnya seperti tidak percaya dengan cerita yang aku dengar. Adwan yang terlalu obsesif mengejar duit ini sanggup pinjamkan duit berpuluh ribu kepada orang lain? Dengan perbelanjaan harian aku pun dia berkira bagai nak rak.

“Abang tahu apa yang ada dalam kepala sayang. Macam manalah abang sayang yang kedekut ini bermurah hati pinjamkan duit pada orang kan?” Aku memalingkan wajah ke arah lain apabila Adwan tepat mentafsir apa yang bermain di kepala aku. Misteri Nusantara sungguh!

“Abang sebenarnya bukan kedekut, cuma berhemah dalam berbelanja. Abang buat ini semua kerana ini.” Beritahu Adwan seraya menghentikan kereta dalam sebuah perkarangan banglo mewah. Rumah yang tersergam indah itu kelihatan masih belum berpenghuni. Aku memandang Adwan meminta penjelasan.

“Inilah sebabnya kenapa abang berjimat cermat selama ini.” Jari telunjuknya dihalakan ke arah banglo itu.

“Abang beli rumah ini?” tanya aku kagum. Adwan hanya mengangguk sambil tersengih ke arah aku. Adakah Adwan belikan rumah ini untuk aku? Tiba-tiba ada rasa bahagia di dalam hati. Aku asyik menghalakan pandangan ke arah banglo berwarna beige dan diserikan dengan warna coklat gelap. Warna idaman aku!

Apabila pintu utama itu terbuka, tersembul wajah Laura dari dalam banglo itu. Terus wajah aku berubah suram. Rasa bahagia yang baru menjengah terus mati.

Dengan senyuman bahagia terukir di bibir, Laura melangkah ke arah kami. Kenapa otak aku boleh terfikir yang Adwan membelikan rumah ini untuk hidup dengan aku? Sudah pastilah rumah ini untuk Laura. Jika tidak, buat apa wanita itu berada di sini.

“Jom, sayang. Abang bawa sayang tengok sekeliling. Mesti sayang suka” Pintu kereta di tempat duduk aku dibuka oleh Adwan dari luar. Namun, kata-kata Adwan hanya mampu membuatkan aku kaku di situ. Fikiran aku kosong!

Tatkala Adwan memapah aku keluar, aku hanya menurut. Demi menjaga hati, aku hanya melemparkan senyuman tawar kepada Laura.

“I’m so sorry about your accident. Maafkan I juga sebab tak sempat hendak melawat you di hospital. Tahu sajalah kerja interior designer macam I ini. Ke hulu ke hilir tak tentu masa.” ceria suara wanita itu menyapa aku.

“Tak apa. No big deal.” Balas aku berbasa-basi.

“You dah bereskan semuanya ke, Laura?” soal Adwan membuatkan aku terpinga-pinga.

“Of course lah. Untuk you dan wife you yang comel ini. I ada satu surprise tau. I hope both of you will like it” tutur Laura sedikit teruja.

“Wow, bunyi macam menarik. Tak sabar pula I nak tengok apa kejutan itu” Adwan sudah tersenyum lebar.

“So, shall we?” tanya Laura lalu mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Adwan masih setia memimpin tangan aku, turun mengayun langkah mengikut Laura.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience