BAB 13

Horror & Thriller Completed 9953

“Kau duduk sini.” Zahrin tolak kasar tubuh Damya. Gadis itu tersungkur di kaki katil.

“Kejap lagi Mak aku masuk bilik ni. Kau temankan Mak aku.. Masa aku cakap kat dia, yang kau puji dia cantik tempoh hari, dia senyum. Itu kali pertama dia senyum kat aku tapi dia masih tak nak cakap dengan aku. Aku rasa dia suka kau sebab kau puji dia cantik.. Kadang-kadang aku kerja dari pagi sampai malam. Sebab tu Mak aku marah kut.. Sebab aku tak ada untuk temankan dia….” Zahrin ingin berlalu pergi apabila tiba-tiba kakinya dipaut oleh Damya.

“Zahrin.”

“Kau Zahrin kan? Anak Pak Cik Khalil?” Tiada lagi saya-awak darinya untuk membahasakan diri. Entah. Perasaan takut sekarang mula diganti dengan perasaan benci, perasaan ingin hidup dan berjuang untuk hidup.

Damya tidak mahu mati di situ, di bilik usang dan berbau busuk itu! Walaupun lelaki itu membiarkannya hidup hari ini, esok lusa entah siapa tahu bagaimana nasibnya nanti. Ingin saja dia bangun dan mempraktikkan jurus judo yang sudah dipelajari tetapi dia rasa itu bukan masa yang sesuai. Lelaki dengan kapak di tangan, yang sedang berdiri di hadapannya itu tetap lelaki dengan kudrat yang jauh lebih kuat daripadanya.

Zahrin tersenyum nipis.

“Kau siapa? Macam mana kau kenal aku?” Zahrin matikan hajat untuk sambung kerja yang terbengkalai di dapur tadi. Wanita tanpa kaki masih setia menunggunya di sana. Dia harus membawanya ke bilik bawah tanah untuk ‘diselesaikan’.

“Kau senior Sekolah Rendah Indrashah.”

“Si…ni…or? Kau cakap apa?” Zahrin garu kepala dengan tangan kotor berlumuran darah.

“Masa tu kau Darjah Enam. Aku Darjah Empat…. Kau budak lelaki yang takda kawan tu kan?”

Wajah Zahrin serta merta bertukar serius. Kapak di tangan terhempas jatuh ke lantai kayu yang usang.

“Kau siapa? Cakap!!!!!! Kau siapa????? Kau sama macam mereka tu kan??? Yang selalu cakap aku takda mak bapak kan????” Zahrin cekik leher Damya.

“Bukan!! Aku…Aku pernah tolong kau. Kau tak ingat aku????”

Cengkaman di leher Damya dilonggarkan, sedikit demi sedikit. Tubuh Damya kemudian ditolak. Zahrin terus duduk di birai katil.

“Takda siapa pernah tolong aku..” Dia tunduk, memekup muka kedua belah tapak tangan, tanpa mempedulikan langsung merah dan hanyir darah di kedua belah telapak tangan yang sudah membunuh ramai gadis tidak berdosa.

Perlahan, Damya bangun, memberanikan diri untuk duduk bersebelahan Zahrin yang kini tunduk merenung lantai.

“Kau tak ingat aku? Satu pagi tu, hujan lebat. Kau dah lambat. Aku pun dah lambat. Aku lari laju dan terus langgar kau sebab jalan kat koridor licin. Habis buku kau berselerak kat lantai basah masa tu.. Aku rasa bersalah. Aku tolong kau pungut balik semua buku kau. Dan aku hadiahkan kau gummy bear jelly yang aku bekal pagi tu dan cakap ‘sorry’..? Kau ingat tak??”

Zahrin pandang wajah Damya di sisi.

“Jeli bentuk beruang tu ke yang kau maksudkan? Kau budak perempuan dengan tocang dua tu ke?”

“Ya…!! Aku!!!! Akulah tu!!!!”

“Betul ke budak tu….ialah kau??”

“Memang aku! Kau dah ingat aku?”

“Dah lama aku cari kau………!!!!” Zahrin tiba-tiba menerpa, memeluk Damya erat.

Damya jadi kaget. Nafas seakan terhenti. Di hati terus memohon maaf pada Tuhan atas ketelanjuran. Dia dan Rykal pun tak pernah nak berpelukan sebegitu, dan sekarang dia dipeluk lelaki kurang siuman itu pula. Ya, Allah! Maafkan aku.. Lindungilah aku…!!

Perlahan tubuh Zahrin ditolak. Nasib baik Zahrin tidak menyinga dan marah dengan tindakannya.

“Zahrin…Kenapa kau jadi macam ni…? Aku dengar kau terus tak datang sekolah lepas habis UPSR.. Semua budak Darjah Enam yang duduk asrama masa tu masih ada untuk majlis perpisahan, kecuali kau.. Aku cari kau, tak ada.”

“Kau…cari aku?”

Damya angguk.

“Sebab aku tau aku takkan dapat jumpa kau lagi.”

Zahrin memandang ke arahnya, dengan air mata yang bergenang.

“Aku balik… Jumpa Mak.. Ayah… Aku rindu mereka…sangat…!!”

Damya mengeluh berat. Zahrin sekarang seperti bukan Zahrin yang ada di dapur tadi, yang menarik rambutnya kasar, mengheret tubuhnya ke dapur, yang tanpa belas kasihan menampar wajahnya apabila dia menjerit meminta tolong, yang telahpun memotong kedua belah kaki gadis yang sekarang entah hidup atau tidak. Zahrin sekarang seperti lelaki biasa, lelaki normal yang dalam kesedihan. Apa sebenarnya yang sudah berlaku dalam hidup lelaki itu sehingga dia boleh jadi sekejam itu?

“Tapi mereka tak rindukan aku pun. Aku balik, mereka marah. Mak aku tak nak tengok muka aku langsung pun..! Bertahun-tahun, aku hidup macam tu.. Tak dipedulikan. Ayah aku kadang-kadang ada, kadang-kadang setahun sekali je balik.. Satu hari tu.. Aku ikut ayah pergi memburu. Dalam hutan sana tu…. Lepas tu, dia marah aku sebab aku jatuh dan buat bising masa dia nak tembak anak rusa… Anak rusa tu terus lari lepas tu. Memang salah aku tapi…aku kan anak dia… Rusa tu macam lebih penting dari aku! Aku bunuh dia lepas tu! Aku dah bosan asyik kena marah! Marah! Marah! Marah!! Lepas tu aku tanam dia… Kau tengok pokok ara tepi rumah aku tu? Kat situ..kat situlah aku tanam dia… Dan sejak hari tu. Emak aku tak nak cakap dengan aku. Dia selalu je termenung kat dapur, tengok pokok ara tu dari tingkap. Kadang-kadang, dia duduk kat pokok ara tu…Dia salahkan aku. Sebab bunuh Ayah. Padahal, dia pun selalu marah Ayah sebab tak pedulikan dia. Aku tak tahu apa yang dia nak sebenarnya.. Aku rasa, Mak aku dah gila..” Zahrin tergelak kecil.

“Kau tak rasa Mak aku dah gila ke??”

Damya cuba tersenyum. Tak tahu nak beri reaksi apa pada Zahrin di sisi. Ya, Allah…Berilah aku kekuatan!!!

“Lepas Ayah tak ada, dan Mak tak nak cakap dengan aku, aku cuba cari kawan.. Aku pun sunyi. Aku cuba cari kawan yang mirip Mak sebab Mak aku cantik. Tapi aku rasa mereka tu tak ikhlas. Mereka cuma layak jadi trofi memburu aku je… Yang patut jadi perhiasan kat dinding… Sama macam kepala rusa, kepala beruang, harimau… Sebab tu aku bunuh mereka semua.. Aku simpan kepala je.. Badan mereka aku tanam belakang rumah.. Sama macam aku tanam Ayah. Yang sampai sekarang takda seorang pun tahu.. Heheee… Kau nak tengok koleksi kepala yang aku dah kumpul? Aku simpan semuanya kat bilik bawah tanah. Tak ada seorang pun tahu tentang bilik rahsia aku tu tau…! Mak aku pun tak tahu! Hehee… Tapi kau janganlah samakan aku dengan ayah aku…yang memburu tak kira masa. Aku memburu setiap tiga tahun….”

Damya menelan air liur. Lutut terasa longgar dan lemah. Dia sekarang tidak berhenti-henti berdoa dalam hati, memohon kekuatan dan perlindungan dari Allah. Tetapi jika sudah tercatat ajalnya memang di tangan Zahrin, dia mohon pada Allah, biarlah dia pergi meninggalkan dunia ini dengan keadaan sempurna. Bukan dengan kepala terpisah dengan badan! Air mata yang mahu jatuh segera diseka apabila Zahrin tiba-tiba memandang tepat ke wajahnya.

“Hehehee…. Cuma kau je yang nak kawan dengan aku. Mak aku mesti sukakan kau. Kau takkan tinggalkan aku kan?” Zahrin genggam kedua belah tangan Damya.

Damya pantas menggeleng.

“Ya! Aku akan tunggu sini! Aku akan jadi kawan kau.. Dan… temankan…Mak kau?”

“Aku dah agak dah! Kau memang dari dulu sampai sekarang….memang baik hati!!!” Zahrin bingkas bangun, mengutip kapak dari lantai sebelum melangkah keluar bilik.

Damya dapat dengar dengan jelas pintu bilik itu dikunci dari luar. Sebaik derapan kaki Zahrin menuruni anak tangga tidak lagi kedengaran, Damya bingkas bangun. Matanya meliar memandang sekeliling bilik. Tingkap bilik dikunci dengan mangga besi. Damya ke bilik air pula, mencari jalan keluar yang lain. Dia harus cepat keluar sebelum Zahrin kembali mendapatkannya.

Di situ, dia lihat ada tingkap kecil yang dirasakan muat-muat badannya. Tingkap itu tidak berkunci dengan rantai dan mangga besi seperti semua tingkap di luar tadi. Alhamdulillah! Cepat-cepat Damya tolak daun tingkap, jengah ke luar di mana unggas dan cengkerik bersahut-sahutan. Tiada jalan keluar selain terjun dari tingkap bilik air itu. Damya panjat naik birai tingkap sebelum tiba-tiba daun pintu bilik air dibuka tiba-tiba dan seorang pemuda sedang berdiri dengan kapak berlumuran darah di tangan, memandang ke arahnya dengan pandangan sangat tajam!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience