Selepas makan malam bersama Daniel, Hadif memandu dengan tenang, menumpukan perhatian pada jalan raya yang sentiasa sesak
dengan kenderaan. Di tempat duduk penumpang, Zareen bersandar dengan tangan bersilang, matanya merenung keluar tingkap.
Suasana dalam kereta sunyi dan tenang. Masing-masing membisu. Namun, ketenangan itu terganggu apabila telefon Hadif tiba-tiba berdering. Skrin memaparkan nama Sarjan Laila.
Hadif menghela nafas kecil sebelum menekan butang pembesar suara, dia meletakkan telefon di atas dashboard.
"Hello, ya Sarjan Laila?"
Suara tegas tetapi formal kedengaran di hujung talian.
"Encik Hadif? Saya ada perkembangan terbaru mengenai SUV hitam yang mengejar kenderaan Encik tiga hari lepas."
Hadif menoleh sedikit ke arah telefon, menunggu Sarjan Laila menyambung.
"Kami tak ada bukti kukuh untuk mengaitkan dua lelaki itu dengan Black Python. Selain rakaman kamera kereta Encik, tiada saksi lain yang dapat mengesahkan mereka terlibat dalam sebarang jenayah. Oleh itu, kami terpaksa melepaskan mereka."
Nada Sarjan Laila jelas menggambarkan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan tersebut.
Zareen menjeling ke arah Hadif, rahangnya menegang. Hadif hanya mengangguk perlahan sambil mencapai telefon dan menyimpannya ke dalam poket kemeja.
"Baik, Sarjan Laila. Terima kasih atas maklumat yang diberikan."
Panggilan tamat. Suasana dalam kereta kembali senyap.
Zareen menghela nafas berat. Dia sudah mengagak perkara ini akan berlaku.
"Patutnya aku belasah dulu baru serah pada polis," gumamnya perlahan. Geram. Namun dapat didengari Hadif.
Hadif menjeling sekilas ke arahnya sebelum kembali fokus pada jalan raya.
"Kalau kau buat macam tu, kita yang kena tahan dulu."
Zareen mendengus. Dia tahu Hadif betul. Sebagai seorang individu berstatus tinggi, setiap gerak-geri Hadif sentiasa diperhatikan. Apa-apa yang dia lakukan boleh dijadikan isu besar oleh media atau pihak tertentu yang mahu menjatuhkannya.
Malam itu, dua lelaki yang mengekori mereka telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Namun, tanpa bukti kukuh, mereka terpaksa dibebaskan.
Mereka telah dilepaskan… tetapi mereka tidak akan berhenti.
Hadif mengetatkan genggaman pada stereng. Dia tahu itu bukan kali terakhir mereka akan berdepan dengan ancaman seperti ini.
Malah, mereka sekali lagi diintip oleh penunggang motosikal yang melanggar Zareen semalam. Adakah mereka dari kumpulan yang sama? Adakah mereka orang-orang Tuan Idris?
Dan jika benar mereka orang-orang Tuan Idris, apakah tujuan mereka mengekori Hadif? Sekadar mahu menakut-nakutkannya atau mencari informasi tentang dirinya? Bukan Tuan Idris tidak tahu di mana Hadif tinggal. Rasanya, dia tidak perlu menghantar orang untuk mengekori Hadif setiap hari jika sekadar mahu mengumpul maklumat tentangnya.
---------------------
Hadif memberhentikan kereta di depan pintu pagar rumah Zayan. Zareen membuka pintu, namun sebelum keluar, dia sempat berkata,
"Terima kasih."
Hadif hanya mengangguk kecil. Matanya tidak lepas dari memandang Zareen yang melangkah keluar, kemudian membuka pagar dengan santai. Ada sesuatu tentang Zareen yang menarik perhatiannya, sesuatu yang dia sendiri sukar tafsirkan.
Sementara itu, di dalam Audi RS7 yang diparkir tidak jauh dari situ, Zayan sudah menyirap mukanya. Dari tempat duduk pemandu, dia melihat dengan jelas bagaimana Hadif menghantar Zareen betul-betul ke depan rumahnya.
Matilah aku!
Gumamnya dalam hati, keresahan mula menyelubungi. Adakah Hadif sudah tahu bahawa dia dan Zareen adik-beradik? Jika ya, kenapa lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi?
"Kenapa bos hantar Zareen balik? Sepatutnya Zareen yang hantar bos balik." Nada suara Zayan jelas tidak puas hati.
Di tempat duduk penumpang, Ivan menggeleng perlahan. Dia menjungkit bahu, ekspresinya pasrah.
"Tak tahulah. Bos ni kadang-kadang susah nak baca," balas Ivan. Matanya masih tertumpu pada Hadif yang baru saja membelokkan keretanya keluar dari kawasan perumahan itu setelah memastikan Zareen selamat masuk ke dalam.
Zayan meraup wajahnya. Ini bahaya. Ini sangat bahaya.
Ketika dia ingin mencapai telefon untuk menghantar mesej kepada Zareen, suara Ivan kembali mencuri perhatiannya.
"Tapi... aku rasa bos suka dia."
Zayan terkaku. Perlahan-lahan dia memalingkan wajah ke arah Ivan.
"Aku serius, Zayan. Cara dia tengok Zareen tadi... tak macam bos tengok anak buah. Itu lebih daripada sekadar majikan dengan bodyguard."
Zayan merengus. "Tak mungkin! Mustahillah. Mana ada lelaki yang nak perempuan kasar macam kakak aku tu." ujar Zayan sinis.
Sungguh! Seingat Zayan sudah beberapa kali Zareen putus cinta kerana lelaki-lelaki itu curang dengan perempuan yang lebih 'Perempuan' dari Zareen.
Ivan tersengih nipis. "Mungkin sebab ini kali pertama bos jumpa perempuan macam Zareen."
Mata Zayan membulat. Jika benar Hadif sudah mula menyukai Zareen, dan jika dia masih tidak tahu bahawa mereka adik-beradik, maka semuanya akan menjadi lebih rumit.
Dan masalah terbesar? Zareen sendiri tidak tahu bahawa Hadif sebenarnya sedang memerhatikannya dengan cara yang berbeza.
------------------
Selesai menghantar Hadif pulang, Zayan terus menghantar Ivan ke rumahnya. Jalan raya sudah tidak begitu sesak. Jam hampir menunjukkan pukul 12 malam ketika Zayan akhirnya memandu masuk memarkir kereta di depan rumah.
Ketika dia melangkah masuk, bunyi dialog dalam bahasa Inggeris bergema di ruang tamu. Zareen sedang bersantai di sofa, bersandar santai sambil menonton filem aksi di televisyen. Tangan kanannya menyeluk bungkusan potato chips, menikmati setiap gigitan dengan wajah tenang.
Zayan mencebik. Sakit hati pula aku tengok.
"Untunglah orang tu tak payah kerja teruk-teruk. Bos belanja makan, bos hantar balik rumah," sindir Zayan sambil melabuhkan punggung ke sofa bersebelahan dengan kakaknya.
Zareen menjeling tajam. "Eh, menyirap pula aku dengar ayat kau ni." Dia menutup bungkusan keropok dan menoleh ke arah adiknya. "Aku tak minta pun, tau? Bos yang terhegeh-hegeh nak berlagak gentlemen. Aku profesional buat kerja aku."
Nada suaranya tegas. Dia memang tidak suka dilayan begitu oleh Hadif. Baginya, itu bukan caranya bekerja sebagai pengawal peribadi. Tindakan Hadif menghantarnya pulang tadi sudah melanggar protokol keselamatan.
"Hmmm... untung jadi perempuan—"
Belum sempat Zayan menghabiskan ayatnya, Zareen sudah meluru ke arahnya. Dengan pantas, tangannya melingkar kemas di leher Zayan dalam cengkaman yang kukuh. Teknik Rear Naked Choke dikenakan tanpa ragu, mengunci pergerakan adiknya.
"Kak—!" Zayan tersentak, tangannya terkapai-kapai cuba melepaskan diri. Wajahnya mula berubah merah, dan dia menepuk tangan Zareen berkali-kali sebagai isyarat menyerah. Cekikan itu memotong aliran darah ke otak melalui arteri. Jika Zareen tidak melepaskannya, dia akan pengsan dalam tiga hingga sepuluh saat. Sial! Zareen menggunakan teknik yang dipelajarinya dalam skuad khas terhadapnya.
Zareen mengetap bibir, matanya menikam tajam ke arah adiknya yang sedang terkial-kial. Namun, sebelum Zayan benar-benar kelemasan, dia melepaskan cengkamannya.
Zayan terbatuk beberapa kali, dia mengusap lehernya yang masih terasa sakit. Matanya membulat memandang Zareen, tidak percaya dengan reaksi spontan kakaknya itu. Bukan main lagi, jika balik ke kampung depan mak dan bapak kau berlakon lemah lembut! gumam Zayan dalam hati.
Zareen menarik nafas, lalu menyandar semula ke sofa. Sambil mengambil semula potato chipsnya, dia bersuara dengan nada santai,
"Lain kali jangan pandai-pandai nak sakitkan hati aku, ya."
Dia menyumbat sekeping keropok ke dalam mulut, kembali menonton televisyen seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Zayan masih memegang lehernya, merenung kakaknya dengan mata terkebil-kebil. Gila betul perempuan ni.
Tapi satu perkara kini jelas dalam fikirannya—Zareen tidak main-main bila dia berkata dia profesional dalam pekerjaannya. Dan jika Hadif terus menerus bersikap tidak profesional dengan Zareen, dia sendiri tidak pasti sampai bila kakaknya itu boleh bersabar sebelum perangai sebenarnya keluar.
Share this novel