BAB 4

Horror & Thriller Completed 9953

“Ayah tak balik lagi, Mak?”

Wanita yang duduk di meja makan dapur itu angkat muka. Zahrin lepaskan genggaman tali di tangan sebaik tiba di muka pintu dapur. Dia segera mendapatkan wanita 70-an itu.

“Mak.. Berapa kali Zahrin dah cakap. Pakai baju. Kain batik camni je, Mak tak sejuk ke? Karang sakit… Rambut pun tak lap lagi. Zahrin tau la Mak nak manja-manja dengan Zahrin, nak suruh Zahrin lap rambut bagai.. Tapi macam mana kalau satu hari Zahrin tak balik? Haa.. Macam mana?” Bebel Zahrin sambil tangan sibuk mengelap rambut emak kesayangan dengan tuala.

“Mak..” Panggil Zahrin manja selepas menutup dengan tuala bahagian dada wanita tua itu yang terdedah.

“Zahrin ada bawak kawan.”

Kali ini wanita itu menoleh ke wajah anak tunggal yang ditatang macam minyak yang penuh satu ketika dahulu, walaupun dalam tempoh masa yang singkat.

“Mak nak tengok? Kalau nak tengok… Kena pakai baju elok-elok. Malam ni, kawan Zahrin makan sama-sama dengan kita. Dah. Pergi bersiap. Cepat. Biar Zahrin masak.”

Wanita itu bingkas bangun. Sempat matanya mengerling ke arah tetamu yang dimaksudkan oleh Zahrin di ruang tamu sebelum langkah diatur perlahan naik ke tingkat atas rumah. Di luar, bunyi cengkerik dan pungguk sudah mula menyanyi mengisi ruang malam yang sunyi.

Zahrin selesai masak nasi dengan lauk ikan yang dibelinya di Kedai Pak Leman petang semalam. Ringkas tapi Zahrin yakin, Mak dan teman barunya akan menikmati masakannya dengan penuh selera. Selama ini pun, sebelum emaknya berhenti bercakap dengannya, Ramona memang selalu puji masakan Zahrin. Senang betul hatinya kerana sebentar lagi, dia akan dapat makan bersama dengan teman barunya yang menunggu di ruang tamu. Tapi sayang, ayahnya tidak juga pulang-pulang. Kalau tak, sudah tentu makan malam pada malam itu akan jadi lebih bermakna.

“Mak! Makan malam dah siap! Cepatlah turun..!” Laung Zahrin di hujung anak tangga sambil sempat tersenyum ke arah tetamu yang setia menunggu di tepi sofa ruang tamu. Dia kemudian kembali ke dapur.

Wanita itu sekarang siap bersanggul satu dengan blaus krim dan seluar sedondon. Barulah terserlah keanggunannya sebagai isteri orang berada. Kalau dikira betul-betul, memang keluarga Zahrin lah yang terkaya di pulau itu cuma mereka kurang dikenali kerana tidak suka bergaul.

Ramona terus duduk di meja makan, tempat di mana dia selalu duduk menunggu Zahrin balik setiap hari. Zahrin terus menonong ke ruang tamu selepas mengelap tangan dengan tuala biru lusuh berdekatan sinki. Nasi, lauk, pinggan, gelas dan jug berisi sirap mangga sudah siap terhidang di atas meja.

“Jom!” Zahrin tersenyum seraya menarik tali yang mengikat leher jinjang gadis yang berlumuran darah itu. Gadis itu diheret ke ruang makan di dapur macam sampah. Bau hanyir darah pekat yang mengalir di lantai jubin langsung tidak mengganggu deria hidu Zahrin mahupun Ramona sendiri. Di mata dan fikiran Zahrin pula, dia sedang memimpin tangan gadis itu ke dapur. Sebab itu dia rasa sangat bahagia!

Wanita itu memandang wajah gadis rambut panjang yang Zahrin dudukkan di kerusi berhadapannya. Entah hidup, entah tidak. Kepala asyik terlentok walaupun sudah beberapa kali Zahrin betulkan. Leher jinjang yang cantik itu sudah patah. Muka pun dah tak nampak seperti muka, hidung entah ke mana, mata entah ke mana. Remuk dengan darah yang tidak berhenti-henti mengalir. Ingin Ramona tengking Zahrin, apa yang dia sudah buat? Tak nampakkah dia yang gadis di hadapannya itu sudah seperti bangkai? Tetapi bibir rasa terkunci. Ramona akhirnya terus-terusan mendiamkan diri.

“Jom! Makan…!!!” Sorak Zahrin gembira.

Selesai makan malam bersama Ramona malam itu, gadis itu diheret pula ke tingkat bawah tanah, tempat Zahrin selalu menghabiskan masa. Memang orang tak akan dapat jangka kewujudan bilik bawah tanah itu. Pintu masuknya sahaja tersembunyi dan ditutup kemas dengan permaidani. Tiada siapa tahu selain Zahrin.

“Kenapa awak nak saya buat macam ni? Saya tak nak.. Saya tak nak awak tinggalkan saya..” Sayu suara Zahrin sambil tangannya mengusap-ngusap rambut yang melekat dengan darah yang pekat. Di matanya, rambut perang gadis itu cantik dan bersinar.

“Kita kan dah bahagia bersama?” Gadis itu segera dibaringkan oleh Zahrin di atas katil besi dengan tilam nipis.

“Sebab saya tak nak tinggalkan awaklah saya nak awak buat semua ni.” Balas gadis itu.

“Betul awak tak akan tinggalkan saya lepas saya buat apa yang awak suruh?”

“Betul.. Saya nak dekat dengan awak selama-lamanya! Saya akan temankan awak.. Awak takkan rasa sunyi lagi.. Saya akan selalu ada untuk awak ceritakan segala-galanya..”

“Kalau macam tu, baiklah. Awak pejam mata. Tahan tau!” Zahrin usap kelopak mata gadis itu agar tertutup, padahal mata itu sudah tidak ada fungsi, tak tahu mana letak bola mata selepas Zahrin hempap berulang kali dengan batu tepi air terjun.

Zahrin hayun kapak sebelum pisahkan kepala daripada badan. Kepala itu kemudian dimasukkan ke dalam almari di sudut kiri bilik tanpa mempedulikan darah yang tidak berhenti mengalir. Esok..esok keringlah tu… Cuma perlu bersihkan lantai je. Nanti-nantilah…!

Zahrin hitung semua kepala yang ada yang tersusun macam trofi. Ada yang masih terdapat sisa daging kering dan darah, ada yang sudah betul-betul tinggal tulang tengkorak dimamah usia.

“Satu…dua…tiga.. Hm.. Kena tunggu tiga tahun lagi baru boleh pergi memburu lagi!”

Dia kemudian ketawa geli hati. Tak sangka gadis itu begitu senang diperbodoh dan jatuh cinta padanya hingga sanggup menawarkan diri untuk dikorbankan. Padahal, yang Zahrin mahu cuma kepala untuk dijadikan koleksi. Satu hari nanti, dia hendak letak tengkorak-tengkorak kepala itu jadi perhiasan untuk menggantikan perhiasan tengkorak binatang yang yang jadi trofi memburu ayahnya, yang menghiasi hampir semua sudut dalam almari banglo.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience