Bab 12

Romance Completed 16392

12

“Apa khabar orang Kuala Lumpur! Harap anda semuanya sihat-sihat belaka. Seperti biasa, anda akan ditemani saya, Delilia Hamzah dalam segmen Sembang-Sembang Cinta dari pukul 9.00 malam hingga ke tamat siaran pada pukul 12.00 tengah malam. Satu-satunya stesyen radio yang hanya memutarkan lagu-lagu cinta, membincangkan topik-topik cinta, mahupun tips-tips untuk mencari cinta. Saya putarkan satu lagu cinta terlebih dulu sebelum kita memulakan segmen Sembang-Sembang Cinta.. dengan lagu, Hanya Ingin Kau Cinta dendangan Hafiz, hanya di Cinta.fm. Sentiasa mencintai anda!”

Selesai lagu tersebut, Delilia pun menyambung celotehnya.

“Hari ini dalam Sembang-sembang Cinta, kita akan membincangkan topic bertajuk Cinta Buta. Jika anda ada pengalaman mengenai topik itu, jangan segan-silu untuk mendail ke bilik konti saya di talian 03-2367549. Oh, nampaknya kita dah ada pemanggil di luar sana. Siapa di talian tu?”

“Saya Huda dari Shah Alam.”

“Ya, Huda. Apa khabar orang Shah Alam. Masih tak tidur lagi ke?”

“Belum Kak Lia. Sedang dengar Cinta.fm lah. Esok nak kerja ni pun sanggup dengar celoteh Kak Lia sampai ke pagi. Sebelum ni pun saya dah cuba banyak kali call, tapi tak dapat-dapat. Tak sangka pula malam ni dapat,” jawab Huda dengan penuh teruja.

“Baiklah, Huda, apa yang Huda nak kongsikan dengan kami malam ini?”

“Memang benarlah kata pepatah, cinta itu buta. Kalau tak buta, saya mungkin tidak akan berkahwin dengan lelaki yang kini dah jadi suami saya pun. Dulu kami, masa kenal-kenal dulu, asyik gaduh je kak. Jujur saya cakap, dia memang tak kacak pun. Kalau orang tengok kami ni macam jauh panggang dari api. Tak secocok langsung.”

“Hahaha! Jadi apa yang membuatkan Huda tertarik kepada dia?”

“Mungkin sebab hati budi dia baik. Tu yang membuatkan saya terima lamaran dia. Jadi memang benarlah, cinta itu buta. Tak kenal paras rupa.”

“Terima kasih Huda kerana berkongsi cerita cinta anda. Cinta buta, topik kita pada malam ini dan anda jangan berputus asa untuk menghubungi kami kerana kita ada masa lebih kurang sejam lebih pagi sebelum ke tamat siaran. Terimalah sebuah lagu cinta lagi yang merupakan sebuah lagu runut bunyi untuk Lagenda Budak Setan 3, Bicara dari Yuna. Hanya di Cinta.fm, sentiasa mencintai anda!”

Dengan pantas Delilia menyentuh media player memainkan lagu di skrin digital berkomputer. Sempat dia meyambar, mugnya menghirup kopinya yang masih berbaki bagi menghilangkan rasa mengantuknya itu.

EDDY berbaring dikatilnya sambil mendengar siaran Cinta.fm. Dia sudah lama menjadi pendengar setia siaran itu dan selalu mendengar suara DJ Delilia Hamzah di corong radio tersebut, tapi tidak pernah melihat rupa wajah DJ itu.

Cantikkah macam Linda Onn? Sweetkah macam Farah Fauzana? Atau burukkah macam Rita Rashani? Tak pernah dia tahu pun. Hendak meneka pun tidak dia mahir. Yang dia tahu, suaranya sahaja yang cantik. Kata orang, kadang-kadang suara cantik, tetapi orangnya hodoh. Orang yang cantik pula, suaranya pula yang tak sedap. Benarkah? Tapi jauh di sudut hatinya, dia memang tertarik dengan suara DJ tersebut, walaupun tidak pernah bersua muka. Kata orang, inilah jatuh cinta dengan suara.

‘Ah, ini gila,’ bisik hatinya.

Entahlah, itu semua dia tak tahu untuk menilai. Itu bukanlah satu tugasan yang dia mahir. Dia mungkin mahir dalam menilai hartanah atau kediaman, tetapi dia langsung tidak pakar dalam hal-hal menilai fizikal mahupun hati seseorang itu. Itu di luar bidang kuasanya.

Dia menyambar telefon pintarnya. Menggodeh-godeh menu contacts. Tiba di nama Zalia, dia terhenti. Ada timbul keinginan untuk dia menghubungi wanita yang pernah dia terjumpa tempoh hari itu, tapi mengenangkan dia seorang jenis yang tidak boleh menerima lelaki dalam hidupnya atau ‘yang sealiran dengannya’, Eddy lantas melupakan hasratnya itu.

Sebaik terdengar, suara DJ Delilia ke udara semula, dia mula memfokuskan pendengarannya ke radionya di tepi katil. Keinginannya telah berubah daripada hendak menghubungi Zalia kepada menghubungi DJ itu pula.

‘Apa kata aku call Cinta.fm?’ fikirnya di dalam hati.

Lantas dia mendail nombor-nombor yang sudah diingatinya. Sekali panggil, talian sibuk. Kali kedua panggil juga begitu. Ketiga pun sama. Tiba di kali keempat percubaannya, akhirnya panggilannya masuk. Eddy seakan tidak percaya bahawa dia kini sedang ke udara di Cinta.fm!

“Ya, boleh saya tahu siapa yang memanggil tu? Delilia di sini..siapa di sana?”

“Erm, a..saya..saya Faizal dari Damansara.”

“Ya Faizal anda dahpun berjaya menembusi bilik konti Cinta.fm ni. Ada apa-apa cerita ‘cinta buta’ yang hendak anda kongsikan dengan pendengar di luar sana?”

“Erm, ya..Ya saya ada.”

“Dan apa kisah cinta anda itu?”

Akibat terlalu terkejut kerana dapat menembusi bilik konti itu, Eddy tidak semena-menanya terlanggar pasu kecil yang berada di tepi meja katilnya, lalu pecah berderai.

Pang…!

“Alamak!” Dia cuba mengutip serpihan pasu yang bertaburan di lantai, akan tetapi dalam masa yang sama dia telah terlupa bahawa dia sedang ke udara.

“Faizal? Faizal masih di talian ke? Apa bunyi pecah tu?” tanya Delilia yang semakin kehairanan di dalam bilik konti.

“Ya! Ya saya masih di talian.”

Eddy buntu tidak tahu hendak cakap apa, kerana yang jelas percubaannya yang pada mulanya hanya sekadar ‘main-main’, menjadi pula. Dia sebenarnya tak ada cerita cinta yang hendak dikongsi, akan tetapi memandangkan dia sudah ke udara, dia terpaksa memikirkan satu cerita yang boleh dikongsi bersama pendengar.

“Jadi apa ceritanya Faizal?” desak Delilia.

“Ceritanya, erm..saya baru berkenalan dengan seorang perempuan ni melalui fac. Kami tak pernah berjumpa, tapi kami sering berhubungan melalui telefon.”

“Ya, teruskan.”

“Saya rasa saya sudah jatuh cinta padanya, tapi kami tak pernah jumpa.”

“Macam lebih kurang jatuh cinta pada suara begitulah, ya?” tambah Delilia bagi menghilangkan rasa gemuruh pemanggilnya itu.

“Ya, lebih kurang begitu.”

“Ada Faizal ajak dia berjumpa tak?”

“Ada..tapi bila saya ajak je berjumpa dia sering menolak. Ada je alasan yang diberi. Demamlah. Sibuklah. Ada kenduri kahwinlah. Macam nak mengelak daripada saya je.”

“Mungkin si dia belum bersedia?”

“Mungkin juga. Tengok dalam profile, orangnya cantik. Tapi tak tahulah realitinya macam mana,” sambung Eddy.

“Jadi, apa jadi lepas tu?”

“Lepas tu…hubungan kami terputus ditengah jalan. Saya memutuskan untuk melupakan dia setelah saya berjumpa dengan orang lain dan tanpa tahu yang orang itu sebenarnya adalah dia,” Eddy sengaja mereka cerita.

“Really? Wah, hebat kisah cinta awak tu ya. Inilah yang dikatakan cinta itu buta. Kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku dan ditakdirkan ke atas kita. Kedengaran seperti satu kisah dongeng dalam filem pula ya, tapi itulah kadang-kadang hidup kita ini memang misteri dan ada tu pula lebih pelik daripada filem. Terima kasih Faizal kerana berkongsi kisah cinta anda itu bersama kami dan untuk itu terimalah sebuah lagu dari Taufik Batisah, Awak Kat Mana. Hanya di Cinta.fm, sentiasa mencintai anda!”

Delilia mencabutkan headsetnya lalu meletakkan di atas meja. Bersandar di kerusi seketika sambil melayani lagu yang diputarkannnya itu. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang yang bernama Eddy. Mungkin, lagu nyanyian Taufik Batisah yang diputarkannya itu telah menyebabkan dia teringatkan si dia.

‘Apalah yang dia sedang buat sekarang ni?’ Delilia berteka-teki di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience