Balqis 12

Family Series 4968

“Amboi, amboi sedapnya dia dah siap baring, baring… dah makan ubat ke belum? Kenapa tak makan lagi ni, nak aku suapkan ke apa?” soal Ani kepadaku tatkala melihat nasi bungkus yang dibeli petang tadi tidak berusik.

Aku hanya merenung wajah Ani tanpa mempedulikan leterannya. Ditubuhnya tersarung baju t-shirt lengan panjang berwarna kuning cair dipadankan bersama dengan seluar trek hitam dan tak lekang juga dengan tudung merahnya yang labuh melindungi keseluruhan bahagian dadanya. Mataku setia menuruti setiap gerak geri Ani. Tangannya menanggalkan pin yang tersisip kemas ditudungnya dengan berhati-hati, sebaik sahaja kain yang menutup kepalanya itu dibuka rambutnya yang panjang jatuh melepasi bahu. Tidak dinafikan Ani mempunyai tarikannya yang tersendiri, susuk tubuhnya yang athletic diserikan lagi dengan rambut ikal mayangnya menyerlahkan lagi kejelitaan Ani. sesiapa sahaja pasti takkan puas menatap wajah manis Ani dengan hanya sekali pandang.

“Balqis, kau dengar tak apa aku cakapkan ni?”

“ya aku dengar, belum jadi kakak ipar aku lagi dah berleter.” aku mengomel sendirian.

“Apa? Kakak ipar?” serentak dengan itu Ani mencampakkan kain tudungnya ke mukaku.

“Dah tebal sangat pipi tu? Nak kena cubit lagi ke?” mendengarkan kata-kata Ani itu sudah cukup buat aku untuk segera bangkit dan duduk menghadap nasi bungkus yang terletak diatas meja.

“Yelah, yelah orang makanlah ni” sempat lagi aku menoleh kearah Ani yang tertawa puas dengan kelakuanku itu, kemudian dia melabuhkan punggungnya dibirai katil duduk bersebelahanku.

“Jadi jugak kau balik esok? Tak boleh tangguh ke, kan tak sihat tu?”

“Kalau tangguh rugilah aku, kan kak Lia dah janji nak tumpangkan aku balik kolej. Nak naik bas duit lagi, banyak belanja tahu.”

“Lia tu ke?” jelas kelihatan diwajahnya sedikit meluat tatkala aku menyebut nama kak Lia.

“Iya kak Lia lah siapa lagi kalau bukan dia?”

“Eleh… aku pun boleh hantar kau esok, cancel jelah dengan Lia tu.” terus sahaja aku merenung mata Ani tatkala mendengarkan kata-katanya itu.

“Kau nak hantar aku macamana kereta kau kan masih kat bengkel lagi?” Aku mengingatkan Ani tentang keadaannya sekarang.

“Eh! Ya tak ya jugak kan? Aku terlupalah pulak, tak apa aku call Adam mungkin kereta aku dah siap ke… kalau dah siap esok pagi, pagi lagi aku keluar pergi ambik kereta, sempat lagi hantar kau.”

“Utunglah kereta rosak ada boyfriend mekanik, bolehlah dapat diskaun tak pun free of charge je… kan?” Aku menjeling Ani disebelah yang turut sama dengan jelingan dari ekor matanya kepadaku.

“Apa kau cakap? Fuh… geramnya aku meh sini, aku nak cubit pipi tu!” Dengan pantas aku menekup kedua belah pipiku dengan tangan.

“Janganlah! Tak nak, tak nak!!! Sejak bila suka main cubit-cubit pipi pulak ni?” Aku mencebikkan bibir.

“Sejak adik aku ni nak balik kolej la… nanti tinggal aku sorang, sorang kat sini tak ada siapa nak teman dah.” Ada sedikit getaran di penghujung ayat yang keluar dari mulutnya. Kali ini aku juga turut sama merasakan perasaan yang sama seperti Ani. Aku segera menggapai tangannya dan menggenggam erat sebagai tanda memahami maksudnya.

“Ala… nanti cuti sem aku balik lagi. Janganlah sedih… aku bukan pergi berperang pun. Tapi janji, jangan ada adik angkat lain selain aku okey? Kalau tak siap la aku merajuk tak nak kawan.” Matanya merenung tepat ke dalam mataku, terasa sedikit sayu pada waktu itu.

“Jangan risau sayang, hanya Qis sorang jelah adik aku.” Tangannya pantas mencubit kedua belah pipiku.

“Aahh! Jahat!!!” aku terjerit kecil dengan tindakan Ani itu, sakitnya hati ini bila melihatkannya yang sedang ketawa mengekek, sempat juga tanganku menampar bahunya sebagai tindak balas spontan.

“Janganlah marah, ala gurau sikit je.” Namun senyuman sinisnya masih tidak lekang dari bibir mungil Ani.

“Dah, habiskan makan tu cepat… nanti jangan lupa makan ubat pulak!” Ani bingkas bangun dan menuju ke arah longgokan baju yang masih belum berlipat.

“Baju, baju ni biar aku lipat… nak tunggu kau buat? Alamatnya sampai kau balik cuti sem lagi sekali macam tu jelah, tak ada siapa nak uruskan.” Aku tergelak mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Ini satu lagi perkara yang aku suka mengenai Ani… apa sahaja kerja yang dilakukan olehnya begitu cekap, pantas dan lancar, sama lancarnya seperti mulutnya yang becok. Aku cuba memaksa diri untuk menghabiskan nasi bungkus yang masih lagi berbaki, namun tekak aku tidak boleh menerima lagi kerana sudah hilang selera.

“Aku tak boleh habiskan, tak ada selera…” bungkusan nasi tersebut aku tolak ke tepi dan mencapai gelas yang berisi air masak, terus sahaja air tersebut ku togok laju membasahi tekak yang kering dan kehausan itu.

“Ubat jangan lupa makan!” Ani yang dari tadi diam tiba-tiba bersuara mengingatkan aku.

“Yelah! Terima kasih ingatkan, memang dah lupa tadi heh.” Aku hanya mampu tersengih membalas jelingan Ani.

“Ani! Okey ke ni tak balik rumah? Aku dah sihat ni janganlah risau.”

“Dah sihat ye?” soal Ani pendek. Aku hanya mengangguk dan tersenyum.

“Jadi, kau halau akulah ni?” Terkejut dengan ayat yang keluar dari mulutnya, aku tak sangka Ani boleh fikir sampai macam tu sekali… dan aku juga tidak menjangkakan bahawa ayat aku itu tadi boleh menimbulkan salah faham.

“Tak, tak bukanlah! Apa fikir sampai ke situ pulak? Aku mengerutkan kening.

“Tak apalah orang dah nak balik kolej boleh jumpa ramai kawan, orang macam aku ni apalah sangat… orang kampung je!” Sungguh aku benar-benar terkejut. Takkanlah kerana perkara kecil macam tu pun Ani dah tersinggung?

“Tunggu aku habiskan baju ni lepas tu aku nak balik, yang lain tu kau buat sendiri eh.”

“Ani!!! Please! Janganlah macam ni, maaflah kalau aku ada salah cakap dan menyinggung perasaan kau!” Ani hanya mendiamkan dirinya, kemudian dia bergegas mengangkat baju yang sudah siap berlipat dan menyimpannya ke dalam almari. Aku masih mengharap agar Ani membatalkan niatnya untuk pulang pada waktu itu juga. Setelah siap semuanya Ani terus melompat ke atas katil dan baring tanpa mempedulikan aku yang pada waktu itu tercenggang dengan kelakuannya itu.

“Eh? Kau okey ke Ani, tadi macam merajuk dengan aku?”

“Tak ada faedahnya aku nak merajuk, merajuk ni. Not my style.” Nada suaranya sedikit angkuh, tidak pasti samada dia masih lagi merajuk atau sengaja bercakap dengan gaya begitu. Tak mengapalah ada baiknya juga aku meminta maaf sekali lagi untuk kepastian. Aku pun turut sama merebahkan badan dan berbaring menghadap Ani yang sudah pun menutup matanya.

“Ani aku tak ada niat pun nak halau kau, sorry…” Ani membuka matanya merenung tajam kepadaku.

“Berani kau nak halau aku? Rumah kau ni dah macam rumah kedua aku. Dah tidur esok nak bangun awal, tutup lampu tu!” Aku bingkas bangun dan menutup suis lampu kemudian terus menghumbankan diri diatas katil.

“Selamat malam Ani.”

“Selamat malam jugak sayang.” Buat sekian kalinya pipiku jadi sasaran Ani.

“Adoiii…! Sakitlah!” Ani tertawa kecil, dan aku mengusap pipi disertai dengan perasaan geram, ‘nak tidur kena pakai topi keledar gamaknya baru selamat.’ Aku mengereng membelakangi Ani dan memejamkan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience