BAB 1

Romance Completed 21137

Ainnur Roudah duduk bersila di tepi pusara itu. Senaskhah Yaasin dibaca penuh syahdu. Bacaannya tidak lancar. Diselangi dengan esak tangisannya. Tersedu-sedan. Air matanya yang mengalir dikesat. Pusara itu masih merah. Hatinya parah. Insan yang tercinta pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

Ainnur meneruskan bacaannya. Batu nisan yang terukir sebaris nama itu dipandangnya lama. Tidak lama kemudian, naskhah Yaasin itu ditutup. Ainnur meletakkan telapak tangannya di atas pusara itu. Air matanya tidak berhenti mengalir. Ada sembilu yang menghiris hatinya.

Dia bangun. Matahari mulai tenggelam. Cuaca agak mendung. Hujan renyai-renyai mulai turun. Ainnur terlupa untuk membawa payung. Ainnur berjalan pergi meninggalkan Tanah Perkuburan Seri Kenanga. Kakinya terasa lambat untuk berjalan.

Rindunya terhadap insan itu masih bertakung di sanubarinya. Hujan semakin lebat selebat air matanya yang merembes keluar. Titisan hujan tidak dapat menghapus air matanya. Hujan dan air matanya bergabung menjadi satu.

Baju kurungnya basah lencun. Ainnur tidak peduli. Dia terus berjalan menuju ke rumahnya. Perjalanannya masih jauh. Dia tetap teruskan walaupun hujan kian membasahi. Dia membetulkan selendang putihnya yang hampir terlucut. Angin bertiup agak kencang. Ainnur terasa sejuk.

Tiba-tiba, seorang lelaki muncul di hadapannya dengan membawa sekaki payung. Lelaki itu mengangkat sedikit payung biru gelap itu, menampakkan wajahnya. Ainnur bergerak ke kiri. Lelaki itu juga bergerak ke kiri. Ainnur geram.

”Ain, ambillah payung ni. Kalau tak, Ain demam nanti.” Lelaki itu bersuara.

”Aku tak perlukan payung kau! Pergi dari sini!” Ainnur menengking. Lelaki itu tidak berputus asa. Dia memberikan Ainnur payung biru itu. Ainnur mencampak payung biru itu ke tepi. Lelaki itu mengambil semula payung yang telah terjatuh di tepi jalan itu. Tangannya memegang pergelangan tangan Ainnur. Ainnur menepis.

”Jangan sentuh aku! Kau tak ada hak nak sentuh aku!” Ainnur melenting.

”Ain, pakailah payung ni. Hujan lebat sekarang ni.” Lelaki itu tidak berputus asa. Dia tetap memberikan Ainnur payung itu. Lelaki itu meninggalkan Ainnur seorang diri di situ.

Dia berlari meredah hujan, membiarkan dirinya basah. Hanya kerana Ainnur. Ainnur sedikit pun tidak menghargai. Dia benci lelaki itu. Lelaki itu penyebab kematian insan yang disayanginya. Pada pandangannya, lelaki itu ialah seorang pembunuh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience