Balqis 15

Drama Series 5002

Aku selamat sampai ke destinasi, kereta kak Alia telah pun berhenti sepenuhnya di kawasan flet rumah sewa yang terletak di seksyen 7 Shah Alam. Aku toleh ke atas tingkat 3 dan ternampak lambaian dari housemate aku Noni. 'Awalnya dia ni sampai, Noni ni memang rajin orangnya... boleh dikatakan agak nerd jugalah. Kalau dah berjanji dia akan cuba penuhi dan always punctual.' Aku membalas lambaian dari Noni berserta dengan senyuman.
"Okay jom, akak tolong angkatkan beg, beg tu sekali."
"Eh kak tak apalah buat susah aja. Akak tolong hantarkan Qis sampai sini pun dah kira baik, syukur Alhamdulillah."
"Betul ni tak nak akak tolong angkatkan beg naik atas?" Kak Alia bertanya inginkan kepastian. Aku mengangguk sambil memegang bahunya.
"Iya tak apa kak, Qis pun tau akak penat drive it's okay."
"Okay kalau dah macam tu akak gerak dululah. Kalau ada apa-apahal jangan lupa call akak tau."
Aku mengangguk beserta dengan senyuman kami berpelukan seketika.
"Kak Lia drive hati-hati ya, jangan laju sangat."
"InsyaAllah tak jauh lagi dah Shah Alam, Kuala Lumpur aja pun. Okay ya akak gerak dulu jaga diri ingat tau ada apa-apa terus call akak... Assalamualaikum."
"Iya kak, Qis ingat... Waalaikumussalam." Aku membalas lambaian kak Alia tatkala keretanya mula bergerak meninggalkan aku di kawasan perkarangan flet tersebut. 'Isy mana Noni ni tak turun, turun lagi bolehlah tolong angkatkan barang aku yang banyak ni.' Setelah menunggu beberapa ketika aku memutuskan untuk mengangkat sendiri barangan tersebut ke tingkat tiga. 'Bukannya tak boleh, berat sikitlah dan tak dapat jalan laju sangat. Itulah tadi kak Alia nak tolong kau tolak padan dengan muka kau sekarang siapa yang susah?' Aku bermonolog di dalam hati.
Tangga ku daki dengan perlahan terasa masih jauh lagi untuk sampai. Baru beberapa anak tangga aku terpaksa berhenti seketika untuk melepaskan lelah. 'Aduh menyesal pulak aku tolak pelawaan kak Alia tadi yang hendak membantu untuk mengangkatkan barang, barang yang aku bawa ini, kalau aku terima tadi tak adalah aku susah macam ni. Bertuah punya kawan, mana Noni ni? Ingatkan dah lambai siap nak jemput aku kat bawah.' Aku merungut sendirian di dalam hati. Dada ku terasa berat nafas mula mencungap, aku menyeluk saku baju mencari sesuatu.
Tanganku menggapai inhaler dan terus dibawa ke mulut, satu puff sudah cukup untuk melegakan dada yang mula berombak kencang. Aku menyedut udara dalam, dalam dan menahan seketika dalam kiraan 7 saat nafas ku hembus perlahan. Aku melabuhkan punggung di anak tangga berehat seketika kerana kepala terasa melayang-layang. Aku mengerling jam di tangan dan mengatur semula nafas dan segera bangkit. Nak tak nak aku gagahkan jua memaksa diri ini untuk mendaki satu-persatu anak tangga dengan seribu kepayahan. Akhirnya aku berdiri terpacak menghadap pintu rumah sewa yang tertutup rapat.
"Assalamualaikum!" Aku memberi salam, tetapi tiada balasan yang aku terima.
"Assalamualaikum!" Masih seperti tadi tiada jawapan, yang kedengaran hanya suara dari corong radio. Tak boleh jadi ni, bukan ke tadi Noni nampak aku dah ada dekat bawah... patutnya dia dah sedia bukakan pintu atau tunggu aku. Pintu ku ketuk bertalu-talu geram pulak rasanya bila salam tidak bersambut. Katil dan bantal empuk terbayang di benak fikiran, alangkah nikmatnya dapat merebahkan tubuh diatas tilam pada waktu itu... boleh golek, golek kiri dan kanan ah selesanya. Tiba-tiba daun pintu terkuak dan terlihatlah sesusuk tubuh yang cukup mengiurkan dengan seluar trek dan singlet tanpa lengan.
"Noni! Seksinya." Itu first impression aku terhadap Noni yang terluah secara spontan.
"Aku, seksi? Terima kasih baru perasan ke?"
"Sukalah tu nasib baik aku, kalau yang ketuk pintu ni tadi lelaki? Tengok kau pulak yang bukak pintu macam ni punya seksi mahu tak jadi kes rogol?" Tergelak kecil Noni dengan bebelan ku itu.
"Alah, aku tahu kau, bukannya orang lain pun."
"Dah tahu aku tapi sampai dua kali aku bagi salam, tak cukup siap ketuk lagi pintu baru bukak. Kau buat apa lama sangat?" Aku melepaskan geram sambil mengangkat beg berserta barang yang terletak diatas lantai.
"Sorry lah, aku lambat pun bancuhkan air sarsi untuk kau jugak. Aku tahu kau mesti haus cuaca panas sekarang ni kan." Mendengar sahaja air sarsi serta-merta tekak ini terasa begitu haus. Beg dan barangan aku letakkan dihadapan pintu bilik.
"Mana air sarsi?"
"Ada tu atas meja dapur kalau ya pun haus pergilah tukar baju dulu gelojoh betul minah seorang ni."
"Yelah, yelah!" Aku berpusing balik menuju ke arah bilik tidur, niat hendak ke dapur terbantut. Sebaik sahaja pintu bilik terbuka aku mencampakkan barangan dan beg keatas katil. Ku capai baju yang sedia tergantung didalam almari dan menyalin pakaian yang tersarung di tubuh. Pada waktu yang sama kedengaran suara kecoh diluar, itu mesti Munirah... tak salah lagi. Aku bergegas keluar dari bilik sebaik sahaja selesai menyalin baju, saat ini tatkala mata ku tertancap pada batang tubuh Munirah hatiku bagaikan mahu melompat keluar.
"Munirah!" Aku terjerit girang.
"Balqis, dah lama sampai ke?
"Korang berdua ni hehe, macamlah dah lama tak jumpa." Kemudian Noni terus menuju ke bilik tidurnya.
Kami berpelukan seketika. Rindunya aku kepada Munirah hanya tuhan sahaja yang tahu tidak dapat digambarkan. Saat kami melepaskan pelukan aku terperasan sesuatu di salah satu jari Munirah.
"Eh! Apa tu?" Spontan aku meluahkan apa yang ada didalam fikiran.
"Kenapa?" Soal Munirah kehairanan, tanpa mempedulikan aku Munirah segera masuk ke bilik bersama bagasi yang dibawanya. Aku hanya mampu mengekori langkahnya dengan anak mata sahaja. Aku bergegas ke dapur teringatkan air sarsi yang dibuatkan oleh Noni tadi. Eh! Aku dah boleh minum air sejuk ke? Aku membatalkan niat untuk meminumnya, tapi air sarsi itu seolah-olah menggoda tekak. Ah minum jelah harap tak ada apa-apa.
Lantas aku menuju ke ruang tamu dan menghempaskan punggung disofa kemudian mencapai remote tv. Jari-jemariku pantas menekan punat, punat menukar siaran, tidak ada rancangan yang menarik. Bosannya... baik aku tidur, tatkala aku ingin bangun tiba-tiba Munirah sudah terpacul dihadapanku dengan tersenyum simpul.
"Hah! Kau dah kenapa ni?" Tanpa berkata apa-apa Munirah terus sahaja melabuhkan punggungnya disebelahku.
"Nak tau satu benda tak?" Soalnya disertai dengan senyuman yang mengulum. Macam sesuatu perkara yang besar yang hendak dikatakan, ini membuatkan hatiku meronta-ronta ingin tahu.
"Apa dia? cepatlah cakap!" Munirah hanya tersenyum, tanpa berkata apa-apa dia menunjukkan tangan kanannya dan di jari manisnya terselit sebentuk cincin belah rotan.
"Wah...! Munirah kau dah bertunang ke?" Tiada kata-kata yang mampu aku teruskan lagi sebak, gembira, terharu semuanya bercampur baur bila mengetahui sahabat baik ku one step closer untuk menuju alam kebahagiaan berumahtangga.
Aku menggenggam erat kedua tangan Munirah, melihatkan wajahnya yang berseri-seri membuatkan aku tersenyum turut sama merasai kegembiraanya.
"Untunglah kau Munirah, akhirnya korang bersama jugak."
"Aku, bersama siapa eh?" Soal Munirah kehairanan. Kali ini aku pula yang pelik mendengarkan persoalan dari Munirah.
"Eh! Bukan ke kau dengan Zaid?"
"Zaid tu ke? Aku dengan dia tak ada apa-apalah. Dia memang ada hati kat aku, aku pun sama tapi... dia macam tak serious lah."
"Oh, habis tu kau bertunang ni dengan siapa?"
"Dengan pilihan orang tua."
"Kau dah jumpa dengan dia? Tunang kau tulah." Munirah mengangguk
"Sudah, dia okay aja."
"Memang la okay lelaki, bukan macam kita yang kena terima... kau faham maksud aku kan?" Tergelak Munirah mendengar kata-kata ku itu.
"Gelak pulak dia, aku serius la weh. Kalau aku kat tempat kau, memang aku tolak. Pantang hidup aku orang lain aturkan."
"Alaa! Selalunya pilihan orang tua ni lebih berkat, aku percaya mana ada orang tua yang nak nikahkan anak dia dengan sebarangan orang kan? Aku pun tak ada lah nak pening kepala mencari lagi dah."
"Kau cakap senang yang nak kahwin tu engkau, kalau aku tak sanggup lah nak hidup dengan orang yang aku tak cinta dan tak kenal langsung."
"Alaa! Tak sanggup aku nak tolak, kan pilihan oran tua. Nanti takut menderhaka pulak."
"Tiada paksaan dalam Islam Munirah, ini bukan sebab derhaka... tapi keadaan kau ni dah macam kes memaksa. Kau sanggup sekatil dengan lelaki asing yang kau tak pernah kenal hati dan budi dia? Eee! Tak nak aku. Aku nak habiskan hidup aku dengan orang yang aku sayang, kerana itu kehidupanku. Kalau orang tua berkenan sangat dorang jelah kahwin dengan pilihan dorang tu." Aku melepaskan geram.
"Tak apa, cinta lepas nikah tu kan lebih afdal." Aku mengerling Munirah.
"Dah lah kalau itu pilihan kau aku tak boleh cakap apa-apa lagi. Aku doakan kau bahagia dengan dia. Okaylah aku dah mengantuk ni nak tidur dulu, kau rehatlah dulu mesti penat." Panas pula hati aku, ada aja jawapan Munirah.
"Aku nak layan tv kejap nantilah aku tidur, tak apa kau pergilah tidur dulu Qis." Aku bangkit dan meninggalkan Munirah sendirian di ruang tamu menuju ke bilik tidur dalam perasaan bengang. Ya bengang dengan Munirah main terima aja pilihan orang tua, entah laki tu baik ke jahat ke, eh! Yang aku sibuk hal orang ni apahal pula dah itu pilihan dia. Tapi Munirah dah mcm saudara aku macamana pun aku rasa sedikit kecewa. Ah sudahlah tak payah nak pening kepala sibuk hal orang baik aku tidur lagi bagus. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup aku terus merebahkan badan dan berguling-guling kiri dan kanan sambil mengeliat. Ahh selesanya......

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience