Tajuk: Express Love
Penulis: Mino
Prolog
Nama aku Ayu Nazira binti Hashim. Ibu dan abah selalu memanggilku Ayu tapi kawan-kawan pula akan memanggilku dengan nama Ira. Jangan tanya kenapa. Aku pun tak tahu. Lagi sedap agaknya.
Aku anak tunggal dalam keluarga. Jadi memang semua perhatian memang terarah kepada aku seorang.
Apa saja yang dimahukan semuanya aku dapat. Mungkin sebab dah selalu sangat dapat apa yang aku nak, jadi aku jadi terlalu manja. Pendek kata spoiled child.
Disebabkan itu pelajaran aku sedikit hancur. Harapan ibu dan abah untuk melihat aku melanjutkan pelajaran ke menara gading punah begitu saja.
Sejak itu, abah dan ibu mula tidak memberikan perhatian. Aku tahu mereka kecewa dengan apa yang terjadi tapi tiada apa yang dapat aku lakukan lagi untuk mengembalikan keyakinan mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah sekarang. Itulah yang aku fikir.
Duit poket juga sudah ditarik balik. Abah mahu aku bekerja sendiri dan mendapatkan wang belanja sendiri. Itu aku terpaksa terima sebab memang dah salah aku tak bagi apa yang ibu dan abah harapkan.
Lama juga ku mencari pekerjaan dan akhirnya aku diterima bekerja di sebuah syarikat di Damansara. Bukanlah sebagai eksekutif pun tapi lebih kepada pembantu pentadbiran. Bolehlah dari tiada langsung.
Abah dan ibu tidak kisah asalkan aku tidak melakukan kerja yang boleh memalukan keluarga. Apabila difikirkan kembali sebenarnya ibu dan abah aku sangat positif orangnya. Biar pun mereka kecewa dengan aku tapi mereka boleh menerimanya. Cuma rasa terkilan itu mungkin susah untuk dilenyapkan.
Dan satu hal lagi, mereka tak kisah aku bekerja sebagai apa pun asalkan aku janji dan tunaikan untuk menjaga nama baik diri dan keluarga. Tidaklah mereka memandang hina pekerjaan bawahan ini.
Tentang hal itu aku bangga!
Tapi yang paling tak best dalam hidup apabila ibu menyatakan hasrat mahu menyatukan aku dengan anak kenalan mereka.
“What???” Aku memang tak boleh terima tapi terpaksa reda kerana aku ingin menebus kembali kesilapan aku yang dulu. Jika ini boleh membahagiakan mereka, mengapa tidak bukan?
Share this novel