Salam buat Alexanderia…
Sewaktu Ria mendapat surat ini, abang mungkin tiada lagi di dunia ini. Abang tak tahu abang terselamat atau tidak tetapi mimpi arwah ibu yang abang terima setiap malam amat menyedarkan abang bahawa abang tidak akan hidup lama. Sejak akhir-akhir ini sering abang bermimpikan arwah ibu dan kenyataan ini tidak pernah abang ceritakan pada sayang, abang tak mahu Ria dibebankan. Abang mahu Ria lebih hidup lama dari abang untuk menikmati kasih dan sayang seperti yang Ria idamkan.
Ria rinduku…
Malam ini abang tak tahu mengapa abang terlalu rindu pada Ria! Abang rasa abang semakin jauh dari Ria walaupun kita sebenarnya sudah dekat. Abang rasa bukan Ria yang pergi dulu dari abang, tetapi abang yang bakal melangkah pergi dahulu sebelum Ria! Tolong jangan rindu abang sayang! Abang tak akan sanggup melihat Ria meratap pemergian abang dengan rindu dan tangisan!
Ria cintaku…
Abang berterima kasih kerana menerima dan membalas cinta pertama dan terakhir abang. Kalau bukan kerana sakit itu, mungkin Ria tak akan dapat menerima abang. Abang juga tak akan berani melamar Ria untuk cinta abang. Apa yang berlaku ini sudah ketentuan takdir walaupun cinta kita ini hanya sebentar. Percayalah sayang, cinta abang hanya satu dan selamanya untuk Alexanderia! Walaupun cinta kita hanyalah bersifat sementara, ketahuilah Ria, abang sangat bahagia.
Ria sayangku…
Kenapa dua tahun abang mengambil masa untuk berterus terang dengan Ria? Kerana abang dapat merasakan abang tidak akan mendapat peluang selepas ini lagi. Bukan kerana mengambil kesempatan ke atas ketiadaan Ria nanti, tetapi mengambil kesempatan ke atas masa yang singkat ini. Walaupun singkat sayangku… abang berharap apa yang Ria hajati, to love and to be love in return… termakbul! Walaupun bukan 100%, walaupun bukan sempurna, walaupun sementara… abang tetap pencinta yang hebat buat Alexanderia kan?
Ria hatiku…
Kalau dalam masa 2 tahun itu, abang bertindak awal, mungkin kita sudah bersama. Abang mohon maaf kerana lewat melamar Ria menjadi suri di hati abang kerana abang memang berharap sangat di syurga nanti, Rialah ratu hati abang, bidadari syurga buat abang. Namun harapan itu tidak boleh menjadi realiti buat abang, abang sangat kesal, Ria bukan milik abang! Tetapi Ria jangan jadikan alasan ini untuk tidak mencari pengganti abang buat Ria. Abang tak mahu itu…
Ria kasihku…
Jangan rindu tetapi jangan pernah lupakan abang! Jangan bersendiri tetapi cari penganti abang, sayang… Abang doakan Ria gembira dan bahagia buat selamanya. Kasih abang buat selamanya untuk Ria, kasih pertama sehingga terakhir Ria…
Salam terakhir,
Abang
Surat yang aku terima dulu itu aku genggam erat! Baru hari ini aku berjaya untuk membacanya sehingga habis. Kalau tidak, separuh baca aku sudah menangis dan meraung seperti orang gila.
Bila aku fikir balik apa yang telah terjadi pada tempoh yang singkat itu… aku ingat lagi, sewaktu aku kata aku hendak ke Mekah, aku ingat Tuah cakap, “Hemmm… mungkin saya tak sempat. Tak apalah kalau awak pergi, awak sampaikan salam saya kepada makan nabi dan sahabatnya. Tak lama lagi saya akan pergi juga!”
Ketika dia mahu approached aku melalui telefon, dia pernah suruh aku memberi peluang terakhir kepadanya… katanya “Ria… bagi saya peluang terakhir. Lepas ini saya tak ganggu awak lagi.” Memang itu adalah peluang pertama dan terakhir aku bagi pada Tuah! Aku jadi sedih…
Aku juga masih ingat dia pernah cakap “Cinta itu indah Ria, biar kita rasa cinta itu selagi kita masih hidup.” dan yang aku paling kesalkan adalah ayat yang ini… “Abang tidak pernah menyesal dengan keputusan abang, abang hanya mahu memiliki Ria walaupun sekejap. Itu sahaja abang pinta. Abang takut Ria yang akan merindui abang! Sebab abang kan… pencinta yang hebat!”
Masih terngiang-ngiang di kepala aku, kata-kata Tuah Iskandar dahulu. Banyak rupanya ayat terselit, tersurat dan tersirat yang sering terkeluar dari mulutnya tetapi aku pula yang tak sedar! Ternyata aku hanya mementingkan diri sendiri. Akhirnya bukan aku yang tuhan ambil tetapi dia!
Share this novel