Bab 8

Romance Completed 16392

8

Sebaik pintu dibuka, sepasang kaki Lia telah memasuki ruang tamunya. Jam di dindingnya sudah menunjukkan tepat pukul 3.00 pagi. Kawan serumahnya, Eliza yang sudah lama dibuai lena di atas sofa, tiba-tiba bingkas bangkit daripada pembaringannya. Menggosok-gosok matanya lalu memandang jam di dinding.

“Lia, kau ni pergi mana sampai balik lewat pagi ni? Dah pukul 3.00 pagi dah! Apa dah jadi dengan kau?” tanya Eliza.

“Tayar kereta aku tiba-tiba pancit kat area car park tadi,” jelas Lia tanpa memberitahu perkara yang sebenarnya.

Dia tak berniat untuk bercerita lebih panjang kerana ditakuti kawannya itu akan mengusiknya. Bukan dia tidak tahu perangai Eliza yang suka sangat menyakat dan mengusik orang. Kadang-kadang dihadapan kawannya sendiri pun dia berani mengusiknya.

Pernah ketika di majlis hari jadi kawan sekerja Lia dulu, Eliza terlepas cakap kepada Daud tentang rahsia buruk kawannya itu kepada seseorang tanpa menyedari bahawa si tuan punya badan yang diceritakan itu adalah Daud sendiri. Kesan daripada itu, hampir berminggu-minggu Lia bermasam muka dengan Daud. Lia juga tidak bercakap langsung dengan Eliza sejak kejadian tersebut.

Tetapi lama-kelamaan persahabatan mereka kembali terjalin bila Daud sendiri berterima kasih dengan Lia. Perkara itu sungguh mengejutkan dia. Kata Daud, kalau dia tidak mengetahui sikap buruknya yang sebenar, dia tidak mungkin akan bertemu dengan pasangannya seperti sekarang ini.

Katanya, dia sudah lama mengikis imejnya yang dikatakan sebagai ‘lelaki tidak budiman’ atau tidak gentleman terhadap wanita. Sikapnya yang suka cakap lepas dan kadang-kala menyakitkan hati itulah yang telah membuatkan ramai wanita tidak menyenanginya. Tetapi sekarang semua itu sudah berubah bila Lia menegurnya.

“Habis tu kau balik dengan siapa tadi?” tegur Eliza serentak mencapai bantal kecil disebelahnya sambil memeluk erat. Lia pula menghambat duduk disofa berhadapan dengan Eliza.

“Dengan..dengan pakwe barulah,” gurau Lia secara berseloroh, kemudian meletak baik beg Guess dan telefon selularnya di atas meja kopi.

“Ha? Pakwe baru? Bila masa pulak kau dah mula mudah percaya dengan lelaki ni? Bukan aku tak tahu perangai kau. Kau mana mudah percaya dengan mana-mana lelaki yang baru kau kenal,” Eliza mengukuhkan alasannya.

“Tak adalah. Aku gurau je pun tak boleh ke? Dan kau pulak jangan ingat senang-senang je nak gossipkan aku dengan mana-mana lelaki, okey? Bukannya aku nak kat dia pun. Bagi aku dia tu lelaki biasa je yang aku pernah jumpa sebelum ni dan tak lebih daripada tupun,” terang Lia sambil menuju ke dapur; membuka pula peti sejuknya serentak mencapai setin Coke untuk membasahkan anak tekaknya.

“Siapa lelaki yang hantar kau tadi?” tanya Eliza lagi.

“Buat apa kau nak tahu pulak?” Lia menanyakan kembali, tetapi kali ini pertanyaannya itu ada berbaur dengan perasaan sedikit curiga.

“Yalah, kalau kau dah tak nak kat dia, manalah tahu esok-esok dia boleh jadi pakwe aku pulak ke,” usik Eliza yang tidak habis-habis dengan perangai buruknya itu. Lia juga mungkin sudah bosan dengannya barangkali.

“Kau nak kenal dia? Ambillah nombor telefon dia kat dalam handphone aku kat atas meja tu. Nama dia Eddy dan kerja sebagai evaluator di sebuah bank,” Lia sudah melabuhkan punggungnya di atas kerusi meja makan di dapur sambil membelek-belek majalah Mangga yang kebetulan ada di situ.

“Ha? Kau ni biar betul Lia? Kau betul-betul tak kisah ke kalau aku ambil nombor telefon dia?” tanya Eliza untuk mendapatkan kepastian.

“Iya, aku ikhlas. Kau yang nak sangat nombor dia, ambillah. Macamlah kau tak biasa ambil nombor telefon lelaki daripada aku sebelum ni, kan? Entah dah berapa ramai dah kawan lelaki aku yang dah kau sapu.”

“Wah, baiknya kau ni. Kau ni memang kawan yang baik. Okey, aku ambil, okey?”

“Ambillah Liza. Aku tak marahpun. Ada pernah ke aku marah pada kau sebelum ni?”

“Okey, okey. Thank you,” jawab Eliza lagi.

Dia terus sahaja mencapai telefon bimbit Lia dari atas meja kopi berdekatan dengannya kemudian mengodeh-godeh punat tertentu untuk mencari nama Eddy dari dalam simpanan Lia. Setelah menyimpan nombor Eddy tersebut di dalam handphonenya, dia meletak semula telefon bimbit Lia di atas meja kopi tersebut sambil tersenyum tanda puas. Eliza juga telah berjanji di dalam hatinya bahawa dia akan menghubungi Eddy kemudian harinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience