BAB 7

Horror & Thriller Completed 9953

“Khalil! Lama tak tengok kau! Baru balik merantau ke?” Sapa Edris, lelaki sebaya Khalil yang duduk berehat di pondok pelabuhan. Rokok yang baru dinyalakan diselitkan di celah bibirnya yang sedikit hitam gara-gara jadi perokok abadi sejak umur belasan tahun lagi.

“Haa..” Balas Khalil tanpa menoleh mahupun berhenti melangkah sebaik melalui pondok rehat tepi pantai itu.

“Kau balik bermusim ni…isteri kau tak meroyan ke?” sinis kata-kata itu membuatkan Khalil berhenti melangkah. Dia segera mendapatkan Edris.

“Kau cakap apa tadi??”

“Isteri kau.. Isteri kau tak jadi gila ke dengan sikap taksub kau ni? Merantau cari tempat berburu… Agak-agaklah kau kalau ada minat sekalipun!”

“Yang kau nak sibuk apasal? Aku ada kacau kau ke? Ke kau yang teringin nak ambil tempat aku jaga Ramona tu?? Kau??? Aku dah bagi dia rumah. Bagi dia wang ringgit tu dah cukup baik tau! Kalau kau? Kau mampu ke nak bagi semua tu kat dia??? Kau mampu??? Tak tau pulak aku yang orang pulau akan jadi penyibuk macam ni. Kami sekeluarga pindah sini ingatkan dapat cari ketenangan. Tapi dengan adanya orang macam kau, tiba-tiba aku rasa menyesal pulak!!” Kolar baju Edris yang tadinya disentap dan digenggam erat kini dilepaskan. Tubuh lelaki itu terdorong ke belakang lalu kembali terduduk di bangku.

“Jangan kacau aku kalau aku tak kacau kau. Jangan kacau kami!”

Langkah Khalil terus laju meninggalkan Edris yang masih merenung ke arahnya dengan pandangan tajam. Niatnya hanya menegur. Kasihan juga dia melihat senyuman plastik wanita yang bergelar isteri Khalil semasa terserempaknya di pasar pagi tadi dengan seorang budak lelaki yang Edris kira, anak tunggal pasangan Khalil dan Ramona. Sudah besar juga budak itu tetapi tak ada riak sedih dalam matanya. Budak lelaki yang ada dengan Ramona tadi orangnya ceria tetapi hanya apabila ada Ramona di sisi. Kalau bersendirian, wajah itu terus beku macam tak ada perasaan. Sepatah perkataan pun susah hendak didengar keluar dari mulutnya.

“Menung apa, Bah??”

Edris tersentak. Suara Damya menyedarkannya dari lamunan panjang. Tiba-tiba memori itu datang menerpa sebaik dia menjejak kaki di pelabuhan lalu melihat pondok rehat yang sudah bertukar warna. Barangkali sudah dicat semula. Pondok itu memang nampak dari pelabuhan itu. Di situ, di pondok itulah dia nyaris-nyaris dibelasah oleh Khalil. Entah di mana lelaki itu sekarang, Edris tidak tahu.

“Tak ada apa..” Edris tersenyum nipis.

Damya dan Edris terus mengatur langkah, melewati pekan kecil Pulau Haruki. Seronok benar Damya membeli belah di kedai-kedai kraftangan di deret kedai yang dilaluinya. Baru hari pertama!

“Awal betul Damya borong buah tangan. Balik esok ke?” sinis kata-kata Edris, mengusik anak daranya.

Damya tersengih.

“Dah kebetulan lalu, Bah… Nanti tak payah risau pasal buah tangan lagi.. Kawan-kawan office Sha dengar Sha nak ke pulau ni terus histeria!”

Edris tergelak.

“Banyaklah Sha punya histeria! Macam jauh sangat pulau ni dari SummerShine tu…”

“Hehehee… Mereka suka pulau ni, Abah.. Sebab cantik.”

Edris tersenyum. Anak tunggalnya itu memang mewarisi sikap arwah isterinya yang ceria. Damya ditatang macam minyak yang penuh. Semua kemahuan Damya dia turuti selagi dia mampu. Mujurlah anak gadisnya itu berjaya sebagai seorang peguam hari ini. Edris rasa amat bersyukur.

“Penatnyaa..” Damya labuh punggung ke kerusi. Coke diteguk laju membasahi tekak. Damya lihat sekeliling ruang Kedai Kopi Mukhsin. Memang jauh bezanya daripada dulu. Kedai yang dulunya ringkas dengan cat putih dan bangku besi kaki tiga; yang Damya pernah jatuh daripadanya, kini berubah wajah. Ciri klasik melayu jelas terserlah, siap ada beranda macam rumah Melayu. Damya masih ingat Abah tersayang selalu membawa dia dan ibunya ke sana untuk bersarapan pada hujung minggu.

“Rindunya dengan Ibu… Kalau Ibu masih ada..tentu kita dapat bersama minum-minum, lepak-lepak kat kedai kopi ni kan, Abah?”

Edris cuma membalas kata-kata Damya dengan senyuman. Sesungguhnya, dia juga merindui isteri yang telah lama pergi. Hari ini, melewati pekan di pulau itu sahaja dia sudah menyingkap pelbagai memori bersama arwah isterinya, yakni ibu Damya tetapi biarlah rasa sedih dan rindu itu disimpan hanya dalam hati. Kalau dia ikut melayan perasaan macam Damya, mahunya anak gadisnya itu menangis di kedai kopi itu. Kalau boleh, Edris tak mahu lihat setitik pun air mata kesedihan keluar dari mata bundar Damya.

“Damya tak nak order makan ke? Abah belanja.”

“Belum laparlah, Abah…Nasi goreng pagi tadi masih berjaya alas perut Damya.” Damya usap perut.

“Nanti kita makan sekali dengan Pak Leman lah..”

“Hm… Kopi Mukhsin ni masih sama macam dulu…”

“Coke pun masih sama, Abah..” Damya tersengih. Edris dilihat tergelak kecil. Damya menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dilepaskannya perlahan. Mata kembali ditala ke laut yang nampak dari kedai kopi itu. Biru kehijauan yang sungguh mendamaikan. Di telinga sekarang terngiang-ngiang pesanan daripada Rykal sebelum dia naik feri pagi tadi.

“Hati-hati. Heard a lot about that island. Ada yang baik.. ada yang tak baik… Awak pun tahu kan..kes yang saya pernah dengar tiga tahun lalu tu. Saya pernah ceritakan pada awak, kan? Just becareful okay.. I know there’s something about the island…about the people. Something is going on dan saya masih belum dapat buktikannya, but I will…soon. Just becareful, okay? You and your Abah. May Allah protect you always. Amin.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience