BAB 8

Horror & Thriller Completed 9953

“Mak… Mana ayah? Ayah pergi memburu lagi?”

Ramona jeling budak lelaki yang berdiri di sisi sofa dengan pakaian seragam sekolah dan beg hitam besar di hujung kaki. Kalau ikutkan hati, dia tak nak budak itu balik setiap kali hujung minggu tapi entah kenapa, rajin pula dia balik menjenguk banglo itu. Ramona tidak memerlukan dia sebagai teman, sepertimana Khalil tidak memerlukan dirinya dan asyik dengan aktiviti mengembara dan berburu.

“Kenapa kau balik…?? Takda sapa perlukan kau di sini..”

“Sekarang dah cuti mak..”

“Cuti? Cuti apa? Asyik cuti aje? Lebih baik tak payah sekolah terus kalau asyik cuti..cuti..cuti…!!!” balas Ramona acuh tak acuh dengan sanggul rambut yang sudah serabai mengenang nasib diri yang disia-siakan. Ramona dilanda kemurungan. Lama. Sejak dia melahirkan Zahrin lagi. Dulu, dia pernah sembuh seperti sediakala, melayan Zahrin dengan penuh kasih sayang tetapi entah bagaimana sakitnya datang kembali. Khalil pun seperti sudah tidak mempedulikannya lagi. Sudah jauh hati. Khalil taksub dengan aktiviti memburu membuatkan keadaan Ramona bertambah buruk. Mangsanya adalah Zahrin.

“Cuti hujung tahunlah, Mak.. Mak tak gembira ke tengok Zahrin? Zahrin rindukan Mak.. Zahrin rindukan Ayah.. Kenapa Ayah tak bawa Zahrin pergi memburu lagi? Kenapa ayah selalu tinggalkan Zahrin?” Zahrin cuba memeluk Ramona tetapi ditepis kasar oleh wanita itu.

“Ish! Bisinglah kau ni! Kau tau kan, aku tak suka bunyi bising!!!” Lengan budak lelaki itu ditarik dari ruang tamu ke dapur. Budak lelaki yang baru berusia lapan tahun itu sudah mula menangis teresak-esak melihat ibunya yang sudah mendudukkannya di kerusi meja makan. Tangannya ditarik ke belakang dan diikat dengan tali yang diambil dari laci kabinet dapur. Sebiji epal dari dalam peti sejuk disumbat masuk ke dalam mulut kecil Zahrin hingga terkoyak sedikit hujung bibirnya dek epal yang sederhana besar itu.

“Gigit epal tu! Tapi jangan makan! Aku nak tengok epal tu masih ada kat mulut kau sampai aku balik nanti! Aku nak pergi tengok pokok bunga aku kat belakang tu! Kau jangan cuba-cuba lari atau buat bunyi bising! Aku tak suka! Aku benci! Kau dengan ayah kau tu sama je!”

Puas hati Ramona melihat budak lelaki yang pantas angguk laju itu walaupun air mata dan air liur dari mulut tidak berhenti mengalir.

“Kadang-kadang, kau ni baik jugak kan?” Ramona senyum sinis sebelum berlalu pergi.

Zahrin tahan rasa pedih di hujung bibir. Rasa hendak muntah pun ada tapi ditahan. Dia tak nak susahkan Emak tersayang yang akan terpaksa mengelap muntahnya kelak. Dia tak nak susahkan Emak tersayang yang akan terpaksa sapu ubat luka di hujung bibirnya. Walaupun hakikatnya Ramona tidak pernah melayannya seperti yang dibayangkannya itu.

Bertahun telah berlalu. Zahrin bukan lagi budak kecil yang akan duduk di kerusi, membiarkan dirinya diikat dan disumbat dengan epal. Dia sudah besar. Dia sudah tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Mungkin sebab itu Ramona pun sudah tidak berani hendak mengikatnya di kerusi mahupun menyumbat mulutnya dengan epal atau kain. Ramona takutkannya; emaknya takutkannya.

“Hahahahahhahahahahha!!!!” Zahrin tergelak besar, sampai membongkok-bongkok menahan perut dek ketawa besar itu.

“Kau tengok apa?!” Dia kemudian menjegilkan mata ke arah seekor kucing hitam yang tiba-tiba lalu di hadapan pintu banglo. Terkocoh-kocong binatang yang tidak tahu apa itu lari dari penglihatan Zahrin.

Angin kencang di luar rumah menerpa masuk ke muka pintu banglo, bersama helaian daun kering yang ikut melayang dibawa angin. Zahrin dongak muka, cuba mencari warna langit di sebalik celah daun pokok yang tinggi dan merimbun. Langit lewat petang itu mulai kemerah-merahan, menandakan hari akan hujan.

“Makkkkk!!! Hari dah nak hujan!! Cepat tutup semua tingkap tu………..!!” Pekiknya lantang, bergema di seluruh ruang banglo usang itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience