3
Sebaik Delilia keluar daripada lif menuju ke tempat letak kereta, sepasang mata sedang tekun memerhatikan pergerakan Delilia. Tetapi yang pasti lelaki itu memang berniat jahat. Tas tangan Guess kepunyaan Delilia tidak lekang dipandangnya. Dia cuma menunggu peluang sahaja untuk merampas tas begnya itu.
Ketika Delilia sudahpun mengaktifkan keretanya dengan remote car key ditangannya yang baru dikeluarkan daripada tas tangannya itu, dia yang baru sahaja hendak masuk ke dalam perut kereta, tiba-tiba lelaki yang memerhatikannya tadi sudahpun memaut lehernya dari belakang dengan sebilah pisau yang terkepit di sebelah tangan kiri. Apa lagi, Delilia yang tersentap dengan perasaan kejut, telah menjerit meminta pertolongan.
“Tolong! Tolong! Tolong!” Teriakan Delilia hampa belaka bila kawasan tempat letak kereta di situ langsung tidak ada kelibat manusia di situ memandangkan waktu sudah santak ke tengah malam.
“Diam! Jangan menjerit! Kalau tidak aku akan bunuh kau!” ugut lelaki jahat itu dengan nada keras.
Akan tetapi nasibnya agak baik bila tiba-tiba seorang lelaki yang muncul dari lif tidak jauh daripada bangunan itu mendengar jeritannya dan lantas berlari ke tempat kejadian.
Lelaki itu datang dengan nafas yang tercungap-cungap. Sesampai sahaja dia ke tempat itu, lantas sahaja dia mematikan langkahnya di situ. Nafasnya seolah-olah terhenti. Denyut jantungnya membeku. Dan matanya terus sahaja terpaku di situ. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat dihadapannya itu. Adegan yang terjadi di depan matanya mungkin adalah satu pengalaman baru baginya. Bukan sahaja baru, tetapi mungkin juga adalah yang luar biasa pernah berlaku dalam hidupnya.
“Eiyahhh!!!!!” Dengan menyungkit sikunya ke belakang yang tepat mengena dada; serentak dia menghempaskan tangannya ke lutut sebagai satu cara untuk melonggarkan pisau yang terkepit pada tangannya itu kemudian melepaskan pula satu tendangan hinggap ke muka lelaki yang cuba meragut begnya itu.
Tendangannya yang mantap telah membuatkan lelaki tadi terus sahaja terkulai di atas lantai di situ. Tetapi yang pasti tendangan itu bukan datangnya daripada seseorang yang bertubuh tegap lagi gagah bernama lelaki.
Tendangan itu datang daripada Delilia sendiri apabila dia menemui jalan buntu bila seseorang yang dia harap-harapkan untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman peragut tersebut tidak datang untuk membantunya. Tampaknya tidak sia-sia bila Delilia memilih jalan terakhir dengan menggunakan kebolehan seni mempertahankan dirinya yang telah dia pelajari beberapa bulan lepas di Damansara dahulu untuk menumpaskan peragut tersebut. Sesunguhnya aksi tersebut adalah terlalu mengagumkan bagi seorang perempuan cantik seperti Delilia itu. Dan tanpa dia sedari, ada pula makhluk lain di belakang tidak jauh dari tempatnya itu yang turut mengagumi kebolehannya itu.
“Tap! Tap! Tap! Tap! Tap! Wah, hebatnya tendangan awak tadi. Dari mana awak belajar tu? Em, a..apa tu tadi? Karate ke atau judo?” tanya lelaki yang tiba-tiba muncul dari arah belakangnya sambil menepuk-nepuk tangannya tanda melahirkan perasaan penuh kagumnya itu. Dia datang membawa beg Guess Delilia yang tercampak entah ke mana ketika bergelut dengan peragut tadi.
“Diamlah! Sorry, you’re too late. Saya dahpun belasah dia. Tak payahlah awak nak berlagak hero,” geram Delilia serentak menyambar pantas begnya dari tangan lelaki budiman itu, kemudian bergegas pergi menghambat dirinya ke pintu kereta yang masih terbuka itu.
Lelaki yang masih tercegat di situ, berasa seperti terhina kerana diperlakukan sebegitu. Sifat lelakinya terasa seolah-olah tercabar kerana Delilia meninggalkannya dengan tanpa sebarang ucapan terima kasih kerana menolongnya tadi. Tapi dia tidak menunggu lama di situ. Terus sahaja dia melajukan langkahnya ke arah perempuan yang sombong seperti kera itu. Sudahlah sombong, berlagak pula.
Delilia yang baru sahaja hendak menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba tersentap dengan tindakan lelaki tadi yang membuka pintu keretanya secara kasar.
“Hei, perempuan berlagak! Keluar sekejap dari kereta ni!” sergah lelaki tadi keras.
“Hei, apa ni?” jerit Delilia sambil mengatup kembali pintu keretanya itu. Sebelum dia memulakan pemanduan, lelaki itu sekali lagi menarik kasar pintu keretanya dan kali ini dia kelihatan benar-benar dalam kemarahan.
“Saya cakap keluar sekejap dari kereta ni! Saya nak cakap sikit. Awak ni memang pentingkan diri sendirilah! Sudahlah tak cakap terima kasih bila orang dah tolong awak tadi. Ni awak boleh pergi je macam tu tinggalkan saya yang dah tolong awak?” hambur lelaki tadi sekuat-kuatnya. Marah benar dia nampaknya dengan perempuan itu.
“Apa yang awak dah tolong saya?” jawab Delilia dengan meninggikan suaranya.
“Saya dah tolong awak dapatkan beg awak,” terang lelaki itu.
“Itu je awak tolong saya? Ada awak tolong saya pukul peragut tu tadi?” ujar Delilia lagi.
Suhu marah lelaki yang marak menyala tadi, tiba-tiba menurun ke tahap dingin. Tetapi cuma ke tahap dingin sahaja. Dan tahap itu boleh sahaja berubah pada bila-bila masa bila ego lelakinya itu kembali menguasai dirinya. Perempuan bernasib malang itu masih tetap menjadi sasarannya bila suhu marahnya tiba-tiba mendidih semula.
“Itu dah kira cukup baiklah ada orang yang sudi tolong dapatkan beg awak tu semula. Kalau orang lain mungkin dah lama dia bawa lari beg awak tu!” pertahannya yang masih belum ada niat lagi untuk meninggalkan tempat itu.
“Oh, jadi awak tolong saya ni tak ikhlaslah? Kalau awak tak ikhlas lebih baik awak tak payah tolong saya!” balas Delilia kembali.
“Bukan itu maksud saya.”
“Habis apa maksud awak?”
“Maksud saya sebenarnya, saya nak awak tahu yang sekurang-kurangnya ada jugak jenis lelaki baik seperti saya yang sudi nak tolong awak! Saya bukannya tak nak tolong awak tadi. Cuma tak sempat je. Saya datang-datang je awak dah belasah lelaki tu sampai pengsan,” jelas lelaki itu dengan panjang lebar.
Tetapi Delilia masih lagi mahu berlawan kata dengan lelaki itu. Hatinya keras seperti batu kerana dirinya telah lama dibaluti satu tanggapan pelik lagi buruk tentang lelaki.
Baginya, selagi yang bergelar lelaki itu semuanya sama sahaja. Pengalamannya yang lalu telah mengajarnya bahawa lelakilah yang suka mengambil kesempatan ke atas wanita. Lelakilah yang suka menindas dan memperkecilkan keupayaan golongan wanita. Dan lelaki jugalah yang telah mengecewakannya kerana tidak mahu taraf kelelakiannya lebih rendah daripada wanita. Waktu dia putus tunang dengan Fairuz sebulan yang lalu pun adalah sebab yang sama juga. Dan kali ini dia tidak akan sesekali membiarkan sesiapa atau ada mana-mana lelaki yang boleh memperlakukan sebegitu lagi terhadap dirinya.
“Itulah awak! Lain kali jangan ingat kaum perempuan tu lemah tau! Apa yang lelaki boleh buat, saya pun boleh buat. Dan saya tak perlukan lagi lelaki yang hanya berlagak baik tetapi bernafsu kucing macam awak!”
“Berani awak kata saya kucing! Saya ni berniat baik dan awak boleh tuduh saya macam tu?” Kali ini marah lelaki itu benar-benar sudah menggelegak ke tahap didih yang tinggi. Dirinya tidak menyangka perbuatannya itu dibalas dengan kata-kata yang sungguh memilukan hatinya.
“Macam mana saya nak tahu yang awak ni lelaki baik sedangkan saya tak kenal awak? Manalah tahu awak dalam diam-diam nak tolong saya tapi ada niat lain?”
“Tak semua lelaki macam tu. Dan awak tak boleh simply menilai lelaki dengan melihat pada luarannya sahaja. Saya percaya saya tak macam lelaki yang awak maksudkan tu.”
“Sudahlah saya dah malas nak bertekak dengan awak. Dan kalau awak nak saya ucapkan terima kasih. Okey saya ucapkan terima kasih sebab tolong saya dapatkan beg tu. Puas hati? Dan sekarang boleh tolong lepaskan pintu kereta saya ni? Saya nak gerak sekarang,” pinta Delilia.
Lelaki itu tanpa banyak bercakap menurut sahaja kehendak perempuan sombong itu. Sebaik dia memecut laju kereta, lelaki itu masih tercegat memandangnya dari belakang.
Tetapi kali ini dia seperti disemat satu perasaan aneh menghuni dalam dirinya. Perempuan itu telah meninggalkannya dengan bermacam-macam perasaan hairan, pelik, ingin tahu dan ada kalanya kagum juga.
Walau apapun, perasaannya tetap membawa dia untuk mengenal lebih jauh tentang diri perempuan yang dikatakan agak luar biasa itu. Apa yang telah berlaku dalam hidupnya sehingga mendorongnya untuk bertindak sebegitu rupa?
Share this novel