Balqis 11

Drama Series 5002

Kedengaran suara orang rancak berbual, percakapan mereka tidak begitu jelas. Aku kat mana ni? Terasa seolah berada di awangan. Kali ini suara itu semakin kuat namun masih tidak jelas dan aku tidak dapat menangkap butir-butir perbualan tersebut. Aku cuba gerakkan kepala yang terasa berat, tangan dan juga kaki terasa kaku.

"Dia dah sedar tu, Qis sayang okey ke ni?" Sekarang baru aku dengar dengan sangat jelas, terasa ada tangan yang mengusap di kepala. Aku celikkan mata... suasana terasa asing, dalam keadaan terbaring aku toleh ke arah datangnya suara tadi. Lama kuperhatikan wajah-wajah yang berada di depan mata kelihatan Ani berada di sisi, ayah dan Adam berdiri tidak jauh di belakang Ani.

"Kenapa dengan Qis... apa dah jadi?"

"Kamu pengsan tadi kena serangan asma, nasib baik tak ada apa-apa. Doktor kata kalau keadaan Qis dah stabil boleh lah balik." Kali ini ayah yang bersuara, Ani masih lagi tekun mengusap kepalaku dengan lembut dan Adam hanya diam membatukan diri. Suasana sunyi seketika aku cuba mengingati semula kejadian yang berlaku petang tadi. Oh ya pasal ayah dan Adam, macamana sekalipun aku perlukan penjelasan mengenai hal tersebut. Tapi aku baru sahaja dengar intro dah jadi macam ni dah pengsan belum isinya lagi, susahlah kalau asyik pengsan je kan? Aku tahu sebabnya, aku harus kawal diri jangan terlalu emosi sangat bagi peluang untuk ayah jelaskan kedudukan yang sebenarnya.

"Ayah, Qis minta maaf sebab dah susahkan semua orang."

"Dah lah lupakan je, itulah sebabnya ayah tunggu masa yang sesuai nak bagitahu kamu... sebab ayah dah agak kamu mesti tak boleh terima."

"Yelah, macamana sekalipun Qis harus tahu jugak kebenarannya kan? Tak apa ayah ceritalah Qis dah sedia." Aku memandang wajah ayah, kemudian mataku tertancap kepada Adam yang berdiri tidak jauh dari ayah.

"Kamu rehat jelah dulu, bila kamu dah tenang baru ayah jelaskan perkara yang sebenarnya. Jangan terburu-buru kamu tu, kan baru je nak baik."

"Ayah tolonglah... at least kalau jadi apa-apa kat Qis, kita masih di hospital kan? Qis dah ready, selagi ayah tangguh-tangguh benda ni hati Qis takkan tenang." Ayah menatap lama wajahku, terasa seolah dia sedang memikirkan bagaimana caranya untuk diluahkan apa yang tependam di hatinya.

"Sebenarnya sebelum ayah berkahwin dengan mak kamu dulu, ayah pernah bernikah dengan orang lain... mak si Adam ni. Ayah dengan mak kamu kenal terlebih dulu, tetapi hubungan kami tak direstui oleh kedua orang tua ayah... iaitu atok dan nenek kamu. Dipendekkan cerita akhirnya ayah terpaksa akur dengan pilihan orang tua untuk disatukan bersama mak Adam. Walaupun tak ada perasaan cinta dan sayang tapi ayah tetap menjalankan tanggungjawap sebagai seorang suami. Ayah cuba memaksa diri untuk menerima isteri ayah tu, tapi susah... biasalah darah muda tak fikir panjang... ayah bertindak kejam dengan meninggalkan mak Adam sebaik sahaja usia kandungannya mencecah 4 bulan." Kemudian ayah terdiam seketika, riak wajahnya kelihatan sedikit menyesal. Aku hanya mendiamkan diri menunggu sehingga ayah bersedia untuk meneruskan ceritanya.

"Atok kamu betul-betul marah dengan ayah. Dia paksa ayah balik semula kepada mak Adam tapi, ayah tetap dengan keputusan untuk terus bersama dengan mak kamu. Seminggu Adam dilahirkan ke dunia ini, ayah..." Kali ini wajahnya berubah nafasnya tidak teratur, dia cuba menyembunyikan perasaan sedih... namun matanya sudah mula berkaca.

"Ayah tau Adam, mak kamu berusaha mempertahankan ikatan perkahwinan yang telah terbina. Bila diingat semula macamana mak kamu cuba menagih simpati dengan menggunakan kamu, menimang kamu sambil tersenyum gembira kerana melahirkan zuriat ayah dan renungan matanya yang sempat ayah tatap sebelum ayah bertindak kejam sekali lagi dengan melepaskan dia... meninggalkan dia tergapai-gapai seorang diri. Bila diingatkan semula ayah menyesal Adam, ayah menyesal... maafkan ayah." Adam segera mendapatkan ayah yang ketika itu sudah mula teresak-esak menahan sedih.

"Semua yang berlaku ada hikmahnya, ibu pun sudah lama memaafkan ayah. Saya teringin sangat nak berjumpa dengan ayah kandung sendiri. Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya untuk bersua muka dengan ayah dan yang lebih istimewa sekali selama ini saya ada seorang adik perempuan." Ada senyuman yang terukir diwajah Adam.

Saat ini Adam dan ayah berpelukan melepaskan rindu buat sekian kalinya, aku dan Ani berbalas pandang. Kini baru aku mengerti perkara sebenar mengenai hubungan diantara Adam, ayah dan secara tak langsung ianya berkaitan juga dengan aku. Rupanya kehidupan ayah lebih drama mengalahkan drama melayu kat tv. Keadaan sunyi seketika kemudian kedengaran suara ayah dan Adam rancak berbual. Ayah memandang kearah ku begitu juga dengan Adam.

“Ani kamu tunggu sini kejap teman Balqis, pakcik dengan Adam nak cari doktor kejap.”

“Iya pakcik, jangan risau Ani ada je kat sini teman Balqis.” Kemudian ayah berlalu pergi dan Adam mengekorinya dari belakang.

Aku memalingkan muka dan kini mataku tertancap pada wajah Ani yang masih lagi setia mengelus lembut rambutku. Wajah tenang Ani sudah cukup membuatkan badai gelora yang melanda perasaanku pada waktu itu tenang. Aku terpana dengan situasi itu, sungguh bahagia... dan ianya sangat mendamaikan. Aku tidak mahu kebahagiaan itu musnah... dan aku juga berharap agar ianya tidak berakhir disini sahaja, aku mahu kan perasaan ini kekal selama-lamanya. Agaknya beginilah rasanya belaian dan kasih dari seseorang yang aku dambakan sepanjang hidupku, yang tidak pernah merasai kehadiran seorang wanita bergelar... ibu. Setelah agak lama merenung wajahnya barulah Ani perasan dengan perbuatanku itu.

“Kenapa kau tenung aku sampai macam tu sekali? Tahu lah aku ni cantik, tak perlulah tenung aku sampai naik juling biji mata tu.”

“Eh… mana ada, jangan nak perasan ya.” Cepat-cepat aku melemparkan pandangan kearah kipas yang sedang ligat berputar perlahan diatas kepala.

“Kenapa ni? Cakaplah aku tahu mesti ada sesuatu yang kau nak tanya kat aku betul kan?”

“macamana kau…?” Pelik juga aku Ani macam tahu je apa yang sedang bermain dibenak pemikiranku saat itu.

“Eleh… kau ni, aku tahulah… kita dah bersama sejak kau tu kecik lagi. Kau tu dah aku anggap macam adik aku sendiri, dari riak muka kau pun aku dah boleh agak.”

“yelah, yelah aku cuma nak tanya. Pasal hal ni kau dah Tahu lama ke?”

“Hmm… aku pun baru je tahu tadi, masa nak datang rumah kau… itupun Adam sendiri yang cakap. Sorry, aku tak ada niat pun nak sembunyikan apa-apa dari kau.” Giliran Ani pula merenung dalam mataku.

“Tak apalah aku okey je. Lagipun sekarang ni aku dah ada abang… siaplah kau, aku report kat abang kalau kau buli aku.”

“Oh… berlagak dah sekarang ni eh? Seraya itu tangannya pantas mencubit kedua belah pipiku.

“Ahh… sakit la weyh.” Aku memasamkan muka sambil mengusap pipi yang terasa agak perit.

“Rasakan geram betul aku padan muka, sedap tak… nak lagi? Tak payahlah nak berlagak sangat dengan aku hehe.” waktu yang sama ayah dan Adam kembali bersama doktor. Terus sahaja berdiri disebelah katil dan matanya memerhatikan mesin pengimbas kesihatan.

“Cik Balqis… bagaimana sekarang ada rasa kurang tak lelah tu?” Aku bertentangan mata dengan doktor lelaki itu yang tersenyum kepadaku. Sempat juga mataku mengerling kearah nametag yang tertera namanya Rashid.

Tiba-tiba Ani menyiku aku. “Weyh Qis… doktor tanya tu, diam pulak dia.”

“Ah o… okey dah doktor.”

“Ada pening kepala?” Aku gelengkan kepala.

“Ada kena selsema?” Aku gelengkan kepala.

“Demam?” sama seperti tadi aku hanya gelengkan kepala sahaja.

“Dada ada rasa ketat tak masa tarik nafas?”
"Tak ada." Aku menjawap diiringi dengan gelengan kepala.
"Hmm... baiklah lepas makan ubat nanti cik boleh balik. Kalau kena serangan asma sekali lagi jangan berlengah, terus datang hospital ya!" Aku hanya mengangguk tanda mengerti.
"Baiklah! Saya ada urusan lain lagi." Doktor Rashid meminta diri dan berlalu pergi meninggalkan kami berempat disitu.
Pukul 1:15 tengahari tray makanan sudah terhidang di depan mata oleh pramusaji hospital. Serta-merta perutku berkeroncong tidak sabar hendak menikmati makanan yang berada didalam tray tersebut. Sebaik Ani membuka tudung tray kelihatan semangkuk sup sayur, sebiji buah pisang dan ikan kembung goreng beserta dua keping garam paket. Baunya menaikkan selera, sudu dan garfu ku gapai dan serahkan kepada Ani.
"Eh! Kenapa bagi aku pulak? Aku tak laparlah." Terpinga-pinga dengan kelakuanku.
"Eii, perasannya dia... Orang bukan nak suruh dia makan."
"Dah tu! yang kau bagi sudu dengan garfu kat aku kenapa!?" Ketika ini ayah dan Adam pula terpinga melihat kearah aku dan Ani.
"Suap!" Terjegil mata Ani tatkala mendengar sepotong ayat yang keluar dari mulutku ini.
"Apa? Mengada-ngada, ada tangankan? Suap sendiri!" Suasana bilik gamat dengan tawa dari ayah dan Adam.
"Alaa, suapkanlah!" Ani merampas sudu dan garfu yang berada didalam genggamanku. Seraya memandang kearah ayah dan Adam.
"Haha budak berdua ni ada-ada jelah."
Entah mengapa aku terasa sebak pada waktu itu. Mungkin kerana aku akan meninggalkan mereka lagi dua hari, orang yang aku sayang ayah, Ani... dan Adam? Aku pada waktu itu seperti anak kecil bersama ibunya. Ya selama ini Ani sahajalah yang paling rapat denganku dialah kawan, sahabat, kakak dan ibu bagiku. Setelah selesai membayar bil hospital kami berempat bergerak pulang ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience