Completed
2840
“Apa menu berbuka semalam?” Tanya Natalia, sambil dia merenung Syamel menunggu jawapan. Syamel di sebelah tidak menjawab, dibiarkan kesunyian menemani mereka berdua. Syamel terus memandu. Sengaja pula dia menekan minyak lebih kuat dari biasa. Kereta yang dipandu meluncur laju.
Natalia senyap. Pertanyaan tidak diulangi. Dia simpan rasa sedih dalam hati. Mukanya dihadap ke arah luar kereta melalui cermin tingkap. Syamel masih membisu, kebisuan lelaki itu menjadi tanda tanya Natalia, pasti ada yang tidak kena, tetapi dia tidak berani untuk bertanya. Silap-silap dia pula yang akan kena marah.
Syamel memberhentikan kereta di hadapan pagar rumah Natalia. Natalia yang teragak-agak untuk keluar, menggagahkan juga kakinya melangkah dari perut kereta. Dia menutup pintu kereta, kemudian menunggu cermin diturunkan, malangnya Syamel terus bergerak pergi sebelum sempat dia memberi salam.
“Hem… sedapnya bau, masak apa ummi?” tegur Natalia. Waktu itu dia melalui dapur untuk ke biliknya. Sengaja menjenguk apabila yakin umminya di dapur sedang menyediakan juadah berbuka.
“Nasi arab sayang. Request dari abah.” Jawab Puan Mariam. Dia yang waktu itu sedang mengaul nasi supaya sebati dengan daging berpaling seraya menghulur senyuman kepada anaknya.
“Mas solat asar dulu ya ummi, nanti Mas tolong.” Natalia berlalu.
Salam diberi. Tangan ditadah lalu terus membaca doa. Dia memohon keampunan, serta keberkatan Ramadhan. Tidak lupa juga dia menyisip semoga TUHAN menguat dan menabahkan hatinya dalam menempuhi segala dugaan. Bunyi pesanan masuk di telefon, membuatkan dia cepat-cepat meraup wajah.
Sorry sebab saya tak jawab awak tanya tadi. Saya malu nak cakap. Saya berbuka air masak dengan kurma yang office bagi aje semalam.
Natalia mengerutkan kening. Rasa hairan menurjah. Seingatnya minggu lepas baru sahaja gaji. Dia faham, sejak akhir-akhir ini syarikat tempat dia dan Syamel bekerja mempunyai masalah dalam pembayaran gaji, sudah hampir lima bulan gaji diterima lambat, tapi majikan mereka tetap bayar juga.
Share this novel