BAB 1

Romance Completed 12087

Remang-remang senja sudah mula menjengah menyapa alam. Menandakan tugas matahari untuk memancarkan sinar di bumi Malaysia sudah hampir berakhir untuk hari ini. Sekawan burung berkicauan berterbangan dalam kumpulan untuk pulang ke sangkar. Itulah rutin putaran alam yang dilalui sehari-hari. Aturan yang ditetapkan oleh yang Maha Penguasa Alam.

Aku melemparkan pandangan ke arah jam berbentuk segi empat yang tergantung elok di dinding. Jarum pendek sudah melewati angka 7 dan jarum panjang tepat berada pada nombor 12. Sekejap lagi pasti azan Maghrib akan dilaungkan oleh tok bilal Surau Annur di hadapan rumah.

Keluhan berat terlepas dari bibir aku. Selewat ini bayangan dia masih tidak kelihatan. Kebiasaannya sebelum pukul 6 petang dia sudah tercongok berada di depan pintu rumah. Hati aku mula dipagut bimbang. Setiap kali deruman kereta yang lalu di depan rumah, kepala ini pasti akan tertoleh-toleh keluar. Namun, hanya kehampaan yang menjengah rasa.

“Mungkin abang banyak sangat kerja di pejabat. Sekejap lagi sampailah tu” bisik aku perlahan kepada diri sendiri, lebih untuk menyedapkan rasa hati. Inilah kelaziman yang perlu aku lalui sehari-hari setelah menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Muhammad Adwan Habibullah. Gelaran suri rumah yang aku sandang sejak sebulan yang lalu menjadikan aku seorang penunggu yang setia pada setiap petang. Setia menantikan kepulangan seorang suami.

Kesepian yang mula menemani senja mudah membuatkan fikiran aku dibawa menerawang. Indah mengingati saat pertama kali aku dipertemukan dengan Adwan. Terukir senyuman nipis di bibir aku. Semuanya bermula gara-gara pakatan kawan baik aku, Wafia dan suaminya Ihsan.

Rupa-rupanya tanpa pengetahuan aku, mereka telah mengaturkan sebuah majlis makan-makan semata-mata untuk menemukan aku dengan Adwan yang merupakan teman karib Ihsan di sekolah. Bukan setakat Adwan tetapi dengan seluruh ahli keluarganya sekali.

Waktu itu, Adwan baru sahaja menamatkan pengajian sarjananya di Jepun. Imejnya pada waktu itu pun tidak banyak berbeza dengan artis-artis Jepun, dengan ala-ala rambut panjang yang dipotong layer persis Takeshi Kaneshiro. Bajet tampan seperti artis pujaan hati aku itu agaknya.

Tanpa bersarang rasa curiga, aku menggagahkan diri hadir keseorangan ke rumah Wafia dan Ihsan dengan niat untuk meramaikan majlis. Pada mulanya aku bercadang membawa adik aku Fikah untuk menemani tetapi entah bagaimana dia terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan tugasan kuliahnya. Itulah padahnya apabila suka sangat membuat kerja last minute.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience